fbpx

Nissan Navara R – Jelmaan GT-R R35 dalam sebuah trak pikap, kuasa sehingga 1,000hp!

nissan navara r 02

PADA 2008, dunia modifikasi diserikan dengan kehadiran Nissan GT-R (R35). Manakan tidaknya, sejak model itu dilancarkan ke pasaran, enjinnya yang dikenali dengan kod nama VR38DETT sering digunakan sebagai ‘jalan pintas’ bagi sesiapa sahaja yang ingin menjadikan jentera mereka lebih pantas.

Malah, Nissan sendiri pernah menyumbat enjin tersebut ke dalam model crossover Juke untuk menghasilkan Juke-R. Ini secara tidak langsung mendorong tuner-tuner lain untuk melakukan perkara yang sama.

Terbaru, drifter dari United Kingdom iaitu Steve “Baggsy” Biagioni telah mendedahkan Nissan Navara R, sebuah trak pikap Navara yang bernadikan enjin twin-turbo V6 buatan tangan itu.

Menurut Baggsy, ia dibangunkan dan dibina oleh pasukannya di SB Motorsport dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan. Memang agak lama, tetapi ada sebabnya.

Ini kerana SB Motorsport telah memperbesarkan sesaran enjin tersebut dari 3.8-liter kepada 4.1-liter.

Dipadankan dengan unit kawalan Syvecs, enjin yang diberi jolokan VR41 itu dikatakan mampu menjana 1,000hp. Jumlah tork tidak didedahkan namun tidak mustahil jika ia juga mencecah empat angka.

Sudah tentu, dengan output yang begitu tinggi, transmisi dan klac asal tidak lagi memadai. Tugas untuk membina semula komponen itu diserahkan kepada pakar transmisi klac berkembar dari Auckland, New Zealand iaitu Dodson Motorsport. Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda.

Angka berkaitan prestasi seperti masa pecutan 0-100km/j dan kelajuan maksimum dirahsiakan namun cukuplah sekadar mengetahui yang Navara R akan menggerunkan sesiapa sahaja yang menaikinya.

Modifikasi pada Navara R tidak terhad kepada trenkuasa sahaja. Sistem suspensi trak pikap ini turut diubah suai bagi memuatkan subframe GT-R, sistem coilover perlumbaan KW V4 dan sistem hidraulik HLS 4.

Roda asal pula telah ditukar dengan roda BBS berukuran 20 inci, dengan sistem brek Alcon RC6 dan RC4 tersembunyi disebaliknya. Seperti yang boleh dilihat, gabungan sistem suspensi dan roda aftermarket tersebut memberikan Navara R stance yang begitu agresif.

Tidak cukup dengan itu, Baggsy turut memilih untuk menggunakan kit badan kustom dan balutan yang direka oleh Fleet Livery Solutions untuk menaikkan lagi seri jenteranya.

Sentuhan pada ruang dalaman tidak begitu meluas namun kehadiran tempat duduk bucket Sparco dan stereng GT-R sudah cukup untuk menjadikan suasana lebih sporti.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved