Arkib Tag: konsep

Beijing Motor Show 2024: Volkswagen ID.Code Concept yang boleh melihat anda

VOLKSWAGEN antara pengeluar yang menyertai acara Auto China 2024 di Beijing, dan model yang menjadi tarikan utama mereka sudah tentu ID.Code Concept.

Dari luar, ia kelihatan seperti SUV biasa, kabinnya pula sedikit radikal. Tipikal seperti sebuah kenderaan konsep dengan empat tempat duduk individual serta kokpit minimalis. Tetapi yang ingin kita bincangkan ialah teknologi padanya.

Ia menampilkan 3D Eyes yang ‘melihat’ anda mendekati kereta ini. Ciri ini sebahagian dari sistem pencahayaan interaktif yang dibawakan oleh Volkswagen untuk masa depan autonomi.

Jika anda lihat strip cahaya memanjang antara dua lampu depan, ianya dinamakan Light Cloud, yang terdiri dari 967 LED. Inilah yang membentuk ‘mata’ berbentuk-U yang membuatkan SUV ini seolah-olah sedang memandang.

Pencahayaan ini bekerja dengan Light Screen, iaitu bahagian ‘senyum’ di bawah Light Cloud. Volkwagen menggunakan cat jernih, yang mana bila Light Screen dipadamkan, nampak seperti bahagian normal.

Semasa dihidupkan, ia boleh menayangkan pelbagai maklumat dari laporan cuaca hinggalah grafik buah ceri di musim bunga. Jika ada kereta berhenti untuk memberi lalua anda membelok, ia akan menayangkan bentuk hati sebagai ucapan terima kasih.

Ada lagi ciri pelik, iaitu Smart Windows. Pada beberapa tempat di cermin, ia boleh menayangkan avatar berbentuk manusia yang boleh diajak berbual.

Kemudian, satu ciri rahsia dari Volkswagen ialah satu bentuk hubungan atau komunikasi kereta ini oleh teknologi AI. Komunikasi ini tidak terhad kepada pemiliknya sahaja.

Pelbagai kamera dan pengesan juga memberikan ID.Code fungsi Autonomous Level 4. Dengan itu, anda boleh memusingkan tempat duduk depan 180-darjah, jadi anda boleh berbual dengan penumpang belakang.

Rupa luaran ID.Code ini Volkswagen terangkan sebagai sleek dan seperti jet, memberikan kombinasi SUV praktikal dan kenderaan grand touring sporti.

ID.Code hanyalah sebuah konsep buat masa ini. Tidak dinyatakan jenis rangkaian kuasa, jarak pemanduan, atau sebarang elemen mekanikal.

Tiada juga dinyatakan pelan pengeluaran, walaupun Volkswagen berkata ID.Code memberikan klu tentang hala tuju mereka untuk masa depan di China.

Magma: Inilah sub-jenama sports dari Genesis dengan warna oren khas

GENESIS menyertai New York Auto Show 2024 dengan satu berita panas. Mereka memperkenalkan satu sub-jenama di bawahnya yang diberi nama Magma. Lihat GV60 berwarna oren ini, menarik?

Sebenarnya warna oren yang sama ini pernah digunakan pada Genesis GV80 beberapa tahun lepas di acara yang sama. GV80 Magma Special ini sudahpun mula dikeluarkan, cuma ia dalam jumlah terhad dan untuk pelanggan di Timur Tengah sahaja.

Berbalik kepada GV60 Magma Concept, ia baru didedahkan secara rasmi dan akan dikeluarkan tidak lama lagi. Model ini tidak terhad kepada mana-mana pasaran sahaja, walaupun Genesis belum mengumumkan secara rasmi.

Spesifikasi lanjut SUV elektrik ini juga belum didedahkan, tetapi ura-ura mengatakan ia mendapat bateri yang ditambah baik untuk membekalkan kuasa kepada dua motor yang lebih berkuasa.

GV60 Magma Concept ini juga lebih rendah dan lebar. Ia dilengkapi ‘muka’ depan yang direka semula dengan ruang udara lebih besar. Sudah tentu bukan untuk enjin, tetapi untuk menyejukkan bateri, brek, dan motor.

Terdapat juga tiga lagi lubang tambahan di bampar depan untuk meningkatkan aerodinamik GV60 semasa dipandu laju.

Perkara lain yang dapat dilihat adalah rim 21-inci dengan rekaan aero disc untuk menyejukkan brek dan pada masa yang sama meningkatkan kecekapan.

Sirip di bumbung pula membantu mengalirkan udara ke spoiler belakang untuk downforce. Di bahagian dalam, kemasan kulit diberikan lebih ‘magma’ dengan jahitan kontras berwarna oren.

“Jenama ini akan terus mendedahkan konsep-konsep eksperimental dengan mengambil kira elemen teknologi dan astetik,” kata Ketua Pegawai Kreatif Genesis, Luc Donckerwolke.

“Walaupun kelajuan dan prestasi itu penting, program Genesis Magma akan melihat lebih jauh, mengutamakan pengalaman pemanduan untuk keseronokan dan keselesaan.”

VF Wild, konsep trak pikap dari pengeluar automotif Vietnam

Acara Consumer Electronics Show tahun ini menjadi medan penting buat pengeluar automotif dari Vietnam Vinfast untuk mempamerkan kekuatan mereka.

Antara yang diperlihatkan termasuklah sebuah konsep trak pikap saiz pertengahan VF Wild yang mampu memberikan saingan kepada Ford Ranger.

 

 

 

Rekaan luaran VF Wild ini menampilkan elemen “Fluid Dynamism” yang merupakan hasil kerjasama dengan studio rekaan GoMotive dari Australia.

Difahamkan, ia mengambil masa lebih 8,000 jam untuk disiapkan.

VF Wild membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,324 mm, lebar 1,997 mm sementara ruang bed belakang pula adalah sepanjang 1,524 mm.

 

 

Menurut Vinfast, trak pikap ini juga boleh memuatkan muatan sepanjang hampir 2.5 meter, terima kasih kepada pintu tengah yang boleh dibuka.

Rekaan muka depan sememangnya tidak lari jauh daripada bahasa rekaan yang digunakan oleh Vinfast pada model-model kenderaan mereka.

Sementara kabin pula senang diakses masuk menerusi bukaan pintu jenis suicide yang mungkin sekali tidak akan muncul dalam versi produksi sebenar.

 

Nissan X-Trail Mountain Rescue Concept ambulans penyelamat salji dengan ‘tayar’ berantai

NISSAN telah mengubah X-Trail dari SUV biasa menjadi sebuah kenderaan kecemasan untuk menyelamat lengkap dengan tayar berantai, pengusung, dan peralatan menyelamat.

Nissan X-Trail Mountain Rescue Concept itu dipertontonkan di resort ski Cervinia, Itali. Ia direka bagi mengingatkan orang ramai supaya melakukan aktiviti ski dengan berhemah dan beretika.

Selain empat ‘tayar’ berantai di setiap penjuru, bagi membolehkan X-Trail ini menjalankan misi menyelamat di gunung salji, Nissan telah memberikan rak bumbung khas. Ia lengkap dengan lampu khas, siren kecemasan, pengusung, malah mempunyai ski dan penyodok salji.

X-Trail ini juga dipasang dengan fender lebih besar dan kembang, poin-poin tunda, kabel winch, lampu limpah, dan jarak kelegaan tanah 23cm lebih tinggi.

Naik taraf diteruskan ke bahagian dalam dimana jentera ini mendapat GPS Garmin dan alat komunikasi Motorola.

Perubahan lebih besar adalah di belakang, dimana tempat duduk telah ‘dibuang’ untuk memuatkan pengusung. Selain itu, ia mendapat tempat duduk rawatan menghadap ke belakang.

Akhir sekali, terdapat kabinet simpanan yang memuatkan bekalan kecemasan seperti kayu pengukur ketebalan salji dan selimut termal. Terdapat juga ruang yang boleh memuatkan drone DJI!

Walaupun konsep ini menggariskan etika ski secara bertanggungjawab, ia juga memaparkan sistem pacuan semua-roda e-4ORCE pada X-Trail itu.

Menurut Nissan, ia mampu bertindak balas terhadap perubahan cengkaman pada kadar 1/10,000 saat, bersamaan 1,000 lebih pantas dari sistem biasa. e-4ORCE ini juga mampu mengagihkan kuasa bergantung kepada tahap cengkaman.

Genesis GV70 Overland Project SUV mewah untuk taukeh durian

JIKA anda seorang taukeh ladang durian atau kontraktor besar dan mahu mencari kenderaan harian yang sesuai, tapi berbeza dari orang lain, mungkin boleh lihat Genesis GV70 Overland Project ini.

Sejak pelancarannya, Genesis GV70 menjadi antara model paling mewah dalam barisan Hyundai Motor Group. Ia bakal diberikan facelift tidak lama lagi, tetapi sebelum itu, GV70 nampaknya akan menerima versi off-road, hasil kerjasama dengan Delta.

Buat masa ini, ianya masih konsep, dan GV70 Overland Project ini direka sebagai meraikan sambutan ulang tahun ke-40 Delta. Konsep ini telah mengubah SUV serba mewah ini menjadi jentera yang mampu meredah laluan off-road.

Suspensi telah ditinggikan sebanyak dua inci, manakala rim 18-inci Classic B Rugged berwarna hitam adalah lebih lebar, terkeluar dari badan kenderaan. Dengan tayar Continental ATR yang besar, maka tidak hairanlah gerbang rodanya juga dikembangkan lagi.

Lebih menampakkan rupa off-road adalah lampu PIAA di bumbung, selain lampu Baja Style yang dipasang dalam gril. Untuk mereka yang akan membawa muatan lebih, terdapat juga rak bumbung khas dengan tempat mengikat.

Genesis GV70 Project Overland ini akan membuat penampilan sulung di Essen Motor Show, Jerman pada 10-11 Disember depan. Menariknya, ia akan dipamerkan di ruang pameran Continental.

Berkenaan GV70 facelift yang kami sebut tadi, SUV ini bakal menerima rupa depan yang diperbaharui, lampu seperti G90, dan gril rekaan baharu. Untuk kabin, dilaporkan GV70 facelift akan dilengkapi dengan skrin melengkung OLED bersaiz 27-inci.

Apa pendapat anda dengan GV70 Overland Project ini, sesuai dengan taukeh ladang durian dan para kontraktor?

Permintaan EV berkurang, Akio Toyoda buktikan beliau di pihak yang betul

TOYOTA merupakan antara syarikat paling lambat beralih ke arah kenderaan elektrik (EV), mereka diibaratkan hanya duduk melihat pengeluar-pengeluar lain membelanjakan jutaan dolar untuk teknologi baharu ini.

Daripada terus beralih ke EV, Toyota masih tetap melabur dalam teknologi hibrid dan hidrogen, kerana merasakan ada beberapa cara bagi mengurangkan pelepasan kea lam sekitar.

Dan dengan jualan EV menurun untuk 2023, permintaan berkurang, dan kadar faedah berkemungkinan meningkat, pengeluar-pengeluar lain mula memahami apa yang Toyota telah perkatakan selama ini.

“Terdapat banyak cara lain ‘mendaki gunung’ untuk neutralisasi karbon,” kata bekas CEO Toyota itu kepada wartawan semasa Japan Mobility Show baru-baru ini.

Kereta elektrik sudah pun lebih mahal dari model petrol atau hibrid. Ditambah dengan kos tinggi serta halangan dari segi jarak dan pengecasan, pelanggan kini seolah-olah kurang berminat dengan kenderaan EV sepenuhnya.

“Permintaan EV boleh menjadi lebih rendah dari yang dijangkakan,” kata Lee Chang-sil, Ketua Pegawai Kewangan bagi pembekal bateri LG Energy Solutions.

GM yang telah banyak memberi pelaburant terhadap platform EV Ultium, baru-baru ini menurunkan sasaran jualan 400,000 mereka menjelang 2024, dalam membangunkan EV yang lebih berdaya saing.

GM dan Honda juga baru-baru ini mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing bagi EV mampu-milik, selepas mengumumkan kerjasama pembangunan lebih setahun lalu.

Sementara itu, Toyota tidak pernah hilang keyakinan terhadap hibrid mereka, termasuk PHEV. Jack Hollis, ketua bahagian jualan Toyota di Amerika Utara baru-baru ini berkata permintaan hibrid mereka menjadi hangat.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna Toyota membatalkan terus pelaburan terhadap EV. Mereka mendedahkan dua konsep EV semasa Japan Mobility Show baru-baru ini, termasuklah pengganti MR2. Mereka juga menayangkan konsep Land Cruiser EV dan trak pikap elektrik.

Jadi, Toyota masih berminat dengan EV, cuma mereka menganggap EV hanya sebahagian dari cara-cara mencapai neutralisasi karbon.

Nissan Hyper Force ibarat GT-R R35 elektrik dengan 1,341hp

BOLEH anda bayangkan sebuah Nissan GT-R R35 ditransformasi menjadi elektrik (EV) dengan 1,341hp? Mungkin bayangan paling tepat ialah konsep terbaharu Nissan ini, iaitu Hyper Force.

Ia didedahkan buat pertama kali kepada umum di Japan Mobility Show yang sedang berlangsung. Nissan Hyper Force menampilkan rekaan ultra-agresif dengan spoiler belakang besar gedabak dan pintu rama-rama.

Nissan tidak berkata bahawa ini sebagai pratonton R35, tetapi bentuk keseluruhan dan empat lampu belakang bulat menunjukkan DNA GT-R padanya.

Malah, bahagian menyala berwarna putih merah di gril depan memberikan klu kereta sports flagship Nissan masa depan. Dari jauh, ia kelihatan seperti logo “GT-R” yang dikaburkan. Kami tidak pasti pula kenapa ia pelru dikaburkan.

Bahagian badannya yang dramatik diberikan canards dan rongga kemasukan udara yang dikawal secara elektronik di fender depan. Sementara itu, spoiler belakangnya memang tak mahu kalah, boleh nampak dari sebatu jauhnya.

Pintu besar dibuka ke atas, dan diffuser yang agresif pastinya membuatkan Hyper Force ini melekat ke jalan semasa di kelajuan tinggi. Rim pula adalah jenis karbon yang diperkukuh.

Ruang dalam pula kelihatan seperti anda duduk dalam bilik komputer permainan video dengan lambakan lampu LED. Memandangkan Nissan berkata kereta ini akan menjadi jentera fokus litar, ia mendapat penggilap cermin yang diletakkan di tengah-tengah.

Hyper Force dilaporkan mempunyai bateri solid-state 1,000kW yang mampu menghamburkan 1,341hp. Menurut Nissan, ia bakal mendapat sistem pacuan semua-roda e-4ORCE dengan konfigurasi dwi-motor. Kelajuan maksima pula sekitar 320km/j jika dilihat pada paparan HUD.

Adakah ini akan menjadi GT-R R36? Sama-sama kita nantikan.

Mazda Iconic SP bawa semula enjin rotary, lampu pop-up!

MAZDA Iconic SP menjadi salah satu perhatian utama di Japan Mobility Show hari ini, membawakan banyak ciri yang dinantikan oleh peminat kereta sports, antaranya enjin rotary. Ya, sejak ura-ura berkenaan enjin rotary baharu ini beberapa tahun lepas, ramai yang menantikannya.

Konsep Iconic SP ini nampak mirip dengan Vision Study yang pernah ditunjukkan. Ianya juga lebih besar dari MX-5 Miata, menjadikannya suatu potensi kesinambungan untuk RX-7.

Walaupun mendapat enjin rotary, tetapi tidak seperti coupe lejen itu, Iconic SP menggunakan enjin dua-rotor itu bukan untuk memacu roda, sebaliknya bagi mengecas bateri – yang belum diketahui kapasitinya. Bateri ini kemudiannya akan membekalkan kuasa kepada motor elektrik.

Walaupun belum didedahkan secara spesifik jenis pacuan kuasa Iconic SP ini, dilaporkan ia akan menjana 365hp. Mazda berkata enjin rotary ini boleh diisi dengan pelbagai jenis bahan api, termasuk hidrogen dan minyak boleh diperbaharui.

Berukuran 4,180mm panjang, 2,103mm lebar, dan 1,148mm tinggi, Iconic SP lebih panjang dari MX-5 Miata ND tetapi lebih pendek dari RX-7 1995. Berat pula sekitar 1,450kg.

Menurut Mazda, disebabkan enjinnya yang bersaiz kompak, ini membolehkan Iconic SP direka dengan hud depan panjang dan sangat rendah. Fender berbentuk botol Coke memberikan kontra moden terhadap rekaan tingkap sisi RX-7.

Dapat dilihat juga bentuk gril terkini Mazda pada bahagian depan, sementara lampu belakang Venn-diagram mengambil inspirasi dari MX-5 NA dan RX-7 FC. Pintunya dibuka ke tepi dan naik ke atas, seperti rekaan pintu Aston Martin.

Di dalam, Iconic SP menampilkan rekaan minimalis. Terdapat tombol gear jenis butang mesin taip, paparan instrumen digital, satu paparan infotainmen kecil, dan papan pemuka yang beralun dan melengkung.

Iconic SP mungkin mempunyai kapasiti enjin 1.6-liter, iaitu kira-kira dua kali ganda enjin MX-30 PHEV yang bersesaran 0.8-liter. Enjin Iconic SP juga boleh digunakan sebagai generator V2L, membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.

CEO Mazda, Masahiro Moro berkata: “Mazda akan sentiasa memberikan kenderaan yang mengingatkan orang bahawa kereta adalah keseronokan dan bahagian dalam hidup mereka yang tidak boleh dipisahkan.”

“Sebagai syarikat yang meminati kereta dan menghasilkan kenderaan menarik, kami komited untuk membentuk masa depan dimana semua orang boleh berkata dengan bangga, ‘Kami suka kereta.’”

Honda Prelude buat kemunculan di Japan Mobility Show 2023! Kemungkinan EV atau hibrid?

HONDA nampaknya mendedahkan suatu kejutan, sebuah Prelude? Wah, siapa masih ingat zaman kegemilangan coupe sports ini? Tahun 90-an dulu siapa pakai Prelude memang romeo habis! Tetapi bagaimana dengan model terkini?

Sayangnya, tidak banyak perincian yang kami dapat mengenainya. Prelude didedahkan di penghujung pembentangan Honda di acara Japan Mobility Show (JMS) yang sedang berlangsung.

Tiada sebarang maklumat termasuklah mengenai sistem janaan kuasanya. Tetapi dari firasat kami, berdasarkan treng automotif global, kemungkinan Honda Prelude ini menjadi model elektrik sepenuhnya (EV). Paling tidak pun, ada sedikit elektrifikasi seperti hibrid atau PHEV.

Walaupun tiada sebarang maklumat lanjut, dari segi rupa luarannya, ia nampak seperti bukan sekadar konsep. Bermakna ada potensi besar ia diproduksikan menjadi realiti, dengan bentuk yang anda lihat ini.

Muka depannya tidak jauh berbeza dari Civic, cuma nampak lebih tajam dan tiada gril. Silhouette badan cukup kemas dan sporti. Jika anda intai di sebalik rim 20-inci padanya, terdapat brek Brembo. Menarik. Cermin digelapkan, jadi tiada apa yang dapat dilihat atau diagak.

CEO Honda, Taishiro Mibe berkongsi satu perkara semasa pendedahan Prelude ini. Katanya, “Ini akan menjadi prelude (pembukaan) kepada model akan datang yang membawakan keseronokan pemanduan kepada masa depan elektrifikasi, selain berpegang kepada pemikiran sports Honda.”

Jika anda lihat, prelude di atas adalah huruf kecil, bermakna ia tidak merujuk kepada model yang dipaparkan, tetapi sebagai pembukaan lembaran baharu model elektrik sports Honda.

Apa pendapat anda? Bagi kami, cukup jika Honda menyumbat enjin Civic Type R K20C 2.0-liter dan ditala lebih 330hp, dengan motor elektrik, dan kotak gear manual 6-kelajuan. Amacam?

Nissan Hyper Urban Concept sebuah EV yang mampu beri tenaga elektrik kepada rumah anda

NISSAN telah mendedahkan imej-imej Hyper Urban Concept, salah satu EV konsep yang akan dipamerkan di Japan Mobility Show hujung bulan ini. Konsep ini membawakan idea reka bentuk dan kemampuan teknologi Nissan untuk masa depan.

Hyper Urban Concept mendapat warna badan kuning limau yang menampilkan sedikit bayangan berbeza pada perubahan sudut cahaya. Pintu depan dan belakang jenis scissor doors yang dramatik menunjukkan ‘keterbukaan’, menurut Nissan.

“Kenderaan ini disasarkan kepada golongan profesional di bandar dan kawasan sekitar yang mengutamakan kelestarian alam sekitar,” kata Nissan dalam siaran media. Hyper Urban Concept ini akan mampu diintegrasikan dalam konsep vehicle-to-home (V2H) dan vehicle-to-grid (V2G).

Fungsi ini akan membolehkan Hyper Urban Concept membekalkan tenaga elektrik kepada rumah menggunakan V2H. Jadi ia akan membantu dalam penjimatan tenaga elektrik bangunan itu.

Sementara itu, V2G pula membolehkan pemandu menyumbang kembali tenaga kepada grid elektrik dan mendapat bayaran.

Intelligent Charging Management System pada kenderaan ini menggunakan AI (artificial intelligence) untuk pengecasan secara autonomi, selain membekalkan kuasa elektrik kepada bangunan.

Dari segi kelengkapan, Nissan Hyper Urban Concept dilengkapi dengan paparan instrumen dengan teknologi terkini dan boleh dikemas kini untuk masa depan.

Ruang dalaman direka untuk serasi dengan suasana bandar dan diinspirasikan dari segitiga kaleidoscopic, tema yang sama dengan rekaan luarannya.

Menurut Nissan, kenderaan ini juga boleh digunakan sebagai ruang berehat. “Bila anda berada luar dari kehidupan seharian, parkir di kawasan apartment atau banglo, ia menjadi ruang selesa untuk berehat dan relaks,” kata Nissan.

Suatu konsep menarik? Bagi kami ia sebuah EV yang menawarkan konsep dan fungsi berbeza dari kebanyakan yang ada dalam pasaran sekarang. Ia juga nampak sangat sesuai sebagai kenderaan dalam bandar di masa depan.

Proton Ultimate, kereta sports tempat yang tidak kesampaian – Imbas Engear

RAMAI yang sering meminta model prestasi mampu milik dari jenama tempatan Proton atau Perodua, kerana merasakan kebanyakan model dijual hari ini tidak cukup “umph”.

Proton sekitar 2000 hingga 2013 banyak menghasilkan model-model R3 yang seronok dipandu, malah masih menjadi buruan di pasaran terpakai hari ini.

Tetapi mungkin ramai tidak mengetahui 20 tahun dahulu, Proton pernah hampir mengeluarkan kereta sports mid-engined mampu milik untuk rakyat Malaysia. Bahkan satu unit prototaip dilaporkan telah dibina.

Kisahnya bermula apabila Proton mahu meningkatkan imej mereka dan menjadi lebih menonjol dari jenama-jenama kos rendah (terutamanya dari Asia timur), dengan membina model berteknologi tinggi dalam bentu jentera sports mid-engined (enjin tengah) 2.0-liter.

Memandangkan Proton pada masa itu masih memiliki Lotus Engineering, maka pastinya mereka mempunyai tenaga kepakaran dan kejuruteraan untuk dimanfaatkan.

Kereta sports itu sepatutnya dilancarkan pada 2003, kira-kira tiga tahun selepas projek itu didedahkan, dengan designasi Proton Ultimate (PU). Tempoh ini dianggap singkat – kebanyakan R&D mengambil masa kira-kira empat tahun – tetapi ianya dikatakan munasabah kerana dua sebab.

Pertama, ia direka untuk menjadi model jumlah pengeluaran rendah dengan parameter khas spesifik, tidak seperti model pengeluaran besar-besaran seperti kereta Proton lain.

Keduanya, kebanyakan proses kejuruteraan adalah berlainan dari kebiasaan dan akan menggunakan bahan-bahan komposit ringan.

Program dengan nama dalaman ‘Project Sepang’ ini dipercayai bermula pada Februari 2000, dengan konsep casis yang telah ditetapkan. Casis yang bakal digunakan ialah ‘Monaco’ dari Lotus yang pernah dipertontonkan di Frankfurt Auto Show.

Tetapi ia bukanlah sebuah kereta Lotus versi Proton, atau sebaliknya. Lotus sendiri mahu kedua-dua kenderaan ini berbeza. Pengeluar UK itu kemudiannya merealisasikan model mereka iaitu Europa pada 2006.

Dalam hal Proton, objektifnya ialah untuk menawarkan kereta sports dengan teknologi tinggi tetapi mampu milik, khasnya untuk rakyat Malaysia. Harga sasaran pada masa itu ialah RM150,000 (kira-kira RM249,000 hari ini jika ambil kira faktor inflasi).

Nampak mahal RM240,000 untuk sebuah Proton? Harus diingat, ini sebuah kereta sports dua tempat duduk mid-engined. Sedangkan SUV Proton pun sudah lebih RM120,000, ini pun perkara yang kita tida pernah fikir 10 tahun lepas.

Untuk enjin pula, beberapa pilihan untuk Ultimate telah diambil kira seperti Petronas E01 dengan 204hp dan Proton V6 yang mampu menjana sehingga 200hp.

Dikatakan Proton mahu menggunakan enjin Petronas kerana mereka kurang gembira membayar terlalu tinggi kepada Mitsubishi untuk mendapatkan enjin.

Menurut CEO Proton pada masa itu, kereta sports ini akan menggunakan banyak teknologi dan bahan ringan, tetapi masih ‘suku dari kos untuk membangunkan sedan biasa’. Ini boleh dicapai dengan menggunakan banyak komponen Proton sendiri, sebagai contoh brek dari Wira.

Pengeluaran untuk PU dikhabarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 unit dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Semasa kereta sports ini sepatutnya dikeluarkan, Proton juga telah melabur untuk barisan pemasangan baharu mereka di kilang Shah Alam, untuk membolehkan proses pengeluaran berbeza dari model konvensional.

Sekurang-kurangnya satu unit prototaip dikatakan telah siap dengan ‘enjin Amerika’. Tidak diketahui sama ada prototaip ini masih ada atau telah dilupuskan selepas Geely masuk ke dalam Proton.

Sayang sekali program PU ini tidak dapat direalisasikan sepemnuhnya. Beberapa pembangunan lain dalam syarikat ini juga mungkin mengalih fokus mereka, selain perubahan kempimpinan yang membuatkan keutamaan bertukar.

Apa pendapat anda mengenai projek Proton Utimate ini? Jika ia diteruskan dengan generasi baharu hari ini, boleh jual dengan harga RM230,000 hingga RM250,000?

Sebagai perbandingan, harga kereta sports seperti Alfa Romeo 4C, Lotus Elise, dan Toyota GR86 adalah sekitar RM220,000 hingga RM400,000, merangkumi kereta baharu dan recond.

Artikel asal, maklumat, dan gambar dikongsi oleh rakan media kami, Chips Yap di MotaAuto.

Audi Activesphere – Konsep EV dengan rupa SUV tapi ada ruang kargo trak pikap

AUDI Activesphere ialah konsep terbaharu yang didedahkan syarikat itu, sebahagian dari mobiliti masa depan mereka. Audi memanggilnya sebagai “Sebuah coupe mewah yang bertukar menjadi trak pikap”.

Sama seperti model sebelumnya, Activesphere ini padat dengan teknologi dan idea-idea yang futuristik, tetapi ia mengetengahkan apa yang mungkin didapati pada kenderaan-kenderaan masa depan.

Reka bentuk Activesphere menggabungkan penggayaan model Audi Sportback dan Allroad menjadi EV dengan rupa SUV versatil. Agak kompleks bukan?

Kenderaan konsep ini menampilkan penyerap hentak adaptif yang mampu meningkatkan jarak kelegaan tanahnya dari 208mm menjadi 248mm. Ini sepadan dengan kemasan luaran seperti garisan besi menegak di sekeliling badan yang memberikannya imej rugged.

Rim 22-inci padanya cukup besar, tapi juga berguna. Dalam mod off-road, terdapat flap pada rim yang terbuka untuk memberikan pengudaraan, dan ia ditutup semasa memandu di jalan raya untuk meningkatkan aerodinamik.

Cermin digunakan dengan meluas pada badan kenderaan. Ianya terdapat pada bumbung, bahagian bawah pintu, malah gril depan, memberikan penglihatan luas tanpa gangguan untuk semua penumpang.

Cermin di tingkap belakang juga boleh dibuka dengan kemas bersama bumbung untuk memberikan ruang kargo belakang, dimana ia boleh menempatkan e-bike. Terdapat juga pintu kargo belakang untuk memudahkan akses ke ruang ini.

Activesphere direka dengan kapasiti empat penumpang. Dalam mod autonomi, papan pemuka, roda stereng, dan pedal akan tersorok. Tetapi bar pembesar suara dan corong pendingin hawa akan kekal berfungsi.

Konsep ini juga menampilkan headset yang dilengkapi fungsi AR (augmented reality) untuk pemandu dan penumpang. Ia akan memaparkan beberapa kawalan maya, jadi ini mengurangkan butang fizikal di papan pemuka dan memberikan ruang kabin lebih luas.

Audi Activesphere dibina pada pelantar Premium Platform Electric yang dibangunkan bersama Porsche. Ia membolehkan Activesphere dilengkapi dengan bateri 100kW dan dua motor elektrik menghasilkan 242hp dan 720Nm tork, serta pacuan semua-roda.

Cadillac Ciel Concept sebuah GT mewah yang tidak menjadi realiti

SEJAK zaman dahulu lagi, pengeluar kenderaan membangunkan kereta konsep untuk mendemonstrasikan dan mencuba idea-idea baharu, sama ada berkaitan aspek reka bentuk atau pun teknologi.

Bergantung kepada faktor-faktor seperti penerimaan, kos, kebolehlaksanaan dan bermacam lagi, ada kereta konsep yang dibawa ke peringkat seterusnya untuk dibangunkan menjadi model produksi dan tidak kurang juga yang kekal sebagai konsep sekadar untuk dipamerkan di ibu pejabat, muzium atau pun pertunjukan motor.

Apa yang anda lihat ini ialah kereta konsep Cadillac Ciel (disebut “C-L”) yang dihasilkan pada 2011. Diperkenalkan buat pertama kali pada acara Concours d’Elegance di Pebble Beach, ia merupakan sebuah grand tourer tidak berbumbung yang diinspirasikan oleh kecantikan semula jadi pantai-pantai di California.

Sudah tentu, perkara pertama yang menarik perhatian anda pastinya bentuk badan kereta ini yang panjang dan rendah, tidak ubah seperti model Eldorado yang popular ketika era 60an. Sifat elegannya terpancar menerusi warna luarannya yang dikenali sebagai Cabernet. Menurut Cadillac, warna itu diilhamkan oleh wain merah di bawah sinaran cahaya matahari.

Selain itu, ia juga mempunyai kerangka cermin penghadang angin aluminium, manakala pintunya dibuka secara terbalik gaya Perancis bagi menampakkan ruang dalamannya yang dramatik. Apa yang menarik, rim 22-incinya itu turut diperbuat daripada aluminium dan disadur dengan kemasan brushed nickel sebagai penyudah.

Ruang dalaman Ciel pula menampilkan penggunaan material-material mewah seperti balutan upholsteri kulit premium pada tempat duduk, trim kayu yang diperoleh dari pokok zaitun di Naples, Itali, serta kemasan aluminium pada papan pemuka.

Sekali imbas, kabin Ciel memang tampak elegan dan mewah namun ia juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan dan ciri yang memfokuskan kepada aspek praktikaliti dan keselesaan penumpang.

Antaranya termasuklah bolster pada tempat duduk, pencahayaan ambien, ruang storan dengan pengecas induktif dan Bluetooth, fungsi penyejuk dan pemanas pada semua tempat duduk, selimut kasmir, aromaterapi dan pelbagai lagi. Turut disertakan ialah bekas menyimpan cerut pada konsol tengah belakang.

Di bawah bonet, terdapat enjin 3.6-liter twin-turbo V6 yang dipadankan dengan sistem hibrid dan bateri lithium ion. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 425hp dan 583Nm, cukup tinggi untuk membuatkan grand tourer mewah seperti Ciel ini meluncur dengan begitu lancar.

Namun, agak malang kerana Ciel tidak dibangunkan sebagai model produksi walaupun mendapat sambutan yang agak memberangsangkan. Cadillac dan General Motor terlepas satu peluang keemasan kerana ia dilihat mempunyai potensi untuk memberikan saingan sengit terhadap Rolls-Royce dan jenama-jenama mewah yang lain.

Mercedes Vision EQXX dengan badan ‘licin’, jarak pemanduan 1,000km!

MERCEDES-Benz mempersembahkan model terulung bagi kecekapan penggunaan tenaga, iaitu Vision EQXX yang merupakan sedan EV (elektrik sepenuhnya). Nama Vision bermaksud ia masih sebuah konsep tetapi versi produksi dikatakan bakal tiba.

Mercedes Vision EQXX direka dengan kecekapan maksima yang membolehkannya mencapai jarak pemanduan sehingga 621 batu (1,000km) dengan setiap caj.

Ini pasti cukup untuk pandu dari Johor Bahru melalui Kuala Lumpur, hingga ke Padang Besar, Perlis! Mercedes berkata untuk pemandu di Amerika secara purata hanya perlu mengecaj dua kali sebulan.

Mercedes belum mendedahkan sebarang spesifikasi untuk kapasiti bateri EQXX ini tetapi mereka ada mengatakan ia kurang dari 100kWh.

Tetapi ada juga perincian menarik mengenai pakej sumber kuasa EQXX ini. Baterinya dikatakan 50 peratus kurang dan 30 peratus lebih ringan dari EQS. Kuasa maksima ialah 900 volt.

Bateri dan bingkainya adalah seberat 495kg dan kuasa disalurkan ke motor elektrik yang menjana 210hp (150kW). Mercedes juga berkata sistem kuasa ini mempunyai tahap kecekapan setinggi 95 peratus.

Selain itu, terdapat panel solar 117 sel di bumbung yang akan membekalkan kuasa kepada sistem elektrik kereta seperti pendingin hawa, lampu dan unit infotainmen. Sistem solar ini mampu menjimatkan sehingga 25km jarak pemanduan.

Jika dilihat pada foto-foto, EQXX nampak agak kompak. Ia mempunyai panjang sekitar 4,630mm iaitu kira-kira 120mm lebih pendek dari C-Class.

Ia juga agak ringan bagi sebuah EV, dengan berat sekitar 1,750kg. Ini cuma lebih berat sedikit sahaja dari Mercedes C300 (1,675kg).

Paling menarik pada rekaan luaran EQXX ialah bentuknya yang sangat ‘licin’ atau aerodinamik, malah ia mempunyai drag coefficient hanya 0.18. Badannya sangat licin dan mempunyai bentuk air mata dari bumbung ke belakang. Bahagian depannya lebih rendah dari model-model Smart.

Untuk lebih aerodinamik, Mercedes EQXX dilengkapi ‘air curtain’ di bampar depan, penutup rim, gril depan dengan penutup aktif dan diffuser belakang yang akan dinaikkan pada kelajuan tinggi.

Tayar juga adalah jenis kurang rintangan golekan, yang direka khas bersama Bridgestone.

Bahagian dalam EQXX berukuran 1,206mm lebar dan mempunyai skrin resolusi 8k dan menggunakan sistem navigasi 3-dimensi yang mampu memberikan imej satelit jelas.

Kabinnya juga dibina dari bahan-bahan lestari yang dikitar semula, termasuklah fabrik seperti sutera Biosteel, balutan kulit dari cendawan, kulit bebas-haiwan dari gentian kaktus, dan karpet berasaskan buluh.

Mercedes belum mendedahkan sebarang harga atau bila mereka akan menjadikan EQXX model produksi.