HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) akhirnya melancarkan Hyundai Tucson generasi keempat ke pasaran Malaysia, kira-kira seminggu selepas membuka tempahan untuk SUV segmen C itu.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Tucson diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0 Lite, 1.6T Plus dan 1.6T Max.
Varian 2.0 Lite dikuasakan oleh enjin Smartstream MPI yang menghasilkan 156 PS dan 192 Nm, disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan.
Sementara itu, varian 1.6T Plus dan 1.6T Max pula menampilkan gabungan enjin turbo Smartstream dan transmisi klac berkembar basah (DCT) tujuh kelajuan dengan kuasa sebanyak 180 PS dan 265 Nm.
Ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan tujuh beg udara, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, Blind Spot Collision Warning dan Safe Exit Warning.
Sebagai varian tertinggi, 1.6T Max mendapat pelarasan lapan hala, pemanasan/pengudaraan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, panel instrumen digital 10.25 inci, tailgate kuasa, pengelap cermin auto, pengecas wayarles dan Hyundai SmartSense Safety termasuk Smart Curise Control.
Terdapat enam warna untuk dipilih iaitu Amazon Grey Metallic, Phantom Black Pearl, Creamy White Pearl, Crimson Red Pearl dan Silky Bronze Metallic. Dua warna terakhir itu tidak ditawarkan pada 2.0 Lite.
Harga jualan Tucson baharu bermula dari RM158,888 untuk 2.0 Lite, RM178,888 untuk 1.6T Plus dan RM195,888 untuk 1.6T Max.
100 pelanggan pertama yang membuat tempahan pada atau sebelum 31 Disember 2023 akan mendapat pakej waranti lanjutan (lima tahun/300,000 km) dan pakej servis percuma (tiga tahun/50,000 km) bernilai RM10,000 secara percuma.
Tempahan boleh dibuat di mana-mana bilik pameran Hyundai di seluruh negara atau menerusi platform Cl!cktoBuy.
MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini membawakan sepasang SUV Coupe untuk pasaran kita, iaitu GLC Coupe dan GLE Coupe.
Untuk GLC, ia hadir dalam varian GLC300 4Matic Coupe dengan harga RM469,888. Sementara itu bagi GLE, ia ditawarkan dalam versi prestasi Mercedes-AMG GLE53 5Matic+ Coupe dan ditawarkan pada harga RM873,888.
Mercedes GLC300 4Matic Coupe
Dengan varian GLC300, SUV ini dipacu oleh enjin 2.0-liter turbo yang menjana 258hp dan 400Nm tork, digandingkan dengan sistem mild hybrid berkuasa 17kW dan 205Nm.
Kesemua output ini disalurkan ke semua roda melalui sistem 4Matic. Pecutan ke 100km/j boleh dicapai dalam 6.3 saat, dengan kelajuan maksima 246km/j.
Spesifikasi luaran bagi model ini termasuklah kit AMG Line dengan pakej Chrome, rim 20-inci AMG, bumbung panoramik, dan lampu LED digital dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.
Di dalam kabin pula, Mercedes GLC300 didatangkan dengan kemasan kulit nappa, pakej AMG Line, skrin melengkung dengan paparan instrumen digital, sistem MBUX, sistem penghawa dingin automatic Thermatic, dan Keyless-Go Comfort Package.
Ciri keselamatan pula seperti biasa cukup banyak. Ini termasuklah sistem Pre-Safe, Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, Guard 360, dan Active Parking Assist.
Mercedes-AMG GLE53 4Matic+ Coupe
Kini kita ke model lebih besar dan berprestasi. GLE53 mendapat nadi 3.0-liter turbo petrol 6-silinder sebaris yang mampu menghasilkan 435hp dan 560Nm tork, juga digandingkan dengan sistem mild hybrid 15kW/200Nm.
Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem 4Matic+ dan ini membolehkan ia memecut ke 100km/j dalam masa 5.0 saat dan jika jalan cukup, mampu mencapai kelajuan maksima 250km/j. AMG Active Ride Control juga diatangkan standard.
Kemasan luar pada SUV ini cukup sporti, merangkumi kemasan AMG pada kit badan, gril, rim 22-inci, dan rongga udara serta diffuser yang agresif.
Di dalam pula, imej sporti dibawa terus dari luar melalui komponen AMG seperti kemasan papan pemuka, tempat duduk sports, stereng prestasi, serta kemasan gentian karbon.
Spesifikasi lain adalah sistem audio 3D Burmester, sistem pendingin hawa automatik Thermotronic, dua skrin besar bersaiz 12.3-inci setiap satu, MBUX Interior Assistant, dan MBUX Augmented Reality Navigation serta Driving Assistance Package Plus.
ANDA mencari sebuah SUV premium saiz besar untuk tujuh dewasa? Anda mungkin boleh tengok ini, BMW X7. Ia dikemaskini untuk 2023, dengan penambahan beberapa ciri.
BMW X7 hadir dalam varian xDrive40i M Sport untuk pasaran Malaysia, dan ia masih dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.
Nadi kepada SUV premium besar ini adalah enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris turbo petrol, dengan output 375hp dan 520Nm tork. Output ini boleh ditambah kepada 540Nm melalui boost, kerana ia disokong oleh sistem mild hybrid 48-volt dengan bekalan kuasa 12hp/200Nm.
Transmisi ialah automatik 8-kelajuan Steptronic Sport, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem xDrive. Ini membolehkan X7 xDrive40i memecut ke 100km/j dalam masa 5.8 saat, hingga ke kelajuan maksima 245km/j.
Dari segi kelengkapan bahagian luar, BMW X7 2023 didatangkan dengan pakej M Sport yang memberikannya bampar agresif, selain lampu LED matriks, dan kemasan ekzos lebih besar. Rim aloi 913 M bersaiz 22-inci pelengkap kepada gaya mewah SUV ini.
Di dalam, X7 xDrive40i dilengkapi kemasan kayu Fineline Black dengan kesan logam berkilat, dipadankan dengan balutan kulit Merino dari BMW Individual. Skrin melengkung lebar mendominasi papan pemuka, yang terdiri dari paparan instrumen 12.3-inci dan infotainment bersaiz 14.9-inci.
Untuk menjadikan SUV besar ini sedap dipandu, ia dilengkapi suspensi udara, Executive Drive Pro dengan penstabil olengan aktif, dan sistem stereng roda belakang.
Ciri keselamatan juga dipertingkat, dimana ia kini mendapat Driving Assistant Professional yang merangkumi Active Cruise Control dengan fungsi stop and go serta bantuan stereng, dan Lane Control Assistant.
Terdapat juga barisan sistem keselamatan aktif lain seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan bantuan brek, Rear Crossing Traffic Warning, Speed Limit Info, dan Reversing Assistant Professional.
BMW X7 xDrive40i M Sport boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM718,800, ia hadir dengan jaminan dan pakej servis lima-tahun.
BMW merupakan antara pengeluar di Malaysia yang banyak menawarkan model elektrik (EV), antaranya i4, i7, iX1, iX3, dan iX. Kali ini, Engear diberi peluang oleh BMW Malaysia untuk meluangkan hujung minggu bersama iX3.
Ada satu rahsia, walaupun iX3 ialah model EV yang boleh dikatakan sebagai baharu, futuristik dan terkini, ia mempunyai sifat sebuah BMW tradisional. Kenapa? Kerana ianya sebuah jentera RWD sejati.
Ya, BMW M3 pun kini sudah pacuan semua-roda dengan sistem xDrive, tetapi iX3 sebuah SUV EV pula RWD. Memang dunia yang pelik kita hidup sekarang.
Konfigurasi RWD
BMW iX3 mempunyai konfigurasi RWD kerana ia dipacu motor elektrik tunggal yang dipasang di gandar belakang, dengan output 282hp dan 400Nm tork. Motor ini mendapat kuasanya dari bateri 73.8kWh yang mampu memberikan iX3 jarak pemanduan sehingga 453km.
Kami beriya-iya cakap mengenai RWD, apa yang penting sangat? Mungkin kebanyakan pemandu tidak kisah pun. Ia satu fakta menarik kerana apabila tayar depan tidak perlu menghantar kuasa dan hanya menggalas tugas membelok, ia akan menyebabkan stereng rasa begitu telus dan tepat.
Jadi adakah ia bermakna kereta ini laju? Tidak semestinya. Ini cuma bermakna iX3 mempunyai ‘feel’ atau rasa seperti kereta sports sejati; kuasa 100 peratus di tayar belakang, stereng 100 peratus oleh tayar depan. Bila kali terakhir anda pandu kereta sebegini?
Tetapi nak kata BMW iX3 ini perlahan, tidak juga. Prestasi masih mantap. Walaupun mempunyai berat 2,200kg, ia masih mampu memecut ke 100km/j dalam masa 6.8 saat, lebih pantas dari kebanyakan kereta. Cuma kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j ‘sahaja’, biasalah EV.
Tetapi memang benar, sepanjang penulis pandu BMW iX3 ini, pengendalian di selekoh cukup seimbang dan memuaskan. Beratnya tertumpu di tengah, stereng yang banyak maklum balas, dan tork 400Nm boleh diakses kebanyakan masa.
Pemanduan waktu malam ditemani dengan lampu BMW Laser Light yang bukan sahaja nampak canggih, tetapi memberikan penglihatan mantap untuk pemandu. Secara tidak langsung, ini juga menambahkan aspek keselamatan.
Mewah dan praktikal untuk kegunaan seharian
BMW iX3 yang kami pandu merupakan varian M Sport Impressive, jadi ia mendapat kemasan badan yang sporti walaupun terdapat klu EV dari elemen-elemen biru.
Elemen biru dapat dilihat pada gril bertutup, kemasukan udara di bampar depan, dan diffuser belakang. Tetapi elemen sporti mendominasi rekaan luar iX3 M Sport ini, seperti rim 20-inci, bampar sisi yang agresif, dan rekaan diffuser belakang yang menyerlah, selain spoiler bumbung.
Profil sisi BMW iX3 ini masih klasik SUV, dan mirip X3. Menunjukkan aspek kekeluargaannya dengan model-model lain. Harus diketahui juga lantai bawah iX3 ini hampir rata seperti kereta sports, dan ia berfungsi bersama diffuser belakang.
Cuma bahagian kabin secara keseluruhan terasa biasa dan tidak terlalu istimewa. Papan pemukanya menampilkan rekaan yang sudah kita kenali, tidaklah buruk, cuma mungkin agak berusia.
Walaubagaimanapun, jika anda rajin ‘mengorek’ ke dalam skrin tengahnya, terdapat banyak kandungan yang khas pada model elektrik. Antarnya adalah menu-menu agihan kuasa, mod regenerative, dan perancangan untuk mengecas.
Penulis cukup suka dengan sistem audio Harman Kardon 464 watt pada iX3 ini yang mampu membuatkan anda rajin memandu kereta ini kerana dapat memainkan lagu kegemaran dengan alunan cukup enak. Isteri suruh beli gula sepaket pun anda akan rajin memandu BMW iX3 ini walaupun jarak dekat.
Keluasan tiada masalah untuk iX3, cukup lapang dengan kelegaan kaki dan kepala yang lebih dari mencukupi untuk lima orang dewasa.
Data perjalanan
Baik, sekarang kita jangan lupa hakikat bahawa BMW iX3 ini sebuah EV, jadi macam mana prestasi dan praktikaliti penggunaan hariannya? Cukup 453km? Sebenarnya, jujur cakap, semasa kami dapat kereta ini, baterinya pada tahap 95 peratus dengan hanya 313km jarak pemanduan. Aduh! Macam mana tu?
Harus diketahui bacaan jarak kereta EV dikira berdasarkan cara pemanduan sebelumnya. Mungkin pemandu sebelum itu melenjan iX3 ini tidak ingat dunia, seronok dengan tork 400Nm yang dibekalkan.
Dari pengalaman penulis pula, walaupun jarak dipaparkan 313km, penulis dapat pandu lebih dari 350km dengan baki 25km semasa memulangkan iX3 ini. Bagaimana?
Penulis banyak memandu dalam bandar dengan kelajuan kurang 120km/j, banyak melakukan stop and go. Jadi berat kereta 2.2 tan itu memberikan momentum untuk sistem regenerative mengembalikan semula tenaga ke dalam bateri setiap kali penulis memperlahankan kereta.
Boleh dikatakan 90 peratus situasi pemanduan penulis tidak menekan pedal brek, cukup sekadar mengangkat kaki dari pedal ‘minyak’, dan iX3 menggunakan regen untuk berhenti, bukannya brek cakera.
Sistem regen padanya juga boleh dilaras pada beberapa tahap, mengikut keadaan dan kesesuaian. Dari pengalaman penulis, anda boleh gunakan regen maksima dalam bandar dan pemanduan perlahan, manakala regen minima untuk pemanduan lebih laju seperti di lebuh raya.
Jadi, penulis tidak sempat menghabiskan bateri sepanjang beberapa hari memandu iX3 di sekitar Kuala Lumpur, satu perkara yang bagus juga lah kan?
Tetapi untuk pengetahuan anda, iX3 akan memerlukan tujuh jam setengah untuk cas penuh jika menggunakan AC. Jika menggunakan pengecasan pantas DC, ia menyokong sehingga 150kW, bermakna 80 peratus bateri dapat dicapai dalam hanya 32 minit.
Jadi, bagaimana dengan BMW iX3? Varian M Sport Inspiring bermula pada RM307,160 manakala varian M Sport Impressive yang kami uji ini berharga RM328,160.
Pada pendapat penulis, peminat kereta sejati tidak kisah akan semua itu, terutamanya peminat BMW. iX3 sesuai untuk pemilik BMW yang mahu teknologi EV setelah mereka ada sebuah 5-Series atau X3 di rumah.
iX3 akan menjadi EV yang praktikal untuk kegunaan bandar, di samping mengekalkan imej sporti dan ‘petrolhead’. Malah, ia juga tidak terus nampak seperti sebuah EV sekali lihat, jika itu yang anda gemarkan.
BILA sebut tentang kereta elektrik (EV), ramai yang tamak mahukan jarak pemanduan jauh, tidak cukup dengan 400km yang biasa ditawarkan. Nah, ini salah satu EV dengan jarak pemanduan lebih 615km, iaitu Mercedes EQS SUV, baru dilancarkan di Malaysia.
EQS merupakan model mewah dalam rangkaian EQ atau model elektrik Mercedes, dan kini hadir dalam bentuk badan SUV. Buat masa ini, ia ditawarkan dalam varian EQS580 4Matic, dengan harga RM699,888. Apa yang anda dapat untuk SUV EV ultra-mewah ini?
Kita tolak ke tepi dahulu bab spesifikasi dan pengecasan semua, EQS SUV adalah berkenaan aspek mewah, bak kata Mercedes. Kenderaan EV yang anda boleh gunakan untuk berjalan jauh, dengan keselesaan bak kereta menteri.
Dari segi rekaan, EQS SUV mendapat gril bertutup hitam berkilat dengan kemasan bintang yang tampak cukup mewah dan futuristik. Terdapat juga lampu LED Digital Light dengan light bar di depan dan belakang.
EQS580 dikemaskan lagi dengan kit AMG Line yang memberikannya bampar depan dan belakang lebih agresif, kemasukan udara lebih besar, dan rim AMG bersaiz 22-inci.
EQS SUV ini juga dilengkapi dengan suspensi udara Airmatic yang boleh dinaikkan sehingga 25mm sehingga 80km/j. Tetapi dalam mod Comfort dan Sport, ia boleh direndahkan sebanyak 10mm dan 15mm untuk mengurangkan rintangan udara. Sistem stereng belakang juga standard untuk EQS ini.
Di bahagian dalam pula, Mercedes EQS580 SUV mendapat papan pemuka yang sama dengan model sedan, iaitu MBUX Hyperscreen selebar 141cm. Ia terdiri dari tiga skrin iaitu paparan instrument 12.3-inci, paparan tengah 17.7-inci, dan skrin untuk penumpang depan 12.3-inci.
Kemasan sudah pasti cukup mewah dengan Electric Art, balutan kulit Nappa, dan paling kami suka; kemasan kayu berongga magnolia dengan corak aluminium.
Baik, kini barulah kita ke aspek teknikal. Mercedes EQS SUV dilengkapi dua motor elektrik dengan output keseluruhan 544hp dan 858Nm tork. Ini membolehkannya memecut ke 100km/j dalam masa 4.6 saat dan mencapai kelajuan maksima 210km/j.
Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 107.8kWh, dan memberikan EQS SUV jarak pemanduan sehingga 615km setiap cas.
Harus diketahui juga EQS SUV merupakan model EQ pertama Mercedes dengan pengecas dalaman 22kW, jadi satu cas penuh AC boleh dibuat dalam masa lima jam setengah sahaja. Dengan pengecasan pantas DC pula, ia menyookong 200kW, jadi 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa 31 minit.
Ciri lain pada Mercedes EQS SUV ini termasuklah konfigurasi tujuh tempat duduk, MBUX Rear Seat Entertainment Plus, sistem audio Burmester dengan 15 pembesar suara dan Dolby Atmos, dan Energising Package.
SELEPAS melancarkan Range Rover L460 dan Range Rover Velar, kini Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) melancarkan satu lagi model SUV ke pasaran tempatan iaitu Range Rover Sport.
Untuk pasaran Malaysia, Range Rover Sport generasi ketiga ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu P400 Dynamic yang menampilkan enjin petrol turbo.
Range Rover Sport membawakan penampilan luar serba mewah dengan gabungan DNA Range Rover seperti lampu depan LED digital (paling langsing pada Range Rover setakat ini), tingkap dan pemegang pintu yang sama rata dan bumbung yang dipasang dengan teknik kimpalan laser.
Elemen-elemen ini membantu model ini dari aspek aerodinamik, dengan kadar pekali seretan serendah 0.29 Cd. Gaya mewahnya dilengkap kan menerusi rim Style 5127 berukuran 22 inci yang didatangkan dalam warna kelabu gelap satin, dan pintu soft-close.
Ruang dalaman tidak jauh berbeza dengan Range Rover, menampilkan sistem infohibur Pivo Pro dengan skrin sentuh melengkung 13.1 inci, paparan pemandu interaktif 13.7 inci, head-up display dan sistem audio Meridian 400W.
Kelengkapan lain turut disertakan termasuk sistem Terrain Response 2, cermin pandang belakang digital ClearSight, pencahayaan ambien, pendingin hawa empat zon dan sistem penapis udara Cabin Air Purification Pro.
‘Nadi’ Range Rover Sport P400 adalah enjin 3.0-liter turbo mild-hybrid (MHEV) yang menghasilkan 400 PS dan 550 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.
SUV ini dibina menggunakan platform MLA-Flex yang dikatakan 35 peratus lebih tegar berbanding platform terdahulu. Ia dipadankan dengan sistem suspensi udara dinamik yang mempunyai fungsi Automatic Access Height.
Untuk sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, terdapat ciri-ciri seperti Emergency Braking, 3D Surround Camera, Wade Sensing, ClearSight Ground View, Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Driver Condition Response, Lane Keep Assist dan Traffic Sign Recognition.
Harga jualan Range Rover Sport bermula dari RM1,698,000 termasuk cukai dan duti.
CHERY meneruskan lagi langkah seterusnya dalam usaha mereka kembali ke pasaran Malaysia. Anda rasa tidak yakin? Maka ketahuilah bahawa mereka akan membawakan empat lagi model baharu ke pasaran Malaysia bermula tahun depan.
Tahun ini sahaja mereka telah melancarkan Chery Tiggo 8 Pro dan Omoda 5, malah kedua-dua model itu telah dipasang secara tempatan (CKD) di kilang mereka di Kulim, Kedah.
Jadi apakah model baharu seterusnya?
Chery Omoda 5 EV
Yang pertama ialah Chery Omoda 5 EV. Model ini sudah tentunya berdasarkan Omoda 5, tetapi merupakan versi elektrik sepenuhnya (EV) dan dijangka dilancarkan pada April depan.
Ia dibekalkan dengan bateri 61kWh yang mampu menghasilkan 221hp (165kW). Omoda 5 EV mampu memecut ke 100 dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa ia mempunyai kecekapan 15kWh per 100km.
Jarak pemanduan maksima ialah sehingga 450km, dan jika dicas menggunakan DC, 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit.
Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.
Chery Omoda 9
Seterusnya model baharu sepenuhnya. Di China, ini ialah Exeed RX tetapi untuk pasaran eksport, ia akan dikenali sebagai Chery Omoda 9.
Untuk yang belum tahu, Exeed ialah salah satu sub-jenama di bawah Chery dan menawarkan rangkaian model-model lebih premium.
Ia merupakan SUV segmen-C yang dibangunkan pada pelantar M3X Chery. Ukurannya adalah 4,775mm panjang, 1,920mm lebar, 1,671mm tinggi, dan jarak roda 2,800mm. Jujurnya, kami lihat dengan lebih dekat Omoda 9 ini di China, ia nampak lebih besar hampir seperti Toyota Harrier.
Chery Omoda 9 akan dikuasakan enjin 2.0-liter petrol dengan output 245hp dan 385Nm, disalurkan ke roda depan melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Ia mampu mencapai kelajuan maksima 200km/j.
Ciri lain termasuklah lapan beg udara, Autonomous Emergency Braking, paparan instrumen digital, skrin infotainmen 12.3-inci, sistem audio Sony, tempat duduk berkuasa, dan bumbung panoramik
Chery Jaecoo 7
Model ketiga ialah Jaecoo 7, satu lagi sub-jenama di bawah Chery. Rangkaian model-model Jaecoo tampil dengan rekaan lebih kemas dan bersegi, seperti Range Rover pula kami lihat.
Jaecoo 7 ialah model lima tempat duduk, dengan panjang 4,500mm. Di bawah hud depan yang besar terdapat enjin 1.6-liter turbo dengan 183hp dan 275Nm tork. Sama seperti Omoda 9, enjin ini dipadankan dengan dwi-klac 7-kelajuan, dan kuasa dihantar ke roda depan.
Jaecoo 7 mempunyai gaya pixelated dengan lampu LED petak yang kemas. Ruang dalaman juga cukup premium dengan skrin infotainmen menegak 14.8-inci, bumbung panoramik, sistem audio Sony, dan fungsi ADAS Level 2.5+.
Chery Jaecoo 8
Akhir sekali ialah Chery Jaecoo 8, sebuah SUV yang lebih besar dari Omoda 9. Ia mempunyai penggayaan bersegi dan tegap seperti Jaecoo 7, tetapi saiznya lebih panjang iaitu 4,815mm, dan lebar 1,924mm.
Ia boleh dikonfigurasi dengan dua atau tiga baris tempat duduk. Ciri luaran termasuklah gril besar, pemegang pintu boleh-disimpan, sistem audio 14 pembesar suara, dan paparan infotainmen 12.3-inci.
Jaecoo 8 mendapat enjin 2.0-liter turbo yang menjana 245hp dan 385Nm tork. Ia masih model FWD, menggunakan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Ia mampu mencapai kelajuan maksima 200km/j.
Ciri lain termasuklah 10 beg udara, Autonomous Emergency Braking, bumbung panoramik, dan tempat duduk berkuasa.
Bila nak lancar?
Seperti disebut, Chery Omoda 5 EV akan menerpa pasaran kita dahulu pada tahun depan, diikuti Jaecoo 7 dan 8. Tetapi Omoda 9 hanya akan tiba seawal 2025.
Belum ada harga, kami akan laporkan sebaik sahaja kami dapat info. Tetapi setakat ini, apa kata anda? Menarik penawaran model-model Chery?
BMW X1 generasi baharu U11 kini dilancarkan di Malaysia, ditawarkan dalam satu varian petrol sDrive20i xLine, dengan harga RM238,900 atas jalan tanpa insurans.
Ini juga termasuk dengan jaminan dua-tahun, tetapi anda ada pilihan jaminan dan pakej servis tambahan lima-tahun, pada harga RM259,800.
Pertamanya untuk dimensi, BMW X1 ini lebih besar secara keseluruhan berbanding model sebelumnya. Ia 53mm lebih panajng, 24mm lebih lebar, 44mm lebih tinggi, dan jarak roda bertambah 22mm.
X1 dipacu enjin petrol 2.0-liter 4-silinder turbo yang menghasilkan 204hp dan 300Nm tork, dan ia digandingkan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan Steptronic. Ini membolehkan ia memecut ke 100km/j dalam 7.6 saat, dengan kelajuan maksima 236km/j.
Dari segi penampilan, pakej xLine memberikan bampar lebih rugged berbanding M Sport yang biasanya sporti. Ia juga dilengkapi dengan gril kidney dihiasi Pearl Chrome serta kemasan luaran satin aluminium.
Ciri lain termasuklah lampu LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi, rim aloi 19-inci Style 867, kluster instrument 10.25-inci, skrin infotainmen 10.7-inci, tempat duduk berkuasa, sistem penghawa dingin dwi-zon, paddle-shifters, dan My Modes.
BMW X1 juga mendapat BMW Operating System 8 dengan sambungan Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar, serta servis ConnectedDrive. Teknologi lain pula terdiri dari pad pengecas tanpa-wayar, dan Comfort Access dengan Digital Key.
BMW X1 2023 boleh didapat dengan lima warna, iaitu Black Sapphire, Alpine White, Cape York Green, Phytonic Blue dan Space Silver. Semua warn aini dipadankan dengan balutan kulit sintetik Sensatec.
SMART Malaysia hari ini mendedahkan smart #1 Brabus di pameran International Electric Mobility Showcase (IEMS) 2023, sekaligus menjadikan ianya penampilan sulung EV prestasi tinggi itu di Asia Tenggara (ASEAN).
Kami sebelum ini telah melaporkan mengenai smart #1 dan #1 Premium beberapa bulan lepas, tetapi perincian model varian Brabus agak terhad pada masa itu. Kini, mari kita lihatkan dengan lebih lanjut.
Di bahagian luar, smart #1 Brabus mendapat kelengkapan yang sama dengan varian Premium. Ini termasuklah lampu LED matriks CyberSparks, dan beberapa bahagian yang menyala seperti di gril depan, pemegang pintu dan logo di tiang-C.
Varian ini juga mendapat bumbung panoramik, rel bumbung, dan pintu but berkuasa. Paling ketara sudah tentu kemasan merah yang dapat dilihat pada bahagian bumbung, perumah cermin sisi, pemegang pintu, rim, angkup brek, dan gril. #1 Brabus juga mendapat tulisan emblem berwarna hitam.
smart #1 Brabus bukan sahaja nampak sporti, ia memang membawakan prestasi agak tinggi. Ia mendapat dua motor elektrik menjadikannya sebuah AWD, dan kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh.
Output maksima adalah 422hp dan 543Nm tork, dan ini membolehkan smart #1 Brabus memecut ke 100km/j dalam masa 3.9 saat. Kelajuan maksima ialah 180km/j dan jarak maksima ialah 400km setiap cas.
Menggunakan pengecasan AC dan kadar 22kW, Brabus ini boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam tiga jam. Tetapi dengan DC 150kW, cas yang sama boleh dilakukan kurang 29 minit.
Di bahagian dalam, ia serupa dengan smart #1 biasa, tetapi terdapat banyak kemasan merah, dan kelengkapan khas Brabus seperti roda stereng dan tempat duduk sports.
Ia masih juga mendapat paparan instrumen digital 9.2-inci, paparan infotainmen 12.8-inci, sistem audio Beats, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto.
Harga bagi smart #1 Brabus ini dianggarkan antara RM200,000 hingga RM250,000 atas jalan tanpa insurans. Jika anda berminat, tempahan boleh dibuat melalui aplikasi smart Hello, dengan bayaran RM1,000 yang boleh dipulangkan semula.
501 pelanggan pertama yang membuat pra-tempahan akan diberikan kredit mengecas sebanyak RM1,001.
Apa pendapat anda dengan smart #1 Brabus, menarik setakat ini? Atau baik beli….?
SIME Darby Hyundai Integrated Sdn Bhd (SDHI) baru-baru ini telah menandatangani persijilan produksi massa (Certificate of Mass Production) dengan Inokom Corporation Sdn Bhd bagi memulakan pemasangan tempatan Hyundai Santa Fe versi facelift.
Tidak banyak perincian yang didedahkan buat masa ini, namun menurut Hyundai Sime Darby Motors (HSDM), kerjasama terbaru ini adalah bukti komitmen bersama untuk memperkukuhkan ekosistem automotif tempatan.
Diperkenalkan di peringkat global pada Jun 2020, Santa Fe generasi keempat versi facelift bukan sahaja membawakan reka bentuk yang lebih segar tetapi juga platform Integrated Architecture baharu yang menjanjikan peningkatan prestasi dan keselamatan.
Untuk versi facelift ini, lampu kabus pada bahagian bawah bampar dibuang, manakala lampu utama direka semula dan diintegrasikan dengan gril yang lebih lebar. Melengkapkan imej baharu SUV ini adalah lampu nyalaan siang berbentuk T.
Sementara itu, bahagian dalaman pula menampilkan konsol tengah yang mencondong serta butang memilih gear sebagai pengganti tuil gear konvensional. Turut disertakan adalah skrin sentuh 10.25 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci.
Semasa dilancarkan di Malaysia pada May 2019, Santa Fe boleh didapati dengan enjin petrol 2.4-liter empat silinder dengan 172 PS dan 225 Nm, atau turbodiesel 2.2-liter dengan 193 PS dan 440 Nm.
Enjin petrol tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan, manakala versi diesel pula mendapat transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda HTRAC.
Versi facelift yang akan datang ini dijangka akan ditawarkan dengan pilihan enjin yang sama.
BAGI anda yang berumur 30 tahun ke atas sama macam penulis, pasti ingat jenama Chery yang pernah berada di pasaran Malaysia kira-kira 15 hingga 20 tahun lepas. Beberapa produk ditawarkan, paling popular rasanya Chery Eastar, sebuah MPV tujuh tempat duduk.
Gambar oleh: Wikipedia
Pada masa itu, mereka yang membeli jenama Chery mahukan nilai untuk wang, harga menarik untuk pakej ditawarkan. Ada juga yang tidak yakin dengan jenama China kerana persepsi dan stereotaip. Namun setelah lama menghilang, Chery kembali lagi dengan rombakan 360 darjah.
Jenama ini kembali dengan semangat baharu, produk serba moden, malah membuat beberapa pengumuman lantang sebelum kehadirannya.
Sekarang kami ada satu produk yang telah kami uji, perkenalkan Chery Omoda 5. Memandangkan ada nombor 5 pada namanya, kami akan kongsikan lima benda yang paling kami suka dan tidak suka pada SUV baharu ini.
Sebelum itu sebagai mukadimah, perkara yang anda perlu tahu ialah Chery Omoda 5 merupakan SUV segmen-B yang menjadi pesaing kepada Proton X50, Toyota Corolla Cross, dan Honda HR-V. Ia ditawarkan dengan dua varian, pada harga RM108,800 dan RM118,800.
5 benda kami suka
1. Reka bentuk bergaya dan futuristik
Yang pertama ialah penampilan dan reka bentuk Chery Omoda 5 ini yang penulis rasa cukup bergaya. Gril depan besar yang begitu berbeza dari model kebiasaan pasti menarik minat orang yang memandangnya.
Malah bila penulis berhenti di lampu isyarat sebelah kereta sedan premium Jerman yang terkini, orang lebih memandang Chery Omoda 5, lebih tepat ke arah gril dan logo depan. Agaknya dia berkata dalam hati, “Kereta ape ke benda pula ni?”, begitulah penulis syok sendiri.
Tetapi penulis sendiri pun bila kali pertama melihat Omoda 5 semasa pratonton oleh Chery tahun lepas, penulis sangkakan ia sebuah EV. Rupa-rupanya guna enjin petrol 1.5-liter turbo.
2. Banyak ciri fancy
Mungkin salah satu cara untuk menarik minat pembeli ialah dengan memberikan banyak ciri, termasuk ciri-ciri fancy.
Sebagai contoh, kameranya sangat cantik dengan resolusi tinggi, boleh mengalahkan jenama premium. Paparan cukup tajam dan jelas, serta ada banyak mod pandangan. Ia sangat berguna untuk mengemudi kereta di tempat sempit, malah paparan sewaktu malam juga masih jelas.
Seterusnya ada lampu ambien, ya ini biasa, banyak kereta yang ada. Tetapi lampu ambien pada Chery Omoda 5 ini siap boleh ikut rentak muzik yang anda mainkan. Seronok betul penulis tengok gerakan lampu semasa memainkan lagi Makeba oleh Jain.
Dan satu lagi yang menarik ialah lampu depan dan belakangnya ada corak dan grafik bergerak semasa kita kunci dan membuka kunci kereta. Cukup menarik untuk kereta pada harga ini.
3. Papan pemuka moden dan minimalis
Bila masuk saja ke dalam, wah, langsung tak macam kereta RM110k. Tapi macam kereta RM250k! Skrin besar berkembar yang panjang melintang macam kereta Jerman, konsol tengah tinggi dengan butang dan paparan kemas, fuh. Memang lain auranya.
Terdapat juga pad pengecas tanpa-wayar di tengah dengan alas fabrik, tombol gear elektronik, serius memang agak impresif untuk paras harga ini. Segala kawalan juga tersusun kemas dan mudah untuk dikenal pasti.
4. Kawalan badan mantap
Sebuah SUV biasanya tidak mementingkan pengendalian, tetapi Chery Omoda 5 ini masih cemerlang untuk aspek ini. Kawalan badannya mantap dalam kebanyakan keadaan, sama ada semasa meluncur di lebuh raya beralun, mengambil selekoh, atau melalui jalan bandar berlubang yang ‘cantik’ di negara kita.
Semasa selekoh laju dengan jalan beralun, respon stereng dan pergerakan suspensi membuatkan kereta stabil, sekaligus tidak menjejaskan keyakinan kita. Dalam erti kata lain, juga lebih selamat.
5. Super senyap!
Akhir sekali, perkara kelima yang penulis suka mengenai Omoda 5 ini ialah kesenyapannya. Semasa memandu, tiada langsung bunyi angin walaupun pada kelajuan 140km/j. Bunyi tayar juga hampir tiada, hanya ada sedikit bunyi enjin jika meluncur di kelajuan ini.
Ini kerana Chery Omoda 5 dilengkapi dengan cermin depan dan sisi dwi-lapisan! Satu lagi ciri impresif pada harga sebegini. Patutlah senyap.
Semasa penulis bawa kawan menaiki Omoda 5 ini juga, dia menyangka ini sebuah EV kerana terlalu senyap bila duduk idling. Selepas penulis memberitahu ini kereta dengan enjin turbo biasa, dia masih sukar mempercayainya.
5 benda kami tak suka
1. Susah tengok luar
Sekarang kita ke perkara-perkara yang penulis tak suka berkenaan Chery Omoda 5, dan perkara pertama ialah susah untuk tengok luar. Ini penulis rasa disebabkan rekaan luarnya yang dramatik dan menggunakan sudut dan garisan yang berani.
Di depan dan sisi tiada masalah sangat, tetapi di belakang dan penjuru bucu sangat susah, mujurlah kamera 360-darjah pada Omoda 5 ini sangat membantu. Cuma rasanya kereta ini tidak boleh hidup tanpa kameranya.
Tetapi inilah pengorbanan bila rekaan cantik! Banyak juga kereta lain yang mempunyai rupa cantik dan susah untuk tengok ke luar.
2. Butang stereng kurang memuaskan
Seterusnya, kita lihat roda sterengnya seperti biasa, terdapat butang dan tombol kawalan untuk pelbagai fungsi. Isunya ialah, butang dan tombol ini terasa seperti kurang memuaskan untuk digunakan.
Ya, ia perkara kecil dan tidak kritikal, tetapi kita memandu akan selalu guna butang kawalan di stereng. Bila ditolak atau ditekan, ia sedikit keras dan berbunyi kuat, semestinya suatu yang boleh ditambah baik oleh Chery di masa depan.
3. Panel hitam cepat kotor
Sebenarnya susah untuk cari benda yang tak disukai mengenai Chery Omoda 5 ini, tetapi seterusnya penulis rasa bab panel hitam yang boleh menunjukkan lampu ambien dengan rentak lagu tadi.
Panel sebegini menjadi kebiasaan juga untuk banyak kereta sekarang, dan untuk Omoda 5, sama juga, masalahnya ialah ia senang melekat habuk dan minyak. Baru sahaja basuh kereta, sentuh sedikit di sini, dah nampak cap jari.
Bukan saja-saja sentuh, tapi kerana panel hitam ini juga menempatkan panel sentuhan untuk kawalan pendingin hawa. Hmm… lagi pengorbanan untuk nampak cantik dan futuristik.
4. Rim dan tayar nampak tak seimbang dengan rekaan badan
Ini aspek subjektif, tapi pada mata penulis, saiz tayar dan rim tidak begitu kena sepadan dengan reka bentuk badan. Ia hanya nampak pada sesetengah sudut sahaja, seperti dari bucu depan dan dari sisi.
Mungkin jika tayar dilebarkan sedikit lebih baik untuk visual, penulis bukanlah pakar dalam bidang ini. Tapi dari maklum balas sebegini, ia sesuatu yang Chery boleh ambil kira.
5. CVT yang sedikit gelabah
Akhir sekali dan paling utama, penulis tidak berapa suka dengan CVT Omoda 5 ini yang sedikit gelabah. Gelabah macam mana? Jenis yang kita tekan sedikit sahaja untuk tambah kelajuan, tetapi rpm dia naik mendadak seolah-olah kita mahu memecut dengan pedal rapat ke lantai.
Dalam sesetengah situasi, ini menjadikan pemanduan tidak begitu tenteram. Penumpang boleh cemas, “Eh eh kenapa ni?”. Banyak CVT lain di luar sana yang mempunyai talaan lebih baik dan steady, serta memberikan feel pemanduan lebih semulajadi dan memuaskan.
Kesimpulan
Sebagai penutup, Chery Omoda 5 ini tidak sempurna, tetapi ia mempunyai beberapa ciri “wow” dan mampu menggugat nama-nama yang sudah lama dan selesa dalam segmen ini. Malah adik ipar penulis sendiri ada bertanyakan mengenai Chery Omoda 5, nampak yang dia begitu berminat.
Omoda 5 juga membuatkan penulis tidak sabar untuk melihat model-model akan datang yang bakal dibawa masuk oleh Chery ke pasaran kita. Jemput tonton video di bawah untuk penerangan lebih lanjut mengenai ulasan pandu uji kami.
YangWang, sub-jenama mewah yang bernaung di bawah BYD, telah memperkenalkan penawaran terbaru mereka untuk pasaran China iaitu U8 Premium Edition. Harga jualannya dilaporkan bermula dari 1,089,000 yuan (RM699,270).
Secara asasnya, ia merupakan sebuah SUV off-road bernadikan sistem hibrid plug-in yang menggabungkan enjin 2.0-liter empat silinder turbo dan empat buah motor elektrik.
Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 1,200 PS, memberikan ia prestasi pecutan yang setanding supercar iaitu 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 200 km/j.
Sistem hibrid tersebut dilengkapi dengan bateri Blade BYD berkapasiti 49 kWj yang membolehkan U8 Premium Edition bergerak menggunakan kuasa elektrik sejauh 180 km.
Bateri tersebut diintegrasikan ke casis menggunakan teknologi Cell-to-Chassis (CTC) dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 110 kW. Ini bermakna ia boleh melakukan pengecasan 30 hingga 80 peratus dalam 18 minit sahaja.
Bateri itu juga menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 6 kW yang boleh mengecas pelbagai perkakasan elektrik sehingga 25 jam. Turut disertakan adalah port 220V pada bahagian dalam.
Apa yang mengagumkan, kawalan pemvektoran tork pada keempat-empat roda U8 Premium Edition membolehkan ia melakukan pusingan kereta kebal (tank turn), selain memberikan sistem penstabilan kenderaan yang berfungsi untuk memastikan ia terus boleh dipandu walaupun salah satu tayarnya pecah.
Bukan itu sahaja, SUV ini juga boleh terapung selama 30 minit serta bergerak pada kelajuan kira-kira 3 km/j semasa berada di atas air. Fungsi ini direka khusus untuk pemanduan off-road atau situasi kecemasan seperti banjir.
U8 Premium Edition dilengkapi dengan teknologi casis DiSus-P Intelligent Hydraulic Body Control System yang memastikan kawalan peredam secara berterusan dan pelarasan ketegaran peredam mengikut kondisi pemanduan atau jalan.
Sistem ini boleh menambah ketinggian suspensi sehingga 150 mm, sekali gus membolehkan kenderaan itu meredah air sedalam 100 cm.
Masuk ke dalam, segenap inci ruang kabin dihiasi dengan upholsteri kulit Nappa dan trim kayu Sapele dari Africa. Antara kelengkapan yang tersedia adalah skrin OLED 12.8 inci pada bahagian tengah dan dua skrin 23.6 inci, satu untuk pemandu dan satu lagi untuk penumpang hadapan.
Tidak cukup dengan itu, penumpang belakang juga boleh mengakses sistem infohibur menerusi skrin masing-masing.
Ciri-ciri lain yang disertakan paparan head-up realiti terimbuh (AR) berukuran 70 inci, sistem audio dengan 22 pembesar saura, sistem kawalan suara pintar, tiga pengecas wayarles yang menyokong pengecasan pantas 50 kW serta peti sejuk.
Untuk keselamatan pula, terdapat sistem ADAS yang merangkumi 38 sensor, termasuk tiga sensor LiDAR, lima radar gelombang, 14 sensor ultrasonik dan 16 camera.
Digabungkan dengan dua unit pemproses NVIDIA Drive Orin, model ini mempunyai Highway Driving Assist, City Navigation Pilot dan Automated Vilot Parking. Perisian ini boleh kemaskini secara atas udara (OTA).
WALAUPUN berdepan pelbagai cabaran, Proton tetap meneruskan rancangannya untuk meluaskan jangkauannya di luar sempadan Malaysia.
Ini kerana pertumbuhan jualan eksport di pasaran antarabangsa merupakan salah satu tonggak utama bagi matlamat jangka panjang pengeluar kereta nasional itu.
Justeru itu, bulan Ogos menyaksikan Proton melancarkan SUV terbarunya iaitu X90 di tiga pasaran eksport.
Mauritius merupakan pasaran eksport pertama yang menerima X90, apabila model itu itu telah diperkenalkan pada 4 Ogos di Le Salon de L’ Automobile, SVICC, Pailles.
Ia diikuti dengan pasaran Afrika Selatan ketika Proton Afrika Selatan mempamerkan X90 di Festival Permotoran di Litar Grand Prix Kyalami dari 25 hingga 27 Ogos.
Pada hari yang sama, Proton Brunei melancarkan X90 di majlis pelancaran besar-besaran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan Tan Kah Boon, Pengerusi Pad dan Econ Motors.
Menurut Proton, populariti model keluarannya telah melonjak di Brunei dengan pencapaian tertinggi dalam sejarah. Kumpulan pertama unit X90 telah dijual dengan pantas dan model lain turut diminati pembeli dalam pasaran dengan anggaran Jumlah Volume Industri (TIV) tahunan sebanyak 13,000 unit.
Bagi Ogos, jualan kenderaan Proton mencecah paras tiga angka buat kali pertama apabila 100 unit didaftarkan.
“Tahun 2023 mencabar perniagaan eksport Proton kerana kebanyakan pasaran eksport kami mengalami cabaran ekonomi yang mengakibatkan kawalan ketat pasaran modal. Walau bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain diteruskan dengan kerja-kerja asas sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago, dan Iraq,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa, Proton.
Mengenai prestasi jualan untuk pasaran eksport bagi tahun 2022, Proton berkata volum berkembang pesat (5,406 unit), menandakan peningkatan sebanyak 79 peratus berbanding tahun sebelumnya.
JAGUAR Land Rover Malaysia telah mengumumkan pelancaran Range Rover Velar L560 versi facelift ke pasaran tempatan.
Ia boleh didapati dalam tiga versi iaitu P250 Dynamic SE (M dan H Spec) dan P250 Dynamic HSE (L Spec), pada harga bermula daripada RM638,800.
Dari segi penampilan, model ini boleh dibezakan dengan yang terdahulu menerusi rekaan baharu pada lampu hadapan, lampu belakang dan gril radiator.
Versi L Spec dilengkapi dengan lampu hadapan Pixel LED yang nipis dengan lampu nyalaan siang berbentuk permata, serta lampu LED 3D pada bahagian belakang.
Untuk model facelift, Velar boleh didapati dalam dua warna luaran iaitu Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey.
Untuk rim, H Spec dan L Spec dilengkapi dengan rim Style 1075 berukuran 22 inci dalam warna kelabu gelap berkilat manakala M Spec mendapat rim 20 inci Style 1089 berwarna hitam berkilat.
Di dalam, terdapat sistem infohibur Pivo Pro yang boleh diakses menerusi skrin sentuh melengkung berukuran 11.4 inci. Sistem ini menawarkan antara muka baharu, sistem pengecaman suara AI dan kemas kini perisian melalui udara.
Selain itu, SUV mewah ini juga didatangkan dengan sistem pembatalan bunyi jalan raya aktif yang berfungsi dengan pembesar suara Meridian bagi menjadikan kabin lebih senyap, sekali gus membantu mengurangkan tahap keletihan semasa memandu.
Turut disertakan adalah Technology Pack yang merangkumi paparan head-up, kamera 3D, Park Assist dan Wade Sensing yang berfungsi ketika meredah air.
Sebagai tambahan, L Spec didatangkan dengan sistem pembersihan udara kabin dan sistem pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna.
H Spec dan L Spec dilengkapi dengan sistem Adaptive Dynamics dengan suspensi udara elektronik yang memastikan kekerasan suspensi dioptimumkan mengikut keadaan pemanduan. Sistem ini juga menyediakan kalibrasi khusus untuk pemanduan off-road.
KETIBAAN Honda WR-V ke pasaran Malaysia pada Julai lalu bukan sahaja sebagai pengganti BR-V tetapi juga sebagai model pertama Honda yang akan menggegarkan segmen SUV kompak.
Pesaing utamanya tidak lain tidak bukan tentulah Perodua Ativa yang terus-menerus mendapat sambutan hangat sejak ia dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2021.
Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dengan harga bermula dari RM62,500 hingga RM73,400, Ativa dilihat sebagai pilihan yang ‘mesra poket’ terutamanya untuk mereka yang ingin beralih ke segmen SUV.
Kehadiran WR-V dijangka akan memberi saingan sengit kepada Ativa namun dengan julat harga yang jauh lebih tinggi iaitu RM89,900 hingga RM107,900, penulis merasakan yang impaknya mungkin tidak sehebat SUV keluaran Perodua itu.
Ini kerana, selain agak mahal, pelanggan sebenarnya boleh memilih untuk mendapatkan kereta yang lebih besar seperti Honda City atau Proton X50 dengan bajet yang sama.
Bagaimanapun, sangkaan penulis mengenai penerimaan WR-V salah sama sekali apabila Honda Malaysia mendedahkan bahawa mereka telah menerima hampir 7,300 tempahan untuk model itu setakat awal September 2023.
Daripada jumlah tersebut, hampir 3,300 unit telah diserahkan kepada pelanggan dan daripada jumlah itu, 62 peratus daripadanya merangkumi varian RS. Ya, walaupun harganya agak tinggi, WR-V tetap laris. Kenapa agaknya?
Semasa sesi uji media yang diadakan di Langkawi baru-baru ini, penulis berpeluang mencungkil beberapa ‘rahsia’ WR-V dan merasai sendiri kelebihan yang dimiliki oleh model itu.
Pertama sekali, reka bentuk. Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang ada segelintir pembeli kenderaan di negara ini yang meletakkan rupa sebagai faktor utama.
Oleh itu jika ada pemilik WR-V yang mengatakan dia membeli kereta ini sebab rupanya semata-mata, penulis tidak akan berasa hairan.
Ini kerana WR-V memang sebuah SUV yang menarik – badannya kecil molek tetapi ia mempunyai wajah yang garang dengan lampu yang tajam, gril yang lebar dan bukaan bampar yang luas.
Dari sisi, garisan karakter yang ‘ditarik’ dari hadapan hingga ke belakang, bumbung yang tidak terlalu tinggi, sert.a rim dua tona berukuran 17 inci (varian RS sahaja) memberikan WR-V imej sporty yang digemari golongan muda
Penulis paling suka melihat SUV ini dari sudut belakang kerana fender yang lebar membuatkan ia kelihatan tegap terutamanya ketika menyusur di jalan raya.
Bagaimanapun, rasa teruja tadi mula berkurangan sebaik sahaja melihat rekaan ruang kabinnya yang tidak semewah model-model keluaran Honda yang lain.
Penggunaan plastik keras pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintu, serta kewujudan tuil brek parkir membuatkan model ini rasa dan nampak murah.
Namun begitu, kehadiran upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka sebelah penumpang dan perehat tangan, stereng multifungsi dengan balutan kulit serta trim hitam berkilat dilihat menaikkan seri kabin WR-V.
Tidak cukup dengan itu, varian RS yang penulis pandu uji ini nampak lebih garang dengan jahitan kontras berwarna merah pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng.
Varian ini juga mempunyai jarum speedometer dan tachometer berwarna merah dan ‘welcome screen’ RS yang akan muncul pada panel TFT 4.2 inci pada kluster instrument setiap kali anda masuk ke dalam kereta.
Dari luar, memang WR-V nampak kecil namun ruang kabinnya tidak terasa sempit. Ruang kaki hadapan dan belakang agak luas untuk sebuah kereta kompak, manakala ruang kepala juga mencukupi walaupun garis bumbungnya kelihatan rendah.
Kusyen pada kerusi pemandu dan penumpang hadapan tidak dinafikan terasa agak pendek dan ini sedikit sebanyak menjejaskan sokongan peha, terutamanya untuk mereka yang tinggi lampai.
Berbeza pula dengan kerusi belakang – kusyennya lebih panjang, lebar dan selesa dan penyandarnya juga tidak terlalu condong. Walaupun tidak mempunyai fungsi ULTRA seperti City Hatchback, ia boleh dilipat secara 60:40.
Dengan kapasiti mencecah 380 liter, ruang but WR-V agak luas dan boleh memuatkan sekurang-kurangnya empat bagasi bersaiz sederhana tanpa sebarang masalah. Menariknya, ketiadaan penutup tonneau membolehkan penumpang belakang mengambil barang dari ruang but dengan lebih mudah.
Dari segi prestasi, ketiadaan pengecas turbo bukanlah satu kelemahan untuk WR-V. Enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC empat silinder yang dibekalkan sudah ternyata cukup untuk SUV kompak ini namun gaya pemanduan haruslah bersesuaian.
Maksud penulis, jika pedal ditekan dengan agresif sudah tentu enjin dan CVT akan ‘mengaum’ namun pecutannya tidaklah begitu dirasakan sehinggalah jarum tachometer mencecah takat 4,000 rpm.
Sebaliknya, jika dipedal ditekan dalam gaya yang lebih progresif, gabungan trenkuasa itu akan memberikan prestasi pecutan yang lebih cepat dan lancar, sekali gus menjadikan pengalaman pemanduan lebih seronok.
Langkawi bukanlah lokasi yang paling sesuai untuk memandu uji kereta pada kelajuan tinggi namun penulis sempat mencecah kelajuan 110 km/j beberapa kali. Pada kelajuan itu, WR-V masih terasa stabil namun bunyi dari tayar dan angin mula meresap ke dalam kabin.
Bagaimanapun, pulau peranginan itu mempunyai banyak jalan kampung dan jalan lama yang bersimpang siur dan beralun, jadi ia cukup sesuai untuk ujian pengendalian.
Untuk mereka yang sekali-sekala gemar ‘melayan’ selekoh, WR-V tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian namun jika terlalu dipaksa, olengan badan akan mula terasa.
Harus diingat yang ia bukanlah kereta sport sebenar dan dengan jarak lega tanah 220 mm, SUV ini sebenarnya agak tinggi. Stereng responsif namun sedikit ringan – bagus untuk pemanduan di dalam bandar tetapi kurang meyakinkan untuk pemanduan agresif.
Penulis diberitahu bahawa varian RS mempunyai talaan yang berbeza untuk penyerap hentak, CVT dan stereng kerana tidak seperti varian S, E dan V yang menggunakan rim 16 inci, varian ini dilengkapi dengan rim 17 inci.
Menurut ketua projek WR-V yang berasal dari Thailand, talaan spesifik ini perlu bagi mendapatkan tahap keselesaan yang sama dengan varian-varian lain. Tidak pasti jika tahap keselesaan sistem suspensi WR-V RS sama dengan varian-varian lain namun ia terbukti boleh menyerap hentakan dengan begitu baik.
Setelah hampir dua hari memandu WR-V, penulis akhirnya faham bagaimana SUV kompak ini boleh mendapat sambutan yang begitu menggalakkan walaupun dijual pada harga yang agak tinggi.
Ia mempunyai semua ciri yang dicari oleh pembeli dalam segmen ini yang rata-ratanya adalah golongan muda. Ini termasuk reka bentuk luaran yang tampan dan ruang kabin yang praktikal, walaupun secara jujurnya kelihatan agak outdated.
Tahap kelengkapannya juga tidak mengecewakan, dengan ciri-ciri penting seperti skrin sentuh bersama Apple CarPlay/Android Auto dan Honda LaneWatch disertakan secara standard pada semua varian. Honda Sensing pula tersedia dari varian E dan ke atas.
Selain itu, WR-V juga mampu memberikan pemanduan yang agak mengujakan, hasil daripada proses R&D dan ujian yang ekstensif.
Akhir sekali, penulis merasakan yang lambang ‘H’ kegilaan ramai itu turut menjadi faktor yang mempengaruhi proses membuat keputusan di kalangan pembeli model ini.
TIGUAN merupakan antara model keluaran Volkswagen yang paling popular dengan jualan peringkat global mencecah 7.6 juta unit sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 2007.
Kini, SUV itu telah pun memasuki generasi ketiga dengan reka bentuk yang lebih segar, ukuran yang lebih panjang dan sudah tentunya pelbagai teknologi serta kelengkapan baharu. Model ini akan memasuki pasaran seawal tahun 2024.
Menurut Volkswagen, ukuran panjang Tiguan telah bertambah sebanyak 3 cm, manakala ukuran tinggi, lebar dan jarak roda sama seperti model sebelum ini. Walaupun perubahan saiz luaran tidak begitu ketara, kapasiti ruang but model ini membesar 37 liter kepada 652 liter.
Seperti yang boleh dilihat, penampilan luaran Tiguan kini lebih ‘lembut’ jika dibandingkan dengan model terdahulu. Lampu LED-nya mempunyai bentuk yang lebih rata, manakala bukaan radiator kini terletak pada sudut kiri dan kanan bampar untuk pengaliran udara yang optimum.
Rekaan baharu ini secara tidak langsung menjadikan Tiguan lebih aerodinamik, di mana kadar pekali seretannya menurun dari 0.33 kepada 0.28. Bahagian belakang pula tampak lebih lebar dengan lampu LED melintang yang dikontraskan dengan panel berwarna hitam.
Ruang dalaman SUV ini menampilkan susun atur panel instrumen digital yang lebih kemas dan pintar. Kelengkapan yang tersedia termasuk Digital Cockpit berasaskan MIB4, skrin sentuh 15 inci dengan struktur menu dan grafik baharu, serta paparan head-up display.
Selain itu, Tiguan juga didatangkan dengan tombol ‘pengalaman pemanduan’ multifungsi dengan skrin mini OLED pada konsol tengah. Ciri ini membolehkan pemandu memilih profil, mengawal multimedia dan juga mengubah warna pencahayaan ambien.
Sebagai alternatif, pemandu juga boleh mengakses pelbagai fungsi kenderaan dan sistem infohibur menerusi sistem bantuan suara IDA baharu. Satu lagi ciri baharu adalah tempat duduk ergoActive Plus yang mempunyai pelarasan lumbar pneumatic empat hala, fungsi urutan, serta pemanasan dan ventilasi automatik.
Dibina menggunakan platform MQB evo, Tiguan akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin turbodiesel (TDI), turbo petrol (TSI), turbo petrol mild hybrid (eTSI) dan hibrid plug-in (eHybrid). Perincian mengenai trenkuasa ini belum didedahkan namun Volkswagen berkata model-model hibrid mempunyai jarak pandu elektrik sejauh 100 km.
Bukan itu sahaja, semua versi eHybrid menyokong pengecasan AC yang lebih pantas, manakala pengecasan pantas DC juga akan tersedia secara standard buat pertama kalinya untuk Tiguan.
Volkswagen turut menaik taraf kawalan casis adaptif (DCC) dengan pilihan DCC Pro yang mempunyai penyerap hentak dua injap. Vehicle Dynamics Manager yang diperkenalkan menerusi Golf GTI turut disertakan pada model ini. Ia berfungsi untuk mengawal differential lock elektronik (XDS) dan DCC Pro.
Ciri-ciri lain yang disertakan, sama ada secara standard atau opsyen, termasuk lampu matrix IQ.Light HD, Side Assist, Front Assist (Autonomous Emergency Braking), Lane Assist, Rear View, Dynamic Road Sign Display, Park Assist Pro dan Trailer Assist.
UNTUK emisi sifar, BMW percaya ada beberapa cara lain lagi selain elektrik (EV), salah satunya adalah dengan tenaga hidrogen.
BMW iX5 Hydrogen merupakan sebuah platform untuk cara ini, dan baru-baru ini beberapa unit SUV itu telah selesai ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (EAB).
Walaupun berdepan dengan suhu sehingga 45-darjah Celsius serta mengharungi pasir, debu, dan pelbagai permukaan jalan, SUV hidrogen ini tetap cemerlang dan lulus.
Dari sistem bahan api sel, motor elektrik, hingga tangki hidrogen, segala perkakasan berfungsi dengan cara sepatutnya di samping pasukan pembangun terbang dari Munich untuk menjalankan analisis.
Timur Tengah bukan satu-satunya lokasi ujian BMW iX5, kerana terdapat sekumpulan prorotaip sedang diuji di Jepun, China, Korea Selatan, Eropah, dan Amerika Syarikat.
Sebenarnya, belum ada perancangan untuk menjual SUV ini, tetapi pihak atasan BMW ada menyebut untuk menawarkan model hidrogen sebelum penghujung dekad ini (2030).
Untuk spesifikasi, BMW iX5 Hydrogen mempunyai output keseluruhan sebanyak 401hp (295kW) dan menampilkan dua tangki CFRP yang mampu menampung kira-kira 6kg.
Ini memberikan iX5 Hydrogen jarak pemanduan sehingga 504km (menurut kitaran WLTP), iaitu serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman. Hanya tiga hingga lima minit masa diperlukan untuk mengisi tangki hidrogen, juga sama dengan mengisi petrol pada kereta biasa.
Walaupun menekankan bab kecekapan, BMW menyebut bahawa iX5 tidaklah perlahan juga. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang enam saat. Ia juga dilengkapi mod Sport yang akan mengeraskan suspensi dan memberikan kuasa penuh.
Peluang tipis untuk anda menjumpai iX5 ini di jalan raya kerana kurang dari 100 unit sahaja dihasilkan. Kesemuanya dikeluarkan di kilang Spartanburg iaitu di fasiliti pemasangan BMW X5 biasa tetapi perubahan teknikal lain dibuat di Munich.
PORTFOLIO jenama yang bernaung di bawah BYD kini semakin berkembang dengan kehadiran jenama baharu yang dikenali sebagai Fang Cheng Bao.
Jenama ini memfokuskan kepada SUV dan diposisikan antara Denza dan YangWang yang merupakan jenama flagship.
Produk pertama Fang Cheng Bao adalah Leopard 5, sebuah SUV off-road dengan nadi hibrid plug-in dengan elemen-elemen reka bentuk yang ‘dipinjam’ daripada beberapa model sedia ada seperti Ford Ranger, Toyota Land Cruiser dan Land Rover Defender.
Apa pun, Leopard 5 kelihata begitu rugged dengan rekaan fender yang bersegi, skid plate aluminium dan tayar simpanan pada bahagian belakang.
Bergantung kepada varian, ia didatangkan dengan rim 18 inci dengan tayar BFGoodrich A/T atau rim 20 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport.
Leopard 5 dibina menggunakan kerangka jenis ladder frame dan mempunyai ukuran panjang 4,890 mm, lebar 1,970 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 2,800 mm. Ini bermakna ia lebih kecil sedikit berbanding Land Cruiser Prado baharu.
Menurut laporan, ia mempunyai ruang dalaman yang canggih yang menawarkan konfigurasi lima tempat duduk, paparan head-up sebesar 50 inci, paparan berasingan untuk penumpang hadapan dan sistem audio premium keluaran Devialet.
Untuk trenkuasa, Leopard 5 menampilkan sistem hibrid plug-in DMO (Dual Mode Off-Road) yang merangkumi enjin petrol 1.5-liter dan dua buah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 680 PS dan 760 Nm.
Kuasa disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda canggih dengan tiga differential. Dengan bateri BYD Blade berkapasiti 30 kWj, ia menawarkan jarak pemanduan elektrik sejauh 125 km atau sehingga 1,200 km jika mengambil kira tangki bahan apinya yang sebesar 80 liter.
Untuk suspensi, model ini dilengkapi dengan teknologi casis Cloud-P yang diambil daripada YangWang U8. Ia menampilkan sistem suspensi hidraulik aktif dengan ketinggian boleh laras namun tanpa ciri prediktif seperti yang terdapat pada U8.
Fang Cheng Bao dilaporkan akan memulakan jualan di China dengan 100 pusat pengedar di 60 buah bandar. Jenama itu juga dijangka akan mengeksport model-model keluarannya ke pasaran luar negara.
Harga jualan dijangka bermula dari 400,000 yuan hingga 600,000 yuan (RM257,166 hingga RM385,749), menjadikannya lebih mahal berbanding kebanyakan model BYD namun jauh lebih murah berbanding model YangWang.
HONDA Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyerahkan sebanyak 2,200 unit Honda WR-V dalam tempoh sebulan selepas ia dilancarkan pada Julai lalu.
Pada masa yang sama, syarikat itu turut meraikan pelanggan pertama yang berjaya mendaftarkan SUV itu iaitu Nurain binti Mohamad dalam satu majlis penyerahan rasmi di Accord Auto Sdn Bhd di Ampang, Selangor.
Sebagai tanda penghargaan, Nurain turut menerima aksesori Honda, Ultra Glass Body Coating dan barangan rasmi bernilai RM5,000.
Hironobu Yoshimura, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia berkata, “Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan kami atas kepercayaan mereka terhadap jenama Honda dan sokongan untuk WR-V yang merupakan model serba baharu dalam segmen SUV kecil bukan nasional.”
Menurut beliau lagi, 60 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan WR-V setakat ini disumbangkan oleh varian RS. WR-V juga muncul sebagai model kedua terlaris dalam barisan Honda bagi bulan Julai 2023.
Selain RS, WR-V turut ditawarkan dalam tiga lagi varian iaitu S, E dan V. Sebagai varian tertinggi, WR-V RS tampil dengan gril unik dengan kemasan pin krom, rim aloi dwi tona berukuran 17 inci, lencana ‘RS’ pada gril dan tailgate, serta lampu automatik LED.
Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang sama, menghasilkan 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,300 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi jenis CVT yang ditugaskan untuk memacu roda hadapan.
MENURUT Mercedes-Benz Malaysia, GLC merupakan SUV paling laris buat jenama itu dengan lebih 12,000 unit terjual di negara ini sejak ia dilancarkan pada 2016.
Jika anda tinggal di Lembah Klang, setiap hari anda pasti akan ternampak kelibat GLC. Pendek kata, ke mana sahaja anda pergi, di situ pasti ada GLC. Tidak syak lagi SUV saiz pertengahan ini memang sangat popular dalam kalangan golongan kaya.
Selepas tujuh tahun, akhirnya model generasi kedua (X254) tiba ke pasaran tempatan. Buat masa ini, terdapat satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu GLC 300 4Matic AMG Line. Ia memang nampak lebih segak dan bergaya namun ada satu isu yang tidak boleh diendahkan: sebagai model CBU, harga jualannya bermula dari RM429,888.
Ini menunjukkan perbezaan antara RM70,000 hingga RM80,000 jika dibandingkan dengan GLC 300 generasi terdahulu dan BMW X3 xDrive30i M Sport. Walaupun dalam pasaran premium, perbezaan harga ini boleh dikatakan agak besar. Adakah keadaan ini akan memaksa pelanggan beralih ke jenama lain?
Masih terlalu awal untuk dikatakan namun dalam artikel pandu uji ini, saya akan kupaskan kelebihan-kelebihan GLC yang mungkin boleh membuatkan pelanggan berfikir dua kali sebelum mereka mengunjungi bilik pameran pesaing-pesaing terdekatnya.
Mari bermula dengan bahagian luaran terlebih dahulu. Ya, rekaan adalah subjektif tetapi rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan yang GLC nampak lebih bergaya dan mewah jika dibandingkan dengan BMW X3 dan Volvo XC60.
Pada bahagian hadapan, terdapat sepasang lampu yang agak tajam dan langsing. Ia dilengkapi dengan teknologi Digital Light yang mampu menghasilkan pancaran beresolusi tinggi mengikut kondisi pemanduan tanpa menjejaskan pengguna jalan raya yang lain.
Lampu tersebut tersebut bersambung dengan gril trapezoid yang dihiasi dengan bingkai hitam berkilat dan kemasan bermotifkan bintang berbucu tiga. Bampar AMG Line pula memberikan SUV ini ekspresi wajah yang sedikit garang.
Dari sisi, kegagahan GLC terserlah dengan overhang hadapan dan belakang yang pendek, serta rim berukuran 20 inci. Kemasan plastik hitam masih ada pada bahagian bampar dan skirting tetapi untuk gerbang roda, ia digantikan dengan cat mengikut warna badan.
Bahagian belakangnya nampak lebar dan sporty, dan seperti yang anda lihat pada gril, lampu belakang dihiasi dengan motif bintang berbucu tiga. Cuma sedikit mengecewakan kerana terdapat terlalu banyak krom pada bahagian bampar dan muncung ekzos pula adalah palsu.
Kita sedia maklum yang Mercedes-Benz memang juara dalam bab ruang dalaman. Dengan GLC, statusnya sebagai raja interior diperkukuhkan lagi dengan rekaan yang teratur, serta penggunaan material berkualiti tinggi di segenap sudut.
Seperti yang boleh dilihat, konsol tengah nampak kemas dan bersih. Ini kerana semua fungsi-fungsi berkaitan sistem infohibur dan pendingin hawa telah dimasukkan ke dalam skrin sentuh potret 11.9 inci. Anda mungkin tidak perasan namun skrin ini sebenarnya dihalakan sedikit ke arah pemandu untuk memudahkan penggunaan.
Tipikal bagi Mercedes-Benz, grafik dan warna sistem infohibur sangat tajam dan menyerlah, dan operasinya juga amat lancar. Apple CarPlay dan Android Auto boleh digunakan secara wayarles, begitu juga dengan pengecasan telefon. Sebagai alternatif, terdapat dua port pengecas USB Type C di dalam ruang simpanan konsol tengah.
Untuk kawalan sistem pendingin hawa, saya memang lebih suka menggunakan tombol fizikal namun dengan GLC, ia agak mudah kerana panel kawalan digital pada skrin sentuh tersebut agak besar dan jelas. Bukan itu sahaja, ia akan sentiasa terpapar walaupun skrin dipadamkan.
Satu lagi fungsi yang agak berguna adalah Traffic Light View. Setiap kali anda berhenti di persimpangan lampu isyarat, suapan dari kamera hadapan akan dipaparkan pada skrin untuk membolehkan anda memerhatikan keadaan trafik dan membantu anda untuk sedia bergerak sekiranya lampu bertukar hijau.
Sudah tentu, terdapat sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna menjadikan suasana lebih santai dan tenang terutamanya pada waktu malam. Sistem audio Burmester 3D yang digunakan juga menghasilkan bunyi yang sangat terperinci dan berkualiti, sesuai untuk mereka yang gemar mendengar muzik sambil memandu.
Namun sehebat mana pun ruang kabin ini, tetap ada kekurangannya. Sebagai contoh, ruang kaki hadapan terasa agak sempit. Selain itu, panel sentuhan pada stereng terlalu kecil dan ketiadaan port pengecas USB untuk penumpang belakang adalah ‘jenayah’ untuk kereta yang berharga lebih RM400,000.
Untuk aspek praktikaliti, saya tiada rungutan. Ya, seperti yang diperkatan, ruang kaki hadapan agak sempit namun ruang kaki dan kepala penumpang belakang boleh dikatakan cukup luas. Untuk makluman anda, ini kerana jarak antara roda GLC generasi kedua telah bertambah sebanyak 15 mm.
Selain itu, kapasiti ruang but juga lebih besar sebanyak 70 liter, menjadi 620 liter iaitu 70 liter lebih besar berbanding but X3 dan 115 liter lebih besar berbanding XC60. Di bawah lantai but, terdapat kit pembaikan tayar dan juga bakul yang boleh dilipat.
Seperti sebelum ini, GLC 300 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder namun kali ini, ia dibantu dengan sistem mild-hybrid 48 volt yang menggunakan Integrated Starter Generator (ISG). Kehadiran sistem ini tidak begitu dirasai namun ia sebenarnya membantu kereta ini memecut pada julat RPM rendah dan menjadikan sistem start stop lebih lancar.
Dari segi prestasi, 258 PS dan 400 Nm yang dibekalkan oleh enjin tersebut cukup untuk membolehkan kenderaan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat. Bagi saya, ini sudah memadai untuk situasi pemanduan seharian kerana biarpun tidak bersifat agresif, kereta ini boleh memecut melebihi kelajuan yang dibenarkan tanpa disedari.
Masuk ke bab ride and handling, saya rasakan talaan sistem suspensi Agility Control yang digunakan lebih sesuai untuk pemanduan yang lebih santai. Jangan salah anggap kerana ia masih boleh melayan selekoh-selekoh tajam namun jika terlalu dipaksa, ia akan mula bergelut. Mungkin disebabkan faktor saiz dan beratnya yang hampir mencecah dua tan.
Biarpun begitu, sistem suspensi tersebut boleh menyerap hentakan dengan cemerlang serta meminimumkan gegaran di dalam kabin. Ditambah pula dengan kedapan bunyi yang amat baik, ruang kabin GLC sangat selesa sama ada untuk perjalanan jarak dekat atau jarak jauh.
Adakah semua ini cukup untuk menjustifikasikan harganya? Bagi saya belum cukup kerana ada satu aspek yang masih boleh ditambah baik iaitu sistem bantuan pemandu. Jangan terkejut kerana kereta yang mempunyai harga setara dengan seunit rumah ini tidak didatangkan dengan Adaptive Cruise Control mahupun Lane Keep Assist.
Bagi mereka yang mementingkan keselamatan dan mahukan pengalaman pemanduan yang lebih moden, ketiadaan dua ciri tersebut adalah satu kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila ia ditawarkan pada model-model SUV lain yang jauh lebih murah.
Konklusinya di sini, GLC mampu memenuhi jangkaan mereka yang mahukan sebuah SUV yang premium dan mewah tetapi ada aspek yang boleh diperbaiki lagi terutamanya kelengkapan. Adakah ia lebih baik berbanding X3 dan XC60? Itu terpulang kepada pembeli memandangkan setiap individu mempunyai keperluan dan keinginan yang berbeza.
Apa pun, saya berharap versi pemasangan tempatan (CKD) akan tampil dengan pakej yang lebih lengkap dan sepadan dengan harganya bagi memastikan model ini kekal laris di pasaran.