Arkib Tag: subaru

Subaru WRX 2022 dengan tambahan sedikit kuasa, rupa lebih rugged

PERCAYA atau tidak, sudah hampir 20 tahun Subaru WRX (sebelum ini menggunakan nama Impreza) berada di pasaran. Kini, sedan yang lahir dari dunia rali itu sudah pun memasuki generasi kelima dan kali ini ia tampil dengan enjin dan platform baharu, serta penambahan varian tertinggi yang dikenali sebagai GT.

Untuk model tahun 2022, WRX masih dikuasakan oleh enjin turbo flat-four namun kapasitinya telah dipertingkatkan dari 2.0-liter kepada 2.4-liter. Enjin tersebut menjana 271hp pada 5,600rpm, iaitu 3hp lebih tinggi berbanding sebelum ini, manakala tork pula sama seperti sebelum ini iaitu 349Nm dari 2,000 hingga 5,200rpm.

Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan transmisi manual enam kelajuan dengan nisbah gear yang dioptimumkan atau CVT Subaru Performance Transmission baharu yang mempunyai lapan nisbah kelajuan dalam mod manual. Menurut Subaru, transmisi automatik itu menawarkan penukaran gear yang lebih pantas – 30 peratus ketika menaikkan gear dan 50 peratus ketika menurunkan gear.

Seperti sebelum ini, kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan semua-roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive dan Active Torque Vectoring. Karakteristik enjin dan transmisi pula boleh diubahsuai menerusi SI-Drive Performance Management System yang menawarkan tiga tetapan.

WRX baharu dibina di atas platform global Subaru (Subaru Global Platform) baharu yang membawakan beberapa penambahbaikan seperti tahap ketegaran yang lebih tinggi dan pusat graviti yang lebih rendah. Selain itu, bar penstabil belakang kini dipasang terus pada badan berbanding pada sub-rangka sebelum ini, manakala geometri suspensi diubah suai bagi mendapatkan kawalan stereng yang lebih responsif.

Sekilas pandang, reka bentuk model baharu ini tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model generasi terdahulu. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia jelas lebih agresif dengan gril heksagon dan skup bonet yang lebih besar, lampu belakang berbentuk-C serta kemasan plastik hitam di sekeliling badan.

Di dalam, WRX menampilkan rekaan kabin baharu dengan skrin sentuh menegak berukuran 11.6-inci sebagai elemen utama. Selain itu, terdapat juga stereng flat bottom, jahitan kontras berwarna merah, trim gentian karbon, sistem infotainmen Subaru Starlink dengan Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth serta sistem teknologi EyeSight Driver Assist.

Barisan WRX 2022 akan diketuai oleh varian GT yang dilengkapi dengan peredam elektronik dengan tetapan Comfort, Normal dan Sport, serta sistem Drive Mode Select yang menawarkan sehingga 430 tetapan untuk stereng, peredam dan SI-Drive.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan kerusi Recaro dengan balutan Ultrasuede, rim aluminium aloi 18-inci berwarna kelabu matte serta beberapa ciri lain seperti Adaptive Cruise Control dan Automatic Emergency Steering.

Subaru jenama cool, bukan untuk semua orang?

SUBARU boleh dikatakan satu jenama untuk enthusiast. Cara mereka buat kereta berbeza sedikit dari pengeluar lain, dan hasilnya selalu kereta yang mempunyai gaya pemanduan unik, dihargai oleh driving enthusiasts.

Dan ini menjadikan Subaru sebuah jenama yang cool. Jom kita tengok dengan lebih mendalam kenapa Subaru cool dan best, kami senaraikan lima hujah.

1. Enjin Boxer

Semua kereta Subaru tidak kira sedan, sports sedan, sports coupe, roadster, malah SUV, menggunakan enjin dengan konfigurasi Boxer.

Enjin Boxer ialah silinder dalam kedudukan mendatar, dan dua piston kiri dan kanan bergerak berlawanan arah (dari kiri dan kanan bertemu di tengah).

Enjin ini yang leper dan rendah memindahkan kuasa ke transmisi dengan lebih menerus (direct), kurang komponen tambahan, jadi kurang juga drivetrain loss. Lebih cekap.

Binaan yang leper juga mempunyai pusat graviti lebih rendah, pengendalian lebih baik dan stabil. Sebab itu walaupun Forester dan XV merupakan SUV, pengendalian tetap cukup mantap.

Boxer juga mempunyai agihan berat kiri dan kanan yang sekata, juga menyumbang kepada pengendalian yang baik.

2. Symmetrical All-Wheel Drive

Symmetrical AWD atau pacuan semua-roda ini berbeza dari sistem AWD atau 4WD lain. Disebabkan Subaru menggunakan enjin Boxer, flywheel berada di tengah, maka kotak gear juga di tengah. Ini membolehkan driveshaft kiri dan kanan sama panjang, jadi penghantaran kuasa juga lebih sekata dan seimbang.

Symmetrical AWD juga satu sistem pacuan semua-roda sepenuh masa. Sistem ini disokong pula oleh X-Mode yang membantu beri cengkaman lebih baik di permukaan mencabar.

Dalam lineup Subaru sekarang, semua model ada SAWD kecuali BRZ.

3. Legenda rali

Subaru Impreza 555. Sumber: Youtube

Tak sah kalau cerita Subaru tanpa sentuh dunia rali. Lancia mungkin ada jumlah kemenangan paling banyak, tapi akhir 90-an, Subaru Impreza memang menyerlah. Menang kategori pengeluar tiga tahun berturut-turut dari 1995 hingga 1997.

Masa ni Subaru bersaing sengit dengan Mitsubishi, dan menjadikan road car mereka (Impreza dan Evo) juga sering dibandingkan bersama. Traditional rivalries.

Disebabkan kemenangan ini dan juga ulangtahun ke-40 mereka, Subaru menghasilkan Impreza yang dikatakan paling legenda dan desirable, iaitu Impreza 22B STI.

Ia bukan seperti Impreza sebelum itu yang mempunyai 4-pintu, tetapi khas kali ini Impreza dikeluarkan dengan 2-pintu, badan lebar di belakang, memang nampak muscular dan laju.

Enjin 2.2-liter Boxer-nya menghasilkan 280hp, dan 22B ini juga dilengkapi rim BBS 17-inci berwarna emas, brek STi, dan differential tengah dengan kawalan elektronik.

4. Forester STI

Subaru Forester STI. Sumber: Autogesport

Disebabkan penglibatan dan pengetahuan Subaru dalam dunia dan teknologi rali, mereka ada memindahkannya kepada kereta yang boleh kita beli.

Dan kadang-kadang ia dijelmakan kepada kereta wagon atau SUV, sebagai contoh Forester STi.

Apa mereka buat ialah ambil Impreza WRX STi, cabut body, dan letak body Forester. Hasilnya, anda dapat sebuah wagon dengan prestasi Impreza.

Tapi jelas tak nampak rupa baik sangat Forester STI ni dengan rim besar, skup atas hud, dan ekzos besar. Dikuasakan enjin 2.5-liter turbo, kotak gear manual 6-kelajuan, standard menjana 260hp.

5. Rupa dan rekabentuk ikut kepala sendiri

Dengan penggunaan Symmetrical All-Wheel Drive dan enjin Boxer, Subaru ni memang pengeluar yang degil dan ikut kepala sendiri. Macam Mazda.

Jadi boleh tengok rekabentuk pun ikut kepala sendiri. Bersegi, ada ruang-ruang kemasukan udara besar, dan rendah.

XV sebagai contoh, antara crossover paling mantap pengendaliannya, tapi ruang but sangat kecil sebab ada differential untuk SAWD. BRZ dan MX-5 pun dapat direka dengan hud rendah sebab enjin Boxer yang leper.

Anda setuju dengan lima perkara yang buatkan Subaru cool? Jemput tonton video di bawah untuk lebih penerangan dan maklumat lanjut.

Subaru Forester Wilderness dengan suspensi lebih tinggi, kemasan kulit kalis air

BARU-baru ini, Subaru of America telah melancarkan barisan model Forester 2022 yang hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk dan kelengkapan. Namun, apa yang paling menarik perhatian adalah kehadiran varian baharu dikenali sebagai Wilderness yang direka khas untuk penggemar aktiviti outdoor.

Jadi, apakah yang membezakan Wilderness dengan varian-varian Forester lain? Secara asasnya, ia dihasilkan mengikut acuan yang sama dengan Outback Wilderness yang diperkenalkan pada April lalu, bermakna ia mempunyai penampilan lebih rugged serta sistem suspensi lebih tinggi.

Sekilas pandang, varian ini kelihatan gagah dengan kehadiran gril heksagon yang lebih menonjol, kemasan gerbang roda yang lebih lebar, skid plate pada bampar dan perumah lampu kabus LED yang juga berbentuk heksagon. Di atas bonet pula terdapat kemasan anti-silau berwarna hitam matte.

Ruang dalaman pula tidak jauh berbeza dengan Forester yang lain, cuma Wilderness mendapat perlindungan tambahan dalam bentuk kemasan kulit StarTex yang kalis air dan lumpur.

Pelanggan yang inginkan lebih kelengkapan boleh mendapat pakej tambahan yang merangkumi skrin sentuh multimedia berukuran 8.0 inci dengan Subaru Starlink dan navigasi, sistem audio Harman Kardon dan juga pintu but berkuasa.

Seperti yang diperkatakan tadi, penambahbaikan yang ada pada Forester Wilderness tidak terhad kepada aspek kosmetik sahaja. Casisnya turut dinaik taraf dengan sistem suspensi khas yang memberikannya jarak lega tanah setinggi 9.2-inci, iaitu 0.5-inci lebih tinggi berbanding varian standard tetapi 0.4-inci lebih rendah jika dibandingkan dengan Outback Wilderness.

Menurut Subaru, ketinggian tambahan itu disumbangkan oleh gegelung dan penyerap hentak lebih panjang yang telah ditala bagi membantu mengekalkan prestasi pengendalian Forester.

Untuk model ini, Subaru menggunakan rim aloi 17-inci berwarna hitam matte yang dipadankan dengan tayar all-terrain Yokohama Geolandar. Pemandu tidak perlu risau jika berlaku kebocoran semasa berada di dalam hutan kerana ia didatangkan dengan tayar ganti bersaiz penuh yang ditelakkan di bawah lantai kargo.

Selain itu, terdapat juga rak bumbung ladder type yang boleh menampung beban dengan berat sehingga 100kg semasa bergerak atau 363kg semasa dalam keadaan pegun. Dengan kapasiti yang lebih tinggi ini,  pemilik boleh mendirikan khemah yang lebih besar di atas bumbung.

Seperti varian-varian lain, Forester Wilderness dikuasakan oleh enjin boxer 2.5-liter 4-silinder yang menghasilkan 182hp dan 239Nm, dengan kuasa disalurkan ke kesemua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive.

Walaupun secara umumnya trenkuasa ini standard, Subaru telah menala semula nisbah transmisi berkenaan untuk memperbaik kuasa mendaki pada kelajuan rendah. Bukan itu sahaja, sistem X-Mode juga telah ditala semula dengan mod pemanduan Snow, Dirt, Deep Snow dan Mud.

Kereta JDM bawah RM30,000! Biar betul?

“JDM”

Istilah yang tidak asing bagi kebanyakan ‘kaki kereta’.

Membawa maksud Japan Domestic Market, pelbagai model kereta dari negara ‘Matahari Terbit’ itu mula memasuki Malaysia sejak awal tahun 90-an lagi.

Bagaimanapun,  tidak ramai dalam kalangan rakyat negara ini mampu memiliki model JDM ketika itu.

Selain harga yang tinggi, kos servis bagi kebanyakan model JDM juga bukan ‘kaleng-kaleng’.

Namun, zaman semakin berubah terutama dengan kewujudan istilah ‘dunia tanpa sempadan’.

Ini secara tidak langsung menjadikan pasaran automotif kian berkembang dengan pelbagai saingan syarikat pengeluar kenderaan.

Saban tahun, semakin ramai kalangan rakyat Malaysia mampu memiliki kereta JDM yang diidamkan.

Maka, EnGear dengan rasa teruja ingin berkongsi kepada anda antara tujuh kereta JDM mampu milik berharga kurang RM30,000!

Tak percaya?

Teruskan membaca…

Tujuh kereta JDM bawah RM30,000

Berdasarkan kajian dan pemerhatian kami di EnGear, setakat ini terdapat lebih tujuh kereta JDM berharga bawah RM30,000.

Seperti anda, kami juga tidak mempercayainya. Namun, itu adalah realiti pada hari ini. Ada kereta JDM harga bawah RM30,000.

Berikut antara model tersebut:

Honda Civic Exi masih kelihatan 'mantap'!

Honda Civic EJ6

Model: Civic

Varian: Exi

Series: EJ6

Tahun: 1996

Jenis: 4 pintu Sedan

Tranmisi:m Manual, 5 speed

Enjin CC: 1590cc

Masih ramai yang meminati Honda Accord Euro R CL1.

Honda Accord EURO R CL1

Model: Accord

Varian: Euro R

Series: CL1

Tahun: 2000

Jenis: 4 pintu Sedan

Tranmisi: Manual, 5 speed

Enjin CC: 1997cc

Nissan Skyline 350GT terkenal dek kepantasannya membelah jalan raya.

Nissan Skyline 350 GT

Model: Skyline

Varian: 350 GT VQ35DE

Series: V35

Tahun: 2004

Jenis: 4 pintu Sedan

Tranmisi: Manual, 6 speed

Enjin CC: 3498cc

Subaru Legacy WRX masih menawan bukan?

Subaru Legacy GT

Model: Legacy

Varian: GT

Series: BL5

Tahun: 1994

Jenis: 4 pintu Sedan

Tranmisi: Manual, 5 speed

Enjin Cc: 1994

Toyota Starlet Turbo yang sangat 'rare'.

Toyota Starlet Turbo

Model: Starlet

Varian: GT Turbo

Series: EP70

Tahun: 1995

Jenis: 4 pintu Hatchback

Tranmisi: Automatik, 4 speed

Enjin CC: 1331cc

Gaya 'romeo' sebuah Toyota Celica GT.

Toyota Celica GT

Model: Celica

Varian: GT-Four Turbo

Series: T185

Tahun: 1995

Jenis: 2 pintu Coupe

Tranmisi: Automatik, 5 speed

Enjin CC: 1998cc

Mazda RX8 idaman setiap jejaka Malaya!

Mazda RX-8 Type S

Model: RX-8

Varian: Type S

Series: SE3P

Tahun: 2004

Jenis: 4 pintu Coupe

Tranmisi: Manual, 6 speed

Enjin CC: 1308cc

Demikian antara tujuh kereta JDM yang mampu dimiliki pada harga RM30,000 sahaja.

Semua harga tersebut adalah hasil rujukan di laman web Mudah.my.

Nak tahu lebih lanjut mengenai kereta JDM, saksikan video kami sediakan!

Subaru XV GT 2.0 janji kepuasan memandu

SEBUT nama Subaru, ramai antara kita membayangkan model terkenal Subaru Impreza.

Apa tidaknya, ia bukan sahaja terkenal sebagai model rally malah, telah mencipta kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai kejohanan rally dunia.

Bermula sebagai syarikat pembinaan pesawat, Subaru semakin menempa nama dalam bidang automotif.

Perkembangan itu menyaksikan pelbagai formula dicuba syarikat ini sehingga semakin menempa nama sebagai pengeluar kenderaan utiliti sukan (SUV) ternama.

Jadi, apa kata kali ini kita celoteh mengenai antara SUV paling terkenal keluaran Subaru iaitu Subaru XV GT.

Subaru XV GT ‘comel’ tetapi berkuasa

Pertama kali melihat Subaru XV GT, penulis mengandaikan ia sebuah kenderaan sesuai untuk golongan suri rumah.

Namun, jangkaan itu meleset sebaik mengetahui perincian enjin SUV ini.

Tidak lari daripada ‘DNA’ Subaru, SUV ini didatangkan dengan enjin 1995cc Direct-Injection 4-cylinder Boxer Engine selain dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT.

Malah, ia juga merupakan sebuah kenderaan All-Wheel Drive!

Bagaimanapun, penulis tidak akan berceloteh panjang mengenai spesifikasi enjin tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman peribadi memandu uji Subaru XV GT.

Perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor ke Nilai, Negeri Sembilan membuktikan kepada penulis bahawa SUV ini tidak boleh ‘dipandang sebelah mata’.

Melalui lebuh raya dan jalan bandar, penulis merasakan Subaru XV GT adalah sebuah SUV premium.

Walaupun cuaca hujan, amat mudah dan confident untuk mengendalikan SUV ini.

Sistem penggantungan yang mantap juga menyebabkan ia mampu menyerap lubang kecil di jalan raya dengan begitu baik.

Selain itu, penulis juga berkesempatan menguji Subaru XV GT ini di jalan berliku.

Jalan berliku? Tiada masalah

Jalan Broga-Lenggeng cukup untuk menguji prestasi enjin, kotak gear, sistem gantungan dan brek.

Ramai salah faham yang mana jika hendak menguji sesebuah kenderaan, kita wajib memandu dengan laju.

Salah! Memandu pada kelajuan yang ditetapkan juga sebenarnya mampu menguji sesebuah kenderaan.

Di awal perjalanan lagi, penulis sudah dapat merasakan 156ps yang dihasilkan oleh enjin kereta ini sudah mencukupi.

Memandangkan ia dipadankan dengan kotak gear CVT, maka pemanduan lebih lancar dan tidak agresif.

Bagaimanapun, apabila ia berada pada kelajuan tinggi penulis dapat rasakan impak sistem All-wheel drive terutama ketika mengambil selekoh tajam.

Terus terang penulis katakan, ia sungguh stabil!

Sementara itu, sistem brek terdapat pada Subaru XV GT ini juga amat responsif walau kenderaan dipandu pada kelajuan tinggi.

Bagaimana pula dengan reka bentuk dalaman?

Jawapanya cukup selesa dan cantik.

Justeru, dijual pada harga RM137,788 ia amat berbaloi untuk dimiliki.

Untuk makluman lanjut, anda boleh ke pusat pameran Subaru berdekatan untuk mencuba sendiri pengalaman memandu Subaru XV GT.

[thb_image_slider autoplay=”true” autoplay_speed=”1000″ images=”472039,472041,472040″]