fbpx

Subaru WRX 2022 dengan tambahan sedikit kuasa, rupa lebih rugged

subaru wrx 2022 08

PERCAYA atau tidak, sudah hampir 20 tahun Subaru WRX (sebelum ini menggunakan nama Impreza) berada di pasaran. Kini, sedan yang lahir dari dunia rali itu sudah pun memasuki generasi kelima dan kali ini ia tampil dengan enjin dan platform baharu, serta penambahan varian tertinggi yang dikenali sebagai GT.

Untuk model tahun 2022, WRX masih dikuasakan oleh enjin turbo flat-four namun kapasitinya telah dipertingkatkan dari 2.0-liter kepada 2.4-liter. Enjin tersebut menjana 271hp pada 5,600rpm, iaitu 3hp lebih tinggi berbanding sebelum ini, manakala tork pula sama seperti sebelum ini iaitu 349Nm dari 2,000 hingga 5,200rpm.

Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan transmisi manual enam kelajuan dengan nisbah gear yang dioptimumkan atau CVT Subaru Performance Transmission baharu yang mempunyai lapan nisbah kelajuan dalam mod manual. Menurut Subaru, transmisi automatik itu menawarkan penukaran gear yang lebih pantas – 30 peratus ketika menaikkan gear dan 50 peratus ketika menurunkan gear.

Seperti sebelum ini, kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan semua-roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive dan Active Torque Vectoring. Karakteristik enjin dan transmisi pula boleh diubahsuai menerusi SI-Drive Performance Management System yang menawarkan tiga tetapan.

WRX baharu dibina di atas platform global Subaru (Subaru Global Platform) baharu yang membawakan beberapa penambahbaikan seperti tahap ketegaran yang lebih tinggi dan pusat graviti yang lebih rendah. Selain itu, bar penstabil belakang kini dipasang terus pada badan berbanding pada sub-rangka sebelum ini, manakala geometri suspensi diubah suai bagi mendapatkan kawalan stereng yang lebih responsif.

Sekilas pandang, reka bentuk model baharu ini tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model generasi terdahulu. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia jelas lebih agresif dengan gril heksagon dan skup bonet yang lebih besar, lampu belakang berbentuk-C serta kemasan plastik hitam di sekeliling badan.

Di dalam, WRX menampilkan rekaan kabin baharu dengan skrin sentuh menegak berukuran 11.6-inci sebagai elemen utama. Selain itu, terdapat juga stereng flat bottom, jahitan kontras berwarna merah, trim gentian karbon, sistem infotainmen Subaru Starlink dengan Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth serta sistem teknologi EyeSight Driver Assist.

Barisan WRX 2022 akan diketuai oleh varian GT yang dilengkapi dengan peredam elektronik dengan tetapan Comfort, Normal dan Sport, serta sistem Drive Mode Select yang menawarkan sehingga 430 tetapan untuk stereng, peredam dan SI-Drive.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan kerusi Recaro dengan balutan Ultrasuede, rim aluminium aloi 18-inci berwarna kelabu matte serta beberapa ciri lain seperti Adaptive Cruise Control dan Automatic Emergency Steering.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved