fbpx

Isuzu MU-X generasi kedua dilancar di Australia, harga dari RM150k

Isuzu MU-X 10

ISUZU baru-baru ini telah melancarkan MU-X generasi kedua ke pasaran Australia, di mana ia  akan bersaing dengan model-model seperti Ford Everest, Mitsubishi Pajero Sport dan juga Toyota Fortuner.

Dibangunkan menggunakan casis ladder frame yang sama dengan trak pikap D-Max, SUV itu boleh didapati dalam tiga varian (LS-M, LS-U dan LS-T), dengan pilihan pacuan 4X2 atau 4X4.

Harganya bermula dari AUD47,900 (RM149,634) untuk varian paling rendah iaitu LS-M 4X2 hinggalah AUD65,900 (RM205,685) untuk varian LS-T 4X4.

Satu-satunya enjin yang ditawarkan untuk MU-X di negara ‘Down Under’ itu adalah enjin turbodiesel 3.0-liter empat silinder 4JJ3-TXC yang mempunyai output keseluruhan 188hp dan 450Nm. Enjin itu digandingkan dengan transmisi automatik 6-kelajuan keluaran Aisin.

Output tersebut adalah 13hp dan 20Nm lebih tinggi berbanding enjin 4JJ1-TC HI yang digunakan pada model generasi sebelum ini. Hamburan tork pada julat pertengahan juga dikatakan lebih baik.

Bukan itu sahaja, kapasiti tangki bahan api turut dipertingkatkan sebanyak 23 peratus kepada 80 liter bagi mendapatkan jarak perjalanan yang lebih jauh.

Selain itu, kelebihan utama MU-X baharu adalah kemampuannya untuk menunda beban sehingga 3,500 kg, yang dikatakan tertinggi dalam kelasnya.

Untuk memudahkan lagi kerja, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori tunda dari Isuzu seperti tow bar kit, cermin tunda ClearView dengan ciri Blind Spot Monitoring dan lampu LED, serta Weight Distribution Hitch (WDH).

Dari segi prestasi off-road, semua varian 4X4 didatangkan dengan tombol 4X4 Terrain Command yang membolehkan pemandu menukar antara pacuan 2WD-High Range, 4WD-High Range dan 4WD-Low Range dengan mudah.

Turut disertakan adalah locking rear differential elektromagnetik dan mod Rough Terrain yang diprogramkan khas untuk pemanduan di atas permukaan muka bumi yang licin dan mencabar.

Walaupun berkongsi platform dengan trak pikap, MU-X tidak lekang dengan ciri-ciri kemudahan yang mewah seperti lampu Bi-LED dengan fungsi auto-levelling dan Automatic High Beam, DRL LED dan rim aloi berukuran 20 inci.

Ruang dalaman juga tidak kurang hebatnya, dengan pilihan upholsteri fabrik gred tinggi atau kulit, stereng dengan balutan kulit lembut, paparan multi-info (MID) 4.2 inci pada panel instrumen serta skrin infohibur sembilan inci lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Isuzu turut memberikan keutamaan kepada sistem keselamatan dengan menyertakan Intelligent Driver Assistance System (IDAS) secara standard pada semua varian. Ia merangkumi Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Prevention, Trailer Sway Control dan Misacceleration Mitigation.

Tidak cukup dengan itu, MU-X juga dilengkapi dengan lapan beg udara, cermin pandang belakang dengan ciri malap automatik (auto dimming) dan kamera undur.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved