NAMA GTI cukup sinonim sebagai jentera berprestasi untuk Volkswagen seperti Golf dan Polo. Pada 2023, anda masih boleh membeli Polo GTI di beberapa negara di dunia (tidak di Malaysia, malangnya).
Sebelum ini juga terdapat model-model GTI yang kurang dikenali seperti Lupo GTI, Scirocco GTI dan Passat GTI.
Walaupun Volkswagen kini menghala ke arah elektrifikasi yang tidak dapat dielakkan, mereka pernah ‘berjanji’ mengekalkan lencana ikonik seperti GTI dan R dalam era emisi sifar nanti.
Mereka memberi klu GTX untuk versi prestasi tinggi bagi ID.4, ID.5, dan ID yang belum dilancarkan. Minivan Buzz dan ID.3 telah pun menghadapi masa depan yang kabur.
Bos Volkswagen, Thomas Schäfer tahun lepas berkata kedua-dua model itu mungkin tidak diteruskan memandangkan GTI dan R akan diteruskan. Sementara itu, nampaknya Volkswagen mengambil langkah awal untuk peralihan GTI kepada elektrifikasi.
Pada 25 Julai lepas, syarikat itu mendaftarkan logo GTI baharu dengan DPMA (Deutsche Patent- und Markenamt) iaitu badan pendaftaran paten dan tanda niaga Jerman.
Huruf “G” dan “T” dilihat tidak berubah, tetapi “I” diganti dengan bentuk kilat seperti petir. Ini merupakan suatu perubahan yang agak cool, walaupun model sebenar tidak akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Jika dilihat, Golf GTI elektrik mempunyai peluang tipis untuk dikeluarkan dalam masa beberapa tahun akan datang. Tahun depan hanya akan menyaksikan kemaskini separuh jangka hayat dan kotak gear manual mungkin akan dihentikan penawarannya.
Sumber-sumber dari Wolfsburg mengesahkan kereta generasi akan datang (pengganti Golf) akan menjadi model EV, tetapi ia hanya akan hadir pada 2028 atau 2029.
Walaubagaimanapun, mungkin model GTI lain akan tiba dulu dengan elektrifikasi. ID.2 yang didedahkan pada Mac lepas bakal menerjah pasaran pada 2025, tetapi belum sah sama ada model ini akan mendapat lencana GTI.
Ahli Lembaga Volkswagen untuk pembangunan teknikal, Kai Grünitz pula berkata model lebih sporti bagi ID.2 kini dalam pembangunan.
Ia mempunyai 223hp dan mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang tujuh saat, dengan kelajuan maksima 160km/j.
Apa pun, pastinya Golf Mk8 menjadi generasi terakhir dengan lencana GTI klasik sebelum beralih ke lencana elektrik baharu sepenuhnya.
DUA berita penting bawah tajuk ini, iaitu Volkswagen Golf R versi CKD (pemasangan tempatan) kini diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, dan negara ini yang pertama di luar Jerman memasang hot hatch berprestasi tinggi ini.
Satu penghormatan buat Malaysia dan syabas untuk Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).
Golf R CKD ini dilancarkan bersama R Performance Package yang merangkumi ekzos titanium Akrapovic, mod Drift dan Special, spoiler belakang baharu, dan rim aloi 19-inci Estoril.
Ekzos titanium Akrapovic ini memberikan ‘diet’ sebanyak 7kg untuk Golf R. Sementara itu, mod Drift dan Special boleh diakses menggunakan butang R pada stereng.
Seperti pada namanya, mod Drift menala ESC (Electronic Stability Control) untuk membolehkan kereta menggelungsur dalam keadaan terkawal dengan tork disalurkan lebih ke tayar belakang.
Untuk Special pula, ia menala suspensi agar memberikan pemanduan selesa untuk permukaan jalan tidak rata. Ini pastinya sangat sesuai untuk jalan raya Malaysia.
Golf R CKD masih dipacu oleh enjin berkuasa 2.0 TSI turbo 4-silinder dengan output 320hp dan 400Nm tork. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda 4Motion. Setup ini juga membolehkan Golf R memecut ke 100km/j dalam masa 4.8 saat sahaja.
Ciri tambahan lain pada Golf R CKD ini termasuklah paparan Head Up Display, dan IQ.Drive iaitu pakej ADAS yang merangkumi sistem seperti Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist, dan Emergency Assist.
Tempahan untuk Volkswagen Golf R ini telah dibuka dengan harga anggaran antara RM330,000 hingga RM350,000. Harga rasmi harus ditunggu semasa pelancaran rasmi nanti.
Tiga pilihan warna boleh anda pilih: Lapiz Blue, Deep Black, dan Pure White.
Apa pun, secara keseluruhan pembeli di Malaysia kini boleh mendapat Volkswagen Golf R dengan nilai lebih baik. Dan ini juga satu pencapaian yang boleh diraikan dimana kilang Volkswagen di Malaysia kini mampu memasang model R selepas GTI.
BILA kami di Engear mendapat sesuatu unit kereta pandu uji, biasanya kami berbalah kerana ada yang suka padanya, dan ada yang tidak sependapat. Namun tidak dengan Volkswagen Arteon, kami di sini aman kerana semua ahli pasukan Engear menyukainya.
Tetapi adakah ini terus bermakna anda harus beli Volkswagen Arteon? Nanti dulu. Artikel ini akan menerangkan kenapa begitu mudah Arteon disukai.
BMW dan Mercedes merupakan sedan klasik RWD, Volvo FWD (atau AWD bergantung kepada mod), dan Arteon AWD. Penulis akan ulas sedikit bab ini di bahagian pemanduan nanti.
Meletakkan R dalam Racing
Rekabentuk Arteon itu sendiri sudah sporti memandangkan ia mempunyai silhouette sedan-coupe. Tetapi dengan kit badan R-Line, Arteon kini tampil lebih menyerlah.
Nyalaan lampu DRL LED kini ‘ditarik’ hingga ke tengah dalam gril, dan gril pula mempunyai bilah yang lebih lebar. Kesemua ini membuatkan Arteon nampak lebih lebar, lebih rendah, dan pastinya semakin garang sama ada waktu siang atau bila hari mulai gelap.
Kit R-Line juga memberikan rekaan luar bampar depan berbeza dengan elemen seperti bilah canards pesawat, lebih dinamik berbanding rekaan standard segi empat.
Memandangkan Passat tidak lagi dikeluarkan buat masa ini (sayangnya), sedan besar yang anda boleh beli dari Volkswagen hanyalah Arteon. Dan memang sebuah sedan cukup sporti, tidak lupa juga rekaan pintu tanpa bingkai. Fuh penulis rasa terlebih hensem bila keluar dari kereta ini.
Warna Pyrite Silver ini pula tidak seperti warna lazim sedan premium. Ia (sekali lagi) nampak sporti, ranggi, dan begitu sesuai dengan karakter Arteon.
Apa bukti Volkswagen Arteon ini sporti? Untuk hidup dengannya, anda perlu lakukan beberapa ‘pengorbanan’ yang biasa dibuat oleh pemilik kereta sports.
Antaranya bentuk pintu depan yang agak dramatik, kadang-kala boleh terkena badan bila membuka atau menutupnya. Cermin tanpa bingkai juga boleh membuatkan anda bergaduh dengan pasangan sekiranya dia tidak berhati-hati dan menutup pintu dengan menolak cermin. Oops.
Rim 19-inci Montevideo pula nampak begitu garang dan padan dengan Arteon, tetapi sukar dicuci. Hantar car wash sahajalah. Dan bila memandu sedan sporti, sudah tentu tempat duduknya rendah dari SUV-SUV yang anda sudah biasa. Keluar masuk sedikit sukar. Itulah yang dinamakan pengorbanan…
Pemanduan kereta besar rasa ‘kecil’
Bila memandu Volkswagen Arteon, anda tidak dapat nafikan ianya terasa besar, lebih-lebih lagi bila hendak masuk parkir. Ditambah pula dengan bentuk tingkap coupe di tiang-C, mengehadkan sedikit pemandangan luar.
Mujurlah ada kamera undur dan 360-darjah yang boleh membantu anda memposisikan kereta dengan tepat.
Tetapi yang menariknya, kelincahan Arteon ini seolah-olah ‘mengecilkan’ saiznya di jalan raya. Semakin anda pandu laju di jalan berselekoh, semakin anda rasa kereta ini kecil.
Volkswagen Arteon dikuasakan oleh enjin EA888 yang tidak asing lagi. Unit 2.0-liter turbo 4-silinder ini pada Arteon ditala untuk menghamburkan 276hp dan 350Nm tork, menghantar kuasa dengan linear dan senyap. Tork hadir di awal rpm, dan ‘disambut’ oleh kuasa puncak di hujung rpm.
Digandingkan pula dengan kotak gear DSG dwi-klac 7-kelajuan yang pantas dan sistem pacuan semua-roda 4Motion, pecutan pantas bukan satu masalah bagi Arteon. Malah ia mampu mencapai ke 100km/j dalam hanya 5.6 saat, lebih pantas dari Honda Civic Type R FK8.
Sterengnya juga tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan, sesedap rasa. Yang penting ia tepat, dan ini menambahkan rasa lincah Arteon ini. Kiranya tidak segan untuk ‘bermain’ bersama hot hatch seperti Volkswagen Golf sendiri di jalan-jalan seperti Genting Highlands atau Kuala Kubu Bharu.
Di jalan lurus atau meluncur di lebuh raya, Arteon kekal stabil dan senyap. Sempurna untuk bawa keluarga bercuti hujung minggu mencari pantai di Kuantan atau makan char kuey teow di Pulau Pinang. Butnya sangat besar dan menarik untuk kita lihat bukaan jenis fastback.
Tidak dilupakan juga walaupun dengan prestasi sebegini, Arteon masih sebuah sedan dan seperti kebiasaan Volkswagen, ruang belakang sangat luas. Ruang kaki tiada masalah langsung, setanding sedan seperti Toyota Camry dan Honda Accord. Malah ruang kepala pun okey walaupun bumbung menurun cara sporti.
IQ.Drive
Volkswagen Arteon padat dengan teknologi di dalamnya seperti paparan instrumen digital sepenuhnya dan sistem Discover Pro untuk infotainmen. Paparan-paparan ini cukup jelas, cantik, senang dibaca dan mempunyai resolusi tinggi.
Kemas kini terbaharu pada Arteon (dan model-model lain bawah Volkswagen Passenger Cars Malaysia) ialah IQ.Drive iaitu pakej sistem keselamatan maju seperti:
Front Assist (Autonomous Emergency Braking)
Adaptive Cruise Control
Side Assist, dan
Rear Cross Traffic Alert
Penulis tidaklah begitu memerlukan ciri sebegini untuk kereta sporti, tetapi atas permintaan kebanyakan pelanggan, VPCM tetap memberikannya (dengan sedikit penambahan harga). Pada masa yang sama, ini menjadikan anda dapat lebih nilai dengan Arteon.
Patut beli?
Untuk siapa Volkswagen Arteon R-Line 4Motion ini? Jika anda bukan jenis degil mahu kereta premium RWD klasik, tetapi pada masa yang sama masih mementingkan prestasi, kepuasan pemanduan tanpa kompromi ruang praktikal, Arteon ini sangat sesuai.
Penggunaan bahan api tidaklah semantap Passat yang merupakan sedan FWD lebih ‘skema’, harus diingat Arteon dipacu dengan AWD 4Motion untuk cengkaman dan ‘gigitan’ optima pada jalan setiap masa.
Sememangnya Volkswagen Arteon ini antara kereta yang penulis keberatan untuk pulangkan.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP) dalam usaha untuk menawarkan perlindungan dan fleksibiliti yang diperlukan oleh para pemilik kenderaannya.
VAP ditawarkan ke atas semua model dilengkapi ciri IQ.Drive yang kini melibatkan model Golf GTI baharu dan Arteon R-Line 4Motion yang telah dinaik taraf.
Pakej berkenaan memberikan pemilik tambahan jaminan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama tiga tahun. Ia bernilai dari RM8,000 hingga RM10,000, bergantung pada model.
Pelanggan yang tidak memilih VAP akan menerima jaminan tanpa had perbatuan untuk dua tahun dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev berkata, “Kami kekal komited untuk menawarkan pelanggan dengan produk terbaik yang boleh memenuhi keperluan mereka. Dengan VAP, pelanggan tidak lagi perlu rasa bimbang.”
“Bukan itu sahaja, pasukan juruteknik berpengalaman kami akan memastikan kenderaan pelanggan diperiksa dengan terperinci. Jika ada alat ganti yang perlu diganti, ia akan diganti. Harus tahu juga bahawa kami hanya menggunakan alat ganti tulen bagi memastikan ketahanan dan prestasi terbaik kenderaan,” kata Denyu.
SELEPAS diperkenalkan pada Arteon R-Line 4Motion bulan lalu, sistem bantuan pemandu Volkswagen iaitu IQ.DRIVE kini diperkenalkan pula pada barisan Tiguan Allspace.
Ini bermakna sistem berkenaan disertakan secara standard pada ketiga-tiga varian Tiguan Allspace iaitu R-Line 4Motion, Elegance dan Life.
Tiguan Allspace Elegance
IQ.DRIVE membawakan beberapa ciri bantuan pemandu termasuk Front Assist, Adaptive Cruise Control, Side Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Lane Assist. Selain itu, semua varian Tiguan Allspace juga mendapat pengecas tanpa wayar.
Seperti sebelum ini, Tiguan Allspace didatangkan standard dengan Digital Cockpit dan skrin sistem infohibur Discover Pro berukuran 9.2 inci bersama App-Connect tanpa wayar.
Sebagai varian tertinggi, Tiguan Allspace R-Line 4Motion dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0 TSI turbo dan transmisi DSG tujuh kelajuan yang mampu menjana 220 PS dan 350 Nm.
Varian flagship itu juga mempunyai rim aloi Sebring 19 inci, serta sistem audio digital Harman Kardon 480W yang terdiri daripada amplifier 16 saluran dan 10 unit pembesar suara.
Sementara itu, Tiguan Allspace Elegance dan Allspace Life pula dilengkapi enjin 1.4 TSI turbo yang mampu menghasilkan 150 PS dan 250 Nm yang dipadankan bersama kotak gear DSG enam kelajuan.
Menurut Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), gandingan itu menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.7 l/100 km.
Ketiga-tiga varian Tiguan Allspace boleh didapati dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang memberikan pelanggan jaminan lanjutan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama tiga tahun.
Bergantung kepada model, VAP dijual pada harga dari RM8,000 hingga RM10,000. Pelanggan yang tidak mahu membeli pakej jaminan itu akan menerima jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.
Tiguan Allspace dengan IQ.DRIVE dijual pada harga bermula dari RM165,990 untuk varian Life, RM194,990 untuk Elegance dan RM245,990 untuk R-Line 4Motion. Harga-harga yang disebutkan ini tidak termasuk VAP.
TAHUN lalu, Volkswagen memperkenalkan Golf R 20 Years Edition bagi menyambut ulang tahun ke-20 model hot hatch itu. Jumlah unit yang dikeluarkan tidak diketahui namun ia hanya diproduksi selama setahun sahaja.
Untuk tahun ini, VW akan menawarkan satu lagi model Golf R edisi terhad iaitu Golf R 333. Hanya 333 unit akan dihasilkan dan setiap satu dijual pada harga bermula dari 76,410 euro (~RM376,681).
Selain jumlah produksi, nama “R 333” itu turut merujuk kepada jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin TSI 2.0-liter empat silindernya iaitu 333 PS, 13 PS lebih tinggi berbanding Golf R standard. Tork tidak berubah iaitu 420 Nm.
Walaupun begitu, Golf R 333 mempunyai kelebihan dalam aspek pecutan 0-100 km/j dengan catatan masa 4.6 saat, lebih pantas dari versi standard dengan perbezaan sebanyak 0.1 saat. Kelajuan maksimumnya juga lebih tinggi iaitu 270 km/j.
Golf R 333 mudah dibezakan dengan versi-versi lain dengan warna Lime Yellow Metallic dan grafik hitam pada bahagian bawah badannya. Ia juga didatangkan dengan rim Estoril 19 inci yang dibalut tayar semi-slick dan sistem ekzos titanium yang dibangunkan dengan kerjasama Akrapovic.
Di dalam, keeksklusifan model ini boleh dilihat pada plak nombor siri pengeluaran yang tertera pada papan pemuka. Percaya atau tidak, ini merupakan model Golf R pertama yang didatangkan dengan ciri berkenaan.
Selain itu, Golf R 333 juga mendapat pelbagai jenis kelengkapan standard seperti lampu IQ.Light LED matriks, tempat duduk sport dengan balutan kulit Nappa, sistem audio Harman Kardon 480W dan pakej IQ.Drive yang merangkumi Travel Assist, Lane Assist, Emergency Assist dan Adaptive Cruise Control.
Menurut Volkswagen, model ini akan dipasang di kilangnya di Wolfsburg, Jerman pada September tahun ini dan penyerahan kepada pelanggan dijangka bermula seawal Oktober.
VOLKSWAGEN telah memperkenalkan Touareg generasi ketiga versi facelift, lima tahun selepas ia diperkenalkan buat pertama kalinya.
Seperti yang boleh dilihat, SUV ini diberikan penampilan yang lebih segar namun perubahannya tidak terhad kepada aspek kosmetik sahaja kerana ia juga mendapat beberapa teknologi terbaru.
Touareg R eHybrid
Wajah depan Touareg kini nampak lebih agresif dengan gril yang lebih lebar, serta rekaan lampu yang lebih tajam. Lampu tersebut menggunakan teknologi matrix IQ.Light HD dengan tiga modul LED dan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk L.
Menjadikan ia lebih menonjol adalah jalur lampu LED dan logo Volkswagen dengan pencahayaan merah. Ini merupakan kali pertama ciri ini disertakan pada model Eropah. Sebelum ini ia hanya terdapat pada model pasaran China dan Amerika Syarikat.
Imej moden SUV ini diteruskan pada bahagian belakang dengan lampu yang merentangi pintu tailgate dan logo VW yang bercahaya. Untuk rim, model facelift ini boleh didapati dengan rim berukuran 19 hingga 21 inci, dan 22 inci untuk varian R.
Tidak seperti bahagian luaran, perubahan pada ruang dalaman tidak begitu ketara. Ia masih menampilkan Innovasion Cockpit yang merangkumi kluster instrumen digital 12 inci dan skrin sentuh 15 inci, namun ciri ini telah dipertingkatkan dengan peta berdefinisi tinggi dan Apple CarPlay/Android Auto wayarles.
Bukan itu sahaja, Volkswagen turut menyertakan port pengecas USB-C dengan kapasiti yang lebih tinggi iaitu 45 watt. Sebagai tambahan, pelanggan boleh mendapatkan paparan head-up dan sistem audio Dynaudio berkapasiti 730 watt.
Sistem bantuan pemandu pula merangkumi teknologi seperti Travel Assist, Park Assist Plus dengan kawalan jauh, Trailer Assist dan Night Vision.
Untuk enjin, Touareg facelift ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin turbo V6 petrol dan diesel. Untuk petrol, terdapat enjin 3.0-liter (340 PS), sementara untuk diesel pula, terdapat enjin 3.0-liter dengan 231 PS atau 286 PS.
Bukan itu sahaja, Volkswagen turut menawarkan dua varian hibrid plug-in, kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6. Pelanggan boleh mendapatkan versi eHybrid yang mempunyai 381 PS atau R eHybrid dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 462 PS.
Kelima-lima pilihan enjin tersebut digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda 4Motion.
Volkswagen juga telah menaik taraf sistem suspensi standard dan suspensi udara Touareg untuk memastikan pemanduan yang lebih selesa. Turut disertakan adalah sensor muatan bumbung yang bekerjasama dengan Electronic Stability Control (ESC) untuk meningkatkan kestabilan sekiranya terdapat muatan di atas bumbung.
Di Jerman, Touareg facelift dijual pada harga bermula dari 69,200 euro (RM344,096) untuk varian asas, 75,070 euro (RM373,825) untuk varian Elegance dan 79,660 euro (RM396,109) untuk R-Line. Varian tertinggi iaitu R eHybrid pula berharga 93,870 euro (RM466,768).
TAHUN 1998 merupakan kali pertama Volkswagen meletakkan nama ‘GTI’ yang ikonik pada model Polo. Bagi meraikan peristiwa penuh sejarah itu, Volkswagen telah memperkenalkan model edisi terhad Polo GTI Edition 25.
Terhad kepada 2,500 unit sahaja, Polo GTI Edition 25 tampil berbeza dengan grafik honeycomb dan nombor 25 pada bahagian sisi, kemasan hitam pada bumbung dan cermin sisi, serta rim Adelaide 18 inci dalam warna Glossy Black.
Selain itu, ia boleh didapati dalam warna baharu Ascot Grey, di samping pilihan warna yang sedia ada iaitu Pure White, Kings Red Metallic, Reef Blue Metallic, Smoke Grey Metallic dan Deep Black Pearl Effect.
Tidak dilupakan adalah perincian berwarna merah pada gril, angkup brek dan tulisan GTI pada tailgate.
Di dalam, terdapat tempat duduk sport dengan balutan kulit hitam-merah dan logo GTI yang disulam, kemasan hitam berkilat dan tulisan GTI berwarna merah.
Logo “One of 2500” pada ambang pintu pula akan mengingatkan pemandu bahawa kereta yang dipandu adalah model edisi terhad.
Polo GTI Edition 25 tidak diberikan sebarang penambahbaikan dari segi prestasi. Ini kerana hot hatch ini sudah cukup berkuasa, dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 207 PS dan 320 Nm yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.5 saat.
Biarpun begitu, aspek pengendaliannya telah dipertingkatkan menerusi penambahan sistem suspensi sport yang lebih rendah sebanyak 15 mm.
Menurut Volkswagen, ia mampu memberikan pengendalian yang lebih tepat dan tahap cengkaman lebih tinggi apabila digabungkan dengan electronic differential lock XDS.
Pelanggan yang mementingkan keselamatan boleh mendapatkan pakej IQ.DRIVE yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemandu termasuk Travel Assist. Ciri ini boleh mengawal stereng, brek dan pecutan dari kelajuan 0 hingga 210 km/j untuk pemanduan separa autonomi.
Polo GTI Edition 25 akan dibuka untuk tempahan di Jerman bermula 1 Jun ini, dengan harga 35,205 euro (~RM172,479).
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan rakan pengedar, MHV Autohaus hari ini melancarkan bilik pameran Das WeltAuto ‘standalone’ yang pertama di Malaysia.
Dilancarkan di Malaysia pada 2019, Das WeltAuto merupakan program kereta terpakai global Volkswagen. Ia menawarkan kereta terpakai yang diperakui serta disokong dengan kepakaran pengetahuan, standard dan proses jenama Volkswagen.
Terletak di Jalan Gombak, bilik pameran Das WeltAuto ini mempunyai kawasan seluas 18,500 kaki persegi dan boleh menempatkan sehingga 55 unit kereta. Ia juga mempunyai dua ruang parkir tambahan bagi tujuan penyerahan.
Selain menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai, pelanggan juga boleh memanfaatkan pembiayaan menarik, jaminan lanjutan dan bantuan tepi jalan selama setahun apabila membeli kereta Volkswagen daripada Das WeltAuto.
Menurut VPCM, semua model diterima untuk tujuan tukar-beli dan setiap kenderaan akan menjalani pemeriksaan 133 poin yang teliti dan menyeluruh sebelum disahkan oleh juruteknik Volkswagen.
Ketenangan minda juga terjamin kerana semua kereta Das WeltAuto menggunakan alat ganti tulen, bebas kemalangan dan banjir, serta hadir dengan bukti servis yang lengkap di pusat servis sah Volkswagen.
Sebagai tambahan, pelanggan Volkswagen yang ingin menjual kereta mereka boleh berbuat demikian di laman web Das WeltAuto dengan mengklik butang ‘Sell Your Car’.
Satu lagi ciri menarik pada laman web ini ialah bahagian ‘Nearly New Cars’ yang menyenaraikan kereta-kereta yang telah diperakui dengan jarak perbatuan kurang 12,000 km dan didaftarkan dalam tempoh setahun.
Das WeltAuto terdapat di 11 pengedar Volkswagen: Volkswagen Setia Alam, Volkswagen Puchong, Volkswagen Tebrau, Volkswagen Skudai, Volkswagen Gombak, Volkswagen Juru, Volkswagen Alor Setar, Volkswagen Seremban, Volkswagen Glenmarie, Volkswagen Ipoh dan Volkswagen Melaka.
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan Arteon R-Line 4MOTION baharu yang kini dilengkapi dengan teknologi IQ.DRIVE.
Teknologi berkenaan membawakan dua ciri bantuan pemandu iaitu Bantuan Hadapan (Front Assist) dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) untuk pemanduan yang lebih selesa dan selamat.
Selain itu, sedan fastback itu juga dilengkapi dengan port pengecasan tanpa wayar.
Aspek prestasi tidak berubah, di mana Arteon R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder TSI yang menghasilkan 280 PS dan 350 Nm.
Dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan 4Motion, ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Ia juga menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4 liter/100 km.
Kelengkapan yang disertakan pada model ini termasuk Lampu Membelok Dinamik (Dynamic Cornering Lights), serta lampu belakang LED 3D yang hadir dengan lampu membelok jenis ‘sequential’.
Turut disertakan adalah ciri All Weather Light yang memberikan pencahayaan lebih luas bagi meningkatkan pandangan sewaktu cuaca buruk dan gelap.
Di dalam, terdapat Digital Cockpit bersaiz 11.7 inci yang memaparkan pelbagai maklumat penting, serta sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2 inci yang hadir dengan kawalan suara dan gerakan, serta ketersambungan tanpa wayar App-Connect untuk Apple Car Play dan Android Auto.
Pemandu boleh mengubah suai pemanduan mereka dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual, serta sehingga 15 tetapan tertentu.
Dari segi keselamatan, Arteon hadir dengan Bantuan Sisi (Side Assist), Rear Cross Traffic Alert dan Bantuan Lorong (Lane Assist), sistem 360 Area View, Post Collision Braking System, Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Electronic Different Lock (XDS).
Harga cadangan Arteon R-Line 4MOTION dengan IQ.DRIVE adalah RM299,900. Ia disertakan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Manganese Grey, Lapiz Blue, Pyrite Silver, Deep Black dan Oryx White.
VOLKSWAGEN telah memperkenalkan model terbaru dalam barisan kenderaan elektrik mereka iaitu ID.7. Merupakan EV Volkswagen pertama dalam kelas saiz pertengahan atas, ID.7 akan dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran Eropah dan China, dan tahun hadapan untuk Amerika Utara.
Seperti model-model ID yang lain, ID.7 dibina berasaskan platform Modular Electric Drive Matrix (MEB). Walau bagaimanapun, ia didatangkan dengan trenkuasa elektrik generasi baharu dikenali sebagai AP550 yang menawarkan output sehingga 286 PS.
Mengenai jarak pula, model ini dikatakan mampu bergerak sehingga 700 km dengan satu cas penuh, bergantung kepada saiz bateri yang dipilih. Ia juga menyokong ciri pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 200 kW.
Selain bateri, Volkswagen mendakwa jarak pemanduan itu disokong oleh faktor reka bentuk ID.7 yang panjang (hampir lima meter) dan bumbung ala coupe yang memberikannya kadar pekali seret serendah 0.23.
Di dalam, ID.7 membawakan konsep operasi dan paparan baharu. Ia merangkumi skrin sistem infohibur berukuran 15 inci, paparan head-up dengan realiti terimbuh (AR), sistem kawalan baharu untuk pendingin hawa dan butang “Favourite” yang b0leh dikonfigurasikan.
Selain itu, terdapat juga bumbung panoramik yang boleh dimalapkan yang boleh dikawal sama ada menerusi panel sentuh atau arahan suara.
Volkswagen turut menawarkan beberapa ciri opsyen seperti fungsi Climatronic dengan ciri penyejukan, pemanas dan pengering untuk tempat duduk hadapan, fungsi urut, serta sistem audio Harman Kardon 700 watt dengan 14 pembesar suara.
Sistem bantuan pemandu menampilkan ciri Travel Assist yang mempunyai keupayaan untuk membantu pemandu menukar lorong di lebuh raya pada kelajuan melebihi 90 km/j. Ciri ini dikatakan dapat mengurangkan tekanan pemandu dengan ketara.
Kereta ini juga didatangkan dengan sistem bantuan parkir dengan fungsi memori sehingga 50 meter. Pemandu boleh duduk di dalam kereta atau memantau proses ini dari luar kenderaan menerusi aplikasi telefon pintar.
ID.7 akan dihasilkan di kilang Volkswagen di Emden, Jerman untuk pasaran Eropah dan Amerika Utara. Untuk pasaran China pula, sedan ini akan dipasang secara tempatan.
RENAULT mendedahkan Clio generasi kelima lebih empat tahun lepas, dan kini mereka memberikan facelift untuk hatchback itu agar kekal kompetitif dengan pesaing seperti Volkswagen Polo, Skoda Fabia dan SEAT Ibiza.
Bahagian rupa luarannya telah diberikan rombakan menyeluruh, kini mendapat lampu depan lebih nipis, gril lebih lebar dengan corak berkotak, dan DRL seperti logo Renault dipotong separuh. Nampaknya mereka cuba membuatkan rekaan lampu belakang jernih cool semula.
Diffuser belakang mempunyai sehingga enam rekaan berbeza bergantung kepada varian, dan sama ada ia hibrid atau bukan. Model yang dilihat ini ialah Esprit Alpine, iaitu versi flagship yang menggantikan RS.
Untuk enjin dan janaan kuasa, terdapat banyak pilihan. Pertamanya, petrol 1.0-liter NA 3-silinder dengan 65hp dan 95Nm, pacuan roda depan, dengan manual 5-kelajuan. Seterusnya, 1.0-liter 3-silinder turbo, output 90hp/160Nm, dan manual 6-kelajuan.
Seterusnya, Clie E-Tech Full Hybrid 145 dengan gabungan enjin 1.6-liter NA dan motor elektrik serta bateri lithium-ion 1.2kWH. Ia menjana 145hp, dan kuasa disalurkan melalui kotak gear 2-kelajuan untuk EV, dan 4-kelajuan untuk enjin pembakaran dalaman.
Terdapat juga varian diesel dengan 100hp dan manual 6-kelajuan serta gas CNG dengan output 170Nm dan jarak pemanduan sehingga 1,000km.
Ruang kabinnya dilengkapi dengan bahan gentian polyester organik baharu, iaitu TEP. Varian Esprit Alpine mendapat tempat duduk sports dengan sokongan lebih baik.
Dari segi teknologi, Renault Clio 2023 dilengkapi paparan instrumen 7- atau 10-inci, dan skrin infotainmen 7- atau 9.3-inci. Ia menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, selain navigasi, kamera 360-darjah, dan lebih 20 sistem bantuan pemandu.
Dengan promos ini, ketiga-tiga model berkenaan kini didatangkan dengan servis percuma selama lima tahun atau 75,000 km (mana-mana tiba dahulu), serta jaminan pengeluar dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Menurut VPCM, promosi ini menawarkan penjimatan sehingga RM9,600 kepada pelanggan.
Dilancarkan di Malaysia pada Julai 2021, Arteon R-Line tampil garang dengan bentuk fastback, kit badan R-Line dan rim aloi berukuran 19 inci.
Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TSI yang menghamburkan kuasa maksimum 280 PS dan 350 Nm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan 4Motion, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat.
Walaupun berkuasa, ia masih dapat menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4 l/100 km.
Tiguan Allspace Elegance
Sementara itu, SUV tujuh tempat duduk Tiguan Allspace pula memasuki pasaran tempatan pada Mac tahun lalu. Versi R-Line mempunyai enjin 2.0-liter TSI dengan 220 PS dan 350 Nm, manakala versi Elegance didatangkan dengan enjin 1.4-liter TSI dengan 150 PS dan 250 Nm.
Arteon R-Line 4Motion ditawarkan pada harga RM276,990 sementara Tiguan R-Line 4Motion pula berharga RM235,990. Tiguan Allspace Elegance pula boleh anda miliki pada harga RM188,990.
TIDAK banyak kereta yang boleh menggabungkan karakter elegan dengan sporti yang sebenar. Sama ada terlalu elegan, terlalu sporti, atau mungkin elegan acah-acah sporti.
Dalam segmen sedan premium saiz sederhana dengan harga antara RM250,000 hinggga RM380,000, salah satu kereta yang menepati ciri-ciri di atas adalah Audi A5 Sportback. Ya, untuk ini, ia cukup sempurna.
Cuma, A5 Sportback ini mempunyai satu masalah. Suatu isu objektif tetapi boleh diatasi dengan subjektif. Nanti kami ceritakan.
Bergaya ke makan malam, pantas ke track day
Penampilan Audi A5 Sportback ini cukup segak dengan garisan-garisan kemas pada badannya. Pakej S line datang dengan standard, memberikan bampar depan lebih tajam, serta warna krom pada trim kemasukan udara, diffuser belakang, dan ekzos berkempar.
Kemasan-kemasan krom ini berkesan menaikkan seri A5 Sportback ini, tambahan lagi warna District Green cukup unik dan menunjukkan Audi ini mungkin dimiliki orang lebih muda. Tidaklah warna yang membosankan seperti hitam, perak atau kelabu.
Penulis juga cukup suka bentuk badan Sportback ini kerana memberikan bumbung dan cermin belakang ala fastback, trend popular sedan masa kini. Dengan Sportback juga, Audi ini hadir dengan pintu tanpa bingkai, cukup seksi.
Ruang kabin pula tipikal sebuah Audi, sangat kemas dan tersusun. Ia tidak terlalu menonjol dengan garisan pelik, tetapi anda dapat tahu ia kereta yang premium. Panel-panel brushed aluminium tidak menyilaukan mata, dan tampak seperti bahan pada jam tangan mewah Tag Heuer.
Anda begitu rendah dalam Audi A5 Sportback dan pada kedudukan pemandu tanpa melihat ke belakang, anda pasti rasa seperti dalam sebuah sports coupe; Porsche 911 atau Audi R8 misalnya. Kerana kaki hampir melunjur ke depan dan punggung juga tida begitu jauh dari lantai.
Posisi sebegini mungkin membuatkan anda mengeluh sedikit bila perlu keluar masuk dengan kerap dalam urusan seharian. Tetapi jika memandu A5 Sportback ini dari KL ke Pulau Pinang dengan kelajuan tinggi, anda pasti tersenyum. Dan langsung tidak memenatkan.
Di depan pemandu ialah infotainment digital 12.3-inci yang Audi gelarkan sebagai virtual cockpit atau kokpit maya. Paparannya cantik, jelas, moden, dan padat dengan info. Anda boleh laraskan pelbagai tetapan untuk memilih apa yang mahu anda lihat pada satu-satu masa.
Sekarang anda lihat Audi A5 Sportback seperti sebuah sedan elegan, mewah dan selesa. Tetapi harus diingat, ia ‘menyembunyikan’ prestasi yang bukan calang-calang.
Di depan kokpit tersimpannya enjin 2.0-liter turbo TFSI yang mampu menjana 249hp dan 370Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan S-tronic dan sistem pacuan Quattro, membolehkan Audi A5 ini mencapai 100km/j sepantas enam saat.
Enjin EA888 ini – seperti yang ramai tahu – merupakan enjin yang dikongsi dalam kumpulan besar Volkswagen. Ia cukup berkuasa tetapi pada masa yang sama masih cekap. Tetap memberikan penjimatan yang sangat baik.
Tetapi bila dipadankan dengan kotak gear dengan pertukaran laju, suspensi sports, dan bunyi yang merdu, ia terus menukar tanggapan anda sebaliknya memberikan karakter pemanduan sporti.
Anda tidak perlu laju, hanya keluar rumah beberapa simpang pun sudah boleh rasa tahap prestasi Audi A5 Sportback ini. Semua ini dirasa dari cara sterengnya yang tepat dan suspensi yang sedikit keras.
Dan apabila di kelajuan tinggi, A5 Sportback ini sangat stabil dan senyap. Ada ketikanya penulis menyangka sedang memandu sekita 110km/j, rupanya lebih 130km/j. Ia tetap senyap walaupun menggunakan tayar sports Bridgestone Potenza dengan profil rendah bersaiz 19-inci.
Oh ya, enjin Audi A5 Sportback ini juga mempunyai sistem mild hybrid 12-volt. Ia tidak menunjukkan kehadirannya dalam kebanyakan situasi pemanduan, sebaliknya lebih kepada pembantu semasa kenderaan hendak mula bergerak kerana pada masa inilah kereta kita banyak menggunakan bahan api.
Maka sebab itulah Audi A5 ini masih menjimatkan dan pergerakan di kelajuan rendah sangat lancar walaupun menggunakan kotak gear dwi-klac. Motor elektrik banyak membantu dalam situasi ini.
Objektif vs subjektif
Cuma ada satu masalah. Audi A5 Sportback berharga kira-kira RM363,000, sedikit lebih rendah harganya dari BMW M340i xDrive. Tetapi sedan premium sports lain lebih murah, sebagai contoh Jaguar XE (RM345k) dan Volkswagen Arteon (RM258k).
Spesifik untuk Volkswagen Arteon, ianya kembar kepada Audi A5 Sportback. Enjin dan casisnya sama, cuma Audi 32hp dan 20Nm lebih berkuasa. Malah kedua-duanya mendapat sistem pacuan semua roda (Quattro vs 4Motion), mungkin talaan dan kawalannya berbeza.
Arteon juga tiada sistem hibrid 12-volt, tetapi ini masih tidak menjustifikasikan harga A5 Sportback yang jauh lebih tinggi. Satu faktor lagi adalah Arteon dipasang secara CKD, manakala A5 adalah CBU.
Di sinilah objektif vs subjektif hadir. Jika anda mahu berfikir rasional dan terlalu berkira-kira bab wang, anda akan ambil VW Arteon dan berjimat lebih RM100k. Tetapi pada pendapat anda, adakah pemilik dan pembeli Audi pentingkan semua itu?
Pembelian kereta melibatkan juga aspek emosi dan subjektif. Suka atau minat tidak boleh diukur dengan angka atau wang ringgit, begitu juga perasaan cinta, bukan?
Sebab itulah anda lihat ada orang beli Ferrari F40 berusia hampir 30 tahun dengan harga jutaan ringgit, sedangkan ada banyak lagi supercar lain yang lebih laju dan lebih mudah dipandu pada harga kurang sejuta.
Sebab itu jugalah ada yang tetap membeli Audi A5 Sportback. Kalau dah mahu, tak boleh cakap apa. Orang lain tak faham, hanya pemilik sahaja faham.
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Golf GTi Mk8 yang dikemaskini, ia kini mendapat IQ. Drive iaitu sistem bantuan pemandu (ADAS).
IQ. Drive pada Golf GTi Mk8 terdiri dari Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC) untuk pengesan kenderaan di hadapan, Side Assist untuk bantuan titik buta, dan Rear Cross Traffic Alert untuk bantuan aktif semasa mengundur.
Terdapat juga Front Assist iaitu ciri bantuan brek automoni. Ia menggunakan pengesan radar di depan untuk memantau jarak kenderaan di hadapan dan turut mampu mengenal pasti kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal.
Sementara itu, Lane Assist dan Adaptive Lane Guidance masing-masing membantu kenderaan agar tidak terkeluar dari lorong dan mengekalkan kenderaan di tengah-tengah lorong.
Selain dari ciri keselamatan, Golf GTi 2023 mendapat ciri tambahan merangkumi pengecaj tanpa-wayar, sulaman logo “GTI” pada tempat duduk depan, lampu kabus, cermin sisi boleh laras dengan pemanas, dan kini dengan tujuh beg udara.
Sistem pacuan dikekalkan, bermakna Golf GTi masih dikuasakan oleh enjin 2.0-liter 4-silinder TSI yang menjana 242hp dan 370Nm tork. Output disalurkan ke roda depan melalui kotak gear DSG 7-kelajuan dan sistem XDS.
Untuk harga, terdapat sedikit penambahan kerana ia kini dijual pada harga bermula RM244,990 atas jalan, tanpa insurans. Tetapi memandangkan Golf R-Line kini tidak lagi dijual, ini menjadikan GTi masih varian Golf paling mampu milik di Malaysia.
PENULIS secara azalinya akan menggemari model hatchback berbanding kembar sedan sesuatu kereta. Sebagai contoh Toyota Vios vs Yaris, penulis akan lebih gemar Yaris. Mercedes A-Class hatchback vs A-Class Sedan, penulis akan lebih gemar hatchback juga.
Mungkin penulis tergolong dalam kumpulan yang tidak begitu mementingkan ruang dan lebih menghargai aspek pemanduan. Ini kerana kebanyakan hatchback mempunyai pengendalian lebih tepat dan jitu berbanding kembar sedannya.
Tetapi tidak bagi kes Volkswagen Passat R-Line ini. Berbanding Golf GTi Mk8 yang berkongsi banyak komponen mekanikal (platform MQB, enjin, kotak gear), penulis telah mengalami dilema. Kalau diikutkan sejarah peribadi, akan pilih Golf GTi sekelip mata.
Tetapi untuk ini, begitu sukar untuk buat pilihan. Peluang untuk pilih Passat juga tinggi. Jadi, kenapa? Power sangat ke sedan eksekutif ini?
Kereta prestasi bertopengkan rupa eksekutif
Harus ditekankan dahulu, Volkswagen Passat kini tidak lagi dijual oleh Volkswagen Malaysia. Malah anda tidak boleh lagi membeli unit baharu kerana pengeluarannya telah ditamatkan di seluruh dunia pada November 2022 lepas.
Jadi, varian Passat R-Line ini merupakan variasi terakhir sedan itu untuk pasaran kita. Kenapa dihentikan pengeluarannya? Itu cerita untuk hari lain.
Habis tu kalau tidak lagi dijual, apa guna kita baca laporan pandu uji ini? Penting juga kerana penulis ingin kongsikan kemampuan Passat dan kesan yang ditinggalkan oleh sedan eksekutif ini.
Dan diharap juga ia akan sedikit sebanyak membantu anda membuat keputusan jika anda berkira-kira untuk membeli sedan segmen-D satu hari nanti. Mungkin boleh mencari Passat pre-owned nanti?
Apa pun, Passat R-Line ini boleh dikatakan seperti Golf GTi bertopengkan rupa eksekutif. Malah, mungkin anda pernah dengar/baca pernyataan ini. Tetapi begitulah, Passat ini dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder turbo TSI dengan gandingan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan DSG, sama seperti Golf GTi.
Cumanya, output enjin ini pada Golf GTi adalah 242hp/370Nm, manakala Passat mendapat 217hp/350Nm. Sedikit rendah, tapi tetap lebih tinggi berbanding sebelumnya, ‘hanya’ 190hp dan 320Nm.
Tetapi jujurnya, penulis tidak rasakan perbezaan begitu ketara antara output Passat ini berbanding Golf GTi yang penulis pandu sebulan sebelum itu. Cuma penghantaran kuasa pada Golf lebih agresif dan mengujakan. Ibarat remaja yang penuh tenaga. Passat pula lebih relaks, tetapi masih boleh pergi laju.
Berapa laju? Anda bayangkan, tork maksima 350Nm hadir pada 1,500 hingga 4,400rpm, jadi enjin langsung tak terasa lemau. Jarum rpm ‘ditarik’ naik oleh tork, kemudian pada 4,500rpm, ‘disambung’ pula oleh kuasa maksima 217hp, hingga 6,200rpm.
Satu unit yang ampuh dan berkesan. Ini ditambah pula dengan kotak gear DSG yang cekap dan pantas, jadi penghantaran kuasa terasa ‘clean’ dan bersahaja. Penulis mulanya ragu dengan hanya enam nisbah gear, kenapa tidak Volkswagen berikan kotak gear DSG 7-kelajuan.
Tetapi entah macam mana, enam nisbah itu terasa cukup. Nisbahnya disusun dan diatur dengan bijak sekali untuk bekerja dengan enjin. Kita dapat rasakan para jurutera membuat banyak simulasi, kiraan dan ujian untuk menghasilkan pakej powertrain ini.
Walaupun ‘hanya’ enam gear dan bukan 7-kelajuan, Passat ini masih boleh meluncur di kelajuan jauh lebih tinggi dari had laju, pada rpm rendah. Lebih tepat lagi, 160km/j bawah 3,000rpm! Kalau kereta lain sudah mengah pada kelajuan ini, Passat diibaratkan masih berjoging, boleh pergi lebih lagi.
Bila ada mangkuk hayun yang keluar tukar lorong tanpa periksa cermin sisi betul-betul, terpaksalah kita brek hingga 110km/j sebelum tunggu dia memotong selama 30saat. Kemudian, Passat R-Line ini mampu pecut semula ke kelajuan tinggi tadi dengan cepat tanpa perlu full throttle.
Itu yang menakjubkan. Semua kereta boleh laju, tetapi untuk laju dengan relaks dan elegan, ini perlukan kereta dengan teknologi bukan calang-calang.
Lebih menarik, penjimatan dia. Siapa yang pernah pandu Volkswagen model terkini mesti tahu punya. Passat R-Line ini pun, walaupun berprestasi, tetap mampu berikan penjimatan. Setakat 12-14 km per liter, kacang saja.
DCC dan XDS
Tadi kita bercerita bab jalan lurus, kini untuk selekoh. Pecutan hanyalah sebahagian kecil untuk prestasi, selebihnya adalah kawalan di selekoh. Untuk ini, Volkswagen Passat R-Line mendapat ‘jajan’ yang sama dengan Golf GTi, iaitu Dynamic Chassis Control (DCC) dan pengunci differential elektronik (XDS).
DCC merupakan penyerap hentak adaptif yang boleh dilaras tetapannya sama ada anda mahu keras atau lembut, untuk pemanduan sporti atau selesa. Ini menjadikan Passat cukup versatil; selesa untuk ke tempat kerja setiap hari, tetapi bersedia jika anda mahu bergegas ke mana-mana.
XDS pula bekerja semasa pedal minyak ditekan, menghantar kuasa dengan bijak ke mana-mana roda depan yang memerlukan kuasa.
Jika anda terlebih tekan minyak di selekoh, tidak seperti open differential kereta biasa yang akan membazirkan kuasa ke tayar belah dalam lantas menjadikan anda perlahan dan understeer keluar, XDS akan mengatasi masalah ini.
Komputer akan mengesan dan mengira lalu memberikan lebih kuasa ke tayar belah luar, membolehkan anda mengekalkan momentum dan pada masa yang sama ‘menggigit’ memasuki selekoh mengikut input stereng.
Secara keseluruhan, Volkswagen Passat R-Line ini sangat sesuai dipandu dalam semua keadaan. Ia boleh jadi kenderaan eksekutif elegan, tetapi juga mampu mengikut geng-geng Evo dan Megane RS di Ulu Yam.
Dengan saiznya yang lebih besar dan lebih berat dari Golf, menjadikan Passat stabil di kelajuan tinggi dan memberikan keyakinan untuk kita pemandu biasa. Penulis bukan menggalakkan anda memandu laju, sebenarnya kestabilan juga bermaksud keselamatan.
Kereta seperti Passat yang dipandu pada 110km/j jauh lebih selamat dari kereta kompak yang dipandu pada kelajuan sama. Mudah, bukan?
Praktikaliti seharian
Untuk praktikaliti, tiada apa yang hendak diragukan. Passat merupakan sedan segmen-D, sekelas dengan model seperti Toyota Camry, Honda Accord, Mazda 6, Hyundai Sonata dan Kia Optima. Dan Volkswagen itu sendiri memang panda buat kereta penumpang.
Jadi Passat cukup luas dan selesa, tiada rungutan bagi penulis. Tempat duduk belakang juga luas, mempunyai sokongan postur yang baik, dan terasa lapang dengan tingkap yang luas.
Selain itu, Volkswagen Passat R-Line juga mendapat paparan instrumen digital 11.7-inci, dan paparan infotainmen 9.2-inci dengan perisian Discover Pro serta sambungan Apple CarPlay (tanpa-wayar) dan Android Auto (dengan wayar).
Penulis cukup suka dengan paparan instrumen Passat ini kerana bukan sahaja besar dan boleh dikonfigurasi untuk menunjukkan banyak maklumat, tetapi juga tulisannya kemas dan halus. Ia tidak nampak terlalu wow atau canggih, tetapi cukup sekadar kemas dan rasional.
Kesimpulannya, penulis tidak menyangka Volkswagen Passat R-Line menjadi antara kereta paling memberi kesan yang penulis pandu untuk 2022. Dan harganya pada RM212,939 itu yang paling membuatkan penulis dilema dengan Golf GTi, kerana hot hatch ini pula berharga RM212,711.54.
Jika anda mencari sedan segmen-D dan terjumpa unit pre-owned atau terpakai yang elok, cubalah pandu uji! Oh ya, jemput tonton video kami di bawah kalau anda berminat cuci mata, mana tahu ‘teracun’.
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan harga baharu untuk Tiguan Allspace Life, yang kini berharga RM159,990. Harga ini kira-kira RM13k lebih rendah, dimana SUV itu dijual pada RM173,590 semasa pelancarannya awal tahun ini.
Harga baharu RM160k ini berkuat kuasa serta-merta dan penyerahan akan bermula pada Januari 2023 depan.
Volkswagen Tiguan Allspace Life merupakan SUV varian asas jenama itu, tetapi ia tetap padat dengan pelbagai ciri sebagai sebuah kenderaan keluarga moden.
Ciri dan tarikan utama Tiguan Allspace pastinya konfigurasi tujuh tempat duduk yang menawarkan ruang sehingga 1,775 liter, terbaik dalam kelasnya menurut Volkswagen.
Tiada perubahan dari segi teknikal. Tiguan Allspace Life dikuasakan oleh enjin 1.4TSI turbo dengan padanan kotak gear dwi-klac DSG 6-kelajuan. Enjin 4-silinder itu menjana 150hp dan 250Nm tork tetapi memberikan kecekapan sehingga 7.7 liter/100km/
Tiguan Allspace Life hadir dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma 3-tahun, dan bantuan tepi jalan 5-tahun.
HYUNDAI Motor Group telah berevolusi dan berkembang agak pesat dalam 10 tahun kebelakangan ini. Dan percaya atau tidak, kumpulan yang juga merangkumi Genesis dan Kia itu kini di tangga ketiga terbesar di dunia.
Setelah memintas General Motors, Nissan dan Stellantis, kumpulan Hyundai kini hanya di belakang Toyota dan Volkswagen dari segi jualan tahunan.
“Kami di landasan yang betul, dan tahun ini kami sangat kukuh,” kata Presiden dan co-CEO, Jaehoon Chang dalam satu temubual dengan Bloomberg baru-baru ini.
“Pengurusan rantaian bekalan kami merupakan kuncinya. Kami cuba untuk menjadi fleksibel, dan mengoptimakan dan melindungi pengeluaran sebolehnya walaupun berlaku kekurangan bekalan cip.”
Kia EV6 GT
Ini agak mengejutkan kerana pada April lepas, bilangan pengeluaran Hyundai dan Kia yang terjejas mencecah satu juta unit.
Tahun lepas, Hyundai Motor Group menjual 6.6 juta kenderaan di seluruh dunia, dan lebih 20 peratus dari angka itu adalah di Amerika Utara yang merupakan pasaran terbesarnya.
Untuk 2022, keuntungan dijangka meningkat sebanyak 21 peratus, iaitu pertumbuhan terbesar dalam kalangan pengeluar kenderaan utama.
Di Ulsan, Korea Selatan, Hyundai mengoperasikan kilang pengeluaran kenderaan terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran 1.4 juta kenderaan. Mereka juga menghasilkan besi sendiri dan menguruskan industri perkapalan.
Terdapat sembilan lagi kilang Hyundai di seluruh dunia, dan ini tidak temasuk beberapa kilang EV dan bateri baharu yang bakal siap di Amerika Syarikat menjelang 2025.
TAHUKAH anda, bola golf yang anda biasa lihat, ya, yang berwarna putih itu, mempunyai elemen aerodinamik yang membolehkan kereta sports menjadi lebih laju?
Dari segi rupa luaran, dua Porsche ini nampak serupa, tetapi sebenarnya ada perbezaan ketara untuk aspek aerodinamik. Salah satunya adalah pattern permukaan bola golf di bawah splitter depan.
Perbandingan aerodinamik Cayman dan Cayman GT4
Bahagian belakang 718 Cayman biasa (kiri) dan Cayman GT4 (kanan.
Porsche 718 Cayman GT4 mempunyai wing lebih besar dari yang ada pada Cayman ‘biasa’. Kedua-dua aerodinamik bertujuan mengurangkan drag atau daya seretan.
Pada 718 Cayman biasa, ianya bertujuan mengurangkan lift atau daya angkat (terhasil secara semulajadi apabila kereta melepasi kelajuan tertentu).
Tetapi pada 718 Cayman GT4, aerodinamik padanya direka agak memaksimakan downforce atau daya tekan. Daya ini akan bertambah apabila kereta mencapai kelajuan lebih tinggi
Sebagai perbandingan, 718 Cayman GTS mempunyai berat 1,467kg. Tetapi pada kelajuan maksima, beratnya berkurangan kerana udara yang melalui permukaan badan akan membentuk lift (daya angkat).
Cayman GT4 pula mempunyai berat 1,486kg, tetapi jika anda ‘timbang’ kereta ini pada kelajuan maksima, beratnya akan bertambah kira-kira 145kg. Ini kerana udara di sekeliling kereta ‘menekan’ ia ke bawah (downforce).
Daya tekanan ke bawah ini bermakna GT4 mempunyai cengkaman lebih tinggi, membolehkannya mengambil selekoh dengan lebih laju dan stabil, serta membrek dengan jarak lebih pendek.
GT4 dan bola golf
Jadi, bagaimana Porsche mendapatkan perbezaan aerodinamik ini? Ada banyak cara, tetapi salah satunya adalah di splitter depan. Udara yang melaluinya akan terbahagi sama ada lalu di bawah atau di atas untuk memasuki ruang radiator.
Kita akan fokus pada kawasan ini sahaja, kerana di bawah splitter inilah terdapatnya sains bola golf. Panel yang menutupi bahagian bawah splitter Cayman GT4 ini mempunyai permukaan sama dengan bola golf.
Kenapa? Ini kerana mengikut ujian yang pernah dilakukan, permukaan dengan tekstur seperti bola golf ini mampu mengurangkan daya seretan.
Jadi, mengapa tidak semua kereta menggunakan permukaan ini? Ya, kerana pastilah badan kereta tidak cantik jika mempunyai permukaan berlekuk seperti ini.
Bahagian bawah VW Golf. Gambar oleh: Pelicanparts.com
Tetapi, rupanya ada beberapa model pernah menggunakannya sebagai contoh, barisan model Volkswagen generasi kelima. Ini termasuklah model, err…. Golf.
Bugatti juga menggunakan permukaan bola golf pada kereta mereka. Menurut Bugatti, “Jika anda ada dua biji bola golf – satu dengan permukaan tekstur, dan satu lagi tiada – kemudia anda pukul dengan impak yang sama, bola dengan tekstur itu akan pergi kira-kira dua kali ganda lebih jauh.”
Bagaimana tekstur bola golf ini bertindak balas dengan udara dan memberikan daya seretan lebih rendah? Anda boleh tonton penerangan Engineering Explained di bawah, bermula pada minit 3:38.
SIAPA yang tidak kenal akan Volkswagen Golf GTi: Suatu nama yang sangat sinonim bukan sahaja kepada peminat hot hatch, tetapi juga kepada peminat kereta keseluruhan.
Dari generasi pertama Mk1 hinggalah yang terkini Mk8, resepi yang digunakan masih sama. Sebuah hatchback praktikal front-wheel drive (FWD) dengan prestasi enjin dipertingkat dan pengendalian lincah.
Cumanya sejajar dengan peredaran masa, kenderaan masa kini rata-ratanya lebih berat, lebih besar, lebih canggih, lebih mesra alam, dan lebih selamat. Kenderaan moden mempunyai saiz, berat dan teknologi sebegitu untuk mencapai matlamat menepati piawaian yang semakin ketat.
Golf GTi juga tidak terkecuali. Tetapi, adakah ini menjadikannya semakin hilang fokus? Ibarat kopi ais yang semakin cair, tidak lagi ‘kaw’?
Golf MK8 terkesan?
Sedikit latar belakang, Golf GTi Mk8 dilancarkan pada Februari 2022 dengan harga cukup menarik iaitu RM211,711 sahaja. Harga ini sebenarnya sangat berbaloi kerana hot hatch lain jauh lebih tinggi harganya.
Sebagai contoh, Honda Civic Type-R FK8 dan Renault Megane RS kedua-duanya berharga antara RM280k hingga RM300k. Golf GTi Mk7.5 sebelum ini juga dijual pada RM240k.
Hal ini kerana satu fakta penting yang kita perlu ketahui, Golf GTi Mk8 dipasang secara CKD di Malaysia. Dan ianya model GTi pertama yang dikeluarkan di fasiliti Volkswagen di Pekan, Pahang itu. Tetapi faktor harga sahaja belum cukup untuk menilai Golf GTi ini.
Penampilan Mk8 ini masih mempunyai rekaan ikonik Golf GTi walaupun sekilas pandang. Bentuk keseluruhan dengan garisan-garisan sisi badan kekal seperti sebuah Golf moden.
Tetapi amati dengan lebih teliti, anda akan dapati lampu depan dan belakang LED sepenuhnya yang menjadikannya tampak lebih moden dan serasi dengan barisan model Volkswagen terkini.
Mungkin terlalu moden hingga hilang sedikit kegarangannya. Masih terdapat garisan-garisan highlight merah pada badan kereta ini seperti pada gril depan dan fender tepi, tetapi warna Kings Red ini menenggelamkannya sedikit.
Bampar depan mempunyai rekaan seperti bukaan kemasukan udara yang besar tetapi hanya sebahagian sahaja yang benar-benar berlubang, selebihnya plastik hitam. Hal yang sama dengan Civic Type-R, tetapi penulis tidak mempunyai isu dengan ini. Yang penting lawa dan garang! Terlalu banyak rongga yang tidak perlu nanti drag bertambah pula.
Bab moden ini diteruskan ke bahagian dalam. Golf Mk8 dilengkapi dengan panel instrumen dan infotainment digital sepenuhnya. Ia solusi yang baik untuk mengurangkan semak dari butang dan suis terlalu banyak kerana Mk8 ‘menyimpan’ banyak fungsi dan sistem.
Kokpit sememangnya tampil kemas, minimalis, dan kontemporari.
Tetapi pelaksanaan mungkin tidak begitu kena. Sebagai contoh, butang di stereng terlalu banyak fungsi pada satu panel, bukan butang berasingan. Jadi, ia tidak begitu memuaskan bila diguna.
Ia juga mempunyai kawalan haptic dimana anda boleh sentuh atau gosok untuk memasukkan input, tetapi ini bukan telefon pintar. Penulis lebih gemarkan butang fizikal, lebih-lebih lagi pada stereng.
Begitu juga panel instrument, solusi kabin minimalis ini menyebabkan beberapa fungsi penting seperti pendingin hawa menjadi kurang praktikal. Anda perlu membuat beberapa sentuhan hanya untuk melaras suhu.
Tidak dinafikan segalanya cantik, teras berkualiti dan mempunyai ketepatan tinggi. Tetapi mujurlah Volkswagen dilaporkan akan kembali ke butang fizikal untuk beberapa kawalan utama untuk model akan datang.
Apa pun, ergonomik masih mantap untuk Golf GTi, ini juga penting kerana ianya hot hatch untuk mereka yang gemar memandu. Posisi duduk, pelarasan stereng dan sudut pandangan keluar semuanya ideal dan seimbang. Tiada rungutan untuk aspek ini.
Jika anda duduk sahaja tanpa kereta bergerak, sukar untuk percaya Golf GTi ini menyimpan banyak prestasi.
Magik GTi generasi kelapan
Volkswagen Golf GTi generasi terkini dikuasakan oleh enjin EA888 yang kita sudah familiar, iaitu unit 2.0-liter turbo petrol 4-silinder. Ia menjana 242hp dan 370Nm tork, meningkat berbanding 230hp dan 350Nm pada Mk7.5.
Enjin yang memenangi banyak anugerah ini digandingkan dengan kotak gear baharu DSG 7-kelajuan jenis klac basah. Gandingan ini memberikan pecutan 6.3 saat ke 100km/j dan kelajuan maksima 250km/j.
Tetapi angka dan prestasi ini bukan hadir dari enjin dan kotak gear semata-mata. Ada rahsia yang anda kena tahu mengenai GTi Mk8 ini yang menjadikannya antara hot hatch paling lincah dipandu hari ini.
Rahsia itu ialah Vehicle Dynamic Manager (VDM); ia bukan pengurus syarikat tetapi suatu pakej yang mengawal tiga magik iaitu tetapan ESC, LSD elektronik XDS, DCC.
1. ESC Sport
Selain On dan Off, ESC pada Golf ini mempunyai tetapan Sport yang membolehkan kereta slide atau menggelungsur sedikit dalam keadaan terkawal, tetapi masih laju.
Dalam perlumbaan, mengambil selekoh dengan terlalu kemas memang sudah laju, tetapi ada sedikit ‘threshold slide’ adalah lebih laju. Bezanya, threshold slide ini biasanya boleh dibuat oleh pelumba berpengalaman, tetapi Golf GTi Mk8 ini mampu membuatkan anda rasa seperti pelumba profesional.
2. XDS
Ini aspek kegemaran penulis, iaitu XDS (pengunci differential elektronik). Ia menggunakan brek secara individu di semua tayar untuk memastikan kereta boleh mengikut arah yang dikehendaki pemandu, tidak kira sama ada permukaan licin atau throttle sedang memaksa kuasa yang banyak untuk pergi ke tayar depan.
Bayangkan dalam keadaan hujan di permukaan simen (dalam keadaan selamat, bukan di jalan raya awam), pada kelajuan sekitar 45km/j dan anda terus pusing stereng 180 darjah, kereta berjaya mengikut dengan kemas tanpa sebarang gelinciran.
Ini mungkin ayat cliché, tapi memang seperti gokart. Atau seolah-olah berada di atas landasan.
Begitu juga jika anda mahu buat pusingan-U sambil full-throttle, tiada masalah langsung.
Ia membuatkan penulis terfikir, “macam mana lah dia buat differential ini, kereta FWD lain sudah tentu naik atas tembok dah.” Inilah pentingnya teknologi.
3. DCC
Akhir sekali ialah Dynamic Chassis Control atau DCC yang mengawal respon throttle, kotak gear, suspensi, stereng. DCC ini bukan sahaja menjadikan GTi jaguh di litar, tetapi versatil untuk hatchback kegunaan harian.
Mahu hantar anak ke sekolah? Makan malam dengan keluarga? Balik kampung? Touge hujung minggu? Serba boleh.
Hot hatch sempurna?
Volkswagen Golf GTi Mk8 ini boleh dikira sempurna, tetapi arus kemodenan memaksanya menjadi sedikit ‘manja’. Atau kurang hardcore.
Bunyinya tidak segarang dulu, dan kokpit terlalu futuristik. Tetapi bab feel pemanduan dan pengendalian masih sangat-sangat cemerlang, sesuai dengan statusnya.
Dan penulis bersyukur ia kekal FWD. Tidak perlulah menambah berat dan kompleksiti semata-mata mengejar catatan masa Nurburgring. Rasanya pemandu tegar lebih hargai feel dan karakter asal GTi ini. Dan memang untuk itulah Golf GTi; pemandu tegar.