fbpx

Subaru Solterra sebuah SUV elektrik bateri dengan kerjasama Toyota

subaru solterra 2023 08

JIKA sebelum ini Subaru dan Toyota berganding bahu untuk membangunkan kereta sport pacuan roda belakang BRZ dan GR86, kali ini kerjasama antara dua pengeluar kereta Jepun itu menyaksikan kelahiran SUV elektrik bateri (BEV) pula.

Pada penghujung bulan lalu, Toyota telah memperkenalkan versi mereka yang dikenali sebagai bZ4X. Kali ini, tiba giliran Subaru pula untuk mendedahkan taruhan mereka iaitu Solterra.

Menurut syarikat itu, model ini akan membuat kemunculan sulungnya di Los Angeles Auto Show yang akan berlangsung mulai 17 November (esok).

Dari segi reka bentuk, Solterra tidak begitu jauh berbeza dengan bZ4X, kecuali pada bahagian jeriji dan lampu hadapan. Kedua-dua model ini mempunyai ukuran dimensi yang sama iaitu 4,690mm panjang, 1,860mm lebar, 1,650mm tinggi dan 2,850mm untuk tapak roda.

Platform yang digunakan juga sama, namun ia dikenali sebagai e-SGP untuk Solterra dan e-TNGA untuk bZ4X. Masuk ke dalam, anda akan menemui lebih banyak persamaan. Ini termasuklah susun atur kluster instrumen, papan pemuka dan konsol tengah.

Tidak perlu diperkatakan lagi yang pilihan trenkuasa yang ditawarkan pada Solterra juga serupa dengan kembar Toyota-nya. Pelanggan boleh memilih antara varian pacuan roda hadapan (FWD) atau pacuan semua roda (AWD), masing-masing dengan kuasa keseluruhan berjumlah 201hp (150kW) dan 215hp (160kW).

Dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion berkapasiti 71.4kWh, versi FWD menawarkan jarak pemanduan sejauh 530km dengan satu cas penuh, manakala versi AWD pula boleh dipandu sejauh 460km. Kedua-dua angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTC untuk pasaran Jepun.

Dari segi prestasi pula, versi FWD boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 7.7 saat manakala versi AWD memerlukan 8.4 saat untuk mencapai kelajuan yang sama.

Untuk pengecasan, Subaru berkata Solterra menyokong sistem pengecasan AC 6.6kW dan pengecasan pantas DC dengan kapasiti output sehingga 150kW. Bagaimanapun, masa yang diperlukan untuk mencapai pengecasan penuh tidak dinyatakan.

Seperti kebanyak model keluaran Subaru yang lain, Solterra AWD yang dilengkapi dengan motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang, mempunyai sistem pacuan semua roda X-Mode dengan ciri Grip Control yang membolehkannya bergerak di atas permukaan mencabar pada kelajuan tetap.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved