Arkib Tag: VOLKSWAGEN

Volkswagen ID. Tiguan 2027 dilancarkan, jarak gerak sehingga 600 km!

Volkswagen memperkenalkan ID. Tiguan, SUV elektrik baharu yang bakal menggantikan ID.4 dan ID.5 apabila mula memasuki pasaran pada awal 2027.

Volkswagen memaklumkan lebih 950,000 unit ID.4 dan ID.5 telah dikeluarkan sejak kedua-dua model itu diperkenalkan.

Model ini membawa nama Tiguan ke era mobiliti elektrik dengan reka bentuk luaran serba baharu, kabin lebih premium dan teknologi terkini berasaskan platform MEB+.

ID. Tiguan akan dijual bersama Tiguan sedia ada yang menggunakan rangkaian kuasa petrol, diesel dan hibrid.

Untuk pasaran Eropah, empat varian ditawarkan, iaitu Trend, Life, Style dan R-Line.

ID. Tiguan akan dikeluarkan di Emden, Jerman, manakala Tiguan konvensional dihasilkan di Wolfsburg.

Volkswagen ID. Tiguan 2027: Tiga Pilihan Kuasa

ID. Tiguan ditawarkan dengan tiga pilihan rangkaian kuasa, termasuk versi pacuan roda belakang dan pacuan semua roda 4MOTION.

  • 140 kW (190 PS): Pacuan roda belakang dengan bateri 58 kWj.
  • 210 kW (286 PS): Pacuan roda belakang dengan bateri 77 kWj.
  • 220 kW (299 PS): Pacuan semua roda 4MOTION dengan dua motor elektrik dan bateri 77 kWj.

Jarak gerak berdasarkan ujian WLTP mencecah sehingga 600 km, bergantung pada rangkaian kuasa dan kapasiti bateri.

Penggunaan tenaga gabungan bagi varian 220 kW ialah 15.7 hingga 17.2 kWj/100 km.

Reka Bentuk Luaran Lebih Tegap

ID. Tiguan menggunakan bahasa reka bentuk Pure Positive yang menekankan penampilan kemas dan tidak lapuk ditelan zaman.

Berbanding reka bentuk crossover yang lebih lembut pada model terdahulu, ID. Tiguan tampil dengan bentuk SUV yang lebih tegap dan kehadiran visual lebih menyerlah.

Garisan badan yang kemas menyerlahkan penampilan ID. Tiguan yang tegap dan bermutu.

Menurut Volkswagen, keseluruhan reka bentuk ini menjadikan ID. Tiguan kelihatan seperti kenderaan daripada segmen premium yang lebih tinggi.

Satu lagi perubahan ialah penggunaan pemegang pintu jenis tarik konvensional, menggantikan reka bentuk rata pada model terdahulu.

Kabin Dengan Kemasan Lebih Premium

Ruang dalaman menerima perubahan besar menerusi penggunaan bahan bermutu tinggi, susun atur yang lebih kemas dan kawalan yang direka untuk memudahkan penggunaan.

Volkswagen turut memperkenalkan susun atur paparan baharu yang menggabungkan tiga skrin, termasuk skrin penumpang hadapan sebagai kelengkapan pilihan.

  • 10 inci: Paparan Digital Cockpit untuk pemandu.
  • 15 inci: Skrin sistem maklumat hibur di bahagian tengah.
  • 12 inci: Skrin penumpang hadapan sebagai kelengkapan pilihan.

Skrin penumpang hadapan membolehkan akses kepada kandungan hiburan, maklumat dan permainan tanpa mengganggu pemandu.

Fungsi mod privasi memastikan paparan tersebut tidak kelihatan dari tempat duduk pemandu.

Penumpang juga boleh mendengar audio menerusi fon kepala Bluetooth yang dipadankan.

Dari segi muatan, ruang bagasi belakang mempunyai kapasiti 534 liter, selain ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 32 liter.

Suis Fizikal Kembali Digunakan

Volkswagen mengambil kira maklum balas pelanggan dengan mengembalikan butang fizikal untuk fungsi utama dalam kabin.

Sistem pendingin hawa kini menggunakan bar butang di konsol tengah. Stereng pelbagai fungsi juga menggunakan butang fizikal menggantikan kawalan sentuh.

Pelarasan kelantangan serta pertukaran stesen radio atau trek boleh dilakukan menggunakan pengawal di konsol tengah.

Panel kawalan empat tingkap elektrik pada pintu pemandu turut direka semula, manakala pembuka pintu dalaman dioptimumkan supaya lebih selesa digunakan.

Di bahagian hadapan, terdapat dua pad pengecasan telefon secara induktif yang menyokong piawaian Qi2.

Paparan Retro Dengan Inspirasi Golf IV

ID. Tiguan turut menerima skrin retro yang diinspirasikan daripada meter Volkswagen Golf IV.

Apabila fungsi ini diaktifkan menggunakan butang View pada stereng, paparan Digital Cockpit menunjukkan meter berwarna biru dan merah dengan reka bentuk klasik.

Paparan tersebut merangkumi meter kelajuan di sebelah kiri dan meter yang menyerupai takometer di sebelah kanan.

Namun, meter kedua itu menunjukkan aliran tenaga sistem pemacu elektrik, bukannya putaran enjin.

Paparan retro pada skrin sistem maklumat hibur juga boleh disesuaikan.

Pemandu boleh memilih enam model Volkswagen untuk dipaparkan dalam garaj maya, iaitu Golf I, Golf II Country, Golf IV, Tiguan I, Race Touareg dan Beetle.

Teknologi Bantuan Pemandu dan Keselesaan

ID. Tiguan dilengkapi fungsi pemanduan satu pedal sebagai kelengkapan standard.

Sistem ini membolehkan pemandu memperlahankan kenderaan menggunakan pedal pemecut sahaja dalam had operasi sistem.

Teknologi Connected Travel Assist menawarkan sistem bantuan pemanduan canggih.

Sistem ini boleh membantu pertukaran lorong di lebuh raya dan memberhentikan kenderaan secara automatik apabila mengesan lampu isyarat merah, tertakluk pada had sistem.

Antara kelengkapan pilihan ialah:

  • Kerusi hadapan dengan pelarasan elektrik, fungsi urutan dan pengudaraan serta memori.
  • Sistem audio Harman Kardon berkuasa 480 watt.
  • Bumbung panoramik.
  • Digital Key untuk membuka, mengunci dan menghidupkan kenderaan menggunakan telefon pintar yang serasi.
  • PowerSocket untuk fungsi Vehicle-to-Load (V2L), membolehkan bateri kenderaan membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik.

Digital Key juga boleh dikongsi dengan ahli keluarga, rakan atau rakan sekerja melalui aplikasi Volkswagen.

Bagi fungsi V2L, penyesuai PowerSocket disambungkan pada soket pengecasan kenderaan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan seperti pemanggang elektrik dan basikal elektrik.

Harga Volkswagen ID. Tiguan 2027 dan Pasaran

Volkswagen akan membuka tempahan awal ID. Tiguan di Jerman dan beberapa negara Eropah lain pada 13 Oktober 2026.

Harga bermula daripada €42,695 (RM195,400).

Sebagai imbasan, Volkswagen pernah mempertontonkan ID.4 di dalam negara pada Oktober 2022 namun model ini tidak kunjung tiba.

Di tengah-tengah kerancakan penawaran kenderaan elektrik, menarik sekiranya ID. Tiguan dapat dibawa masuk ke pasaran tempatan.

VW Tiguan bakal ada versi EV pada 2027, guna nama ID. Tiguan!

Volkswagen bakal memperkenalkan ID. Tiguan pada awal Oktober sebelum SUV elektrik baharu itu memasuki pasaran pada awal 2027.

ID. Tiguan model ketiga Volkswagen yang menggunakan nama sedia ada selepas ID. Polo dan ID. Cross.

Model ini akan menggantikan ID.4 dan ID.5, selain ditawarkan bersama Tiguan yang dipacu rangkaian kuasa enjin pembakaran (ICE) dan hibrid.

Tiguan merupakan model terlaris Volkswagen dan Volkswagen Group dengan lebih 8.3 juta unit Tiguan telah dihasilkan setakat ini.

Dalam tempoh setahun lalu, penghantaran Tiguan dan Tayron melebihi 1 juta unit.

Reka Bentuk Baharu

Meskipun berkongsi nama, ID. Tiguan bukan salinan versi ICE sebaliknya tampil dengan rekaan baharu.

AutoCar berpeluang memandu prototaip ID. Tiguan dan menurut mereka, model ini 44 mm lebih panjang berbanding ID.4.

Meskipun ditutup dengan pelekat, dapat dilihat rekaan keseluruhan yang kemas dan bergaya. Model ini juga lebih cenderung ke arah crossover berbanding SUV seperti Tiguan.

Dua Pilihan Bateri

Menurut AutoCar, ID. Tiguan dijangka mengekalkan dua pilihan bateri, iaitu bateri 58 kWj litium-besi-fosfat (LFP) untuk varian asas dan bateri 77 kWj nikel-mangan-kobalt (NMC).

Kapasiti bateri tidak meningkat berbanding ID.4, tetapi kemas kini pada platform dan sistem pemacu elektrik memberikan peningkatan dari segi kecekapan dan jarak.

Tiga output kuasa dijangka ditawarkan, iaitu:

  • 188 hp
  • 282 hp
  • 295 hp untuk versi dwi-motor 4Motion

Jarak pemanduan pula dianggarkan antara 280 hingga 373 batu (450 hingga 600 km), bergantung kepada varian.

AutoCar menyatakan jarak tersebut membolehkan ID. Tiguan mengatasi Hyundai Ioniq 5, selain merapatkan jurang dengan Tesla Model Y dan Renault Scenic E-Tech.

Pelancaran rasmi Volkswagen ID. Tiguan dijadualkan pada awal Oktober 2026, sebelum memasuki pasaran Eropah pada awal 2027.

Bakal Masuk Malaysia?

Berbanding pengeluar lain, Volkswagen dilihat ketinggalan dalam penawaran kenderaan elektrik di pasaran Malaysia dan Asean.

Di sebalik pergerakan yang perlahan, Volkswagen sentiasa hadir dengan kejutan seperti Golf GTI, Touareg yang dipasang di Pekan, Pahang.

Volkswagen juga memasarkan Tayron yang masih baharu di pasaran antarabangsa.

Berbekalkan penerimaan pasaran yang positif terhadap EV, ID. Tiguan dilihat mempunyai potensi bagi mengisi ruang yang masih kosong dari Volkswagen.

Volkswagen Mission Efficiency dipandu 1,278 km, cas sekali masih ada baki 164 km!

Volkswagen memperkenalkan Mission Efficiency, sebuah prototaip kereta elektrik yang hampir kepada produksi yang dibangunkan untuk menunjukkan potensi kecekapan tenaga menerusi teknologi produksi.

Model ini mencatat tiga rekod dunia, termasuk nilai pekali seretan (drag coefficient) Cd 0.158 dan penggunaan tenaga 6.48 kWj/100 km dalam perjalanan ideal.

Dalam ujian ideal itu, Mission Efficiency dipandu pada kelajuan tetap 68 km/j, tanpa laluan mendaki dan dengan penggunaan tenaga seperti pendingin hawa dimatikan.

Ujian Sebenar Sejauh 1,278 Km

Volkswagen turut menjalankan ujian penggunaan tenaga sejauh 1,278.36 km dari Wolfsburg, Jerman ke Vienna, Austria, melalui Poznań di Poland dan Olmütz di Republik Czech.

Mission Efficiency menggunakan 6.89 kWj/100 km untuk pemanduan. Jika tenaga yang hilang ketika mengecas turut dikira, penggunaan keseluruhannya ialah 7.51 kWj/100 km.

Ciri-ciri ujian tersebut ialah:

  • Jarak: 1,278.36 km
  • Kelajuan purata: 67.72 km/j
  • Kelajuan maksimum: 138 km/j
  • Kapasiti bateri bersih: 54.9 kWj
  • Pengecasan sepanjang perjalanan: sekali
  • Baki jarak ketika tiba di Vienna: 164.0 km

Aerodinamik Jadi Kunci Kecekapan

Dengan nilai Cd 0.158 dan luas permukaan hadapan 2.08 m², aerodinamik menjadi fokus utama Mission Efficiency.

Badan berbentuk titisan dioptimumkan untuk aliran udara. Beberapa ciri utama turut membantu mengurangkan rintangan udara:

  • Kepak udara penyejukan aktif.
  • Roda belakang berpenutup.
  • Bahagian bawah badan ditutup sepenuhnya.
  • Tingkap tanpa bingkai.
  • Pembuka pintu disepadukan pada permukaan badan.

Kelebihan reka bentuk ini lebih jelas apabila kereta dipandu pada kelajuan tinggi.

Pada kelajuan melebihi 80 km/j, penggunaan tenaga Mission Efficiency adalah lebih 30 peratus lebih rendah berbanding ID. Polo standard.

Pada 140 km/j, Mission Efficiency menggunakan kira-kira jumlah tenaga yang sama seperti ID. Polo pada 100 km/j.

Reka bentuknya turut mengambil inspirasi daripada Volkswagen XL1, yang diperkenalkan pada 2013 dan ketika itu merupakan kereta produksi paling menjimatkan di dunia.

Berasaskan Teknologi MEB+

Mission Efficiency menggunakan teknologi MEB+ dengan pacuan roda hadapan, sama seperti ID. Polo dan ID. Cross.

Antara teknologi produksi yang digunakan ialah:

  • Motor elektrik 99 kW (135 PS) daripada ID. Polo.
  • Bateri voltan tinggi daripada ID. Polo.
  • Platform MEB+.
  • Pacuan roda hadapan.

Volkswagen berkata pendekatan ini menunjukkan tahap kecekapan tinggi boleh dicapai menggunakan teknologi produksi berskala besar, bukannya teknologi khusus yang mahal.

Badan Coupé 2+2

Mission Efficiency mempunyai panjang 4,775 mm dan tinggi 1,392 mm. Prototaip ini menggunakan konfigurasi tempat duduk 2+2 dengan ruang bagasi berkapasiti 481 liter.

Ruang tambahan disediakan di bawah tempat duduk belakang dan pada bahagian sisi badan untuk barangan harian serta kabel pengecasan.

Tempat duduk belakang pula direka untuk penumpang dengan ketinggian sehingga kira-kira 1.60 meter.

Struktur badannya menggabungkan komponen ID. Polo dengan:

  • Struktur aluminium.
  • Polimer bertetulang gentian karbon (CFRP).
  • Komposit aramid.

Sistem Brek Elektromekanikal

Bahagian hadapan menggunakan gandar MacPherson dan sistem brek hidraulik daripada ID. Polo.

Bahagian belakang pula menggunakan sistem brek elektromekanikal buat kali pertama.

Sistem ini:

  • Mengurangkan kehilangan akibat geseran.
  • Mengurangkan penggunaan saluran dan bendalir brek.
  • Menyokong agihan daya brek berubah-ubah.
  • Membantu meningkatkan pemulihan tenaga.
  • Meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.

Sistem brek ini dibangunkan bersama AUMOVIO, yang turut membekalkan sistem brek untuk ID. Polo.

Mission Efficiency telah mendapat kelulusan jalan raya Kesatuan Eropah dan memenuhi keperluan keselamatan, kekuatan serta ujian pelanggaran berkaitan.

Rim dan Tayar Kurangkan Rintangan

Roda menyumbang sekitar 25 hingga 30 peratus daripada rintangan aerodinamik kenderaan. Justeru, Volkswagen turut memberi perhatian kepada reka bentuk roda dan tayar.

Antara penyelesaian yang digunakan ialah:

  • Ruang roda hadapan direka rapat mengikut jejari tayar.
  • Rim deflector dipatenkan digunakan pada bahagian dalam semua roda.
  • Penutup hab roda menggunakan reka bentuk rata dan dioptimumkan untuk aliran udara.
  • Tayar konsep dibangunkan bersama Continental berasaskan siri EcoContact 7.

Tayar tersebut mempunyai rintangan gelinciran 4.9 kg/t, kira-kira 25 peratus lebih rendah berbanding ambang untuk kelas label tayar EU A.

Dinding sisi dan sebatian bunga tayar turut dioptimumkan bagi mengurangkan kehilangan tenaga ketika bergolek.

Panel Solar Tambah Jarak Harian

Sistem fotovoltik dengan output 370 W disepadukan pada bumbung kaca dan penutup ruang bagasi.

Ia membekalkan tenaga kepada sistem elektrik dalam kenderaan dan, bergantung pada musim, lokasi serta cuaca, boleh meningkatkan jarak pemanduan sebenar sehingga 30 km sehari.

Kabin pula menggunakan beberapa pendekatan untuk mengurangkan berat:

  • Panel dalaman ringan.
  • Pembesar suara Bluetooth mudah alih menggantikan sistem pembesar suara.
  • Konsep Bring Your Own Device menggunakan telefon pintar atau tablet sebagai paparan maklumat hibur.

Fokus Pada Kecekapan Kereta Elektrik

Mission Efficiency menunjukkan bagaimana setiap bahagian kenderaan boleh menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga.

Antara fokus utamanya ialah aerodinamik, rangkaian kuasa elektrik, tayar, sistem brek, panel solar dan pengurangan berat.

Volkswagen Mission Efficiency ialah prototaip dan bukan untuk dijual.

Ia dibangunkan sebagai demonstrasi teknologi berdasarkan penyelesaian yang boleh digunakan dalam pengeluaran berskala besar.

Volkswagen R bersaing dalam 24h Nürburgring 2027!

Volkswagen R mengumumkan kepulangan ke litar perlumbaan pada tahun 2027.

Kemunculan semula ini bersempena sambutan ulang tahun ke-25 jenama prestasi premium tersebut.

Sebagai persediaan awal, Volkswagen sedang membangunkan sebuah Golf R pacuan semua roda yang dikhaskan untuk litar lumba dengan kerjasama Max Kruse Racing.

Kehadiran kereta pameran Volkswagen Golf R 24H menjadi bayangan awal kepada jentera lumba yang bakal menggegarkan litar kelak.

Penyertaan dalam perlumbaan 24h Nürburgring merupakan komitmen jelas terhadap akar umbi jenama kerana huruf R itu sendiri berasal daripada perkataan racing.

DNA Perlumbaan dan Pembangunan Teknikal

Sejak Golf R32 diperkenalkan pada tahun 2002, Volkswagen R sentiasa mewakili kenderaan produksi yang paling sporti dan berkuasa bagi jenama Volkswagen.

Hubungan rapat dengan sukan permotoran dan konsep perlumbaan merupakan sebahagian daripada DNA jenama ini.

Menurut Ketua Volkswagen R, Reinhold Ivenz, litar Nürburgring merupakan lokasi ujian yang paling mencabar di bawah keadaan persaingan sebenar.

Litar tersebut juga berfungsi sebagai trek ujian dan pembangunan buat mereka.

Visi Masa Hadapan Melalui Volkswagen Golf R 24H

Kereta pameran Golf R 24H kini dipamerkan kepada umum di Ring Boulevard di Nürburgring.

Volkswagen tidak mendedahkan perincian teknikal namun, kerja-kerja persediaan untuk membina kereta lumba sebenar telah pun bermula.

Pihak pengurusan Volkswagen R menjanjikan bahawa peminat boleh menjangkakan kehadiran model Golf R yang paling hebat setakat ini.

Kerjasama Strategik Bersama Max Kruse Racing

Selepas tiga tahun menggunakan Golf GTI Clubsport, Volkswagen kini memulakan episod baharu dalam perlumbaan 24h Nürburgring melalui projek Golf R 24H.

Max Kruse Racing kekal sebagai rakan kongsi utama dalam menjayakan projek tersebut. Program ini dikendalikan oleh pengasas bersama iaitu Benjamin Leuchter.

Sebagai pemandu ujian dan pembangunan, beliau terlibat secara langsung dalam proses meningkatkan model-model produksi Volkswagen yang paling sporti.

Volkswagen imbas kembali tiga konsep GTI paling gila sempena 50 tahun Golf GTI – siap ada enjin W12!

Tahun ini, Volkswagen meraikan ulang tahun ke-50 Golf GTI. Selain memperkenalkan model edisi khas, VW turut menggali semula tiga konsep paling liar yang pernah memakai lencana GTI bagi mengingatkan dunia betapa beraninya jenama ini suatu ketika dahulu.

Golf GTI W12-650 (2007) – Hot hatch enjin Bentley

Paling gila sudah tentu Golf GTI W12-650. Menggunakan Golf Mk5 sebagai asas, konsep ini menggantikan enijn empat silinder dan pacuan road hadapan standard dengan enjin 6.0 liter W12 twin-turbo dari Bentley Continental GT yang dipasang di tengah.

Hasilnya? 641 hp dan 720 Nm, semuanya disalurkan ke roda belakang. Pecutan 0-100 km/j sekitar 3.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 325 km/j. Ia bukti bahawa VW pernah membina hot hatch 12-silinder semata-mata kerana mereka boleh.

Golf Design Vision GTI (2013) – 503 hp, AWD

Seterusnya, Golf Design Vision GTI yang berasaskan Mk7. Rekaan widebody ekstrem digandingkan dengan enjin 3.0 liter VR6 twin-turbo menghasilkan 503 hp dan 560 Nm, disalurkan ke semua roda melalui transmisi DSG tujuh kelajuan.

VW mendakwa jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 300 km/j. Secara asasnya, inilah “super GTI” namun sayangnya ia tidak pernah memasuki fasa produksi.

Golf GTI Roadster (2014) – Konsep Gran Turismo

Diperkenalkan untuk permainan Gran Turismo 6, Golf GTI Roadster ialah versi tanpa bumbung dua tempat duduk yang jauh lebih radikal. Masih menggunakan enjin VR6 3.0 liter twin-turbo dengan 503 hp, namun dengan sistem AWD 4Motion, ia hanya memerlukan 3.6 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Dengan pintu gaya supercar, sayap belakang besar dan rekaan hampir tiada DNA Golf, ia jelas sekadar eksperimen namun cukup untuk menunjukkan sisi kreatif VW.

Volkswagen Transporter Sportline (2026) – Bila van pakai bodykit ala GTI

Volkswagen Commercial Vehicles telah memperluaskan barisan Transporter dengan memperkenalkan varian paling tinggi iaitu Volkswagen Transporter Sportline. Ia dijadualkan memasuki pasaran pada awal 2026 sebagai versi paling premium serta paling menyerlah dalam keluarga Transporter.

Luaran

Dari segi penampilan, van ini tampil dengan pakej luaran eksklusif yang membezakannya daripada varian lain. Ini termasuk bampar hadapan dan belakang khusus Sportline, spoiler belakang, gril, penutup cermin sisi serta lencana kemasan hitam berkilat.

Skirt sisi dan rel bumbung ditambah bagi menyerlahkan imej sporty, manakala suspensi direndahkan sebanyak 29 mm untuk memberikan stance lebih rendah dan stabil.

Rim aloi 19 inci kemasan dwi-tona melengkapkan penampilan agresif ini, bersama lampu utama Matrix LED dan jalur merah ikonik pada gril yang menjadi identiti Sportline.

Dalaman

Ruang kabin pula memfokuskan kepada suasana lebih premium menerusi tempat duduk sport yang dibalut kulit eco, jahitan merah, kemasan timbul dan stereng dibalut kulit dengan ciri pemanas.

Sentuhan eksklusif model ini diserlahkan lagi dengan kehadiran scuff plate logam bercahaya, pencahayaan ruang kaki, kemasan paparan hitam berkilat, dan alas lantai berlogo Sportline.

Dari sudut kelengkapan, Sportline hadir dengan sistem Keyless Access bersama Safelock, kamera Area View, cermin sisi berlipat kuasa dengan pemanas serta rangkaian penuh sistem bantuan pemandu terkini. Untuk trenkuasa, tiada sebarang peningkatan kuasa memandangkan enjin kekal seperti varian lain.

Harga

Harga bagi Transporter Sportline bermula dari £51,105 (RM272,200) untuk van panel Short Wheelbase (SWB) dan £51,975 (RM276,650) bagi versi Long Wheelbase (LWB). Untuk model Kombi lima tempat duduk, harga bermula dari £53,085 (RM282,560) untuk SWB dan £53,955 (RM287,190) untuk LWB.

Transporter Sportline 75 Special Edition

Sempena ulang tahun ke-75 Volkswagen Bus, turut ditawarkan Transporter Sportline 75 Special Edition yang dihadkan kepada hanya 75 unit. Ia hadir dengan warna Moss Green, jahitan kontras hijau pada tempat duduk dan stereng, penutup cermin sisi dengan logo ‘Sportline 75’, serta nombor siri pengeluaran.

Ini dalaman VW ID. Polo, 4 tingkat dan sederet butang pada stereng!

Volkswagen bakal memperkenalkan model elektrik kompak baharu ID. Polo. Selepas tampil dengan sejumlah gambar samaran VW berkongsi gambar sebenar bahagian dalaman model ini.

VW memakluman reka bentuk dalaman berasaskan maklum balas pelanggan dan menekankan penggunaan butang fizikal.

Ini satu yang menarik di tengah-tengah trend butang digital dan arahan suara untuk EV.

Struktur menu juga lebih ringkas serta corak operasi yang sudah biasa dengan pengguna kenderaan VW, tetapi diperkemas untuk era elektrik.

Konsep terbaharu ini sebenarnya dibangunkan untuk semua model ID. baharu VW, dengan ID. Polo berperanan sebagai pembuka tirai.

Ciri-ciri dalaman baharu:

  • Susun atur paparan yang lebih jelas dan mudah difahami
  • Penambahan butang fizikal untuk fungsi penting
  • Reka bentuk stereng pelbagai fungsi dengan kawalan butang tersusun
  • Penggunaan bahan berkualiti tinggi, termasuk bahan kitar semula
  • Permukaan papan pemuka dan panel pintu berlapik fabrik untuk rasa premium

Gabungan ini bertujuan mewujudkan suasana dalaman yang mesra, selesa dan berkualiti tinggi, meskipun ID. Polo berada dalam segmen kecil dan kompak.

Seni Bina Kokpit Mendatar dengan Dua Paparan Besar

Seni bina kokpit ID. Polo menampilkan orientasi mendatar yang jelas, dengan dua paparan utama disusun dalam satu garis pandangan:

  • Skrin instrumen digital bersaiz 10.25 inci untuk pemandu
  • Skrin sentuh maklumat hibur bersaiz hampir 13 inci di tengah, antara yang terbesar dalam segmen

Skrin resolusi tinggi ini direka untuk mudah diakses bukan sahaja oleh pemandu, malah penumpang hadapan.

Di bawah skrin maklumat hibur, Volkswagen menempatkan butang berasingan untuk kawalan pendingin hawa dan lampu kecemasan, ciri fizikal yang digemari pengguna.

Turut diperkenalkan ialah:

  • Tombol berputar (rotary controller) untuk audio, di antara ruang telefon pintar dan pemegang cawan
  • Kawalan ini membolehkan pelarasan bunyi serta pertukaran lagu atau stesen dengan mudah oleh pemandu dan penumpang

Di sebalik penekanan pada kawalan fizikal, stereng ID. Polo sarat dengan butang sehingga empat tingkat atau lapis pada kedua-dua jari kanan dan kiri!

ID.Light Dipertingkat, Kini Merentasi Papan Pemuka dan Pintu

Selain kawalan digital, kereta hari ini juga dilanda trend lampu suasana.

Sistem ID.Light yang berfungsi sebagai jalur cahaya interaktif turut dipertingkatkan. Jika sebelum ini ia hanya merentasi bahagian bawah cermin hadapan, kini ia:

  • Merentasi keseluruhan papan pemuka
  • Dipanjangkan ke panel pintu hadapan buat kali pertama

Fungsi ini berperanan sebagai elemen komunikasi visual, menyampaikan maklumat dan isyarat kepada pemandu secara intuitif.

Perisian Generasi Baharu Tingkatkan Keselesaan dan Fungsi

ID. Polo turut menjadi platform pertama Volkswagen yang tampil dengan perisian generasi baharu, yang membawa beberapa fungsi tambahan penting, antaranya:

  • One-pedal driving untuk pemanduan lebih santai
  • Sistem bantuan parkir termaju
  • Pilihan Travel Assist generasi ketiga, yang mampu mengenal pasti lampu isyarat merah dan papan tanda berhenti

Penambahbaikan ini direka untuk meningkatkan keselesaan harian serta menyokong pemanduan separa automatik dengan lebih lancar.

Meter Retro: Sentuhan Emosi Era Golf Pertama

Satu elemen unik yang digelar sebagai Secret Sauce oleh pasukan reka bentuk Volkswagen ialah paparan retro pada panel instrumen digital.

Rekaan meter ibarat kembali ke era 80-an namun dibuat dalam bentuk digital.

Dengan hanya satu sentuhan butang pada stereng atau melalui sistem maklumat hibur, skrin digital boleh bertukar kepada rekaan klasik.

Rupa grafik ini diinspirasikan terus daripada Golf generasi pertama era 1980-an

Ciri ini bukan sekadar kosmetik, tetapi bertujuan mewujudkan hubungan emosi antara pengguna dan kenderaan, menggabungkan warisan VW dengan teknologi moden.

VW ID. Polo bakal dilancarkan pada tahun ini dan khabarnya pada harga yang mampu milik untuk pasaran Eropah.

Beetle comel ini sebenarnya supercar elektrik berkuasa 600 hp!

Sekilas pandang, Volkswagen Beetle ini nampak seperti sebuah kereta klasik yang cantik dan terjaga. Tetapi jangan tertipu dengan penampilannya kerana ia sebenarnya sebuah supercar yang sedang menyamar.

Tuner dari Jerman, Knepper Bugs & More, telah menukar Beetle yang asalnya rosak dan tersadai di California ini menjadi sebuah kereta elektrik dengan kuasa yang mampu menggugat mana-mana kereta sport mewah.

Di bawah bonet, Beetle ini kini dipasang dengan motor Tesla Model S yang telah diubah suai untuk beroperasi pada voltan lebih tinggi dan menghasilkan lebih 600 hp dan 700 Nm.

Kuasa dihantar ke roda menggunakan aci pemacu Porsche 911 (930), manakala tenaga dibekalkan oleh 17 modul bateri Taycan. Hasilnya, Beetle ini boleh memecut ke 100 km/j dalam 2.9 saat, iaitu 0.5 saat lebih laju Porsche 911 GT3 terbaru.

Untuk menangani prestasi yang ekstrem ini, suspensi dan brek Beetle ini telah dinaik taraf menggunakan komponen daripada Porsche 944, KW, dan Bilstein.

Bukan itu sahaja, bahagian luaran juga telah diperbaharui dengan rim Porsche, spoiler karbon kecil, dan warna Marathon Blue yang menonjolkan sisi agresif tanpa keterlaluan.

Bahagian dalam pula kekal ringkas, seperti kejadian asalnya. Papan pemuka dan meter telah diperbaharui, manakala kerusi asal digantikan dengan kerusi dari BMW 2002. Tiada tuil gear konvensional di sini, sebaliknya pemandu perlu menggunakan skrin sentuh untuk memilih gear.

Walaupun telah dinaik taraf secara menyeluruh, kereta ini masih praktikal untuk perjalanan pendek, dengan jarak sekitar 250 km bagi satu cas penuh atau hanya 100 km jika dilenjan.

Untuk membuktikan ketahanannya, Knepper baru-baru ini memandu Beetle ini sejauh 8,000 km merentasi Eropah dan ke Afrika Utara, menunjukkan bahawa Bug ini mampu berjalan jauh.

Selamat tinggal, Touareg: pengeluaran SUV ikonik Volkswagen akan ditamatkan selepas lebih dua dekad

Selepas lebih dua dekad menjadi antara model paling berpengaruh dalam barisan model Volkswagen, Touareg bakal menamatkan perjalanan panjangnya.

Volkswagen mengesahkan bahawa pengeluaran SUV itu akan dihentikan pada 2026, menandakan pengakhiran kepada salah satu nama paling ikonik dalam sejarah jenama itu.

Menariknya, dalam siaran akhbar rasmi, Volkswagen menyebut “Touareg enjin pembakaran”, seolah-olah memberi bayangan bahawa nama Touareg mungkin akan kembali sebagai EV suatu hari nanti. Apa-apa pun, sama ada benar atau tidak, kita tunggu dan lihat.

Dilancarkan buat pertama kali pada 2002 menggunakan platform yang sama dengan Porsche Cayenne dan Audi Q7, Touareg generasi pertama dikenali dengan keupayaan off-road yang mengagumkan serta teknologi canggih seperti suspensi udara dan sistem penstabilan olengan elektromekanikal.

Varian tertinggi V10 TDI ketika itu juga menjadikannya antara SUV paling berkuasa di pasaran. Sepanjang tempoh pengeluaran dari 2002 hingga 2009, lebih 471,000 unit terjual di seluruh dunia.

Model generasi kedua yang muncul pada 2010 pula menambah keselesaan dan kecekapan bahan api, selain memperkenalkan versi hibrid, yang menjadi model Volkswagen pertama yang menggabungkan enjin V6 supercharged dengan motor elektrik. Sebanyak 483,000 unit terjual sebelum ia digantikan pada 2018.

Model generasi ketiga membawa perubahan besar dari segi teknologi dan kemewahan. Reka bentuk badan aluminium yang lebih ringan, sistem bantuan pemandu pintar, serta varian Touareg R Hybrid dengan kuasa 462 PS menjadikannya antara SUV paling canggih dalam segmennya.

Secara keseluruhan, Volkswagen berjaya menjual lebih 1.2 juta unit Touareg di 39 negara sejak pelancarannya.

Selain kejayaan jualan, Touareg turut mencipta nama dalam dunia sukan permotoran dengan rekod tiga kemenangan berturut-turut di Rali Dakar. Ia juga pernah menarik pesawat Boeing 747 seberat 155 tan, serta menakluk laluan Panamericana merentasi benua Amerika.

Sebagai penghormatan terakhir, Volkswagen memperkenalkan Touareg Final Edition dengan kemasan istimewa dan lencana “Final Edition” pada bahagian luar dan dalam. Ia dijual pada harga 75,025 euro (RM370,000) dan akan ditawarkan sehingga Mac 2026.

Volkswagen Golf GTI Edition 50 diperkenalkan sebagai GTI paling power setakat ini

Volkswagen menyambut ulang tahun ke-50 hatchback ikonik Golf GTI dengan pelancaran versi paling berkuasa setakat ini iaitu Golf GTI Edition 50.

Model edisi khas ini diperkenalkan semasa perlumbaan 24 jam Nurburgring dan akan mula diproduksi di kilang Volkswagen di Wolfsburg pada akhir 2025, dengan penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula awal 2026.

Dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder, Golf GTI Edition 50 menghasilkan 325 PS dan 420 Nm tork, sekaligus menjadikannya GTI versi produksi paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Volkswagen.

Sebagai perbandingan, Golf GTI standard menghasilkan 265 PS dan 370 Nm, manakala versi Clubsport menawarkan 300 PS dan 400 Nm.

Golf GTI Edition 50 lebih rendah sebanyak 15 mm berbanding versi asas dan menampilkan talaan casis yang diambil daripada Golf GTI Clubsport Mk7, menggabungkan sistem suspensi MacPherson di hadapan dan jenis four-link di belakang.

Selain itu, prestasi cengkaman turut dipertingkatkan dengan differential lock hadapan, sistem peredam adaptif (DCC), dan sistem stereng progresif.

Pakej tambahan GTI Performance, yang ditawarkan sebagai pilihan, memberikan peningkatan lebih ekstrem. Ia merangkumi spring yang lebih keras, penurunan tambahan 5 mm (jumlah keseluruhan 20 mm), penyerap hentak yang diubah suai, serta tayar semi-slick Bridgestone Potenza Race yang digandingkan rim tempa 19 inci yang ringan.

Turut bersama pakej berkenaan adalah sistem ekzos titanium Akrapovic yang bukan sahaja menghasilkan runut lebih merdu, tetapi turut membantu mengurangkan berat sebanyak 11 kg.

Apa yang mengagumkan, Golf GTI Edition 50 bukan sahaja model Golf terpantas dalam sejarah Volkswagen, malah yang paling laju di Nurburgring. Ini terbukti apabila pemandu ujian Volkswagen, Benjamin Leuchter, mencatat masa pusingan 7:46.13 minit di litar Neraka Hijau itu.

Beliau menyifatkan kereta ini sebagai Volkswagen paling tepat dan sporty yang pernah beliau pandu, mengingatkan beliau kepada Clubsport S tetapi lebih padu.

Dari segi penampilan, ia boleh dibezakan menerusi bumbung hitam, lencana GTI 50, cermin sisi hitam, dan jalur sisi unik. Bahagian dalaman pula menampilkan tempat duduk tartan, tali pinggang keledar merah, kemasan velour, dan stereng GTI 50 dengan paddle shifter.

Lima pilihan warna ditawarkan, termasuk dua warna eksklusif untuk Edition 50 iaitu Dark Moss Green Metallic dan Tornado Red. Warna-warna ini pernah digunakan pada model GTI berprestasi tinggi terdahulu seperti Golf 16V dan Golf GTI TCR.

Produk paling laris Volkswagen boleh didapati di pasaraya, sedia untuk dimakan

Tahukah anda, Volkswagen sebenarnya mempunyai satu produk istimewa yang dapat meningkatkan hasil dan keuntungan syarikat tersebut.

Ia bukanlah Volkswagen Golf, bukan juga Volkswagen Polo, tapi sebaliknya sosej currywurst!

Menurut laporan Autocar, Volkswagen akan menawarkan sosej tersebut dalam versi sedia gelombang mikro di beberapa pasaraya utama bermula Jun 2025 di utara dan timur Jerman.

Sosej currywurst itu mula dihasilkan pada tahun 1973 di mana pada mulanya produk berasaskan babi itu dihidangkan di dalam kantin kilang sahaja.

Namun, populariti sosej tersebut berjaya menembusi pasaran Jerman sebelum mula dijual di 11 buah negara di serata dunia.

Ia juga turut mempunyai status yang sama seperti komponen automotif Volkswagen (dengan kod nombor 199 398 500 A) di bawah jenama Volkswagen Originalteil (Volkswagen Original Part).

Populariti yang semakin memuncak menyebabkan produksi sosej tersebut meningkat saban tahun.

Pada tahun 2015, sebanyak 7.2 juta sosej telah dihasilkan oleh kilang VW, menjadikannya sebagai produk yang paling banyak dihasilkan berbanding komponen automotif VW yang lain.

Pada tahun 2024 sahaja, Volkswagen berjaya menjual 8.6 juta sosej tersebut, mengalahkan angka jualan keseluruhan kenderaan (termasuklah kenderaan komersial) VW di seluruh dunia sebanyak 5.2 juta unit.

Menariknya, Volkswagen sebelum ini pernah merancang untuk menggantikan sosej tersebut dengan versi berasaskan sayuran, namun ia menerima tentangan hebat daripada golongan pekerja.

EON sumbang 62 kenderaan untuk mangsa insiden Putra Heights

Syarikat Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) menyumbang sebanyak 62 unit kenderaan untuk kegunaan mangsa insiden Putra Heights selama sebulan tanpa sebarang caj.

Sebanyak 40 buah kenderaan terdiri daripada sedan, SUV dan kenderaan pelbagai fungsi daripada jenama runcit EON seperti Proton, Mitsubishi dan Volkswagen, dan menerusi subsidiari sewa kenderaan EON, iaitu Avis Malaysia.

Selain itu, 22 unit kenderaan yang terdiri daripada trak pikap termasuklah empat unit kenderaan elektrik (EV) jenama smart turut disediakan untuk kegunaan agensi kerajaan dan organisasi yang menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, “Ramai keluarga yang bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah kehilangan pengangkutan utama disebabkan insiden kebakaran.

“Sebagai syarikat pengedar pelbagai jenama kenderaan terbesar di negara, EON rasa bersyukur kerana berada di posisi untuk memberikan sedikit kelegaan dalam tempoh yang sukar ini.

“Bagi pihak EON Group, saya ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Kami mendoakan mereka yang mengalami kecederaan agar cepat sembuh, dan berharap semua yang terkesan mempunyai kekuatan, keberanian dan sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan.

Beliau yang juga ketua unit pengedaran automotif DRB-HICOM menambah, “buat masa ini, EON akan menyediakan kenderaan kepada mangsa yang terjejas dan NGO tanpa sebarang caj selama satu bulan. Bantuan ini mungkin akan dilanjutka bergantung kepada keperluan tertentu.”

Akkbar turut melahirkan rasa terima kasih kepada Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perbandaran Subang Jaya kerana menyokong EON untuk inisiatif ini dan menyeru pelbagai pihak untuk bertindak segera dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat susulan insiden malang tersebut.

“Kereta, bukan telefon”: VW kembalikan semula butang kawalan fizikal

Setelah beberapa tahun, Volkswagen akhirnya mengakui pendekatan minimalis yang dibuat pada kabin kenderaan mereka merupakan satu kesilapan besar.

Pendekatan minimalis yang dimaksudkan itu ialah dengan menyumbat segala fungsi kawalan kenderaan ke dalam skrin sentuh tengah dan membuang terus butang kawalan fizikal daripada kabin.

Dalam satu laporan oleh Autocar, ketua unit rekaan VW Andreas Mindt mengakui kesilapan tersebut dan berjanji akan mengubah semula pendekatan yang telah dibuat sebelum ini.

“Bermula model ID.2all dan seterusnya, kami akan mengembalikan semula butang kawalan fizikal untuk lima fungsi paling penting – volum audio, kawalan suhu untuk kedua-dua belah pemandu & penumpang, kawalan tiupan angin, dan lampu kecemasan – di bawah skrin utama.

“Fungsi ini akan diwujudkan semula pada setiap kenderaan yang kami hasilkan. Kali ini kami tidak akan mengulang kembali kesilapan ini.

“Pada roda stereng, kami juga akan mengembalikan semula butang fizikal. Ia ada maklum balas, ia pengalaman sebenar, dan orang akan menyukai ciri ini.

“Sejujurnya, ia adalah sebuah kereta, bukan sebuah telefon,” ujarnya lagi.

 

Langkah yang diambil oleh VW ini adalah tambahan kepada syarat keperluan yang ditetapkan oleh Euro NCAP, di mana bermula tahun 2026 sesebuah kenderaan tidak akan mencapai penarafan maksimum lima bintang sekiranya tidak mempunyai kawalan fizikal untuk fungsi hon, penyeka kaca, isyarat membelok, lampu kecemasan dan SOS.

Sejak pendekatan minimalis ini dipelopori oleh Tesla, lebih banyak pengeluar yang cuba untuk mengikut trend tersebut dengan menawarkan susun atur kabin yang lebih ringkas – bermakna pemandu perlu bergantung sepenuhnya kepada skrin untuk mengubah sesuatu tetapan yang diperlukan terutama ketika memandu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila terdapat model kenderaan yang tidak langsung mempunyai tuil fizikal untuk fungsi lampu isyarat membelok, penyeka kaca dan transmisi.

Malah demi penjimatan kos, ada pengeluar yang sanggup mengalihkan suis tingkap ke bahagian konsol tengah. Ya, nampak minimalis tapi menyusahkan pengguna di kemudian hari.

 

Volkswagen ID.Every1 adalah EV mampu milik berharga RM96k

Volkswagen mengesahkan bahawa ia akan memasuki segmen EV entry-level tidak lama lagi menerusi pengenalan ID.Every1, model terkecil dalam barisan ID.

Model ini masih lagi dalam peringkat konsep namun ia secara asasnya sudah sedia untuk menerjah pasaran. Volkswagen berkata versi produksi akan dilancarkan pada 2027, dengan harga bermula sekitar 20,000 euro (RM95,555).

Selain ID.Every1, syarikat itu berkata ia juga akan memperkenalkan ID.2all yang berharga sekitar 25,000 euro (RM119,461) pada 2026.

Kedua-dua model ini merupakan sebahagian daripada barisan Electric Urban Car Volkswagen yang menggunakan platform pacuan elektrik modular MEB dengan pacuan roda hadapan.

ID.Every1 menggantikan e-up! yang jualannya dihentikan pada 2023. Dari segi saiz, ia 280 mm lebih panjang daripada e-up! dengan ukuran 3,880 mm. Ukuran tinggi adalah 1,490 mm manakala lebar mencecah 1,816 mm.

Sudah tentu, rekaan yang anda lihat ini bukan versi akhir yang akan memasuki fasa produksi. Jangkakan perubahan pada beberapa bahagian seperti cermin sisi, pemegang pintu dan rim.

Ia mungkin nampak kecil tetapi kereta ini cukup besar untuk empat penumpang, dan ruang but berkapasiti 305 liter. Rekaan ruang kabin nampak futuristik namun tiada apa yang unik jika dibandingkan dengan kebanyakan EV dalam pasaran sekarang, dengan skrin infohibur besar, paparan kecil untuk pemandu dan konsol tengah yang rendah.

Menurut Volkswagen, ID.Every1 bakal menjadi model pertama dalam Kumpulan Volkswagen yang menggunakan seni bina perisian baharu yang membolehkan kenderaan dikemas kini dan dinaik taraf sepanjang hayatnya.

ID.Every1 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik baharu yang mampu menjana 95 PS (70 kW), membolehkan EV kecil itu mencapai kelajuan maksimum 130 km/j.

Kapasiti bateri tidak didedahkan namun Volkswagen mendakwa kereta ini boleh mencapai sekurang-kurangnya 250 km.

Toyota kekal pengeluar nombor satu dunia untuk lima tahun berturut-turut

Sepanjang tahun 2024, Toyota Motor Corp telah menjual sebanyak 10.82 juta unit kenderaan, menyaksikan pengeluar itu kekal menjuarai takhta global untuk tahun kelima berturut-turut.

Biarpun angka tersebut turun 3.7 peratus berbanding tahun 2023, Toyota menjelaskan terdapat permintaan yang tinggi terhadap kenderaan hibrid jenama itu.

Tempat kedua disandang oleh kumpulan Volkswagen, dengan jumlah jualan 9.03 juta unit manakala kumpulan Hyundai pula mencatatkan angka 7.23 juta unit.

BYD buat kali pertama berjaya memintas Honda, Nissan dan Suzuki dengan jumlah jualan sebanyak 4.27 juta unit pada tahun lepas.

Sebagai perbandingan, Honda menjual sebanyak 3.81 juta unit, diikuti Nissan sebanyak 3.35 juta unit dan Suzuki sebanyak 3.25 juta unit.

Tidak termasuk jenama-jenama di bawah naungan seperti Hino dan Daihatsu, angka jualan kenderaan jenama Toyota sahaja sudah mencecah angka 10.16 juta unit, turun 1.4 peratus selepas terbabit dalam isu skandal pensijilan kenderaan, diikuti produksi sesetengah model yang terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Di pasaran utama, Toyota mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 4.3 peratus kepada 2.73 juta unit kenderaan di Amerika Utara, diikuti peningkatan 3.6 peratus kepada 1.17 juta unit kenderaan di Eropah.

Angka jualan Toyota di China menyaksikan penurunan 6.9 peratus kepada 1.78 juta unit kenderaan disebabkan oleh perang harga berterusan oleh pengeluar utama domestik.

Harga Volkswagen Touareg R-Line dikemas kini, RM70k lebih murah

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan harga baharu untuk Volkswagen Touareg R-Line, yang dilancarkan di Malaysia pada Mac tahun lalu.

Dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang, SUV flagship itu kini dijual pada harga RM384,972 atas jalan, menjadikannya RM69,300 lebih murah berbanding harga asalnya ketika dilancarkan.

Harga tersebut adalah untuk waranti standard selama dua tahun tanpa had perbatuan. Dengan VAP, yang merangkumi penyelenggaraan, jaminan pengeluar dan bantuan tepi jalan selama lima tahun, harga meningkat kepada RM402,272 atau kurang RM70,000 berbanding sebelum ini.

Menurut VPCM, pengurangan harga ini adalah hasil maklum balas dan perkembangan positif dalam operasi Volkswagen di peringkat tempatan, selain dinamik pasaran yang lebih baik. Ini membolehkan penjimatan disalurkan kepada pelanggan.

Touareg R-Line dikuasakan oleh enjin TSI 3.0-liter V6 yang menghasilkan 340 PS dan 450 Nm, disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.

Ia didatangkan dengan pelbagai teknologi terkini, termasuk teknologi pencahayaan tercanggih menerusi lampu IQ.Light HD Matrix, suspensi udara dengan pelarasan automatik, sistem bunyi Dynaudio 730 watt, serta sistem keselamatan IQ.Drive dengan ciri Night Vision.

Touareg R-Line boleh didapati dalam lima warna iaitu Lapiz Blue, Silicon Grey, Grenadilla Black, Oryx White dan Dolomite Silver.

Atasi jualan Ford, BYD kini pengeluar automotif nombor enam dunia

Untuk pertama kalinya dalam sejarah, syarikat automotif China BYD berjaya menjual lebih banyak kenderaan berbanding jenama Ford.

Sepanjang tempoh suku ketiga (Julai-September), sebanyak 1.13 juta unit kenderaan dijual oleh BYD dengan peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Sebagai perbandingan, untuk tempoh yang sama Ford menjual kurang 40,000 unit kenderaan, menyebabkan pengeluar itu jatuh satu anak tangga untuk menjadi pengeluar nombor tujuh dunia.

Namun untuk tempoh Januari-September, Ford masih lagi mendahului BYD dengan jumlah jualan 3.3 juta unit, lebih sedikit berbanding BYD (3.25 juta unit).

Tidak mustahil pada penghujung tahun jualan BYD mampu mencecah angka 4 juta untuk mengatasi jualan Ford secara keseluruhan bagi tahun 2024.

Selain BYD, beberapa syarikat automotif China turut mencatatkan peningkatan jualan yang mampu membimbangkan syarikat automotif Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

Seperti contoh, sepanjang Q3 Geely mencatatkan peningkatan jualan 14 peratus kepada 820,000 unit kenderaan, mendahului Nissan dan berada di belakang Honda di tempat kesembilan.

Pengeluar ketiga terbesar China, Chery turut merekodkan peningkatan jualan 27 peratus kepada 550,000 unit, sekaligus meletakkannya di tangga ke-12.

Jualan Toyota pula menurun 4 peratus kepada 2.73 juta unit, walaupun gergasi Jepun itu masih lagi mendahului carta di hadapan VW Group yang merekodkan penurunan 7 peratus kepada 2.17 juta unit kenderaan.

Biarpun Hyundai Motor Group masih lagi selesa di tempat ketiga, namun mereka turut mencatatkan penurunan jualan 3 peratus kepada 1.77 juta unit.

Berada di tangga kelima, Stellantis nampaknya perlu bekerja dengan lebih keras disebabkan perbezaan jualan dengan BYD cuma sekitar 10,000 unit sahaja.

Volkswagen Malaysia umum program bantuan banjir, diskaun 30% untuk alat ganti

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan inisiatif tahunan Volkswagen Cares untuk membantu pemilik kenderaan Volkswagen yang terjejas akibat banjir di seluruh negara baru-baru ini.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, VPCM menawarkan diskaun sehingga 30% alat ganti tulen untuk kenderaan yang terjejas akibat banjir dari 1 Oktober 2024 hingga 31 Mac 2025.

Diskaun tersebut boleh didapati di semua pusat servis sah Volkswagen di seluruh Malaysia.

Sebagai tambahan, VPCM ada menawarkan pemeriksaan kenderaan secara percuma bagi menilai tahap kerosakan akibat banjir dan mencadangkan pembaikan yang sewajarnya.

Ini bertujuan menjamin keselamatan dan ketahanan semua kenderaan yang terjejas sebagai sebahagian daripada program penjagaan selepas jualan yang komprehensif.

VPCM juga menawarkan pelan pembayaran mudah di mana pemilik boleh membayar bil pembaikan mereka beransur kepada enam atau 12 bulan dengan kadar faedah 0%.

Inisiatif ini membuktikan komitmen Volkswagen untuk membantu pelanggan ketika berdepan waktu sukar dan memberi ketenangan minda kepada mereka.

Para pemilik digalakkan supaya memuat turun aplikasi Volkswagen Cares daripada Apple App Store atau Google Play Store untuk menebus baucar bantuan banjir mereka dan menempah slot temu janji.

Aplikasi itu juga menawarkan akses ke atas pelbagai manfaat dan perkhidmatan lain yang direka bagi meningkatkan pengalaman pemilikan Volkswagen.

VPCM akan terus mengutamakan keperluan pelanggan dengan menawarkan tawaran mampu milik dan boleh dipercayai. Ini termasuklah dengan menggunakan alat ganti tulen Volkswagen serta kerja-kerja pembaikan dilakukan oleh pakar dalam usaha memastikan aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan ketahanan kenderaan.

Volkswagen Golf GTI Edition 50 dilancarkan di Malaysia – RM268k

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan model edisi istimewa Golf GTI Edition 50 yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-50 hatchback itu.

Ia dijual pada harga cadangan (RRP) RM267,990. Harga RRP itu termasuk Pakej Jaminan Volkswagen yang memberikan pemilik penyelenggaraan, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

GTI Edition 50 boleh dibezakan dengan versi standard menerusi kit badan Oettinger, rim Pretoria 18 inci, perumah cermin sisi berwarna hitam, emblem eksklusif Edition 50 dan kemasan sisi sporty yang diinspirasikan daripada honeycomb signatur GTI.

Penampilan luarannya disempurnakan dengan filem penapis haba “Edition 50 VW” dan emblem “50” pada tiang B. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Oryx White dan Moonstone Grey.

Emblem itu juga boleh ditemui pada bahagian tengah stereng, bersama-sama dengan plat sisi aluminium dan karpet “Edition 50” pada bahagian depan.

Tiada sebarang perubahan pada trenkuasa. Enjin turbo 2.0-liter TSI yang dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan itu masih menghasilkan 245 PS dan 370 Nm tork.

Dari segi kelengkapan, GTI Edition 50 didatangkan standard dengan sistem audio Harman Kardon berkuasa 480 watt dengan 10 unit pembesar suara, skrin sentuh Discovery Media 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster instrumen digital 10.25 inci.

Aspek keselamatan disokong oleh teknologi IQ.DRIVE dan sistem bantuan pemandu termaju seperti Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan paparan head-up.

GTI diperkenalkan buat pertama kali pada acara Frankfurt Motor Show 1975. Selepas hampir lima dekad dan lapan generasi kemudian, nama GTI terus mengekalkan posisinya selaku hatchback paling diminati di seluruh dunia.

GTI Edition 50 akan dipamerkan dalam acara Golf Fan Fest yang diadakan pada 24 Ogos 2024 bertempat di North Paddock Litar Antarabangsa Sepang. Ia juga boleh dilihat secara dekat di pengedar-pengedar Volkswagen bermula 17 Ogos 2024.

Volkswagen Golf R facelift (Mk8.5) tampil dengan 333 PS, perisian ChatGPT

VOLKSWAGEN telah memperkenalkan Golf R facelift, yang bukan sahaja tampil dengan reka bentuk lebih segar dan kelengkapan terkini, malah enjin yang lebih berkuasa.

Seperti sebelum ini, Golf R Mk8.5 boleh didapati dalam bentuk hatchback lima pintu dan estate (dikenali sebagai Golf R Variant).

Sekilas pandang ia mungkin nampak sama seperti model Mk8 namun Golf R facelift sebenarnya mendapat lampu LED Plus baharu, intake yang lebih besar pada bampar, serta jalur lampu dan logo VW yang bercahaya.

Untuk rim, pelanggan kini boleh mendapatkan rim tempaan Warmenau berukuran 19 inci. Volkswagen mendakwa rim ini mempunyai berat 8 kg dan rekaan yang lebih efisien untuk penyejukan brek.

Di dalam, anda akan menemui skrin sentuh berukuran 12.9 inci (paling besar dalam Volkswagen setakat ini) dengan operasi yang lebih lancar dan kluster instrumen Digital Cockpit Pro 10.2 inci dengan mod paparan Sport Skin baharu.

Sistem infotainmennya kini mempunyai perisian ChatGPT, manakala tindak balas panel sentuh pada stereng telah dioptimumkan.

Pelanggan yang ingin menaikkan seri kabin Golf R mereka boleh mendapatkan aksesori tambahan berupa upholsteri kulit nappa dan trim gentian karbon.

Seperti sebelum ini, Golf R Mk8.5 dikuasakan oleh enjin EA888 2.0-liter empat silinder namun kuasa telah dinaikkan dari 320 PS kepada 333 PS, sekali gus menjadikannya Golf paling berkuasa pernah dihasilkan.

Enjin itu digandingkan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda melalui sistem pacuan semua roda 4Motion. Turut disertakan adalah R Performance Torque Vectoring untuk pembahagian kuasa antara roda kiri dan kanan gandar belakang.

Walaupun tork kekal pada 420 Nm, masa pecutan 0-100 km/j dapat dipendekkan dari 4.8 saat sebelum ini kepada 4.6 saat. Seperti yang dijangka, kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

Walau bagaimanapun, angka itu boleh dinaikkan kepada 270 km/j menerusi pakej R-Performance yang ditawarkan sebagai opsyen.

Pakej itu juga membawakan dua lagi mod pemanduan iaitu Drift dan Special. Mod Drift tidak perlu diterangkan lagi, manakala mod Special membawakan talaan yang spesifik untuk litar Nurburgring Nordschleife.

Tidak cukup dengan itu, pakej ini juga merangkumi GPS lap timer dan G-meter yang dipaparkan menerusi Digital Cockpit Pro.