fbpx

Proton Ultimate, kereta sports tempat yang tidak kesampaian – Imbas Engear

proton ultimate 02

RAMAI yang sering meminta model prestasi mampu milik dari jenama tempatan Proton atau Perodua, kerana merasakan kebanyakan model dijual hari ini tidak cukup “umph”.

Proton sekitar 2000 hingga 2013 banyak menghasilkan model-model R3 yang seronok dipandu, malah masih menjadi buruan di pasaran terpakai hari ini.

Tetapi mungkin ramai tidak mengetahui 20 tahun dahulu, Proton pernah hampir mengeluarkan kereta sports mid-engined mampu milik untuk rakyat Malaysia. Bahkan satu unit prototaip dilaporkan telah dibina.

Kisahnya bermula apabila Proton mahu meningkatkan imej mereka dan menjadi lebih menonjol dari jenama-jenama kos rendah (terutamanya dari Asia timur), dengan membina model berteknologi tinggi dalam bentu jentera sports mid-engined (enjin tengah) 2.0-liter.

Memandangkan Proton pada masa itu masih memiliki Lotus Engineering, maka pastinya mereka mempunyai tenaga kepakaran dan kejuruteraan untuk dimanfaatkan.

Kereta sports itu sepatutnya dilancarkan pada 2003, kira-kira tiga tahun selepas projek itu didedahkan, dengan designasi Proton Ultimate (PU). Tempoh ini dianggap singkat – kebanyakan R&D mengambil masa kira-kira empat tahun – tetapi ianya dikatakan munasabah kerana dua sebab.

Pertama, ia direka untuk menjadi model jumlah pengeluaran rendah dengan parameter khas spesifik, tidak seperti model pengeluaran besar-besaran seperti kereta Proton lain.

Keduanya, kebanyakan proses kejuruteraan adalah berlainan dari kebiasaan dan akan menggunakan bahan-bahan komposit ringan.

Program dengan nama dalaman ‘Project Sepang’ ini dipercayai bermula pada Februari 2000, dengan konsep casis yang telah ditetapkan. Casis yang bakal digunakan ialah ‘Monaco’ dari Lotus yang pernah dipertontonkan di Frankfurt Auto Show.

Tetapi ia bukanlah sebuah kereta Lotus versi Proton, atau sebaliknya. Lotus sendiri mahu kedua-dua kenderaan ini berbeza. Pengeluar UK itu kemudiannya merealisasikan model mereka iaitu Europa pada 2006.

Dalam hal Proton, objektifnya ialah untuk menawarkan kereta sports dengan teknologi tinggi tetapi mampu milik, khasnya untuk rakyat Malaysia. Harga sasaran pada masa itu ialah RM150,000 (kira-kira RM249,000 hari ini jika ambil kira faktor inflasi).

Nampak mahal RM240,000 untuk sebuah Proton? Harus diingat, ini sebuah kereta sports dua tempat duduk mid-engined. Sedangkan SUV Proton pun sudah lebih RM120,000, ini pun perkara yang kita tida pernah fikir 10 tahun lepas.

Untuk enjin pula, beberapa pilihan untuk Ultimate telah diambil kira seperti Petronas E01 dengan 204hp dan Proton V6 yang mampu menjana sehingga 200hp.

Dikatakan Proton mahu menggunakan enjin Petronas kerana mereka kurang gembira membayar terlalu tinggi kepada Mitsubishi untuk mendapatkan enjin.

Menurut CEO Proton pada masa itu, kereta sports ini akan menggunakan banyak teknologi dan bahan ringan, tetapi masih ‘suku dari kos untuk membangunkan sedan biasa’. Ini boleh dicapai dengan menggunakan banyak komponen Proton sendiri, sebagai contoh brek dari Wira.

Pengeluaran untuk PU dikhabarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 unit dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Semasa kereta sports ini sepatutnya dikeluarkan, Proton juga telah melabur untuk barisan pemasangan baharu mereka di kilang Shah Alam, untuk membolehkan proses pengeluaran berbeza dari model konvensional.

Sekurang-kurangnya satu unit prototaip dikatakan telah siap dengan ‘enjin Amerika’. Tidak diketahui sama ada prototaip ini masih ada atau telah dilupuskan selepas Geely masuk ke dalam Proton.

Sayang sekali program PU ini tidak dapat direalisasikan sepemnuhnya. Beberapa pembangunan lain dalam syarikat ini juga mungkin mengalih fokus mereka, selain perubahan kempimpinan yang membuatkan keutamaan bertukar.

Apa pendapat anda mengenai projek Proton Utimate ini? Jika ia diteruskan dengan generasi baharu hari ini, boleh jual dengan harga RM230,000 hingga RM250,000?

Sebagai perbandingan, harga kereta sports seperti Alfa Romeo 4C, Lotus Elise, dan Toyota GR86 adalah sekitar RM220,000 hingga RM400,000, merangkumi kereta baharu dan recond.

Artikel asal, maklumat, dan gambar dikongsi oleh rakan media kami, Chips Yap di MotaAuto.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved