fbpx

Toyota Crown Signia diperkenal di Amerika Syarikat, SUV hibrid dengan AWD

2025_Toyota_Crown_Signia_004

TOYOTA memperkembangkan rangkaian modelnya di pasaran Amerika Syarikat dengan pelancaran model Crown versi SUV yang dikenali sebagai Crown Signia.

Secara asasnya, ia merupakan model Crown kedua yang akan dipasarkan di negara itu selepas versi sedan tinggi yang diperkenalkan pada Oktober 2022.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Crown Signia akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid Toyota Hybrid Electric Vehicle (HEV) dengan pacuan semua roda (AWD) sebagai standard.

Trenkuasa berkenaan menampilkan gabungan enjin petrol DOHC 2.5-liter empat silinder dan dua buah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 243 hp.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi jenis ECVT dan model ini didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

Sistem pacuan AWD on-demand Crown Signia menggunakan motor elektrik pada gandar belakang untuk memacu roda apabila diperlukan.

Menurut Toyota, sistem tersebut boleh menyalurkan sehingga 80 peratus kuasa ke roda belakang untuk mengelakkan tayar hadapan dari tergelincir ketika memecut.

Bukan itu sahaja, sistem ini juga dikatakan boleh meningkatkan prestasi di selekoh dengan mengurangkan efek understeer.

Seperti versi sedan, Crown Signia dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture K (TNGA-K) yang menawarkan pemanduan yang selesa seperti sebuah sedan dan versatiliti sebuah SUV.

Bukan itu sahaja, platfrom itu juga menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih senyap menerusi penggunaan bahan penebat pada tingkap, papan pemuka dan penutup enjin.

Di dalam, rekaannya tidak jauh berbeza dengan versi sedan dengan kluster instrumen digital dan skrin sentuh masing-masing berukuran 12.3 inci, serta kemasan gangsa pada papan pemuka, konsol tengah dan stereng.

Bergantung pada varian, model ini juga didatangkan dengan bumbung kaca panoramik, pemanas dan penyejuk tempat duduk, sistem audio JBL dan cermin pandang belakang digital.

Dari segi keselamatan, terdapat Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Proactive Driving Assist dan Auto High Beam.

Crown Signia dipasang di kilang Toyota Tsutsumi di Aichi, Jepun dan akan memasuki pasaran A.S. bermula pertengahan tahun hadapan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved