fbpx

Subaru Forester 2025 – model generasi ke-6 tampil lebih moden dan selesa

2025_Subaru_Forester_Reveal_SantaBarbara007

SUBARU telah memperkenalkan Forester 2025 bersempena dengan Los Angeles Auto Show 2023.

Kini dalam generasi keenam, Forester serba baharu ini hadir dengan rekaan yang lebih moden, casis yang dipertingkatkan dan pelbagai kelengkapan terkini.

Penampilan SUV ini yang lebih moden dan berani boleh dilihat menerusi gril baharu dengan panel hitam yang bersambung dengan lampu LED.

Menurut Subaru, rekaan ini memberikan penampilan seakan perisai pada wajah hadapan Forester. Bukan itu sahaja, model generasi baharu ini juga menampilkan logo Subaru yang dikemas kini.

Pada bahagian sisi, terdapat gerbang roda bersegi dan panel plastik hitam seperti WRX, manakala di belakang pula anda akan menemui lampu berbentuk tiga segi yang bersambung dengan jalur hitam.

Di sebalik ‘baju’ baharu ini, platform Subaru Global Platform (SGP) telah diperkukuhkan sebanyak 10 peratus menerusi teknik kimpalan yang lebih kuat dan perekat struktur tambahan.

Menurut Subaru, penambahbaikan ini menjadikan badan Forester lebih kukuh dan ringan, selain menjadikan kabin lebih senyap.

Ruang dalaman Forester telah diberikan pembaharuan secara menyeluruh dan kini menampilkan skrin sentuh Starlink 11.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, Bluetooth dan sistem navigasi dengan sistem kawalan suara.

Aspek praktikaliti dikekalkan dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60:40, memberikan ruang kargo seluas 74.4 kaki padu (sekitar 2,107 liter).

Bukan itu sahaja, pintu tailgate kini boleh dibuka secara bebas tangan dengan adanya sensor kaki. Turut disertakan adalah cangkuk tugas berat (enam di dalam ruang kargo, dua pada tailgate) dan rel bumbung.

Kesemua lima varian Forester (Base, Premium, Sport, Limited dan Touring) dikuasakan oleh enjin boxer 2.5-liter empat silinder dengan 180 hp/241 Nm, Lineartornic CVT dan Symmetrical All-Wheel Drive.

Tidak cukup dengan itu, trenkuasa ini juga dibantu oleh Active Torque Vectoring dan sistem pengurusan prestasi SI-Drive. Apa yang menarik, SUV ini juga mendapat sistem stereng kuasa daripada WRX.

Turut disertakan secara standard adalah versi terbaru sistem bantuan pemandu EyeSight yang dikatakan boleh beroperasi dengan lebih lancar dan pantas berbanding sebelum ini.

Selain boleh mengesan kehadiran penunggang basikal dan pejalan kaki di persimpangan, sistem ini juga didatangkan dengan ciri-ciri tambahan seperti Reverse Automatic braking, Blind Spot Detection dengan Lane Change Assist dan Rear Cross-Traffic Alert.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved