fbpx

Lucid Gravity didedahkan – SUV EV dengan 800hp, jarak pemanduan 704km

lucid gravity 03

SYARIKAT EV baharu, Lucid telah mendedahkan model terkini mereka, Gravity iaitu SUV pertama mereka. Model sebelum ini ialah Lucid Air yang dilancarkan pada September 2020.

Lucid Gravity merupakan SUV dengan tiga baris tempat duduk, memuatkan sehingga tujuh penumpang. Ia mempunyai ukuran 5,034mm panjang, 1,986mm lebar, 1,656mm tinggi, dengan jarak roda 3,035mm.

Tidak banyak perincian teknikal diberikan, tetapi yang pasti ia mempunyai sistem elektrik 900 volt. Lucid Gravity mampu dipandu sehingga 704km setiap cas, dengan bateri berkapasiti 120kWh.

Dengan pengecasan pantas DC sehingga 350kW, ia mampu mengembalikan 320km jarak pemanduan dengan hanya 15 minit cas. Kuasa maksima dilaporkan lebih 800hp, dan pecutan 0-96km/j kurang 3.5 saat.

Dari segi rekaan, rupa luaran Gravity menampilkan muka depan yang mirip dengan sedan Air, dengan lampu LED nipis. Di belakang pula, pintu but Gravity adalah dengan rekaan clamshell dan sedikit inspirasi garisan dari sedan Air.

Rekabentuk papan pemuka Lucid Gravity juga mirip rekaan pada Air, dimana ia mendapat paparan OLED melengkung 34-inci. Sterengnya berbentuk empat segi dengan pad pelbagai arah di bahagian kiri dan kanan.

Di konsol tengah, terdapat skrin infotainmen Pilot Panel dengan bar sentuhan untuk fungsi-fungsi utama. Ciri lain di sini termasuklah panel gelungsur kaca untuk ruang simpanan barang, pad pengecas tanpa-wayar, tiga soket 120 volt dalam kabin, dan enam port USB-C.

Harus diketahui juga Lucid Gravity boleh membawa muatan sebanyak 681kg, selain kapasiti tunda sebanyak 2,724kg.

Casisnya boleh diberikan opsyen suspensi udara yang melaras secara automatik mengikut permukaan. Suspensi ini juga boleh dinaikkan secara manual untuk ditinggikan bagi melalui jalan off-road, atau direndahkan untuk prestasi dan pengendalian.

Lucid Gravity dijangka mula dikeluarkan hujung tahun depan dengan harga anggaran bermula USD80,000 (RM374,400).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved