fbpx

Pemalsuan ujian perlanggaran Daihatsu: Pensijilan Perodua Axia tetap sah

perodua axia 2023 preview 11

DAIHATSU Co. Ltd telah mengeluarkan kenyataan media pada 28 April berhubung ‘ketidakaturan prosedur’ ujian membabitkan empat model termasuklah Perodua Axia 2023.

Susulan itu, pengeluar automotif kedua negara, Perodua hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan hal itu.

Menurut Perodua, Daihatsu Co. Ltd telah dilantik dan dipertanggungawabkan untuk menjalankan ujian keselamatan bagi Axia 2023 di Jepun dan telah disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi yang relevan bagi tujuan penilaian pihak yang terbabit.

“Sebaik sahaja kami menerima berita mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu, kami telah menghubungi pihak terbabit serta merta untuk mengenalpasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya.

“Kami telah diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian,” kata kenyataan itu.

Ini bermakna, Perodua Axia 2023 adalah selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat oleh syarikat itu. Perodua juga tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan.

“Kami memohon maaf di atas segala kekeliruan yang berlaku kepada para pelanggan berhubung perkara ini dan kami memberi jaminan bahawa segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui badan profesional.”

Perodua juga menambah bahawa mereka akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai.

“Perodua sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan para pelanggan dan akan terus berbuat demikian sebagai sebahagian daripada amalan kami dalam menjangkaui setiap jangkaan,” tambahnya.

Media semalam melaporkan bahawa Daihatsu mengaku akan ‘kesalahan’ dalam ujian keselamatan perlanggaran yang dibuat untuk pematuhan piawaian melibatkan empat model.

Ini merangkumi Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dikenali sebagai Yaris Ativ di beberapa pasaran seperti Thailand), Toyota Agya, dan sebuah model yang belum dilancarkan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved