fbpx

Mercedes Vision EQXX dengan badan ‘licin’, jarak pemanduan 1,000km!

mercedes vision eqxx 06

MERCEDES-Benz mempersembahkan model terulung bagi kecekapan penggunaan tenaga, iaitu Vision EQXX yang merupakan sedan EV (elektrik sepenuhnya). Nama Vision bermaksud ia masih sebuah konsep tetapi versi produksi dikatakan bakal tiba.

Mercedes Vision EQXX direka dengan kecekapan maksima yang membolehkannya mencapai jarak pemanduan sehingga 621 batu (1,000km) dengan setiap caj.

Ini pasti cukup untuk pandu dari Johor Bahru melalui Kuala Lumpur, hingga ke Padang Besar, Perlis! Mercedes berkata untuk pemandu di Amerika secara purata hanya perlu mengecaj dua kali sebulan.

Mercedes belum mendedahkan sebarang spesifikasi untuk kapasiti bateri EQXX ini tetapi mereka ada mengatakan ia kurang dari 100kWh.

Tetapi ada juga perincian menarik mengenai pakej sumber kuasa EQXX ini. Baterinya dikatakan 50 peratus kurang dan 30 peratus lebih ringan dari EQS. Kuasa maksima ialah 900 volt.

Bateri dan bingkainya adalah seberat 495kg dan kuasa disalurkan ke motor elektrik yang menjana 210hp (150kW). Mercedes juga berkata sistem kuasa ini mempunyai tahap kecekapan setinggi 95 peratus.

Selain itu, terdapat panel solar 117 sel di bumbung yang akan membekalkan kuasa kepada sistem elektrik kereta seperti pendingin hawa, lampu dan unit infotainmen. Sistem solar ini mampu menjimatkan sehingga 25km jarak pemanduan.

Jika dilihat pada foto-foto, EQXX nampak agak kompak. Ia mempunyai panjang sekitar 4,630mm iaitu kira-kira 120mm lebih pendek dari C-Class.

Ia juga agak ringan bagi sebuah EV, dengan berat sekitar 1,750kg. Ini cuma lebih berat sedikit sahaja dari Mercedes C300 (1,675kg).

Paling menarik pada rekaan luaran EQXX ialah bentuknya yang sangat ‘licin’ atau aerodinamik, malah ia mempunyai drag coefficient hanya 0.18. Badannya sangat licin dan mempunyai bentuk air mata dari bumbung ke belakang. Bahagian depannya lebih rendah dari model-model Smart.

Untuk lebih aerodinamik, Mercedes EQXX dilengkapi ‘air curtain’ di bampar depan, penutup rim, gril depan dengan penutup aktif dan diffuser belakang yang akan dinaikkan pada kelajuan tinggi.

Tayar juga adalah jenis kurang rintangan golekan, yang direka khas bersama Bridgestone.

Bahagian dalam EQXX berukuran 1,206mm lebar dan mempunyai skrin resolusi 8k dan menggunakan sistem navigasi 3-dimensi yang mampu memberikan imej satelit jelas.

Kabinnya juga dibina dari bahan-bahan lestari yang dikitar semula, termasuklah fabrik seperti sutera Biosteel, balutan kulit dari cendawan, kulit bebas-haiwan dari gentian kaktus, dan karpet berasaskan buluh.

Mercedes belum mendedahkan sebarang harga atau bila mereka akan menjadikan EQXX model produksi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved