fbpx

Jentera Ford Focus WRC Colin McRae yang ikonik ini akan dilelong, harga anggaran RM1.9 juta!

ford focus colin mcrae 01

PEMINAT sukan rali sudah pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi dengan mendiang Colin McRae yang pernah memegang rekod kemenangan terbanyak dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan 25 kemenangan.

Tidak dinafikan, namanya mungkin lebih sinonim dengan Subaru yang membantu beliau merangkul kejuaraan dunia pertamanya pada 1995, namun tahukah anda bahawa McRae juga pernah bersama Ford?

Bagi saingan musim 1999, McRae menukar angin dengan menyertai pasukan Ford World Rally Team yang dioperasikan oleh M-Sport. Jentera Ford Focus WRC (Y4 FMC) yang dilelong oleh Silverstone Auctions ini membantu McRae memenangi banyak perlumbaan, termasuk yang paling sukar ketika itu iaitu The Safari Rally di Kenya.

Malah, pelumba kelahiran Scotland itu pernah hampir merangkul gelaran dunianya yang kedua dengan kereta ini namun terlepas disebabkan kemalangan teruk di peringkat keempat kejohanan Rally Great Britain.

Kesan daripada kejadian itu, kejuaraan dunia bagi musim 2001 menjadi milik Richard Burns yang mendahului McRae dengan perbezaan hanya dua mata.

Walaupun mengalami kerosakan yang teruk, Y4 FMC berjaya dibaik pulih oleh pasukan M-Sport dan digunakan semula oleh McRae dalam beberapa pusingan Kejohanan Rali Dunia pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, hayatnya tidak lama apabila ia dijual kepada pasukan lain untuk bersaing dalam siri kejohanan rali British Trials and Rally Drivers Association (BTRDA) selama beberapa tahun.

Selepas dibersarakan dari bertanding, Y4 FMC direstorasi semula kepada livery dan spesifikasi asal musim 2001. Ia masih membuat kemunculan-kemunculan awam namun bukan di atas litar berpasir seperti di zaman kegemilangannya, sebaliknya di acara pertunjukan seperti Goodwood Festival of Speed.

Menurut Silverstone Auctions, Focus WRC Y4 FMC ini masih boleh dipandu dan mudah untuk dikendalikan, walaupun pada hakikatnya ia merupakan sebuah kereta rali sebenar dengan pacuan empat roda, transmisi berjujukan dan sistem suspensi dan brek mengikut spesifikasi WRC.

Syarikat itu menjangkakan bidaan antara £300,000 hingga £350,000 (RM1.7 juta hingga RM1.9 juta). Pembeli bukan sahaja mendapat sesuatu yang boleh disifatkan sebagai koleksi berharga, malah juga fail lengkap yang mengandungi sejarahnya sebelum dan selepas WRC, artikel akhbar, FIA Passport Technique, kertas-kertas homologasi dan juga maklumat terperinci mengenai modifikasi dan cara pemanduan oleh M-Sport.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved