Arkib Tag: Malaysia

MAS terima unit pertama Boeing 737-800

MALAYSIA Aviation Group (MAG), syarikat penaung kepada Malaysia Airlines semalam telah menyambut ketibaan pesawat Boeing 737-8 (737-800) pertama mereka.

Pesawat dengan nombor pendaftara 9M-MVA itu berlepas dari Seattle Delivery Centre milik Boeing pada 13 November 2023 jam 10:20 pagi waktu tempatan ke Honolulu. Ia kemudian terbang ke Guam sebelum tiba ke Malaysia.

Penerbangan MH5041 itu diterbangkan oleh Kapten Mohd. Ezaddin Roslan, kapten Izahariman Ibrahim, dan Kapten Arian Syazwara Adenan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10:30 pagi. Penerbangan itu mengambil masa keseluruhan 21 jam 45 minit.

Pesawat itu dengan megahnya membawa livery bendera Malaysia dengan logo bermotifkan songket dan wau baharu, dan disambut dengan tabik air (water salute) semasa ketibaannya.

Boeing 737-8 baharu ini dijadualkan membuat penerbangan komersial pertamanya ke Kota Kinabalu pada 20 November depan.

Perolehan Boeing 737-8 adalah Sebagian dari strategi pemodenan syarikat penerbangan itu bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi, dan menepati keperluan perkembangan di masa depan.

737-8 ini dilengkapi dengan sistem hiburan dalam penerbangan tanpa-wayar yang canggih, menghidangkan pelbagai kandungan bagi penumpang. Ia mempunyai konfigurasi 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 162 tempat duduk ekonomi.

MAG telah memesan 25 unit 737-8 keseluruhannya dan penghantara dijangka dibuat secara berperingkat hingga 2026.

Ford Everest Wildtrak dilancar – Kemasan lebih rugged, 2.0 diesel biturbo, RM338,888

SERENTAK dengan pelancaran Ford Ranger Platinum, Sime Darby Auto Connexion juga memperkenalkan Everest Wildtrak. Varian terbaharu ini berharga RM338,888 dan diposisikan di atas Everest Platinum yang berharga RM308,888.

Seperti pada namanya, Everest Wildtrak mendapat kemasan yang sama seperti kembar trak pikapnya, dengan pengenalan warna Luxe Yellow, disulami dengan lencana-lencana Wildtrak berwarna Boulder Grey.

Selain Luxe Yellow, SUV tujuh tempat duduk ini juga ditawarkan dengan warna Meteor Grey dan Absolute Black. Rim pula bersaiz 20-inci dibaluti tayar 255/55.

Di dalam pula, terdapat jahitan ‘Wildtrak’ berwarna oren pada tempat duduk kulit, selain kemasan-kemasan oren dan jahitan warna sama di beberapa kawasan.

Enjin adalah sama dengan varian Everest lain, iaitu 2.0-liter diesel turbo dengan output 210hp dan 500Nm tork. Kuasa disalurkan ke sistem pacuan semua-roda kawalan elektronik dengan kotak gear automatik 10-kelajuan. Ia juga dilengkapi dengan pengunci differential belakang elektronik.

Ciri lain termasuklah paparan instrumen digital 12.4-inci, paparan infotainmen potret 12-inci, Apple Carplay dan Android Auto, sistem audio lapan pembesar suara, dan pengecas tanpa-wayar Qi.

Dari segi keselamatan pula, Ford Everest Wildtrak dilengkapi Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning dan Assist, Blind Spot Information System, Active Park Assist 2.0, dan Autonomous Emergency Braking.

Untuk pasaran Malaysia, Everest Wildtrak hadir dengan jaminan tiga tahun atau 100,00km, dengan pilihan tambahan dua tahun atau 60,000km.

United E-Motor lancar skuter EV TX1800 dan TX3000, jarak tunggangan hingga 120km

UNITED E-Motor hari ini merasmikan kehadiran mereka ke pasaran Malaysia, membawakan skuter elektrik (EV) dengan dua pilihan spesifikasi iaitu TX1800 dan TX3000.

Sebelum kita melihat skuternya, siapa pula United E-Motor ini? Mereka merupakan pengeluar skuter elektrik dari Indonesia, dengan kerjasama syarikat tempatan iaitu Artroniq Bhd.

Baik, kita ke motosikalnya pula. United E-Motor TX1800 dan TX3000 secara asasnya skuter yang sama, cuma dibezakan dengan bekalan bateri dan prestasi.

TX1800 dibekalkan dengan bateri tunggal 1.72kWh dengan output 2.7hp dan 106Nm tork, mampu memberikan jarak tunggangan sehingga 65km setiap cas. Kelajuan maksima ialah sehingga 75km/j (bergantung kepada mod), dan ia boleh dicas dari 0 hingga 80 peratus dalam masa sejam setengah sahaja.

Sementara itu, TX3000 mendapat dua bateri 1.72kWh, memberikannya output 5.6hp dan 145Nm tork. Ia boleh ditunggang sehingga 120km setiap cas. Kelajuan maksima untuk model ini ialah 90km/j, manakala pengecasan dari 0 hingga 80 peratus akan mengambil masa empat jam.

Selain mengecas, kedua-dua motosikal mempunyai mod undur sehingga 5km/j dan juga boleh ditukar baterinya jika anda tidak mahu menunggu.

TX1800 mempunyai berat 98kg, manakala TX3000 seberat 118kg. Suspensi adalah serupa bagi kedua-dua skuter, dengan teleskopik di depan, dan dua penyerap hentak di belakang.

Tetapi TX1800 menggunakan tayar 100/70-12 di depan dan 120/70-12 di belakang. TX3000 pula menggunakan 120/70-12 untuk depan dan belakang.

Ciri lain adalah hampir sama, dimana kedua-dua skuter EV ini mendapat lampu LED, paparan LCD, sambungan Bluetooth, ruang simpanan bawah tempat duduk, dan aplikasi U-Key dengan pelbagai fungsi seperti butang SOS, Find My Motor, dan Live Dashboard.

Harga belum diumumkan, tetapi untuk rujukan, TX1800 di Indonesia dijual pada harga sekitar IDR33.9 juta (RM10.1k) dan TX3000 pada IDR49.9 juta (RM14.98k).

Sah! Chery bakal bawa empat model baharu ke Malaysia bermula tahun depan – Omoda 5 EV, Omoda 9, Jaecoo 7, Jaecoo 8

CHERY meneruskan lagi langkah seterusnya dalam usaha mereka kembali ke pasaran Malaysia. Anda rasa tidak yakin? Maka ketahuilah bahawa mereka akan membawakan empat lagi model baharu ke pasaran Malaysia bermula tahun depan.

Tahun ini sahaja mereka telah melancarkan Chery Tiggo 8 Pro dan Omoda 5, malah kedua-dua model itu telah dipasang secara tempatan (CKD) di kilang mereka di Kulim, Kedah.

Jadi apakah model baharu seterusnya?

Chery Omoda 5 EV

Yang pertama ialah Chery Omoda 5 EV. Model ini sudah tentunya berdasarkan Omoda 5, tetapi merupakan versi elektrik sepenuhnya (EV) dan dijangka dilancarkan pada April depan.

Ia dibekalkan dengan bateri 61kWh yang mampu menghasilkan 221hp (165kW). Omoda 5 EV mampu memecut ke 100 dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa ia mempunyai kecekapan 15kWh per 100km.

Jarak pemanduan maksima ialah sehingga 450km, dan jika dicas menggunakan DC, 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit.

Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Chery Omoda 9

Seterusnya model baharu sepenuhnya. Di China, ini ialah Exeed RX tetapi untuk pasaran eksport, ia akan dikenali sebagai Chery Omoda 9.

Untuk yang belum tahu, Exeed ialah salah satu sub-jenama di bawah Chery dan menawarkan rangkaian model-model lebih premium.

Ia merupakan SUV segmen-C yang dibangunkan pada pelantar M3X Chery. Ukurannya adalah 4,775mm panjang, 1,920mm lebar, 1,671mm tinggi, dan jarak roda 2,800mm. Jujurnya, kami lihat dengan lebih dekat Omoda 9 ini di China, ia nampak lebih besar hampir seperti Toyota Harrier.

Chery Omoda 9 akan dikuasakan enjin 2.0-liter petrol dengan output 245hp dan 385Nm, disalurkan ke roda depan melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Ia mampu mencapai kelajuan maksima 200km/j.

Ciri lain termasuklah lapan beg udara, Autonomous Emergency Braking, paparan instrumen digital, skrin infotainmen 12.3-inci, sistem audio Sony, tempat duduk berkuasa, dan bumbung panoramik

Chery Jaecoo 7

Model ketiga ialah Jaecoo 7, satu lagi sub-jenama di bawah Chery. Rangkaian model-model Jaecoo tampil dengan rekaan lebih kemas dan bersegi, seperti Range Rover pula kami lihat.

Jaecoo 7 ialah model lima tempat duduk, dengan panjang 4,500mm. Di bawah hud depan yang besar terdapat enjin 1.6-liter turbo dengan 183hp dan 275Nm tork. Sama seperti Omoda 9, enjin ini dipadankan dengan dwi-klac 7-kelajuan, dan kuasa dihantar ke roda depan.

Jaecoo 7 mempunyai gaya pixelated dengan lampu LED petak yang kemas. Ruang dalaman juga cukup premium dengan skrin infotainmen menegak 14.8-inci, bumbung panoramik, sistem audio Sony, dan fungsi ADAS Level 2.5+.

Chery Jaecoo 8

Akhir sekali ialah Chery Jaecoo 8, sebuah SUV yang lebih besar dari Omoda 9. Ia mempunyai penggayaan bersegi dan tegap seperti Jaecoo 7, tetapi saiznya lebih panjang iaitu 4,815mm, dan lebar 1,924mm.

Ia boleh dikonfigurasi dengan dua atau tiga baris tempat duduk. Ciri luaran termasuklah gril besar, pemegang pintu boleh-disimpan, sistem audio 14 pembesar suara, dan paparan infotainmen 12.3-inci.

Jaecoo 8 mendapat enjin 2.0-liter turbo yang menjana 245hp dan 385Nm tork. Ia masih model FWD, menggunakan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Ia mampu mencapai kelajuan maksima 200km/j.

Ciri lain termasuklah 10 beg udara, Autonomous Emergency Braking, bumbung panoramik, dan tempat duduk berkuasa.

Bila nak lancar?

Seperti disebut, Chery Omoda 5 EV akan menerpa pasaran kita dahulu pada tahun depan, diikuti Jaecoo 7 dan 8. Tetapi Omoda 9 hanya akan tiba seawal 2025.

Belum ada harga, kami akan laporkan sebaik sahaja kami dapat info. Tetapi setakat ini, apa kata anda? Menarik penawaran model-model Chery?

Mazda6 2023 facelift diperkenal – 2.0 dan 2.5, sedan dan wagon, dari RM180k

SELAIN Mazda3, Bermaz Motor juga memperkenalkan Mazda6 yang dikemas kini untuk 2023. Sedan segmen-D ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin serta pilihan badan sedan dan Touring (wagon). Harga adalah seperti berikut:

Mazda6 2.0 Mid Sedan – RM180,359
Mazda6 2.5 High Touring – RM230,848
Mazda6 2.5 High Plus Sedan 20th Anniversary Edition – RM240,848

Kita lihatkan bab mekanikal dulu, iaitu enjin. Model dengan enjin 2.0 menjana 162hp dan 213Nm tork manakala model dengan enjin 2.5-liter mempunyai output 192hp dan 258Nm tork. Transmisi adalah standard untuk semua, iaitu automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan, memacu roda depan.

Ciri luaran pada Mazda6 2023 ini termasuklah lampu LED dengan Signature Illumination, DRL LED, lampu kabus LED, pengesan parkir, dan rim 17-inci bagi 2.0 Sedan, tetapi 19-inci untuk 2.5 Touring dan Sedan.

Kemasan dalaman pula terdiri dari brek parkir elektronik, paparan instrumen digital 4.6-inci, stereng balutan kulit, paparan HUD untuk dua varian atas, pendingin hawa dwi-zon, corong pendingin hawa belakang, dan tempat duduk berkuasa.

Mazda6 juga dilengkapi dengan skrin infotainmen 8-inci, sambungan Android Auto, Apple Carplay tanpa-wayar, kamera 360-darjah, dan 6 pembesar suara atau sistem audio Bose dengan 11 pembesar suara (bergantung kepada varian).

Ciri keselamatan adalah standard untuk semua varian, seperti ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control System, Emergency Stop Signal, dan Hil Launch Assist.

Varian dengan enjin 2.5-liter mendapat tambahan sistem bantuan pemandu seperti lampu adaptif, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert, Smart Brake Support, dan Mazda Radar Cruise Control.

Mazda6 ditawarkan dengan tujuh warna iaitu Arctic White, Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Gray, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Polymetal Gray, dan dua warna baharu Platinum Quartz dan Rhodium White Premium.

Versi 20th Anniversary Edition 2.5 Sedan datang dengan warna eksklusif Artisan Red Premium serta kemasan-kemasan kosmetik lain.

Kesemua Mazda6 di Malaysia dilindungi dengan jaminan lima-tahun berserta pakej penyelenggaraan lima-tahun termasuk upah, alatganti, dan bendalir. Tetapi jaminan ini terhad kepada 100,000km, yang mana dahulu.

BMX X1 generasi baharu kini di Malaysia – sDrive20i xLine, 204hp, RM239k

BMW X1 generasi baharu U11 kini dilancarkan di Malaysia, ditawarkan dalam satu varian petrol sDrive20i xLine, dengan harga RM238,900 atas jalan tanpa insurans.

Ini juga termasuk dengan jaminan dua-tahun, tetapi anda ada pilihan jaminan dan pakej servis tambahan lima-tahun, pada harga RM259,800.

X1 generasi ketiga ini juga dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti BMW di Kulim, Kedah, sama seperti generasi sebelumnya F48. Jadi, apa yang ada dalam pakej X1 2023 kali ini?

Pertamanya untuk dimensi, BMW X1 ini lebih besar secara keseluruhan berbanding model sebelumnya. Ia 53mm lebih panajng, 24mm lebih lebar, 44mm lebih tinggi, dan jarak roda bertambah 22mm.

X1 dipacu enjin petrol 2.0-liter 4-silinder turbo yang menghasilkan 204hp dan 300Nm tork, dan ia digandingkan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan Steptronic. Ini membolehkan ia memecut ke 100km/j dalam 7.6 saat, dengan kelajuan maksima 236km/j.

Dari segi penampilan, pakej xLine memberikan bampar lebih rugged berbanding M Sport yang biasanya sporti. Ia juga dilengkapi dengan gril kidney dihiasi Pearl Chrome serta kemasan luaran satin aluminium.

Ciri lain termasuklah lampu LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi, rim aloi 19-inci Style 867, kluster instrument 10.25-inci, skrin infotainmen 10.7-inci, tempat duduk berkuasa, sistem penghawa dingin dwi-zon, paddle-shifters, dan My Modes.

BMW X1 juga mendapat BMW Operating System 8 dengan sambungan Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar, serta servis ConnectedDrive. Teknologi lain pula terdiri dari pad pengecas tanpa-wayar, dan Comfort Access dengan Digital Key.

BMW X1 2023 boleh didapat dengan lima warna, iaitu Black Sapphire, Alpine White, Cape York Green, Phytonic Blue dan Space Silver. Semua warn aini dipadankan dengan balutan kulit sintetik Sensatec.

Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition tiba di Malaysia – RM81k

SEBAGAI meraikan kejayaan dalam perlumbaan off-road Baja Aragon, Triumph mengeluarkan Tiger 900 GT Aragon Edition, dan ia kini di Malaysia pada harga RM81,000.

Apa yang berbeza berbanding Tiger 900 GT adalah skema warna khas Diablo Red, Matt Phantom Black, dan Crystal White.

Untuk Malaysia, Tiger 900 Rally Aragon Edition tidak akan dibawa ke sini. Jadi, anda yang mahukan versi suspensi gerakan panjang dan rim spoke pada Rally perlu memilih Tiger 900 Rally yang berharga RM84,600.

Selain dari warna khas tadi, Tiger 900 GT Aragon Edition serupa dengan model asasnya. Ia dipacu enjin 888cc inline-triple yang ditala untuk menjana 93.9hp pada 8,750rpm dan 86.78Nm tork pada 7,250rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear 6-kelajuan. Terdapat empat mod tunggangan pada Triger 900 GT iaitu Rain, Road, Sport, dan Off-Road, selain traction control dan Optimised Corner ABS.

Bercakap mengenai ABS, brek terdiri dari Brembo Stylema dengan cakera 320mm di depan. Tiger 900 GT ini mempunyai ketinggian tempat duduk boleh-laras antara 810mm dan 830mm. Berat motosikal ini ialah 194kg dan ia mempunyai kapasiti tangki bahan api 20 liter.

Ia juga dilengkapi soket USB 5-volt, ruang simpanan telefon pintar di bawa tempat duduk, dan suis bercahaya dengan joystick 5-arah.

 

Logo Tesla di ibu pejabat Cyberjaya sudah dinaikkan

LOGO Tesla dilihat sudah dinaikkan dan dipasang di depan bangunan ibu pejabat serantau mereka di Cyberjaya. Gambar itu dikongsi oleh Richard Ker di Facebook miliknya.

Terdapat gambar waktu siang dan malam menunjukkan kerja-kerja pemasangan dan menaikkan logo besar berbentuk huruf T dan tulisan “TESLA” tersebut.

Tesla pada Julai mengumumkan akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

Pejabat itu akan digunakan untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang terlatih.

Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.

Dalam laporan pada Julai itu juga, Tesla bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.

Tesla pada masa ini telah melancarkan dua model di Malaysia dalam masa beberapa bulan, bermula dengan Model Y dan terkini, Model 3.

Mazda CX-30 2.0G High+ bukan untuk semua – Pandu uji

SEMASA Mazda CX-30 mula menerjah ke pasaran Malaysia pada penghujung 2019, rata-rata kami para media amat menggemarinya. Bukan sahaja ia nampak cantik dan seksi dengan lekuk dan garisan seperti SUV Itali, CX-30 juga sedap dipandu.

Jika anda suka memandu dan seorang pemandu tegar, CX-30 akan cepat serasi dengan anda. Masalahnya, harga CX-30 pada masa itu agak ‘keras’, membuatkan kebanyakan orang risau untuk meminangnya. Lantas menjadikan jualannya sedikit sendu.

Namun tahun lepas, Mazda Malaysia telah memperkenalkan varian CKD (pemasangan tempatan) untuk SUV kompak segmen-B ini, menjadikan harganya lebih sedap didengar.

CX-30 2.0G bermula pada RM131,000 hingga 2.0G High+ Premium pada RM159,000. Ini kira-kira RM13,000 ‘diskaun’ berbanding 2.0G model 2019 dulu.

Cuma untuk CKD kali ini kesemua empat varian menggunakan enjin 2.0-liter petrol sahaja, tiada lagi pilihan 1.8-liter diesel SkyActive-D seperti dulu yang berharga lebih RM170,000.

Jadi, baru-baru ini kami memandu uji varian pertengahan tinggi, iaitu CX-30 2.0G High+ yang berharga RM149,000. Adakah ia berbaloi dibandingkan dengan model seperti Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross? Dan untuk siapakah CX-30 ini?

Seperti satu kelas lebih atas

Mazda CX-30 apabila diteliti dengan lebih dekat, anda akan rasa ia seperti dalam satu kelas lebih atas dari model-model lain dalam segmennya.

Sebagai contoh, bilah krom di bawah gril depan yang bersambung hingga ke lampu depan kiri dan kanan sebenarnya mahal untuk dihasilkan kerana ia komponen krom nipis yang besar.

Kemudian permukaan panel badan di fender, pintu, hingga belakang kereta tidak mempunyai garisan yang jelas, sebaliknya berlekuk dan membentuk permainan cahaya yang cukup menarik. Ia beralun dan memberikan imej CX-30 ini seperti seekor makhluk, bukannya sebuah jentera atau benda.

Permukaan organik sebegini memerlukan tahap penjagaan kualiti yang tinggi dan lebih teliti berbanding garisan konvensional.

Rekaan belakang juga cukup penulis suka kerana nampak elegan dan sporti seperti SUV Itali yang jauh lebih mahal. Untuk anda yang tidak tahu, penulis maksudkan Alfa Romeo Stelvio.

Di dalam, anda lihat sahaja pedal minyak jenis organ pada CX-30 ini, iaitu jenis engsel di lantai. Automatik membuatkan SUV ini rasa lebih mahal berbanding model lain yang menggunakan pedal minyak jenis gantung.

Begitu juga dengan paparan meter rpm dan speedometer. Hanya paparan rpm yang merupakan meter fizikal, sementara speedometer sebenarnya paparan digital. Tetapi Mazda berjaya memberikan penelitian hingga kedua-dua ini nampak begitu serupa. Bila padamkan enjin baru anda perasan bahawa meter kelajuan ialah skrin.

Perkara-perkara sebegini kita tidak dapat lihat dalam risalah atau spesifikasi atas kertas. Jadi, normal untuk kita susah untuk menjustifikasikan harga Mazda CX-30 yang lebih mahal ini. Tetapi setelah pandu uji atau meluangkan masa beberapa hari, barulah kita boleh faham.

Pengorbanan ‘sports car’

Di bawah hud depan Mazda CX-30 kali ini – seperti disebut tadi – ialah enjin 2.0-liter SkyActiv-G petrol naturally-aspirated, cukup untuk menjana 162hp dan 213Nm tork.

Walaupun angkanya biasa-biasa sahaja dan tidak begitu mengujakan, Mazda mengajar kita bahawa sporti bukan bermakna output kuasa tinggi semata-mata. Ya, Mazda CX-30 ialah antara SUV paling sporti dalam kelasnya, jika tidak paling sporti.

Angka bukanlah segala-galanya untuk menjadi sporti, sebaliknya cara enjin SkyActiv ini menaikkan rev-nya, respon, serta bunyi memberikan anda rasa terhubung rapat dengan kereta ini.

Dari respon ultra-cepat bila anda sentuh pedal minyak, kemudian bila jarum rpm naik dengan lancar hingga ke redline 6,800rpm dalam mod manual, menyerlahkan sifat sporti Mazda CX-30 ini. Kemudian kotak gear SkyActiv-Drive yang digunakan ialah 6-kelajuan sebenar, bukan kelajuan maya dari CVT seperti kebanyakan pesaingnya (kecuali X50 yang menggunakan dwi-klac).

Ini bermakna sensasi pertukaran gear adalah ‘real’ dan benar sebenar benarnya, bukanlah gear acah-acah. Pertukaran tidak perlu terlalu cepat, yang penting responnya memadai dan anda rasa rapat dan akrab dengan powertrain CX-30 ini.

Bila rev menghampiri redline, degupan jantung anda semakin kencang, ditemani bunyi merdu yang selesa pada rev tinggi, dan bila upshift, degupan jantung anda turun sedikit. Kemudian meningkat lagi bila memecut dalam gear seterusnya.

Downshift juga seperti jentera sport sebenar. Sama ada mod automatik atau manual, anda dapat rasakan klacnya dipisahkan, enjin blip untuk rev match, dan klac disambung semula dengan lancar, tetapi sporti.

Tidak percaya bahawa output bukan penentu rasa sporti? Baik, ambil contoh Lotus Elise dengan 217hp dari enjin 1.8-supercaj, bandingkan dengan 255hp dalam Mercedes C300 bersama enjin 2.0-liter turbo. Yang mana lebih sporti?

Ya, sebab itu penulis tekankan ‘cara’ enjin itu menghantar kuasa atau karakternya lebih penting, bukan nombor yang kita boleh Google sahaja.

Cuma bila memandu kenderaan sporti, anda mungkin akan buat sedikit ‘pengorbanan’ dari segi ruang dan pratikaliti. Untuk Mazda CX-30 ini terus terang penulis katakan, bukan paling luas dalam segmennya. Ditambah lagi dengan warna hitam-coklat pada kabin, tidak membantu bab ini.

Duduk memang selesa dan suportif, tetapi bila penulis bawa seorang penumpang berbadan gempal duduk di sebelah, dan seorang penumpang agak tinggi di belakang, boleh dirasa sedikit sendat dalam kabin.

Dan jika anda duduk dengan posisi memandu rendah, agak sukar untuk lihat ke luar bahagian kiri dan bucu belakang kereta.

Panel papan pemuka dan segala suis serta tombol mudah dicapai, ini bagus kerana memberikan kita rasa yakin dan kereta ini memfokus terhadap pemandu.

Bukan untuk semua

Jadi senang cerita, Mazda CX-30 ini bukan untuk semua. Ia sedap dipandu, menghargai pemandu tegar dan berjiwa sporti, tetapi mungkin kurang ‘ngam’ dengan kebanyakan orang.

Jika sebelum ini anda pandu Mazda MX-5 semasa bujang, CX-30 sangat sesuai untuk digunakan untuk bina keluarga kecil sebelum anda beralih ke kenderaan lebih besar bila mempunyai lebih dari tiga anak.

Bagi penulis, penulis sangat suka memandu Mazda CX-30 ini kerana saiznya ideal untuk kegunaan harian, selain aspek responsif dan ‘feel’ pemanduan jitu yang ditawarkan oleh konsep Jinba Ittai. Bentuk CX-30 ini juga masih elegan dan evergreen walaupun hampir memasuki empat tahun dan Mazda dengan selamba belum memberikan sebarang kemaskini visual.

Tetapi memang tidak perlu pun. CX-30 masih nampak baharu dan segar dalam pasaran.

Untuk menjawab persoalan awal tadi, Mazda CX-30 nampak tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kereta biasa dalam segmennya, tetapi anda akan nampak nilai lebih baik bila dibandingkan dengan model seperti MINI Countryman, Lexus UX atau Mercedes A-Class hatchback.

Spesifikasi Mazda CX-30 2.0L High+

Harga: RM149,000
Enjin: 2.0-liter SkyActiv-G 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan SkyActiv-Drive
Kuasa: 162hp @ 6,000rpm
Tork: 213Nm @ 4,000rpm

Volvo bawa kenderaan lebih selamat untuk Malaysia sejak 1966

HANYA sedekad setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia ketika itu dalam rangka mengukuhkan kemunculan industrinya ke pentas dunia.

Ia termasuklah sebuah polisi automotif bagi mempercepatkan industrialisasi kebangsaan melalui kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan pembuatan komponen automobil.

Volvo Car Manufacturing Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Swedish Motor Assemblies Sdn. Bhd.) merupakan antara yang pertama bertindak balas terhadap panggilan kerajaan Malaysia ke seluruh dunia untuk perpindahan teknologi, pembangunan kemahiran tempatan, dan pelaburan asing.

Mereka kemudiannya menjadi jenama kereta antarabangsa pertama yang membangunkan kilang pemasangan automotif di Malaysia.

Terletak di tengah-tengah Shah Alam, ia merupakan antara kilang pembuatan kereta pertama di Malaysia.

Kilang pemasangan Volvo memulakan operasinya pada Mac 1967 dengan pengeluaran Volvo 144 – kereta pertama yang dipasang di Malaysia, dan ia juga telah menandakan sebuah langkah besar untuk industri automotif negara.

Memandangkan Shah Alam juga merupakan lokasi pertama kilang Volvo di luar negara asalnya iaitu Sweden, hal ini merupakan sesuatu perkara yang bermakna untuk Malaysia.

Pemasangan tempatan Volvo 144 tersebut pantas diikuti oleh banyak lagi model seterusnya, menampilkan ciptaan-ciptaan hebat Volvo seperti tali pinggang keledar tiga mata dan Blind Spot Information System (BLIS) – ciri-ciri keselamatan yang kini merupakan piawaian dalam semua kereta moden pada hari ini.

Pada tahun 2016, Volvo Car Malaysia merupakan jenama kereta mewah pertama yang memperkenalkan kenderaan hibrid plug-in pemasangan tempatan (PHEV) melalui model Volvo XC90 Recharge – sebuah usaha yang menyokong cita-cita kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia ke arah sebuah hub ASEAN untuk Kenderaan Jimat Tenaga ataupun Energy Efficient Vehicles (EEV).

Pada masa itu, Malaysia merupakan satu-satunya negara selain Sweden yang menjalankan pemasangan model serba baharu Volvo XC90 Recharge tersebut.

Pada tahun 2021, Volvo Car Malaysia telah pun menjadi pembuat kereta automotif pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian lengkap hibrid plug-in.

Pada tahun 2022, Volvo Car Malaysia menandakan sebuah titik perubahan untuk industri automotif Malaysia dengan pelancaran model Volvo XC40 Recharge Pure Electric, kereta elektrik penuh (EV) pertama yang melalui CKD di Malaysia.

Melalui kemampuan kilang pemasangan tempatannya, Volvo terus memacu landskap kenderaan elektrik bagi menyokong Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dalam mencepatkan penggunaan EEV dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malaysia juga menjadi hub Volvo untuk mengeksport model Pure Recharge ke seluruh rantau ASEAN melalui rangkaian eksport sedia adanya.

Walaupun Volvo merupakan jenama kelahiran Sweden, ia juga telah bertapak di Malaysia selama 57 tahun, kini menyambung misinya untuk memberikan para pemilik kereta kebebasan untuk bergerak dengan cara peribadi, mampan dan selamat.

Sejak pengumuman agenda elektrifikasinya pada tahun 2022, Volvo Car Malaysia bercita-cita untuk menawarkan kereta elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030 dan menjadi syarikat iklim neutral menjelang tahun 2040.

Volvo Car Malaysia ingin memperingati 57 tahunnya bersama Malaysia dengan promosi untuk kedua-dua rangkaian elektrik sepenuhnya dan hibrid semasa Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Bermula sekarang hingga 30 September 2023, pelanggan yang membeli model Volvo Recharge Pure Electric baharu (XC40 Recharge Pure Electric atau C40 Recharge Pure Electric) dengan Perkhidmatan Kewangan Kereta Volvo akan menikmati faedah pengurangan harga akhir serta-merta bernilai RM20,000 dengan penjimatan tambahan melalui kaedah pengurangan prinsipal.

Terdapat juga faedah daripada tempoh pembiayaan yang lebih pendek, iaitu tiada bayaran keluar selepas penyelesaian awal.

Promosi ini juga terpakai apabila anda memesan Volvo XC40 Pure Recharge atau Volvo C40 Pure Recharge dalam talian di https://shop.digitalvolvo.com/my/shop-online.

Pelanggan yang membeli mana-mana kenderaan elektrik hibrid Volvo dalam tempoh masa yang sama juga akan menikmati tawaran insurans kereta percuma dan VSP (Pelan Perkhidmatan Volvo 5 tahun) bernilai hampir RM20,000.

VSP ialah pakej servis kereta komprehensif bernilai RM12,900 yang meliputi lima sesi servis kereta pertama anda, termasuk barangan haus dan lusuh serta kos buruh, kemas kini perisian percuma dan pemeriksaan kesihatan kenderaan, manakala insurans kereta percuma untuk tahun pertama pula bernilai RM7,000.

MINI Electric Resolute Edition yang terpaling go-kart – Pandu uji

TANYA sesiapa sahaja yang memiliki atau pernah memandu kereta MINI, pasti akan berkata pengendaliannya seperti go-kart. Atau go-kart dengan bumbung, cermin, pendingin hawa, lampu, dan nombor plat.

Walaupun MINI sekarang tidak begitu ‘mini’ lagi, jika kita tengok model Countryman atau Clubman pun sudah agak besar, sama saiz dengan BMW X1, Mercedes GLA atau Proton X50 sebagai perbandingan. Kita tak panggil Proton X50 sebagai kereta yang ‘mini’ atau kompak, bukan?

Tetapi talaan suspensi, stereng, dan cara penghantaran kuasa dapat menjadikan MINI yang besar ini masih mempunyai pengendalian lincah.

Untuk hari ini, kita akan lihatkan MINI Electric dan kami ingin katakan, inilah MINI yang terpaling go-kart, terpaling, bak kata budak-budak muda sekarang. Mengapa? Jom.

Elektrik, pantas, lincah

Baik, jadi jika anda buka hud depan, tiada enjin, sebaliknya di bawah penutup plastik itu terdapat motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri 28.9kWh. Motor elektrik ini memberikan 181hp dan 270Nm tork, angka yang okey untuk hatchback seberat 1,440kg ini.

Menariknya, pecutan dan pemanduan MINI Electric ini terasa seperti ia lebih berkuasa, mungkin seperti kereta petrol dengan output 250hp dan 350Nm. Boleh dibandingkan seperti MINI atau BMW dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo.

Memandangkan ini sebuah EV, kuasa dan tork maksima dapat diakses sebaik kereta mula bergerak. Tekan sahaja pedal selepas lampu isyarat bertukar hijau, anda terus dapat kuasa penuh.

Anda ingat lagi kereta Tamiya atau kereta kawalan radio (RC)? Tekan ON sahaja, terus motor berpusing laju, begitulah pecutan MINI Electric ini. Dipadankan dengan respon stereng yang laju dan tepat serta suspensi sporti, inilah MINI yang terpaling go-kart.

Malah, penulis terfikir go-kart hari ini pun sudah banyak beralih dari enjin dua-lejang dan empat-lejang kepada go-kart jenis elektrik untuk litar indoor (dalaman), jadi ini menjadikan kedua-dua jenis jentera (MINI Electric dan go-kart elektrik) lebih serupa.

MINI Electric juga tiada gear, jadi motor terus sahaja memecut dan ‘menarik’ kereta ini ke kelajuan maksima dalam satu pecutan terus-menerus, hingga ke kelajuan maksima 150km/j. Tak cukup laju? Bergantung.

Dalam kebanyakan keadaan, pemanduan dalam bandar, anda mungkin tidak akan memandu melebihi 130km/j pun. Yang penting berapa cepat untuk sampai ke kelajuan tiga angka. 100km/j boleh dicapai dalam 7.3 saat sahaja, lebih pantas dari kebanyakan sedan atau SUV segmen-B.

Talaan suspensi juga cukup seimbang, tidak terlalu keras yang anda jangkakan. Ia berada dalam ‘sweet spot’ antara sporti dan keselesaan. Semasa penulis bawa penumpang di tempat duduk belakang juga, mereka tidak merungut kata tidak selesa, sebaliknya sama seronok dan teruja dengan pemanduan EV ini.

Serius, anda pasti tidak lekang dengan senyuman bila pandu MINI Electric ini. Penulis juga rasakan MINI Electric antara kereta paling menyeronokkan penulis pandu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda juga akan dahagakan selekoh. Selepas pecut, anda mahu cari selekoh untuk brek menggunakan regenerative braking, masuk selekoh dengan tepat dan lancar, ‘pegang’ di situ, kemudian berdesup tekan semula pedal kanan sebaik jalan mulai melurus. Dan ulang lagi di selekoh seterusnya.

150km je, cukup?

Tetapi masalah terbesar MINI Electric ini ialah jarak pemanduannya. Jika dilihat pada risalah rasmi, ia mempunyai jarak 232km setiap cas penuh, menurut kitaran WLTP. Ya betul, 232km sahaja.

Dalam dunia sebenar, ia jauh lebih rendah dari ini. Semasa kami ambil kereta ini dengan bateri melebihi 95 peratus, jarak pemanduannya hanya sekitar 160km. Masa untuk panik?

Jangan panik dulu. Sebenarnya ia tidak seteruk yang disangkakan. Jika anda tidak tekan pedal ‘minyak’ lebih dari separuh sepanjang masa – yang sebenarnya cara pemanduan harian – anda boleh dapat lebih dari 160km.

Tetapi jika anda ‘nakal’ dan nak berseronok, sebenarnya motor elektrik MINI ini masih agak cekap. Jaraknya tidak turun terlalu mendadak, melainkan anda pandu di lebuhraya pada kelajuan melebihi 130km/j secara berterusan.

Meluncur pada 110-120km/j, jaraknya berkurang dengan kadar yang sama dengan pergerakan anda.

MINI Electric ini juga sentiasa menggunakan regenerative braking, dengan dua tetapan; kuat atau sederhana. Jadi ini juga membantu mengembalikan sedikit tenaga kinetik kembali ke bateri semasa anda memperlahankan kereta.

Dalam pemanduan bandar pasti berpuluh kali anda membrek dan memperlahankan kereta sama ada untuk melalui bonggol, masuk simpang, atau berhenti di lampu isyarat. Bila tenaga disalurkan dan dikumpul ke bateri, anda boleh guna semula semasa memecut nanti.

Inilah situasi paling ideal untuk MINI Electric; ke sana ke sini dalam bandar melakukan tugas harian. Sudah tentu paling bagus adalah bila anda mempunyai pengecas di rumah, balik petang terus cas beberapa jam hingga malam. Esoknya bateri penuh, dengan jarak 150-160km.

Kebanyakan kita tidak pandu melebihi 100km sehari, bukan?

Tak boleh dipandu jauh? Jujur kata, anda tak mahu cuba pandu ke luar negeri dengan MINI Electric ini. Ianya praktikal dan sempurna untuk pemanduan dalam bandar, tetapi lebih seronok dari kereta lain.

Boleh sahaja MINI sumbat bateri lebih besar pada kereta ini untuk berikan lebih jarak, tetapi ada faktor berat. Bila terlalu berat, kereta tidak akan seronok dipandu, defeat the purpose, bak kata orang putih.

Gaya mesti ada!

Sebagai sebuah MINI, gaya mesti ada! Ia masih mendapat bentuk ikonik hatchback British, bumbung putih untuk warna dwi-tona, lampu belakang LED dengan nyalaan grafik Union Jack, dan beberapa kemasan untuk menunjukkan ianya bukan MINI biasa.

Anda lihat rim empat-bilah, bentuk unik seperti soket elektrik pada penutup ‘tangki minyak’, dan warna kuning-hijau fluorescent pada tulisan-tulisan dan lencana sekeliling kereta, anda akan tahu ini sebuah MINI EV.

Dan dengan Resolute Edition, ia memberikan kemasan lebih unik pada kereta ini, seperti warna khas Resolute Bronze pada gril, lampu belakang, dan hendal pintu. Kemudian bingkai gril, logo dan lencana model pula berwarna hitam.

Paling penulis suka ialah tempat duduk dengan balutan fabrik/kulit Black Pearl Light Chequered, seperti tikar atau kain pelikat. Cukup cantik, trendy, dan sesuai dengan imej serta jiwa MINI ini. Kalau anda berusia 45 tahun, automatik terasa 10 tahun lebih muda dengan MINI Electric Resolute Edition ini.

Ciri lain adalah standard seperti kluster instrumen digital, sambungan Apple Carplay, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, dan paparan Head Up Display, kesemuanya anda dapat pada MINI lain yang terkini.

Secara keseluruhan, MINI Electric Resolute Edition ini sesuai untuk anda yang mencari kereta kedua atau ketiga dalam rumah.

Anda mahu sebuah EV untuk kegunaan harian, ada pengecas di rumah, dan mahukan sesuatu yang menyeronokkan untuk dipandu mengharungi trafik sesak atau selekoh lebuh raya DASH, ini kereta yang boleh dilihat. Paling penting, ia boleh menjadi sebahagian dari outfit anda sekiranya anda jenis yang mementingkan gaya.

Spesifikasi MINI Electric Resolute Edition

Harga: RM211,164
Bateri: 28.9kWh
Kuasa: 181hp
Tork: 250Nm

Mercedes C300 AMG Line pandai bermain dengan emosi – Pandu uji

SEBENARNYA tanpa disedari, banyak keputusan pembelian kita dipengaruhi emosi. Kita beli kasut Adidas berharga RM560 hanya kerana lebih sukakannya walaupun ada Puma yang hampir serupa berharga RM380.

Atau kita beli kemeja-T kosong berwarna hitam di Uniqlo berharga RM50 walaupun ada baju yang hampir sama di Factory Outlet Store (FOS) berharga RM39, hanya kerana kita lebih sukakan jenama yang lebih mahal itu.

Perkara ini juga boleh terjadi semasa membeli kereta terutamanya untuk segmen premium. Terdapat isu seperti brand loyalty (ketaatan terhadap jenama, bunyi pelik dalam Bahasa Malaysia) yang menyebabkan kita tidak mudah menukar jenama.

Hal ini berbeza untuk kereta segmen bawah RM100,000 kerana faktor harga lebih sensitif. Jadi untuk bab ini, kita simpankan perbincangan di hari lain, ya.

Untuk kali ini, penulis ingin berkongsikan mengenai Mercedes C300 AMG Line dan bagaimana ia bermain dengan emosi penulis untuk sangat sukakannya walaupun ia bukan jenis kereta yang biasa penulis suka.

W206 ‘buatan Malaysia’

Mercedes C300 AMG Line merupakan antara penawaran C-Class generasi W206 terkini yang kini dipasang secara CKD sejak Ogos tahun lepas. Pemasangan tempatan ini menurunkan harganya kepada RM327,888 berbanding kira-kira RM333,888 semasa baru dilancarkan.

Masih suatu harga yang tidak murah untuk sebuah sedan kecil premium. Sedan permulaan untuk mereka yang baru melangkah masuk ke segmen ini. Tetapi dengan C-Class W206 ini, Mercedes pandai memikat hati pemandu dan sesiapa yang pernah menaiki kereta ini.

Pertamanya, ia tampil cukup premium dan nampak mahal tanpa perlu terlalu mencuba. Elemen krom cukup-cukup sahaja di keliling tingkap dan gril depan, tidak perlu silaukan mata orang sekeliling. Bentuk badannya masih klasik kereta Jerman RWD dengan bonet depan panjang dan kabin yang lebih rapat ke tayar belakang.

Mungkin inilah definisi elegan.

Kemudian gaya elegan ini ‘disuntik’ dengan elemen sporti dari pakej AMG Line, seperti anda dapat lihat pada bentuk gril berbeza dari C200 Avantgarde, rim 19-inci yang nampak sukar dicuci, dan bentuk bampar serta skirt sisi yang lebih agresif.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencampurkan kit badan sporti pada kereta yang elegan dan mewah tanpa menjadikannya nampak janggal.

Di bahagian dalam anda akan rasa sangat istimewa dengan Mercedes C300 ini kerana rekabentuk kabinnya begitu menawan, nampak berkualiti tinggi, dan rasa premium. Tidak hairanlah jika Mercedes sentiasa nombor satu untuk bab rekaan kabin.

Di depan stereng terdapat skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen manakala di tengah terletaknya skrin infotainmen 11.9-inci. Kedua-duanya cukup besar dan memaparkan segala macam maklumat dengan jelas melalui resolusinya yang tinggi.

Penulis paling suka khasnya setup skrin berasingan pada C-Class generasi baharu ini berbanding sekeping skrin panjang melintang untuk dua fungsi berbeza pada model sebelumnya.

Selain itu, anda boleh rasakan pereka dan jurutera memberikan usaha lebih untuk anda sukakan Mercedes C-Class ini seperti boleh dilihat pada corong pendingin hawa, kemasan gentian karbon (AMG Line sahaja), panel pelaras tempat duduk di pintu, dan segala tuil dan butang.

Segalanya terasa sedap dipegang dan digunakan, sebagai contoh tuil penukar gear di sebelah kanan dan suis lampu isyarat di sebelah kiri. Terdapat juga panel-panel sesentuh yang anda boleh sentuh dan gosokkan untuk mengawal skrin infotainmen di depan dan skrin tengah.

Secara keseluruhan, kabin ini terasa selesa untuk anda pandu jauh, mudah digunakan seharian, dan membuatkan anda rasa istimewa – penting untuk kereta segmen begini.

Oh ya, tidak cukup dengan itu, paling anda rasa C-Class ini mahal ialah bila melaras tempat duduk dan bumbung panoramiknya. Anda dapat ketahui yang ia menggunakan motor lebih mahal, bukan motor biasa kerana pelarasannya cukup-cukup lembut, boleh digerakkan sedikit dengan tepat, dan motor ini seolah-olah ‘membrek’ sebelum berhenti.

Ia tidak bergerak dan berhenti dengan mendadak. Ini antara perkara yang anda tidak dapat lihat atas kertas atau risalah. Kena cuba sendiri baru faham. Silap-silap anda cuba dalam bilik pameran pun anda terus sedia untuk tandatangan dokumen, tanpa perlu pandu uji.

Pengendalian ‘kena pandai ejas’

Untuk pemanduan pula, C300 masih berpegang teguh dengan prinsip klasik Mercedes untuk mempunyai pengendalian lembut, lancar, selesa dan elegan walaupun model ini mendapat pakej AMG Line.

Dengan Dynamic Select dan suspensi adaptif Agility Control, kereta ini versatil untuk pelbagai situasi pemanduan. 95 peratus keadaan Mercedes C300 AMG Line ini lembut di selekoh walaupun menggunakan Goodyear Eegle F1 iaitu tayar sport menawarkan had cengkaman tinggi.

Tetapi jika anda sudah biasa dengan karakternya, Mercedes C300 ini mampu ‘tapau’ pesaingnya dari negara sama walaupun jenama itu lebih sinonim dengan ciri sporti. Asalkan anda “kena pandai ejas”.

Anda faham cara C300 AMG Line ini mengambil rentak di selekoh dan jalan tidak rata, anda tahu had tayar, kereta ini boleh menjadi sebuah sedan eksekutif yang lincah di jalan seperti Lebuh Raya DASH. Ia mampu menggalas tugas diperlukan pengurus muda yang ingin bergegas ke mesyuarat.

Enjin C300 merupakan unit 2.0-liter berkuasa 255hp dan 400Nm tork, lebih tinggi dari 1.5-liter yang dibekalkan pada C200.

Enjin ini disambungkan dengan kotak gear automatik 9-kelajuan 9G-Tronic dan gandar belakang, serta mendapat bantuan mild hybrid ISG (integrated starter generator) yang memberikan output tambahan 20hp dan 200Nm.

Dari angka yang diberikan, ia sebenarnya lebih dari mencukupi untuk kegunaan seharian. Mampu membawa sedan ini ke kelajuan tiga digit tanpa perlu mengaum lebih, terima kasih kepada tork 400Nm seawal 2,000rpm dan kotak gear 9-kelajuan.

Dan menariknya, sistem mild hybrid pada C300 sangat efektif dalam memberikan penjimatan. Jika anda pandu biasa-biasa sahaja, anda mampu pergi sejauh 700 hingga 750km dengan mudah setiap tangki.

Kesimpulan

Penulis jarang sukakan Mercedes sedan dan biasanya tidak meletakkan harapan tinggi pada C-Class selain AMG dua digit (C43, C63).

Tetapi dengan C300 AMG Line kali ini, cukup untuk penulis meletakkan kereta ini dalam senarai pendek untuk dibeli selepas bersara. Untuk pandu santai ke masjid dan pasar, dan sesekali ke Ipoh untuk minum white coffee.

Senang cerita, agak keberatan juga memulangkan kereta ini kepada Mercedes-Benz Malaysia.

Spesifikasi Mercedes C300 AMG Line

Harga: RM327,888
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 9-kelajuan 9G-Tronic
Kuasa: 255hp @ 5,800rpm
Tork: 400Nm @ 2,000-3,200rpm

Malaysia di tempat kelima dengan jalan raya paling bahaya di dunia

MALAYSIA masuk senarai tertinggi di dunia lagi! Kali ini, tanah air kita menduduki tangga kelima dalam senarai negara dengan jalan raya paling bahaya di dunia, dan tempat ketiga untuk negara yang anda berkemungkinan hilang nyawa di jalan raya.

Menurut kajian oleh FINN iaitu sebuah syarikat langganan kereta Amerika, Malaysia mencatatkan 22.48 korban jalan raya untuk setiap populasi 100,000 orang. Dua negara yang mencatatkan lebih banyak kematian adalah Arab Saudi di tempat pertama, dan Thailand di tempat kedua.

Arab Saudi mencatatkan 35.94 kematian untuk populasi 100,000 manakala Thailand sebanyak 32.21 orang.

“Akan tetapi, terdapat perbezaan ketara antara Malaysia dan Thailand, dimana negara ini mencatatkan hampir 10 kurang angka kematian. Malaysia negara ketiga di Asia dalam tiga tempat teratas, dan separuh dari 10 negara teratas adalah dari pelbagai benua,” terang kajian itu.

Laporan itu juga mendedahkan Malaysia mencatatkan 5.3 dari tujuh mata keseluruhan untuk skor kualiti jalan raya. Satu lagi dapatan membimbangkan ialah peratusan pemakaian tali pinggang keselamatan di Malaysia cuma sebanyak 48 peratus, kedua terendah dalam senarai.

Walaubagaimanapun, Malaysia ialah satu-satunya negara yang mencatatkan 0 peratus untuk kematian berpunca alkohol. Secara keseluruhan, skor keselamatan jalan raya Malaysia ialah 4.07 dari 10. Kajian oleh FINN ini bertajuk The World’s Safest Roads atau jalan raya paling selamat di dunia.

Hasilnya dibahagikan kepada empat kategori berbeza; tiga negara dengan jalan paling selamat, tiga negara dengan jalan paling bahaya, negara yang paling rendah potensi mati di jalan raya, dan negara yang paling tinggi potensi mati di jalan raya.

Sementara itu, Belanda mencatatkan skor tertinggi untuk negara dengan jalan raya paling selamat iaitu 7.86 per 10, diikuti Norway di tempat kedua dan Sweden serta Estonia di tempat ketiga, masing-masing dengan skor 7.47 dan 7.42.

Untuk negara dengan jalan raya paling bahaya, Argentina mendapat skor terendah iaitu 1.65, diikuti Amerika Syarikat (2.53) dan Greece (3.85).

Iceland menduduki tempat pertama untuk negara yang paling rendah potensi mati di jalan raya, dengan hanya 2.05 korban untuk 100,000, walaupun cuaca buruk dan banyak jalan tidak berturap.

Norway di tempat kedua denagn 2.12 korban dan Switzerland di tempat ketiga dengan 2.25 kematian.

Penulis rasakan hasil kajian ini tidaklah mengejutkan. Anda lihat sahaja cara orang kita memandu dan menunggang motosikal. Dengan pandu melulu, tunjuk hebat di jalan seperti Genting Highlands, pandu cari rumah sewa di lorong kanan lebuh raya, dan motosikal langgar lampu merah. Memang padan dengan hasilnya.

Adakah anda setuju dengan kajian ini? Jika ya, rasanya apa sebab yang menyumbang kepada keputusan ini?

Ini dia Mitsubishi Triton serba baharu! 2024 baru masuk Malaysia

INILAH dia tuan-tuan dan puan-puan, pencabar terbaharu dalam segmen trak pikap, iaitu Mitsubishi Triton serba baharu kini dilancarkan. Ia membuat pelancaran global di Thailand dan dijangka tiba ke pasaran kita tahun depan.

Triton atau L200 di sesetengah pasaran kini dalam generasi keenam, dan menampilkan rekaan segar sepenuhnya. Sebelum itu, sedikit info dimana ia mendapat ruang kargo belakang yang lebih kukuh dengan penggunaan bingkai selain terdapat anak tangga tambahan untuk lebih praktikaliti.

Penawaran varian akan berbeza mengikut pasaran, tetapi varian tinggi didatangkan dengan gril depan berwarna badan, digabungkan dengan kemasan titanium gelap pada beberapa panel lain.

Selain dari warna Yamabuki Orange Metallic ini, Triton serba baharu boleh didapati dengan warna Blade Silver Metallic, White Diamond, Solid White, Jet Black Mica, dan Graphite Gray Metallic.

Mitsubishi Triton baharu ini dilengkapi dengan Super Select 4WD-II dan Easy Select 4WD, merangkumi limited-slip differential dengan agihan 40:60 untuk depan dan belakang.

Terdapat mod 2H (RWD), 4H (4WD), 4HLc (4WD dengan differential tengah dikunci), dan 4LLc (4WD low-range dengan differential dikunci). Mod pemanduan pula terdiri dari Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand, dan Rock.

Suspensi juga telah ditambah baik, dimana double-wishbone belakang mendapat spring dedaun lebih ringan. Model dengan Super Select 4WD juga dilengkapi dengan Active Yaw Control (AYC) untuk memastikan selekoh dapat diambil dengan baik, sistem ini menggunakan fungsi brek individu di tayar depan.

Untuk enjin pula, Triton 2023 mendapat unit 2.4-liter diesel baharu, dengan output 148hp/330Nm, 181hp/430Nm, dan 201hp/470Nm. Transmisi pula boleh dipilih antara automatik 6-kelajuan atau manual 6-kelajuan.

Ruang dalaman juga menerima pembaharuan, walaupun masih terdapat meter analog. Kawalan pendingin hawa berasingan di bawah skrin infotainmen, menggunakan dua tombol berpusing. Penukaran antara 2WD dengan 4WD juga mudah, dengan hanya butang di konsol tengah.

Berminat? Mitsubishi Triton baharu ini hanya akan memasuki pasaran Malaysia hujung tahun depan. Terlalu lambat? Kami yakin ramai yang menunggu, pasti menarik jika dapat tiba ke sini dalam separuh masa pertama 2024. Sementara itu, jemput cuci mata dengan galeri di bawah:

MINIfest 2023 acara terpaling MINI! Kereta, makanan, gaya hidup, hiburan

MINI baru-baru ini mengadakan acara MINIfest 2023 di Sentul Depot pada Sabtu, 22 Julai. Dengan tema ‘Big Love, Big Fun’, MINIfest 2023 telah membariskan pelbagai aktiviti dan hiburan, di samping pameran kenderaan MINI yang bersejarah.

Para pemilik atau dipanggil ‘warga MINIacs’ tanpa mengira usia dapat menjiwai semangat MINI dan mencipta memori yang bermakna melalui minat mereka ke atas jenama ini.

Lebih 2,300 warga MINIacs telah berhimpun di Sentul Depot untuk menikmati aktiviti- aktiviti seperti pameran MINI, sesi pandu uji yang eksklusif, dan jualan aneka barangan yang kreatif dan lestari.

Bagi mereka yang mendahagakan cabaran, pelbagai permainan karnival yang popular juga telah disediakan di perkarangan ini.

Antaranya adalah MINI Slingshot, dimana para peserta telah dilancarkan ke udara di mana mereka dapat menyaksikan acara ini dari satu sudut yang lebih menarik.

Para pengunjung juga telah membanjiri MINI Car Boot Sale untuk membawa pulang aneka barangan perhiasan, sementara pelbagai rakan jenama dan vendor tempatan mengambil peluang untuk menawarkan aneka kraf dan seni yang menarik, termasuk barangan fesyen serta aksesori rekreasi yang unik.

Juga memeriahkan festival tersebut ialah booth MINI yang menawarkan aneka barangan eksklusif buat para peminat MINI, di samping stesen pengubahsuaian yang membolehkan pelanggan memperibadikan barangan MINI kesukaan mereka.

Menerusi kerjasama dengan Modle.play, para keluarga dan anak-anak kecil juga dapat menyertai dua bengkel menarik yang dirumus khas untuk mereka, di samping ruang permainan kanak-kanak yang lengkap dengan aneka mainan yang diperbuat daripada kayu.

Kanak-kanak dilihat seronok membina jentera MINI yang dikuasakan oleh bateri, manakala di bengkel yang satu lagi, mereka dapat mencungkil kreativiti masing-masing menerusi aktiviti mencipta rantai kunci dan barangan kemas MINI.

Bukan itu sahaja, para hadirin juga dapat menyaksikan penciptaan seni mural, memberi singkapan kepada artis yang akan berkolaborasi dengan MINI untuk sesi RoofArt Special Edition yang menampilkan jentera-jentera Countryman.

Terkenal dengan karya seninya yang unik dan bersemarak, artis mural ini telah menghasilkan sebuah mural berdasarkan perspektif artistiknya terhadap acara tersebut, merangkap semangat yang menghidupkan suasana MINIFest.

Di samping itu, para hadirin turut dihiburkan dengan lagu-lagu daripada para artis Merdekarya, menambah lagi seri dan warna pada suasana festival tersebut.

Bagi memuaskan selera para pengunjung, MINIFest turut membariskan 14 vendor makanan yang popular dari Tiffin at the Yard, di mana aneka makanan khas bertema MINI telah disajikan buat warga MINIacs.

Di antara pelbagai aktiviti dan pengalaman yang disediakan di acara ini, yang menjadi tumpuan utama ialah MINI Garage, di mana para pengunjung telah berpeluang untuk menelusuri sejarah dan evolusi jenama MINI yang mengagumkan.

Pameran ini membolehkan pengunjung meneroka legasi kenderaan MINI serta transformasinya yang inovatif dari detik ia diasaskan, dipersembahkan melalui peragaan jentera MINI Classic, MINI 3-Door R53, MINI 3-Door R56, MINI Coupe R58, MINI Countryman R60, dan MINI Paceman JCW R61.

Linnet Yew, Ketua MINI Malaysia berkongsi, “Kami teruja kerana MINIfest 2023 sekali lagi dapat menghimpunkan warga MINIacs dari pelbagai latar belakang untuk menghidupkan semangat jenama MINI yang unik.

“Tema Big Love, Big Fun sememangnya merangkapkan semangat yang mewarnai acara ini seperti yang dijulang oleh MINI, bagi mencorak sebuah komuniti yang sihat, terdiri daripada para individu yang berkongsi semangat pengembaraan yang sama.”

Perodua Axia: Antara nilai dan kemahuan pengguna – Pandu uji

PELANCARAN Perodua Axia 2023 menjadi fenomena sebentar kerana memandangkan ia kereta nasional, maka ia menjadi berita nasional. Dan semua orang mahu berbahas mengenainya, semua orang mahu beri pendapat.

Sama ada di kedai kopi, di group-group Whatsapp, atau di forum-forum media sosial, ia menjadi topik hangat. Banyak yang boleh dibualkan mengenai Perodua Axia serba baharu ini tetapi aspek paling ‘panas’ pastinya harga.

Ramai yang berkata Perodua Axia kini bukan lagi kereta marhaen atau kereta Rahmah. Mampu tengok sahaja, kata sesetengah pihak. Ini kerana jika dibandingkan dengan varian sama untuk Axia facelift generasi sebelum ini, terdapat perbezaan antara RM4,000 hingga RM6,000.

 

Hatchback segmen-A itu ditawarkan dalam empat varian dengan harga antara RM38,600 untuk G, hingga RM49,500 untuk AV.

Angka-angka ini merupakan pertambahan kira-kira 10 peratus secara purata setiap varian, dan Axia tidak lagi menjadi kereta baharu paling murah di Malaysia.

Jadi, kenapa sebenarnya harga Perodua Axia semakin mahal? Adakah faktor inflasi? Kenaikan harga barang? Atau agenda teori koperasi?

Analogi nasi lemak

Inilah antara tugas kami wartawan permotoran, untuk berkongsi maklumat dengan anda para pengguna. Kami tak mahu anda menyumpah setiap kali bayar ansuran bulanan.

Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, kenaikan harga itu adalah disebabkan saiz kereta yang lebih besar dan kelengkapan ciri lebih maju berbanding model sebelumnya.

Kita ambil nasi lemak sebagai analogi. Bayangkan setiap pagi anda beli di warung Makcik Kiah dengan harga RM2.00 sebungkus. Suatu hari, harganya naik kepada RM2.50. “Makcik, kenapa naik harga ni? Sebab kenaikan harga barang? Atau harga minyak?”

Makcik Kiah pun menjawab: “Sebab kita guna bahan lebih berkualiti. Beras yang lebih mahal, santan asli dan bukan santan segera, timun pun dari Cameron Highlands.” Ini sekadar contoh, penulis bukan pakar nasi lemak.

Jadi untuk Perodua Axia, jika anda lihat ‘kulit’ luarannya pun dah semakin sofistikated. Lampu depan LED sepenuhnya, muka depan ada corak ‘X’ identiti Perodua, lebih banyak lekuk-lekuk dan rekaan bersegi di hud depan, di pintu, malah bahagian belakang pun seperti ‘penyet’, bab kata netizen.

 

Rekaan lebih kompleks tidak bermakna cantik, jika anda tengok Formula 1 pun tidak cantik. Tetapi rekaannya nampak ada banyak usaha diperlukan dan ia cukup aerodinamik untuk menang perlumbaan.

Oh ya, rekabentuk Perodua Axia pun bukan saja-saja begitu, ia 10 peratus lebih aerodinamik berbanding Axia generasi lama. Apa yang anda dapat? Bukan piala Grand Prix, tetapi penjimatan minyak dalam jangka masa panjang.

Bagi penulis, rupa luaran ini cukup sesuai dengan imej Axia serba baharu. Cuma rim sahaja macam ‘kureng’, terlalu sama dengan model lama. Kalau guna rim 5-bilah dwi-tona, fuhhh. (Harap-harap Perodua baca dan ambil poin ini untuk facelift).

Kabin anti maksiat

Ruang dalaman juga baharu sepenuhnya. Anda akan dapat binaan papan pemuka seperti Ativa dan Alza, kerana Axia juga menggunakan pelantar DNGA yang digunakan oleh banyak model terkini dalam Pakatan Perodua-Toyota-Daihatsu.

Hasilnya, anda dapat kabin yang rasa sporti, rasa meyakinkan bila memandu, nampak canggih, dan langsung tidak nampak murah atau membosankan.

Penulis cukup suka rekaan konsol tengah yang sedikit tinggi, membuatkan kereta ini rasa lebih fokus kepada pemandu walaupun mungkin pasangan pelajar susah sedikit hendak berpegangan tangan. Baguslah. Jauhi maksiat dan lebih fokus pemanduan!

Skrin infotainmen tengah tidak didatangkan dengan Apple Carplay dan Android Auto, kerana menurut Perodua, sambungan ini belum cukup penting untuk kebanyakan pembeli Axia yang mahukan kereta mampu milik.

Tetapi masih ada fungsi Smart Link untuk anda paparkan kandungan skrin telefon ke sini.

Ruang belakang tidak jauh berbeza dengan Axia lama, tetapi ruang kaki terasa lebih luas untuk model baharu ini. Cuma penulis kurang suka dimana perehat kepala belakang boleh-laras hanya ada pada varian tertinggi.

Tetapi tempat duduk keseluruhannya sangat selesa dan lebih cantik juga dengan warna kelabu dan kontra merah di depan.

Pemanduan lebih berkualiti, harga mampu milik

Penulis ada menyebut mengenai pelantar DNGA atau Daihatsu New Global Architecture. Jangan pening-pening, apa yang anda perlu tahu ialah pelantar ini memberikan Axia satu pengalaman pemanduan lebih solid.

Walaupun baru keluar dua atau tiga simpang dan langgar beberapa lubang, anda akan dapat rasa betapa senyap dan kemasnya rasa Axia baharu ini. Bukan sebab kereta baru keluar kedai dan bushing semua baharu, tetapi kita semua pernah merasa pandu Axia dulu yang masih baharu kan, haaa pasti anda dapat rasakan bezanya.

Stereng pula bukan setakat terasa lebih tepat dan ada banyak ‘feel’, tetapi juga sudut stereng itu sendiri lebih ergonomik berbanding model lama.

Enjin pada Perodua Axia masih mengekalkan unit yang sama iaitu 1.0-liter VVT-i dengan 67hp dan 91Nm tork. Tetapi pengalaman memandu Axia 2023s ini jauh lebih baik berbanding model lama kerana penggunaan transmisi D-CVT baharu.

Dengan transmisi baharu ini sahaja Perodua Axia dapat lebih prestasi dan penjimatan. D-CVT merupakan kacukan antara CVT dengan torque converter, jadi ia tetap mempunyai gear fizikal yang digunakan pada kelajuan lebih tinggi untuk lebih respon dan penjimatan.

Dalam erti kata lain, kurang bunyi mengaum bila pedal tiba-tiba ditekan pada kelajuan 80km/j misalnya untuk memotong atau menukar lorong.

Pada kelajuan rendah, Axia baharu ini terasa lebih ringan dan mudah untuk bergerak walaupun menggunakan enjin yang sama.

Pengendalian Perodua Axia di selekoh juga lebih selesa dan meyakinkan, seolah-olah kereta ini relaks sahaja ambil selekoh laju. Kalau dengan Axia lama, ia seperti mengeluh, “Alamak apa yang tuan aku buat ni, perlahan la sikit, ini bukan kereta lumba…”

Tidak dengan Axia baharu ini. Casisnya dirasakan mampu menampung lebih dari pemanduan biasa, sebagai contoh anda tukar tayar prestasi, masuk suspense sports, dan roll-cage untuk dijadikan kereta litar, misalnya.

Untuk penjimatan, Perodua berkata Axia 2023 boleh mendapat sehingga 27km per liter (bergantung kepada varian). Tetapi dalam dunia sebenar, anda senang-senang dapat 14km per liter jika diambil kira pandu laju, perlahan, dan dalam trafik.

Jika anda baru reset onboard komputer pada kelajuan sekitar 90km/j, boleh dapat kira-kira 20 hingga 21km per liter.

Boleh beli?

Mungkin kurang tepat jika kami tanya adakah Perodua Axia ini berbaloi untuk dibeli. Ini kerana tidak banyak pilihan yang anda ada untuk kereta mampu milik segmen-A, dan Axia baharu tetap menggantikan model lama.

Cuma kita sebagai pengguna di tahun 2023, haruslah berfikiran seperti 2023. Fahami produk itu, fahami kenapa ia semakin mahal. Bayangkan Perodua Axia segmen-A dah ada ciri seperti lampu LED automatik, ASA (Advanced Safety Assist) 3.0 dengan Pre-Collision Braking contohnya.

Perkara-perkara ini semestinya tidak kita bayangkan semasa pengenalan Axia pada tahun 2014 dahulu. “Takkanlah kereta bawah RM50,000 ada sistem mampu brek sendiri,” kan?

Jadi, anggap sahaja rakyat Malaysia kini mampu memiliki kereta yang canggih, lebih selamat, dan berikan anda nilai lebih tinggi.

Spesifikasi Perodua Axia 1.0 AV

Harga: RM49,500
Enjin: 1.0-liter 3-silinder VVT-i
Kotak gear: D-CVT
Kuasa: 67hp @ 6,000rpm
Tork: 91Nm @ 4,400rpm

Thailand-Malaysia-Singapura dalam masa 29 jam sahaja dengan EV, Porsche cipta rekod

PORSCHE baru-baru ini mencipta rekod terpantas untuk pemanduan dari Thailand ke Singapura dengan memandu kereta elektrik (EV).

Rekod itu dicipta dengan Porsche Taycan yang dipandu oleh tiga wartawan permotoran; Pholpat Salayakanond (Thailand), Pan Eu Jin (Malaysia), dan Desmond Chan (Singapura). Mereka mengambil masa 29 jam 15 minit sahaja.

Semua pemandu mengambil tugas secara bergilir-gilir sepanjang 1,845km perjalanan. Mereka hanya berhenti beberapa kali untuk mengecas kenderaan di stesen Shell Recharge HPC.

Rangkaian ini mempunyai pengecas dengan kapasiti antara 180kW hingga 360kW. Digandingkan dengan bateri 800volt pada Taycan, setiap pengecasan mengambil masa tidak lebih dari 25 minit secara purata.

“Bersama dengan Porsche Singapore dan Porsche Thailand, kami berbangga dapat membuat pemanduan melepasi tiga negara yang pertama menggunakan EV. Ini membuktikan perjalanan mudah untuk jarak jauh dengan EV adalah tidak mustahil,” kata Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance.

Jentera yang digunakan untuk pemanduan rekod ini ialah Porsche Taycan 4S Cross Turismo yang telah disediakan khas. Ia mendapat ruang simpanan dan jarak kelegaan tanah tambahan.

Taycan 4S Cross Turismo ini juga menerima kemaskini perisian terkini pada 2022, dengan Performance Battery Plus, membolehkannya dipandu sehingga 512km setiap cas. Semua ini hasil pengurusan haba inovatif, de-coupling motor elektrik dan sistem pengurusan tenaga ditambah baik.

Kesemua pemandu memulakan perjalanan awal pagi dari stesen Shell Recharge di Bang Yai, di pinggir Bangkok. Selesai mengecas pada jam 4 pagi, mereka terus memandu menghala ke destinasi penamat di Singapura.

Sepanjang perjalanan, kereta mematuhi had laju supaya rekod kekal sah dan memastikan kecekapan bateri pada tahap optima.

Pemanduan sebegini cukup menarik dan kami teruja untuk melihat lebih banyak pengeluar menjalankan aktiviti serupa. Pada masa yang sama, stesen pengecasan juga boleh ditambah di lebih banyak lebuh raya seluruh negara.

Kerajaan Johor mahu jadi lokasi rangkaian supercharger Tesla

KERAJAAN negeri Johor menyatakan kesediaan dan potensi negeri itu untuk menjadi lokasi penubuhan rangkaian Supercharger Tesla.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam pertemuan dan perbincangan bersama Pengarah Wilayah Tesla, Isabel Fan.

“Menerusi perbincangan ini, pelbagai perincian serta perancangan telah diutarakan oleh pihak Tesla,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Katanya, ekosistem yang kondusif dan pengukuhan polisi kerajaan yang menekankan peralihan kepada teknologi hijau, telah memberikan keyakinan kepada syarikat kenderaan elektrik (EV) mega itu untuk melabur di Malaysia.

“Jutaan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pihak-pihak berkaitan atas usaha berterusan merancakkan pelaburan di Malaysia.

“Semoga segala yang direncanakan akan membuahkan hasil, terutamanya dalam meningkatkan peluang pekerjaan serta keterlibatan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan pihak Tesla sama ada di peringkat domestik atau global. Insya-Allah,” tambahnya.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman.

Kami merasakan ini suatu langkah yang amat strategik memandangkan Johor berada dekat dengan negara jiran Singapura.

Jadi pengguna Tesla dari negara itu boleh mengecas kenderaan mereka sebaik masuk ke negara ini atau menambahkan cas bateri mereka sebelum pulang ke Singapura.

Dalam pada masa yang sama, diharapkan lebih banyak rangkaian Supercharger Tesla dapat dibuka terutamanya di negeri-negeri luar Lembah Klang.

Tesla kini boleh ditempah di Malaysia! Bermula RM199,000 untuk Model Y

INILAH saat yang ditunggu-tunggu oleh peminat kereta elektrik (EV) di Malaysia. Tesla kini boleh didapati di negara ini kerana configurator di laman web rasminya telah diaktifkan.

Ini bermakna harganya juga sudah didedahkan. Berikut adalah model yang disenaraikan berserta harganya:

Tesla Model Y RWD – RM199,000
Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

Selain itu, anda juga boleh menambah beberapa aksesori dan ciri seperti:

Warna hitam, perak atau biru – RM5,000
Warna merah multi-lapisan – RM10,000
Warna dalam putih – RM5,000
Rim 20-inci Induction – RM10,000
Autopilot dipertingkat – RM16,000
Self Driving penuh – RM32,000

Anda boleh tempah sekarang dengan bayaran RM1,000 yang tidak boleh dipulangkan semula. Penghantaran pertama dijangka pada awal 2024.

Berikut adalah spesifikasi ringkas setiap model:

Tesla Model Y RWD – RM199,000

Pacuan motor tunggal (belakang)
0-100 dalam 6.9 saat
Kelajuan maksima 217km/j
Jarak pemanduan maksima 455km

Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000

Pacuan dua motor (depan dan belakang)
0-100 dalam 5.0 saat
Kelajuan maksima 217km/j
Jarak pemanduan maksima 533km

Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

Pacuan dua motor (depan dan belakang)
0-100 dalam 3.7 saat
Kelajuan maksima 250km/j
Jarak pemanduan maksima 514km

Honda WR-V rasmi tiba di Malaysia, bermula dari RM89,900

SATU model yang ditunggu-tunggu tahun ini dari Honda telah dilancarkan, iaitu WR-V. Ianya sebuah SUV segmen-B dalam kelas yang sama dengan Perodua Ativa.

WR-V juga mengambil tempat BR-V yang generasi baharunya tidak dibawa masuk ke Malaysia, walaupun kedua-dua model ini merupakan kenderaan berbeza (BR-V 7 tempat duduk, WR-V 5 tempat duduk).

Baik, kita terus fokus ke WR-V. Empat varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga seperti berikut:

WR-V 1.5 S: RM89,900
WR-V 1.5 E: RM95,900
WR-V 1.5 V: RM99,900
WR-V 1.5 RS: RM107,900

Dari segi dimensi, ia berukurans 4,060mm panjang, 1,780mm lebar, dan 1,608mm tinggi. Sebagai perbandingan dengan Ativa, WR-V ini 5mm lebih pendek, 70mm lebih lebar, dan 27mm lebih rendah. WR-V juga mempunyai kelegaan tanah sebanyak 207mm dan ruang kargo 380 liter.

Nadi kepada Honda WR-V ini ialah unit 1.5-liter DOHC i-VTEC dengan 121hp dan 145Nm tork. Output disampaikan ke roda depan melalui transmisi CVT.

Antara ciri pada WR-V (bergantung kepada varian) adalah lampu depan LED dengan DRL LED, rim 16- atau 17-inci, auto-lock, paparan instrumen analog dengan skrin MID 4.2-inci, enam pembesar suara, tempat duduk kombinasi kulit-fabrik, stereng balutan kulit, dan pendingin hawa automatik.

WR-V juga didatangkan dengan kamera undur pelbagai paparan, paddle-shifter, dan sistem Honda Connect. Ciri keselamatan pula terdiri dari Honda Sensing, ADAS, LaneWatch, dan enam beg udara.

Pilihan warna untuk SUV kompak ini termasuklah Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl.