fbpx

Toyota Land Cruiser 70 Series diberikan facelift, enjin 2.8L Hilux

Toyota Land Cruiser 70 Series 2023 01

TOYOTA Land Cruiser 70 Series diperkenalkan buat pertama kali pada 1984 sebagai pengganti kepada 40 Series. Walaupun dengan kemunculan model-model generasi baharu Land Cruiser, ia terus ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu dengan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan ia kekal relevan.

Untuk tahun 2023, Land Cruiser 70 Series diberikan facelift, pelbagai kelengkapan dan teknologi terkini serta enjin baharu. Ia akan kembali ke pasaran Jepun selepas jualannya dihentikan pada 2015 kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Bermula dengan reka bentuk, Land Cruiser 70 Series tampil dengan lampu LED berbentuk bulat yang dicantumkan dengan gril, serta lampu signal yang terkeluar, tidak ubah seperti yang terdapat pada model asal.

Dari sisi, profil SUV ini secara keseluruhannya dikekalkan manakala di belakang, lampu brek kini dialihkan ke bampar. Posisi asal lampu itu ditutup dengan panel yang dicat mengikut warna badan.

Ruang dalaman pula menampilkan skrin 4.2 inci dengan grafik retro pada kluster instrumen. Bergantung kepada pasaran, pelanggan juga akan mendapat skrin sentuh 6.7 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi keselamatan, Land Cruiser 70 Series didatangkan dengan sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Lane Departure Alert, Road Sign Assist, Auto High Beam dan pelbagai lagi.

Model ini masih menggunakan casis ladder frame yang asal namun kali ini, ia diberikan ‘nadi’ baharu yang dikatakan lebih cekap bahan api, senyap dan mampu menawarkan prestasi off-road  yang lebih baik.

Enjin yang dimaksudkan adalah turbodiesel 1GD-FTV 2.8-liter empat silinder yang menghasilkan 204 PS dan 500 Nm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan ‘6 Super ECT’ dan sistem pacuan empat roda.

Di Australia, Land Cruiser 70 Series juga ditawarkan dengan enjin turbodiesel 4.5-liter V8 yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan. Ia menjana 205 PS dan 430 Nm, 1 PS lebih tinggi tetapi kurang 70 Nm jika dibandingkan dengan enjin 1GD-FTV.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved