fbpx

Mitsubishi D:X Concept beri bayangan Delica generasi baharu

Mitsubishi DX Concept 01

ACARA Japan Mobility Show 2023 yang kini sedang berlangsung menyaksikan kemunculan banyak kereta konsep namun antara yang paling menarik perhatian kami adalah Mitsubishi D:X Concept.

Menurut Mitsubishi, D:X Concept bukan sekadar model konsep yang dihasilkan secara suka-suka. Ia sebenarnya memberi bayangan kepada Delica generasi baharu yang akan datang.

Tambah syarikat itu lagi, D:X Concept merupakan sebuah “MPV crossover elektrik” yang menggabungkan ruang kabin MPV yang luas dengan pengendalian SUV, serta prestasi pemanduan berkuasa PHEV.

Direka berdasarkan konsep “Maximum Space and Safety for Humans, Maximum Off-Roader for Boundaryless Adventure”, model ini tampil dengan over fender, tayar yang besar, skid plate hadapan dan belakang, serta pelindung pemijak sisi untuk pemanduan off-road yang selamat.

Pada bahagian hadapan, rekaan Dynamic Shield menyampaikan mesej kekuatan, manakala lampu berbentuk T membuatkan ia kelihatan lebar dan tegap. Teknologi projektor laser yang digunakan memberikan pencahayaan yang baik untuk pemanduan yang lebih meyakinkan.

Di dalam, rekaan monobox memberikan ruang yang luas untuk semua penumpang. Terdapat juga tempat duduk panoramik yang boleh berpusing, dinaikkan dan diturunkan, serta hud lutsinar yang membolehkan pemandu melihat keadaan permukaan jalan dan sudut belokan tayar hadapan.

Selain itu, D:X Concept juga didatangkan dengan sistem kawalan suara kecerdasan buatan (AI) dan sistem audio tiga dimensi Yamaha dengan pembesar suara yang diletakkan di lokasi-lokasi strategik termasuk pada perehat kepala.

Turut disertakan adalah upholsteri kulit tulen berwarna perang yang membaluti tempat duduk dan panel instrumen, serta bahagian-bahagian yang diperbuat daripada logam berkualiti tinggi.

Maklumat mengenai trenkuasa tidak didedahkan namun menurut Mitsubishi, D:X Concept menggunakan sistem kawalan Super All Wheel Control (S-AWC) untuk sistem pacuan empat rodanya. Ia mempunyai beberapa mod pemanduan termasuk EV untuk kegunaan harian dan hibrid untuk perjalanan jauh.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved