fbpx

Nissan Hyper Force ibarat GT-R R35 elektrik dengan 1,341hp

nissan hyper force 23

BOLEH anda bayangkan sebuah Nissan GT-R R35 ditransformasi menjadi elektrik (EV) dengan 1,341hp? Mungkin bayangan paling tepat ialah konsep terbaharu Nissan ini, iaitu Hyper Force.

Ia didedahkan buat pertama kali kepada umum di Japan Mobility Show yang sedang berlangsung. Nissan Hyper Force menampilkan rekaan ultra-agresif dengan spoiler belakang besar gedabak dan pintu rama-rama.

Nissan tidak berkata bahawa ini sebagai pratonton R35, tetapi bentuk keseluruhan dan empat lampu belakang bulat menunjukkan DNA GT-R padanya.

Malah, bahagian menyala berwarna putih merah di gril depan memberikan klu kereta sports flagship Nissan masa depan. Dari jauh, ia kelihatan seperti logo “GT-R” yang dikaburkan. Kami tidak pasti pula kenapa ia pelru dikaburkan.

Bahagian badannya yang dramatik diberikan canards dan rongga kemasukan udara yang dikawal secara elektronik di fender depan. Sementara itu, spoiler belakangnya memang tak mahu kalah, boleh nampak dari sebatu jauhnya.

Pintu besar dibuka ke atas, dan diffuser yang agresif pastinya membuatkan Hyper Force ini melekat ke jalan semasa di kelajuan tinggi. Rim pula adalah jenis karbon yang diperkukuh.

Ruang dalam pula kelihatan seperti anda duduk dalam bilik komputer permainan video dengan lambakan lampu LED. Memandangkan Nissan berkata kereta ini akan menjadi jentera fokus litar, ia mendapat penggilap cermin yang diletakkan di tengah-tengah.

Hyper Force dilaporkan mempunyai bateri solid-state 1,000kW yang mampu menghamburkan 1,341hp. Menurut Nissan, ia bakal mendapat sistem pacuan semua-roda e-4ORCE dengan konfigurasi dwi-motor. Kelajuan maksima pula sekitar 320km/j jika dilihat pada paparan HUD.

Adakah ini akan menjadi GT-R R36? Sama-sama kita nantikan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved