fbpx

Ford Everest serba baharu tiba di Malaysia, 2.0 single-turbo dan bi-turbo, sehingga 210hp/500Nm, dari RM264k

ford everest 2022 launch 03

SELEPAS pelancaran Ford Ranger beberapa bulan lepas, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) kini membawakan pulak Everest serbah baharu untuk pasaran Malaysia.

SUV tujuh tempat duduk premium ini hadir dengan tiga varian dan harga seperti berikut:

Everest Sport: RM263,888
Everest Trend: RM281,888
Everest Titanium: RM308,888

Seperti kembar trak pikapnya, Ford Everest tampil dengan badan yang tegap, dan rekaan global Ford dengan DRL LED berbentuk C yang bersepadu dengan palang gril.

Lampu LED diberikan standard untuk Sport dan Trend, sementara varian Titanium mendapat lampu LED Matrix dengan fungsi Auto High Beam dan belokan dinamik dan pelarasan bergantung kepada kelajuan kenderaan.

Badan luaran juga dilengkapi dengan rel bumbung, rim 18- atau 20-inci, pintu kargo berkuasa, dan bumbung panoramik panel berkembar. Everest baharu ini mempunyai jarak kelegaan tanah 200mm dan mampu meredah air sedalam 800mm.

Terdapat dua pilihan enjin iaitu 2.0-liter single-turbo untuk Sport, dan 2.0-liter bi-turbo untuk Trend dan Titanium.

Unit 2.0-liter single-turbo menjana 170PS pada 3,500rpm dan 405Nm dari 1,750 hingga 2,500rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan dengan SelectShift.

Enjin 2.0-liter bi-turbo pula menghasilkan output lebih tinggi, iaitu 210PS pada 3,750rpm dan 500Nm dari 1,750 hingga 2,000rpm. Kotak gear untuk enjin ini ialah automatik 10-kelajuan dengan SelectShift dan fungsi Electronic Shift on the Fly (ESOF).

Bergantung kepada varian dan jenis enjin, terdapat sehingga enam mod pemanduan boleh dipilih iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands.

Dari segi suspensi, Ford Everest baharu hadir dengan double-wishbone di depan, dan spring gegelung dengan Watt’s Linkage di belakang.

Di bahagian dalam pula, Ford Everest menampilkan binaan papan pemuka lebar, 10 pemegang cawan, tempat duduk dengan konfigurasi fleksibel dan balutan kulit hitam, dan soket-soket kuasa seperti AC 230V dengan kapasiti 400W.

Di depan pemandu terdapat panel instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12-inci yang menggantikan paparan analog.

Sementara itu di konsol tengah terletaknya skrin infotainmen menegak bersaiz 12-inci untuk Titanium (10.1-inci untuk Trend dan Sport) yang menggunakan perisian Ford SYNC 4A dan menyokong sambungan Android Auto dan Apple Carplay.

Ciri teknologi lain termasuklah lapan pembesar suara, kamera 360-darjah, kamera undur, empat slot pengecaj USB dan pengecaj tanpa-wayar Qi.

Kesemua varian Ford Everest 2022 datang dengan kelengkapan keselamatan agak lengkap seperti tujuh beg udara, ISOFIX, ABS, EBD, Electronic Stability Control, Adaptive Load Control, Hill Launch Assist dan Rollover Mitigation.

Sementara itu varian tertinggi Titanium mendapat tambahan Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Blind Spot Information System, dan Autonomous Emergency Braking dengan Pedestrian Detection.

Ford Everest 2022 hadir dengan pilihan warna seperti berikut: Absolute Black, Aluminium Metallic, Artic White, Equinox Bronze, Lightning Blue, Meteor Grey dan Sedona Orange.

SUV ini datang dengan jaminan pengeluar selama tiga-tahun, atau hingga 100,000 km, yang mana dulu. Lanjutan jaminan selama dua-tahun atau 60,000 km, yang mana dulu, turut ditawarkan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved