fbpx

Subaru Forester Wilderness dengan suspensi lebih tinggi, kemasan kulit kalis air

subaru forester wilderness 04

BARU-baru ini, Subaru of America telah melancarkan barisan model Forester 2022 yang hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk dan kelengkapan. Namun, apa yang paling menarik perhatian adalah kehadiran varian baharu dikenali sebagai Wilderness yang direka khas untuk penggemar aktiviti outdoor.

Jadi, apakah yang membezakan Wilderness dengan varian-varian Forester lain? Secara asasnya, ia dihasilkan mengikut acuan yang sama dengan Outback Wilderness yang diperkenalkan pada April lalu, bermakna ia mempunyai penampilan lebih rugged serta sistem suspensi lebih tinggi.

Sekilas pandang, varian ini kelihatan gagah dengan kehadiran gril heksagon yang lebih menonjol, kemasan gerbang roda yang lebih lebar, skid plate pada bampar dan perumah lampu kabus LED yang juga berbentuk heksagon. Di atas bonet pula terdapat kemasan anti-silau berwarna hitam matte.

Ruang dalaman pula tidak jauh berbeza dengan Forester yang lain, cuma Wilderness mendapat perlindungan tambahan dalam bentuk kemasan kulit StarTex yang kalis air dan lumpur.

Pelanggan yang inginkan lebih kelengkapan boleh mendapat pakej tambahan yang merangkumi skrin sentuh multimedia berukuran 8.0 inci dengan Subaru Starlink dan navigasi, sistem audio Harman Kardon dan juga pintu but berkuasa.

Seperti yang diperkatakan tadi, penambahbaikan yang ada pada Forester Wilderness tidak terhad kepada aspek kosmetik sahaja. Casisnya turut dinaik taraf dengan sistem suspensi khas yang memberikannya jarak lega tanah setinggi 9.2-inci, iaitu 0.5-inci lebih tinggi berbanding varian standard tetapi 0.4-inci lebih rendah jika dibandingkan dengan Outback Wilderness.

Menurut Subaru, ketinggian tambahan itu disumbangkan oleh gegelung dan penyerap hentak lebih panjang yang telah ditala bagi membantu mengekalkan prestasi pengendalian Forester.

Untuk model ini, Subaru menggunakan rim aloi 17-inci berwarna hitam matte yang dipadankan dengan tayar all-terrain Yokohama Geolandar. Pemandu tidak perlu risau jika berlaku kebocoran semasa berada di dalam hutan kerana ia didatangkan dengan tayar ganti bersaiz penuh yang ditelakkan di bawah lantai kargo.

Selain itu, terdapat juga rak bumbung ladder type yang boleh menampung beban dengan berat sehingga 100kg semasa bergerak atau 363kg semasa dalam keadaan pegun. Dengan kapasiti yang lebih tinggi ini,  pemilik boleh mendirikan khemah yang lebih besar di atas bumbung.

Seperti varian-varian lain, Forester Wilderness dikuasakan oleh enjin boxer 2.5-liter 4-silinder yang menghasilkan 182hp dan 239Nm, dengan kuasa disalurkan ke kesemua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive.

Walaupun secara umumnya trenkuasa ini standard, Subaru telah menala semula nisbah transmisi berkenaan untuk memperbaik kuasa mendaki pada kelajuan rendah. Bukan itu sahaja, sistem X-Mode juga telah ditala semula dengan mod pemanduan Snow, Dirt, Deep Snow dan Mud.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved