fbpx

Genesis G80 Sport dengan pengedalian lebih mantap, sistem RWS

genesis g80 sport 03

GENESIS, jenama mewah yang bernaung di bawah Hyundai Motor Group, baru-baru ini mendedahkan lebih banyak perincian mengenai G80 Sport sempena pelancarannya di Korea Selatan.

Ditayangkan kepada umum buat pertama kali pada bulan lalu, G80 Sport secara asasnya adalah sedan G80 yang telah diberikan suntikan elemen sporty pada penampilan serta pengendaliannya.

Penampilan luaran G80 Sport boleh dibezakan menerusi rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, berserta kemasan krom hitam di sekeliling gril radiator dan bezel hitam di dalam perumah lampu hadapan.

Selain itu, warna Cavendish Red yang ditampilkan ini ditawarkan secara eksklusif untuk model ini sahaja, begitu juga dengan rim aloi 20-inci dengan corak G-Matrix. Angkup brek pula boleh didapati dalam warna merah atau hitam.

Di dalam, ciri-ciri unik G80 Sport yang tidak ditawarkan pada versi standard adalah stereng tiga jejari dan tiga pilihan trim untuk papan pemuka iaitu aluminium, karbon atau tenunan hibrid bercorakkan permata.

Pelanggan juga boleh memilih corak jahitan pada tempat duduk, sama ada bermotifkan bentuk permata atau corak V.

Sesuai dengan nama ‘Sport’ yang digunakan, model ini hadir dengan penambahbaikan mekanikal yang pastinya boleh menjadikan ia lebih cekap di jalan raya. Yang pertama adalah sistem stereng roda belakang atau Rear Wheel Steering (RWS).

Pada kelajuan sehingga 60 km/j, sistem berkenaan akan membelokkan roda belakang mengikut arah bertentangan dengan tayar hadapan bagi mengurangkan radius putaran, sekaligus menjadikan kereta lebih lincah.

Sebaliknya pada kelajuan yang lebih tinggi, roda belakang akan dibelokkan mengikut arah yang sama dengan roda hadapan bagi mendapatkan lebih kestabilan.

Bukan itu sahaja, sistem suspensi G80 Sport turut ditala semula dengan kadar redaman yang berbeza mengikut mod pemanduan yang dipilih. Bercakap tentang mod pemanduan, Genesis telah menambah mod Sport+ yang dapat memaksimumkan prestasi pecutan dan pengendalian.

Sayangnya, tiada sebarang modifikasi yang dilakukan pada enjin dan transmisi. Ini bermakna, seperti G80, model Sport ini ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 2.5-liter empat silinder turbo dengan 300hp/422Nm dan 3.5-liter V6 dwi-turbo dengan 375hp/530Nm.

Ia juga boleh didapati dengan enjin turbodiesel berkapasiti 2.2-liter yang menghasilkan 207 hp dan 441 Nm. Ketiga-tiganya didatangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan pilihan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved