fbpx

Volkswagen Golf R 333 edisi terhad – 333 unit, 333 PS

Volkswagen Golf R 333 Limited Edition

TAHUN lalu, Volkswagen memperkenalkan Golf R 20 Years Edition bagi menyambut ulang tahun ke-20 model hot hatch itu. Jumlah unit yang dikeluarkan tidak diketahui namun ia hanya diproduksi selama setahun sahaja.

Untuk tahun ini, VW akan menawarkan satu lagi model Golf R edisi terhad iaitu Golf R 333. Hanya 333 unit akan dihasilkan dan setiap satu dijual pada harga bermula dari 76,410 euro (~RM376,681).

Selain jumlah produksi, nama “R 333” itu turut merujuk kepada jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin TSI 2.0-liter empat silindernya iaitu 333 PS, 13 PS lebih tinggi berbanding Golf R standard. Tork tidak berubah iaitu 420 Nm.

Walaupun begitu, Golf R 333 mempunyai kelebihan dalam aspek pecutan 0-100 km/j dengan catatan masa 4.6 saat, lebih pantas dari versi standard dengan perbezaan sebanyak 0.1 saat. Kelajuan maksimumnya juga lebih tinggi iaitu 270 km/j.

Golf R 333 mudah dibezakan dengan versi-versi lain dengan warna Lime Yellow Metallic dan grafik hitam pada bahagian bawah badannya. Ia juga didatangkan dengan rim Estoril 19 inci yang dibalut tayar semi-slick dan sistem ekzos titanium yang dibangunkan dengan kerjasama Akrapovic.

Di dalam, keeksklusifan model ini boleh dilihat pada plak nombor siri pengeluaran yang tertera pada papan pemuka. Percaya atau tidak, ini merupakan model Golf R pertama yang didatangkan dengan ciri berkenaan.

Selain itu, Golf R 333 juga mendapat pelbagai jenis kelengkapan standard seperti lampu IQ.Light LED matriks, tempat duduk sport dengan balutan kulit Nappa, sistem audio Harman Kardon 480W dan pakej IQ.Drive yang merangkumi Travel Assist, Lane Assist, Emergency Assist dan Adaptive Cruise Control.

Menurut Volkswagen, model ini akan dipasang di kilangnya di Wolfsburg, Jerman pada September tahun ini dan penyerahan kepada pelanggan dijangka bermula seawal Oktober.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved