Harga Volkswagen Touareg R-Line dikemas kini, RM70k lebih murah
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan harga baharu untuk Volkswagen Touareg R-Line, yang dilancarkan di Malaysia pada Mac tahun lalu.
Dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang, SUV flagship itu kini dijual pada harga RM384,972 atas jalan, menjadikannya RM69,300 lebih murah berbanding harga asalnya ketika dilancarkan.
Harga tersebut adalah untuk waranti standard selama dua tahun tanpa had perbatuan. Dengan VAP, yang merangkumi penyelenggaraan, jaminan pengeluar dan bantuan tepi jalan selama lima tahun, harga meningkat kepada RM402,272 atau kurang RM70,000 berbanding sebelum ini.
Menurut VPCM, pengurangan harga ini adalah hasil maklum balas dan perkembangan positif dalam operasi Volkswagen di peringkat tempatan, selain dinamik pasaran yang lebih baik. Ini membolehkan penjimatan disalurkan kepada pelanggan.
Touareg R-Line dikuasakan oleh enjin TSI 3.0-liter V6 yang menghasilkan 340 PS dan 450 Nm, disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.
Ia didatangkan dengan pelbagai teknologi terkini, termasuk teknologi pencahayaan tercanggih menerusi lampu IQ.Light HD Matrix, suspensi udara dengan pelarasan automatik, sistem bunyi Dynaudio 730 watt, serta sistem keselamatan IQ.Drive dengan ciri Night Vision.
Touareg R-Line boleh didapati dalam lima warna iaitu Lapiz Blue, Silicon Grey, Grenadilla Black, Oryx White dan Dolomite Silver.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.