fbpx

Ford Mustang Convertible ‘Caged’, muscle klasik dengan nadi Coyote V8

Ford Mustang Convertible Caged 01

FORD Mustang generasi pertama mungkin tidak dipandang oleh pengasas-pengasas syarikat kosmetik atau geng trader forex, namun bagi peminat kereta muscle klasik, inilah antara kereta yang menjadi pencetus segala-galanya.

Dihasilkan dari 1964 hingga 1966, jumlah Mustang original di jalan raya sudah tidak banyak, jadi untuk melihat unit yang masih dalam keadaan yang baik seperti ini pastinya mengujakan. Buat pengetahuan anda, Mustang Convertible ini diberi nama ‘Caged’ dan ia merupakan hasil restorasi syarikat kustom yang berasal dari Wisconsin iaitu Ringbrothers.

Sekilas pandang, Caged mungkin nampak seperti ia menggunakan komponen-komponen asal (atau ‘stock’) namun menurut Ringbrothers, hampir semua bahagian dihasilkan semula oleh mereka menggunakan pencetak 3D. Malah, hanya centre cap pada rim yang merupakan komponen asal dari kilang.

Casis Mustang Convertible ini telah ditukarkan menjadi platform unibody, manakala panel badannya dipanjangkan dan dilebarkan sebanyak seinci. Gril diposisikan lebih ke dalam sebanyak dua inci dan diberi kemasan cat Cerakote Titanium C-105P.

Jika model asal didatangkan dengan rim 14 atau 15 inci, Caged pula menggunakan rim EVOD Industries berukuran 18 inci yang dibalut tayar berjenama Continental. Ia digandingkan dengan suspensi bebas pada bahagian belakang, coilover Penske Racing serta sistem brek Baer.

Tersembunyi di bawah bonet adalah enjin 5.0-liter V8 Coyote keluaran Ford Performance yang diambil terus dari Mustang GT. Jumlah kuasa tidak didedahkan namun enjin ini telah dinaik taraf dengan header dari Ringbrothers dan juga sistem ekzos Flowmaster. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi automatik 10 kelajuan.

Walaupun penampilannya tidak ubah seperti model standard, Ringbrothers mengambil masa kira-kira 4,200 jam untuk memastikan setiap inci Caged dibaik pulih dan memenuhi kehendak pelanggan.

 

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved