fbpx

Mazda failkan paten rekaan struktur kereta sports – model RX baharu?

mazda fail paten 01
Gambar oleh: Ipforce.jp

IDEA biasanya dipatenkan untuk melindunginya sekiranya ia akan digunakan untuk projek di masa akan datang.

Berita terbaharu mengenai ini ialah Mazda yang telah mempatenkan fail untuk kereta sports mereka. Lakaran paten yang diterbitkan awal minggu ini menunjukkan struktur suspensi dan rekaan belakang kenderaan yang dilihat agak teknikal.

Gambar oleh: Ipforce.jp

Pada struktur beberapa palang dan bingkainya terdapat juga keterangan untuk beban yang mampu ditampung pada setiap bahagian.

Nombor paten 2021-112926 (P2021-112926A) itu sendiri merujuk kepada Rear Body Structure of Vehicle atau struktur badan belakang kenderaan.

Gambar oleh: Ipforce.jp

Dari lakaran ini, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menggunakan enjin silinder biasa atau rotary. Tapi jika kita lihat pada center tunnel yang menegak di tengah-tengah kereta, dapat dijangkakan ia adalah jentera pacuan roda-belakang (RWD).

Konsep Mazda RX-Vision. Gambar oleh: Mazda

Ini bukanlah kali pertama kita melihat pengeluar Jepun itu memfailkan paten rekaan kereta sports mereka. Hampir dua tahun lepas, terdapat rekaan dilaporkan mengenai kemungkinan kereta sports Mazda, dan paten ini juga bertarikh Januari 2020.

Jadi soalan terbesar di sini ialah – adakah ini gambaran awal Mazda RX-9? Dengan rekaan enjin depan, binaan badan aluminium dan pacuan roda-belakang dengan suspensi dan bingkai diperkukuh, ia nampak seperti mempunyai pengendalian mantap.

Konsep Mazda RX-Vision. Gambar oleh: Mazda

Paten ini juga mungkin kesinambungan dari lakaran konsep RX-Vision yang mula ditunjukkan pada 2015.

Dengan masa depan yang semakin banyak menggunakan elektrifikasi (hibrid, EV, PHEV dan sebagainya), menarik untuk kita lihat pengeluar seperti Mazda yang komited untuk menghasilkan kereta sports. Diharap lakaran ini menjadi realiti tidak lama lagi dan tidak berakhir atas kertas.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved