fbpx

Prodrive P25 akhirnya didedahkan – Jelmaan Subaru Impreza B22 moden, 400hp, 25 unit sahaja

prodrive p25 02

DALAM dunia Subaru dan pentas rali, hanya beberapa kereta yang betul-betul menjadi idaman para peminat, antaranya adalah Impreza 22B dari era 1990an. Hanya 424 pernah dihasilkan, tetapi Prodrive baru-baru ini mengumumkan akan menjelmakan semula Impreza 22B versi 2022.

Dan ini dia tuan-tuan dan puan-puan, perkenalkan Prodrive P25, akhirnya didedahkan. Setiap Prodrive P25 ini diasaskan dari casis Subaru Impreza dua-pintu.

Dari situ, Prodrive memulakan pengubahsuaian dengan memberikan lambakan karbon. Boleh dikatakan hampir semua komponen luaran adalah dari komposit karbon, termasuklah spoiler belakang WRC yang besar padanya.

Begitu juga di bahagian dalam, lebih banyak karbon digunakan seperti pada panel pintu serta tempat duduk ringan. Prodrive tidak memberikan sebarang angka rasmi, tetapi P25 ini mempunyai berat kurang dari 1,200kg disebabkan penggunaan karbon tadi.

Selain dari itu, unit janaan kuasa adalah dari Subaru moden iaitu enjin 2.5-liter boxer 4-silinder. Prodrive menaiktaraf enjin ini dengan bahagian dalam lebih kukuh, kemudian menambah turbo untuk menjana lebih 400hp.

Enjin ini digabungkan dengan kotak gear sequential 6-kelajuan, dan sudah tentu sistem pacuan semua-roda. Prodrive juga menambah sistem launch control ala WRC. Ini membolehkan P25 memecut ke 100km/j dalam hanya 3.5 saat.

Perubahan seterusnya meliputi bahagian suspensi, dimana Prodrive P25 ini mendapat topang McPherson dengan penyerap hentak boleh-laras. Spring dan bar anti-oleng juga dioptimakan untuk menakluki selekoh-selekoh jalanan.

Untuk brek pula, Prodrive P25 dilengkapi cakera 15-inci dengan kaliper 6-omboh, terletak di dalam rim Prodrive 19-inci.

Papan pemuka P25 menampilkan paparan berdefinisi tinggi yang boleh memaparkan maklumat seperti data pemanduan serta pelbagai mod untuk jalanan dan litar.

Prodrive menawarkan P25 dengan konfigurasi empat tempat duduk, tetapi jika anda mahukan roll-cage, tempat duduk belakang akan ‘dibuang’.

Hanya 25 unit akan dibina dan harganya pasti tidak murah. Prodrive P25 ini berharga dari £460,000 (RM2.48 juta) sebelum cukai VAT.

Prodrive P25 ini dijangka membuat kemunculan di Goodwood Festival of Speed 2022.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved