Kenderaan Ford bawah RM30,000! Berbaloi atau tidak?

JENAMA Ford bukan suatu yang asing dalam dunia automotif.

Diasaskan oleh Henry Ford dan diperbadankan pada 1903, syarikat ini telah menghasilkan berjuta kenderaan pelbagai model seluruh dunia.

Menjelang tahun 1914, Ford telah memainkan peranan sangat penting dalam memulakan pengeluaran kenderaan secara besar-besaran.

Ini kerana Ford adalah satu-satunya syarikat yang mengeluarkan kenderaan secara sistematik selain menguruskan kejuruteraan automotif secara cekap.

Sehingga kini, pelbagai model kenderaan dihasilkan Ford bermula daripada jenis sedan sehingga jentera pacuan empat roda.

Justeru, artikel kali ini kita ingin membicarakan mengenai kenderaan buatan Ford yang boleh didapati pada harga kurang RM30,000.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Focus

Berdasarkan ‘risikan’ Engear, anda boleh memiliki sebuah kereta Ford second hand serendah RM30,000.

Ford Focus tahun 2012 misalnya boleh didapati pada harga serendah RM29,999.

Kenderaan ini bukan sahaja memiliki reka bentuk menawan malah, kompak untuk kegunaan di dalam bandar.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Escort

Ford Escort amat sinonim dengan individu ‘gila’ kereta kerana ia sering digunakan dalam perlumbaan rally.

Jangan terkejut kereta ini masih mendapat permintaan tinggi walau agak ‘senior’ berbanding model Ford lain.

Setakat ini, Engear pernah menemui sebuah Ford Escort tahun 1975 yang ingin dijual pada harga RM25,000!

Jadi, jangan pandang sebelah mata ya jika terlihat kereta ini di atas jalan raya.

Foto ihsan Mudah.my

Ford Econovan 1.8 (Manual)

Jika anda tercari-cari kenderaan jenis van untuk tujuan membawa pekerja atau barangan niaga, Ford Econovan second hand amat sesuai sekali.

Selain ditawarkan harga yang rendah, model ini amat terkenal dengan ketahanan enjin dan mampu membawa muatan yang agak berat.

Sebuah Ford Econovan 1.8 manual second hand boleh diperoleh sekitar harga Rm12,500 sahaja.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Fiesta

Sebuah lagi kenderaan Ford yang sangat popular di negara ini adalah model Fiesta.

Reka bentuk menawan selain kelihatan sporty menyebabkan ramai juga tertarik untuk memiliki model ini.

Sebuah model Fiesta 2012 yang Engear berjaya temui di internet ingin dijual pada harga RM23,000.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Everest

Namanya sama seperti gunung tertinggi di dunia membuktikan model ini antara kenderaan tahan lasak pernah dihasilkan Ford.

Model ini didatangkan dengan enjin diesel 2.5 turbo.

Memiliki platform chasis kenderaan pick up, ia amat sesuai untuk digunakan bagi aktiviti lasak.

Ford Everest tahun 2005 boleh didapati pada harga RM22,500.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Ranger Courier

Anda yang selalu ke Thailand pasti sering melihat model ini meluncur di jalan raya negara itu.

Ia juga sering digunakan oleh pihak polis negara itu untuk menjalankan aktiviti rondaan memandangkan fungsinya yang tahan lasak.

Di Malaysia, sebuah Ford Ranger Courier tahun 1997 boleh didapati pada harga serendah RM16,800 sahaja.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Cortina MK4 2.0 GHIA

Ford Cortina mengalami beberapa transformasi mengikut peredaran masa sejak dari tahun 1962.

Untuk pengetahuan anda, perkataan “GHIA” menunjukkan bahawa ia merupakan sebuah kenderaan yang mempunyai spesifikasi tinggi.

GHIA merupakan design house dari Itali yang telah dibeli oleh Ford dalam usaha mereka menghasilkan kenderaan dengan rekaan lebih menarik dan berkualiti.

Hasil carian kami di internet mendapati sebuah Ford Cortina MK4 2.0 GHIA tahun 1995 boleh didapati pada harga RM11,000.

Demikian tujuh kenderaan Ford berharga kurang RM30,000 yang boleh didapati di negara ini.

Engear tidak nafikan mungkin ada beberapa model yang boleh didapati dengan harga lebih rendah seperti dinyatakan di atas.

Maka, jika ada sebarang maklumat atau informasi ingin dikongsikan sila komen di platform yang disediakan.

Jangan lupa tonton video “Pandu Kereta Ford Bawah RM30K” di semua platform media sosial Engear.

Chiow!

Setia dengan Ford selama 90 tahun, atuk ini dapat pandu Mustang Mach-E

ADALAH menjadi perkara yang menarik untuk melihat mereka yang lahir pada 1920-an atau berusia lebih 100 tahun masih sihat untuk memandu.

Sama seperti Harold Baggott yang lahir pada 1920, dia masih rajin memandu setiap hari. Ya, seorang atuk yang berumur 101 tahun.

Baru-baru ini, Baggott dapat cuba memandu Mustang Mach-E baharu dari Ford. Mengapa? Ini kerana beliau telah setia dengan jenama itu selama 90 tahun. Baggott mula memandu pada usia 10 tahun menggunakan Ford Model T milik keluarganya, dia hanya memperoleh lesen pada 1936, iaitu enam tahun kemudian.Boleh dikatakan Baggott seorang peminat Ford.

Kereta pertamanya ialah Ford 8 Popular yang dibeli pada 1937 dengan harga £100 (RM576). Tahun berikutnya, dia membeli pula sebuah Ford Anglia. Keluarga Baggott telah memiliki 20 buah Ford dan beberapa kenderaan komersil jenama sama untuk menjalankan perniagaan bas dan pelancongan mereka. Malah hingga hari ini Baggott masih berminat dalam industri automotif.

“Sejak berumur 10 tahun, saya berminat dalam permotoran dan hari ini, saya turut berminat dengan langkah kerajaan yang beralih dari enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan elektrik,” kata Baggott.

“Saya sangat menghargai sejarah pemanduan dengan Model T ini dan teruja melihat apa yang cucu-cicit saya akan pandu di masa akan datang.”

Ford UK baru-baru ini memberi peluang Baggott memandu Model T 1915 yang telah direstorasi sepenuhnya sebelum membenarkan beliau memandu Mustang Mach-E bersama keluarganya.

VW, Ford lancar Amarok W580X 2021! Tekad tawan pasaran trak pikap

TRAK pikap Amarok W58oX secara rasmi dilancarkan di Australia.

Amarok edisi khas hasil kerjasama Volkswagen (VW) dan Ford itu dijangka menarik minat majoriti pengguna Australia.

Untuk rekod, model Amarok W580X juga mempunyai sentuhan teknologi firma tempatan, Walkinshaw.

Pada masa sama, Walkinshaw merupakan ‘mastermind’ kepada rekaan pelindung cermin sisi, bampar belakang dan bahagian gril hadapan model itu.

Amarok baharu terkenal dengan kelasakan di semua jenis permukaan jalan. – Foto VW Australia

Rekaan enjin lebih bertenaga

Amarok W580X memiliki enjin V6 3.0 liter turbo berkembar diesel.

Ia mampu menghasilkan 255 hp dengan daya kilas 580 Nm menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Sementara itu, Amarok W580X ini didatangkan dengan suspensi kit pengangkat dan penyerap hentak tiub berkembar.

Ruang dalaman yang cukup selesa. – Foto ihsan VW Australia

Berikut antara spesifikasi canggih lain terdapat pada Amarok W580X:

  • Lampu utama bi-xenon
  • Lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya atau LED
  • Kawalan iklim dua zon automatic
  • Tempat duduk dengan pemanas
  • Sistem pemantauan tekanan tayar
  • Rim tayar 18 inci

Setakat ini, harga seunit Amarok W580X 2021 sekitar $38,490 dolar Australia atau bersamaan RM163,000.

Setakat ini tidak dapat dipastikan adakah model ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. – Foto ihsan VW Australia

Ford daftar nama Skyline di AS, kenapa pula ni?

CAKAP sahaja nama Skyline, pasti 110% dari anda akan terbayang jentera prestasi ikonik dari Nissan. Tapi nampaknya perkara ini mungkin berubah kerana Ford juga mahu dikaitkan dengan nama Skyline.

Dilaporkan oleh Motor Authority, Ford Motor Company telah memohon untuk menggunakan nama Skyline kepada US Patent and Trademark Office, bertarikh 12 Julai 2021.

Jadi apa yang sedang berlaku di sini? Sama seperti anda, kami juga tidak pasti apa signifikannya nama Skyline kepada pengeluar Amerika Syarikat (AS) itu. Dah tak ada nama lain nak guna?

Menurut tanda niaga itu (bernombor siri 90823372), nama itu difailkan di bawah Goods and Services, khas untuk “kenderaan darat, iaitu SUV, trak, dan automobile.” Adakah ia akan digunakan pada kenderaan produksi, masih menjadi tanda tanya.

Menambah kepada kekeliruan ialah hakikat bahawa Ford tidak pernah menggunakan nama Skyline sebelum ini. Mereka cuma pernah gunakan nama Skyliner beberapa kali pada 1950-an, khasnya untuk Crestline, Fairlane Crown Victoria, Fairlane 500, dan Galaxie.

Kali terakhir nama Skyliner digunakan ialah pada 2015 iaitu untuk kenderaan konsep berasaskan Ford Transit.

Nissan pula telang menggunakan nama Skyline di Jepun, yang mewakili sedan prestasi yang kemudiannya menjadi Nissan GT-R. Model Skyline dijual di AS dan beberapa pasaran lain sebagai Infiniti Q50.

Dengan itu, apa pun perancangan Ford ini, pasti menarik perhatian pengikut industri automotif. Kami akan laporkan sebarang perkembangan isu ini.