fbpx

Toyota Vios 1.5 G makin moden, sedap lenjan, berbaloi? – Pandu uji

toyota vios 2023 pandu uji thumb

SEGMEN-B sedan merupakan satu kategori cukup kritikal di negara kita kerana kereta-kereta ini dikira mampu milik dan menjadi kenderaan utama banyak keluarga.

Jadi, penting untuk pengeluar bersikap sensitif dengan pengguna kerana sedikit ‘kelainan’ boleh mengundang kritikan. Tetapi letakkan ciri-ciri premium atau baharu dalam segmen ini, dan pengeluar boleh mendapat pujian melangit selama beberapa minggu, selagi berita pelancaran itu hangat.

Toyota Vios 2023 yang dilancarkan pada Mac lepas merupakan generasi baharu sepenuhnya, serba-serbi dan luar dalam baharu. Mantap? Ini kita akan bincangkan kemudian.

Tiga masalah besar

Tetapi jika anda mencari atau membuat kajian mengenai kereta dalam segmen ini, anda akan ketahui bahawa Toyota Vios baharu mempunyai dua masalah besar – tempat duduk belakang tidak boleh dilipat, dan tiada tayar ganti.

Mengapa? Baik, untuk tempat duduk belakang tidak boleh dilipat, pasukan pembangunan Toyota Vios berkongsi kepada media bahawa menurut kajian pasaran mereka, kebanyakan pengguna tidak menggunakan fungsi ini.

KEBANYAKAN. Adakah anda termasuk dalam golongan ini, atau anda golongan minoriti yang akan merungut? Jadi untuk itu, mereka tidak masukkan fungsi ini, dan hasilnya kereta 10kg lebih ringan kerana tiada mekanisma lipatan.

Untuk tayar ganti pula, mereka berkata ianya bagi memberikan ruang simpanan lebih besar. Jika anda lihat di bawah lantai but, terdapat ruang simpanan Styrofoam untuk barangan-barangan kecil. Ketiadaan tayar ganti juga mengurangkan lagi berat kereta.

Secara keseluruhan, Vios generasi baharu ini kira-kira 110kg lebih ringan dari model sebelumnya. Varian 1.5 G kali ini hanya seberat 1,035kg.

Sebenarnya ada masalah ketiga iaitu kuasa enjin yang lebih rendah. Berbanding Vios dahulu yang mempunyai 105hp dan 140Nm dari enjin 1.5-liter 2NR-FE, Vios baharu dipacu oleh enjin 2NR-VE dengan output 104hp dan 138Nm tork.

Angka ini menurun sebanyak 1hp dan 2Nm, secara jujurnya kita takkan dapat rasakan perbezaan. Tetapi memandangkan anda tidak boleh lupa akan fakta ini, ketahuilah juga dengan berat yang lebih ringan seperti dinyatakan tadi, Vios baharu sebenarnya mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Jadi, secara keseluruhan dan secara teori juga, Vios baharu pasti lebih menjimatkan. Menurut Toyota, Vios mempunyai kecekapan sehingga 5.2 liter per 100km atau 19.2km per liter.

Untuk isu besar seperti tempat duduk tidak boleh dilipat dan ketiadaan tayar ganti, kita harus lihat begini: Toyota mungkin berada dalam dilemma memilih sama ada menghadap ramai orang merungut minyak tidak jimat, atau beberapa orang merungut tempat duduk tidak boleh dilipat dan tiada tayar ganti.

Kami juga rasa kecekapan penggunaan bahan api lebih penting untuk kereta sebegini. Maka, marilah kita ke bab seterusnya.

Makin upmarket

Satu aspek penting bagi kereta sedan segmen-B ialah gaya dan penampilan. Untuk ini, Toyota Vios baharu tidak mengecewakan.

Rupa keseluruhannya boleh dikatakan semakin ‘atas’ atau upmarket. Muka depan kini seperti sedan Toyota lebih besar (Toyota dan Corolla), rim lebih besar 17-inci (varian G), dan rekaan bumbung belakang ala fastback yang memang menjadi trend sekarang.

Rupa depan dengan lampu LED sepet masih sukar untuk penulis hadam, tetapi yang penting bagi penulis ia memberikan imej segar, jauh berbeza dari sebelum ini. Rim lebih besar pula bukan sahaja sepadan dengan bentuk keseluruhan, tetapi juga membawa impak positif kepada pengendalian.

Rasa upmarket ini dibawa ke dalam, dimana binaan papan pemuka Vios kini tampak moden dan tidak murah. Jika sebelum ini penuh dengan plastik keras kelabu, Vios 2023 ini mempunyai sentuhan-sentuhan lembut, tona warna berbeza yang memberikan tekstur.

Pada masa yang sama, susunan butang dan suis juga masih kemas, mudah dicapai, dan lebih sedap dipegang. Selain itu, paparan instrumen kini digital sepenuhnya, dan brek parkir elektronik hadir secara standard.

Satu sentuhan menarik bagi penulis ialah permukaan terletaknya suis tingkap di panel pintu kiri dan kanan. Ia berwarna hitam glos seperti kebanyakan kereta, tetapi ia tidak kosong, sebaliknya terdapat tekstur berlian dan permukaan ini senget sedikit ke dalam.

Ini solusi yang mudah dilakukan dan tidak memerlukan kos mahal, tetapi efektif dalam menambah rasa premium dan mahal dalam Vios. Perkara ini penting kerana banyak pembeli kereta sebegini baru menaik taraf dari kereta bajet.

Anda sudah pandu Myvi sejak mula bekerja dan kini sudah berkeluarga serta dinaikkan pangkat, jadi anda naik taraf kepada Vios. Contoh situasi biasa, bukan?

Oh ya, kami tahu disebabkan Vios dibina dari pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture) ia berkongsi papan pemuka dengan model seperti Axia dan Alza. Jadi salah satu cara meletakkan Vios di posisi lebih atas ialah kelengkapan Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar.

Rupa padu, pemanduan padu?

Untuk pemanduan, mungkin tidak ramai antara pembeli Vios yang menitik beratkan aspek ini walaupun UMW Toyota telah menggunakan kereta ini untuk acara Vios Challenge selama beberapa tahun.

Pun begitu, hakikatnya Toyota Vios serba baharu ini telah mengalami peningkatan dari segi dinamik pemanduan, sama ada anda perlu atau tidak. Perkara pertama penulis rasai ialah stereng yang lebih tepat talaannya, dan lebih banyak ‘feel’ serta maklum balas.

Ia tidak terasa berat yang tidak perlu, tetapi cukup-cukup sahaja untuk rasa semula jadi. Ini membuatkan Vios baharu ini lebih seronok dikemudi sama ada pandu perlahan dalam bandar atau mengambil selekoh dengan kelajuan tiga angka.

Profil tayar 205/50 dan rim 17-inci ini juga menyumbang kepada rasa stereng lebih baik, ia bukan sekadar nampak cantik. Cuma pastinya kos penggantian tayar akan meningkat, jadi ini satu perkara yang anda harus ingat. Kira-kira RM380 hingga RM400 juga untuk sebiji tayar saiz ini.

Nak kereta sedap, kena la labur sikit, bukan? Paling penting, ‘kesedapan’ ini datang dari R&D kilang sendiri, bukannya kaki kereta ‘buat pandai’.

Casis juga kini lebih tegar dan mantap, hasil penggunaan DNGA. Semasa mengambil selekoh S sambil membrek turun dari Genting Highlands, dapat dirasakan suspensi dan tayar bekerja dengan lebih konsisten dan jelas, hasil casis kereta yang tegar.

Kuasa cukup? 104hp dan 138Nm tork lebih dari cukup walaupun naik ke puncak Genting Highlands. Kotak gear D-CVT baharu dengan gabungan gear fizikal dan tali sawat membantu keseluruhan kuasa sampai ke roda depan dengan cekap. Anda rasa kereta betul-betul ada 104hp, seperti tiada pembaziran kuasa.

Bunyi enjin akan tetap masuk ke dalam kabin apabila diperah melebih 4,000rpm, ini perkara biasa. Tetapi bila rpm sudah duduk stabil dan anda meluncur di kelajuan tetap, Vios ini cukup senyap, malah selesa dipandu jauh.

Malah bila disesah lagi, kita akan mula sampai kepada had enjin, tayar, dan kotak gear. Tayar yang dibekalkan ialah Continental PremiumContact 7, bukanlah tayar prestasi, jadi ia mula menyerah kalah bila anda tidak cukup lancar dengan input belokan. Ini bukan bermakna tayar ini tidak bagus, ianya tayar sempurna dengan kegunaan harian Vios.

Enjin dan kotak gear juga bekerja keras mengikut rentak penulis memecut dan mendaki, kemudian brek masuk selekoh, kemudian pecut semula. TCU cuba memberikan nisbah gear terbaik mengikut kelajuan, rpm, dan input kaki kanan. Tetapi tiada masalah dari segi casis.

Maklumat tambahan, Toyota sudah mempunyai unit untuk kegunaan Vios Challenge berdasarkan platform baharu ini. Sudah tentu ia menggunakan tayar semi-slick dan transmisi manual, jadi mungkin musim depan kita akan dapat lihat bagaimana prestasi Vios generasi baharu ini dalam perlumbaan sebenar.

Bukan perlumbaan di Litar Antarabangsa Genting ya. Sentiasa berhati-hati di jalan raya awam!

Tidak dilupakan juga ciri keselamatan, Vios kini datang standard dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision System, Lane Departure Warning, dan Front Departure Alert.

Varian G ini mendapat tambahan Lane Keeping Control, Auto High Beam, dan Adaptive Cruise Control. Bagi penulis, anda ambil sahaja Vios varian G ini kerana tiga ciri di atas sangat berguna dalam pemanduan seharian. Harga juga tidak jauh berbeza jika dibahagikan dalam ansuran bulanan.

Kesimpulannya, Toyota Vios 2023 sememangnya satu anjakan besar dalam segenap segi berbanding kereta yang digantikannya. Ia kini lebih moden dan dinamik untuk dipandu, dan paling penting membuatkan anda rasa ia mempunyai nilai lebih baik untuk wang.

Spesifikasi Toyota Vios 1.5 G

Harga: RM95,500
Enjin: 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE
Kotak gear: D-CVT dengan 7-kelajuan maya
Kuasa: 104hp @ 6,000rpm
Tork: 138Nm @ 4,200rpm

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved