fbpx

Lesen memandu khas untuk trak pikap bagi bendung kemalangan – Ketua Jurulatih TIC Advanced Driving Academy

toyota hilux 2020 media drive 33

KERAJAAN disarankan supaya mewujudkan lesen memandu khas untuk pemandu trak pikap ekoran banyak kes kemalangan maut yang melibatkan kenderaan jenis itu di negara ini.

Ketika ini, sesiapa sahaja boleh memandu trak pikap asalkan mempunyai lesen Kelas D ia­itu motokar berat tanpa muatan tidak melebihi 3,500 kilogram.

Ketua Jurulatih TIC Advanced & Performance Driving Academy, Azad Jasmi berkata: “Lesen memandu khas itu penting supaya pemandu trak pikap memiliki kemahiran serta teknik pengendalian kenderaan dengan cara yang betul dan selamat.”

Menurutnya, lesen Kelas D yang digunakan pemandu pa­cuan empat roda ketika ini tidak sesuai dengan cara pengendaliannya yang berbeza dengan kereta lain.

“Jika sebelum ini, kebanyakan mereka yang mengambil lesen memandu Kelas D akan berlatih dengan menggunakan kereta jenis Perodua Kancil atau Axia.

 

“Bagaimanapun, selepas mendapat lesen, mereka pandu pacuan empat roda yang mempunyai fizikal yang jauh lebih besar, tinggi serta enjin yang lebih berkuasa,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Azad memberitahu, secara umumnya pacuan empat roda digunakan untuk mengangkut barang atau beban dan ­ken­de­­ra­an tersebut tidak boleh dipandu terlalu laju.

Jelasnya, kedudukan titik graviti trak pikap adalah lebih tinggi menyebabkan ia menjadi kurang stabil berbanding kende­raan yang lebih rendah dan dekat dengan permukaan jalan.

“Lebih teruk apabila sikap pemilik yang tidak mengenali secara menyeluruh sifat kenderaan itu dan terus memandu laju sehingga hilang kawalan dan mudah untuk memasuki laluan bertentangan atau terbabas,” ujarnya.

Justeru, Azad mencadangkan supaya pemandu trak pikap perlu memiliki lesen memandu khas seperti pemandu lori dan bas iaitu Lesen Memandu Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Lesen Kende­raan Pe­ngangkutan Awam (PSV).

“Keupayaan pengendalian dan memahami karakter sesebuah pacuan empat roda ini penting kerana jika berlaku kecemasan, pemandu akan tahu cara yang selamat untuk membrek supaya kereta itu tidak berpusing atau terbalik,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Jalan raya Kebangsaan, Datuk Mohammad Hisham Shafie pula berkata, mana-mana individu yang mahu memandu trak pikap juga perlu menjalani latihan atau kursus bagi meningkatkan advokasi.

Katanya, antara sebab utama kemalangan masih ber­ulang disebabkan sikap pemandu selain terdapat perbezaan antara cara pemanduan pikap dengan kereta.

“Kita sedia maklum bahawa trak pikap adalah lebih besar dan memiliki kuasa yang lebih tinggi menyebabkan segelintir pemandu tidak mahu bertolak ansur dan juga bersikap ego.

“Jadi, satu program advokasi melibatkan teknik memandu dan pemanduan berhemah perlu diterapkan dalam sistem sedia ada,” ujarnya.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan institut memandu juga disarankan untuk melakukan pemeriksaan ke atas pemandu untuk tempoh tiga tahun hingga lima tahun sekali bagi memastikan mereka layak untuk mengendalikan kenderaan itu.

“Sepatutnya selepas individu ambil lesen, pemandu perlu menjalani semula latihan, teori dan praktikal dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekali.

“Ini bagi memastikan kompetensi dan kecekapan pemandu adalah berada pada tahap yang baik dan memuaskan,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan, penguatkuasaan un­dang-undang juga perlu ditingkatkan supaya tiada individu memandang ringan terhadap peraturan sedia ada.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved