fbpx

GR Vios Challenge kutip 3.7 juta penonton online untuk S6R2

toyota gazoo racing s6r2 23

DENGAN berakhirnya Race 2 bagi Season 6 pada hujung minggu lepas, kejuaraan GR Vios Challenge semakin memuncak dalam kesemua kelas.

Pelumba-pelumba dalam Super Sporting Class, Sporting Class, Rookie Class dan Promotional Class kini mempunyai peluang pusingan ketiga dan terakhir pada September ini untuk merebut peluang juara.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada semua penonton online dan peminat perlumbaan kami di atas sokongan mereka. Peminat-peminat inilah yang menjadikan GR Vios Challenge apa yang kita lihat hari ini,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K.

“Sudah tentu, tidak dilupakan pelumba-pelumba kami, pasukan, pengedar, dan para penaja,” tambahnya.

Sporting Class

Bekas pelumba Rookie, Sharique Zulqarnain yang bermula di petak depan pada Race 2 tidak bermula dengan baik, membolehkan Kenneth Koh (Panglima City Racing Team) untuk mara ke depan. Mereka diikuti oleh Bradley Benedict Anthony (Crestmax Motorsport) di tempat ketiga dan Aaron Haikal (Distinctive Model) di tempat keempat.

Walaubagaimanapun Sharique terus tercicir selepas tiga pusingan dan hanya tinggal Koh, Bradley dan Aaron di tiga tempat teratas.

Bradley memenangi perlumbaan itu hanya 0.6 saat di depan Koh dan diikuti Aaron di tempat ketiga.

Super Sporting Class

Dalam format grid terbalik, Naquib Azlan (Axle Sport) terus ke posisi pertama diekori oleh Freddi Ang (Telagamas Toyota) dan Hayden Haikal masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Memasuki pusingan kedua, giliran Hayden untuk mengetuai perlumbaan. Tetapi berlaku insiden pada pusingan ketujuh dan bendera merah dinaikkan, perlumbaan dihentikan.

Bila perlumbaan kembali dengan baki dua pusingan, Putera di depan diikuti oleh Ang di tempat kedua, manakala Mitchell Cheah di tempat ketiga.

Rookie Class

Di kelas Rookie pula, ia dimenangi oleh Elson Lew yang telah menjadi pemandu terpantas di pusingan kelayakan, tetapi tamat di tempat kelima dalam Race 1. Jadi, Race 2 menjadi tempat untuk beliau menebus semula.

Tempat kedua dimenangi oleh Iman Danish manakala Azriel Azhar di tempat ketiga.

Promotional Class

Perlumbaan selebriti ini dihentikan dengan bendera merah selepas hanya tiga pusingan disebabkan Shukry Yahaya berpusing di laluan lurus utama, memasuki laluan Hefny Sahad.

Sebaik perlumbaan dimulakan semula, Zizan Razak terus mara 1.8 saat di depan Ezzrin Loy, dengan Ahirine Ahirudin di tempat ketiga.

Jarak Zizan semakin menipis dengan hanya 0.2 saat, beliau bekerja keras mempertahankan posisinya dari Ezzrin.

Pusingan ketiga dan terakhir GR Vios Challenge akan diadakan serentak dengan Toyota Gazoo Racing festival di lokasi sama, iaitu Litar Antarabangsa Sepang pada 29 September hingga 1 Oktober depan.

Bagi Race 2 ini, UMW Toyota berkongsi bahawa sebanyak 3.7 juta penonton online telah menyaksikan perlumbaan tersebut di semua platform media sosial.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved