fbpx

Mazda Iconic SP bawa semula enjin rotary, lampu pop-up!

mazda iconic sp 03

MAZDA Iconic SP menjadi salah satu perhatian utama di Japan Mobility Show hari ini, membawakan banyak ciri yang dinantikan oleh peminat kereta sports, antaranya enjin rotary. Ya, sejak ura-ura berkenaan enjin rotary baharu ini beberapa tahun lepas, ramai yang menantikannya.

Konsep Iconic SP ini nampak mirip dengan Vision Study yang pernah ditunjukkan. Ianya juga lebih besar dari MX-5 Miata, menjadikannya suatu potensi kesinambungan untuk RX-7.

Walaupun mendapat enjin rotary, tetapi tidak seperti coupe lejen itu, Iconic SP menggunakan enjin dua-rotor itu bukan untuk memacu roda, sebaliknya bagi mengecas bateri – yang belum diketahui kapasitinya. Bateri ini kemudiannya akan membekalkan kuasa kepada motor elektrik.

Walaupun belum didedahkan secara spesifik jenis pacuan kuasa Iconic SP ini, dilaporkan ia akan menjana 365hp. Mazda berkata enjin rotary ini boleh diisi dengan pelbagai jenis bahan api, termasuk hidrogen dan minyak boleh diperbaharui.

Berukuran 4,180mm panjang, 2,103mm lebar, dan 1,148mm tinggi, Iconic SP lebih panjang dari MX-5 Miata ND tetapi lebih pendek dari RX-7 1995. Berat pula sekitar 1,450kg.

Menurut Mazda, disebabkan enjinnya yang bersaiz kompak, ini membolehkan Iconic SP direka dengan hud depan panjang dan sangat rendah. Fender berbentuk botol Coke memberikan kontra moden terhadap rekaan tingkap sisi RX-7.

Dapat dilihat juga bentuk gril terkini Mazda pada bahagian depan, sementara lampu belakang Venn-diagram mengambil inspirasi dari MX-5 NA dan RX-7 FC. Pintunya dibuka ke tepi dan naik ke atas, seperti rekaan pintu Aston Martin.

Di dalam, Iconic SP menampilkan rekaan minimalis. Terdapat tombol gear jenis butang mesin taip, paparan instrumen digital, satu paparan infotainmen kecil, dan papan pemuka yang beralun dan melengkung.

Iconic SP mungkin mempunyai kapasiti enjin 1.6-liter, iaitu kira-kira dua kali ganda enjin MX-30 PHEV yang bersesaran 0.8-liter. Enjin Iconic SP juga boleh digunakan sebagai generator V2L, membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.

CEO Mazda, Masahiro Moro berkata: “Mazda akan sentiasa memberikan kenderaan yang mengingatkan orang bahawa kereta adalah keseronokan dan bahagian dalam hidup mereka yang tidak boleh dipisahkan.”

“Sebagai syarikat yang meminati kereta dan menghasilkan kenderaan menarik, kami komited untuk membentuk masa depan dimana semua orang boleh berkata dengan bangga, ‘Kami suka kereta.’”

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved