fbpx

Maserati MC20 Cielo kini di Malaysia – RM1.2 juta sebelum duti, cukai

Maserati MC20 Cielo 01

NAZA Itali telah mengumumkan ketibaan Maserati MC20 Cielo di pasaran Malaysia. ‘Cielo’ bermaksud ‘langit’ dalam bahasa Itali dan model ini secara asasnya adalah versi convertible kepada MC20 coupe yang dilancarkan di sini pada Jun lalu.

MC20 Cielo menampilkan bumbung jenis hardtop dengan panel kaca elektrokromik yang boleh ditukar dari telus kepada legap menerusi teknologi Advanced Polymer-Dispersed Liquid Crystal (PDLC).

Bukan itu sahaja, bumbung tersebut juga boleh dibuka dan ditutup dalam masa 12 saat, semasa kereta bergerak pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Menurut Maserati, penggunaan bumbung kaca itu tidak menjejaskan ketegaran kilasan dan nisbah kuasa-berat jentera ini, dengan beratnya cuma bertambah sebanyak 65 kg berbanding versi coupe.

Dari segi kuasa, MC20 Cielo tampil dengan enjin Nettuno yang sama seperti yang terdapat pada versi coupe. Dilengkapi dengan pelbagai teknologi daripada F1, enjin tersebut menghasilkan 630 PS pada 7,500 rpm dan 730 Nm dari 3,000 rpm.

Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.0 saat dan 0-200 km/h dalam 9.2 saat. Ia juga dikatakan boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 320 km/j.

Seperti versi coupe, MC20 Cielo mempunyai pintu butterfly yang dibuka ke atas. Versi pelancaran ini menampilkan warna metalik tiga lapisan yang dikenali sebagai Acquamarina, yang ditawarkan sebagai opsyen menerusi program kustomisasi Maserati Fuoriserie.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan pelbagai sistem keselamatan aktif seperti Autonomous Emergency Braking, Traffic Sign Information dan kamera 360 darjah, di samping ciri-ciri sedia ada seperti sensor parkir, kamera undur dan Blind Spot Monitor.

Turut disertakan adalah sistem multimedia Maserati Intelligent Assistant (MIA) dan Maserati Connect. Untuk pengalaman pemanduan yang lebih menghiburkan, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem audio Sonus Faber dengan 12 pembesar suara.

Harga jualan MC20 Cielo bermula dari RM1,228,000 tidak termasuk duti dan cukai, opsyen dan insurans. Harga berkenaan termasuk waranti standard selama tiga tahun tanpa had perbatuan, dan program penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun/60,000 km.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved