fbpx

Ford Ranger Raptor bakal tiba versi diesel pula! Pelancaran 9 Jun

ford ranger raptor turbo diesel

DISEBABKAN permintaan tinggi, Ford Ranger Raptor bakal ditawarkan dengan pilihan 2.0-liter biturbo diesel pula. Perkara ini disahkan oleh Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal Ford di Malaysia, dan jemputan media untuk majlis pelancaran juga telah dibuat.

Majlis pelancaran dijadualkan berlangsung pada 9 Jun 2023 depan, tetapi ia akan mula didapati sehari lebih awal, pada 8 Jun. Amacam?

Enjin diesel yang ditawarkan ialah 2.0-liter dengan output 210hp dan 500Nm tork, seperti terdapat pada barisan Ranger 2022 iaitu XLT Plus dan Wildtrak. Ini juga bermakna Ranger Raptor diesel juga akan mendapat kotak gear automatik 10-kelajuan.

Pelancaran akan dibuat di MRANTI Open Space, berhadapan dengan Pavilion Bukit Jalil. Menurut SDAC, 300 tempahan pertama akan menerima dashcam Kenwood termasuk pemasangan. Dashcam ini menampilkan fungsi dwi-kamera dengan rakaman berkualiti tinggi selain sistem GPS terbina dalam.

Pemilik-pemilik awal ini juga akan menerima diskaun RM500 untuk Ford Ranger Getaways, yang boleh ditebus semasa penyerahan Ranger Raptopr mereka nanti.

Ford Ranger Raptor 2022 dilancarkan pada Oktober lepas dengan enjin petrol yang cukup lazat. Enjin V6 3.0-liter itu menghamburkan 397hp dan 583Nm tork bersama dengan bunyi yang cukup nyaring. Sekali dengar pasti anda ingat Ford Mustang V6.

Sistem pacuan semua-roda padanya dilengkapi dengan transfer case kawalan elektronik dan kedua-dua gandar depan serta belakang juga mendapat pengunci differential.

Terdapat tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Slippery, Rock Crawl, Sand, Mud/Ruts dan juga Baja. Penggunaan injap aktif pada sistem ekzos pula membolehkan pemandu memilih daripada empat profil bunyi iaitu Quite, Normal, Sport dan Baja.

Sistem suspensi Ranger Raptor juga telah dipertingkatkan dengan peredam adaptif FOX Live Valve 2.5 inci yang menggunakan minyak Teflon bagi mengurangkan geseran sebanyak 50 peratus berbanding sebelum ini.

Kami telah pandu uji Ford Ranger Raptor ini dalam tempoh singkat, jemput tonton video di bawah:

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved