fbpx

Subaru BRZ Touge dapat jajan sporti dan warna ikonik, untuk Itali sahaja

subaru brz touge 07

SUBARU BRZ baru tiba untuk pasaran Itali dan untuk mengubati ‘kelewatan’ itu, mereka memberikan kereta sports itu dengan edisi Touge, lengkap dengan beberapa ‘jajan’.

Diilhamkan dari istilah Jepun iaitu pemanduan di pergunungan, BRZ itu dikeluarkan sebanyak 60 unit sahaja, dengan harga 49,500 Euro (RM247,033). Harga ini difahamkan kira-kira dua kali ganda dari harga kereta standard.

Jadi, apa yang anda dapat selain dari status edisi terhad? Pertamanya, ia hadir dengan warna Blue Pearl yang ikonik, disulami dengan rim OZ Racing Ultraleggera Race Gold bersaiz 18-inci. Rim ini dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 215/40.

Pastinya kombinasi rim dan warna ini cukup menyerlah dan cantik. Untuk perbandingan, versi standard hadir dengan rim 18-inci Dark Gray berserta tayar Yokohama BluEarth Winter V905.

BRZ Touge juga dilengkapi kit badan lebih sporti dengan spoiler dan skirting sisi, serta tip ekzos berkembar hasil talaan Supersprint iaitu syarikat Itali. Ekzos ini juga bertulis “Subaru BRZ Touge”.

Nadi kepada BRZ ini masih enjin 2.4-liter dengan output 231hp dan 250Nm tork, tiada perubahan. Tetapi versi Touge hanya hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan, yang juga dipadankan dengan limited-slip differential (LSD).

Subaru BRZ dilancarkan untuk pasaran Malaysia kira-kira setahun lepas sebelum kembarnya, Toyota GR86 tiba pada Februari.

Tiada sebarang edisi khas untuk Malaysia buat masa ini. Tetapi jika dapat versi lebih sporti seperti Touge menarik juga, kan?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved