Ford Ranger Platinum tiba di Malaysia – 2.0L diesel biturbo, sistem audio Bang & Olufsen, RM184k
SIME Darby Auto Connexion hari ini memperkenalkan Ford Ranger Platinum ke pasaran Malaysia, iaitu suatu varian baharu yang ditawarkan pada harga RM183,888 atas jalan tanpa insurans.
Ranger Platinum diposisikan lebih mewah daripada Wiltrak, dan ‘duduk’ betul-betul di bawah Ranger Raptor. Enjin dikekalkan iaitu 2.0-liter diesel biturbo dengan output 210hp dan 500Nm tork, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.
Jadi, apa yang anda dapat pada Ranger Platinum? Dengan taraf lebih premium, varian ini didatangkan dengan lampu LED matriks, rim 20-inci buat pertama kali, dengan tayar 255/55, dan gril baharu.
Ranger Platinum juga mendapat aksesori fancy yang terdiri daripada pintu kargo dengan penyerap hentak, rel bumbung boleh laras, Flexible Rack System, dan Power Roller Shutter. Warna juga unik, iaitu Equinox Bronze yang menjadi warna baharu.
Di dalam, Ford Ranger Platinum dilengkapi kemasan kulit, tempat duduk boleh laras 10-arah, paparan instrumen digital 12.4-inci, paparan infotainmen potret 12-inci (dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto), dan sistem audio Bang & Olufsen. Terdapat juga tulisan ‘Platinum’ di beberapa bahagian dalam kabin serta jahitan.
Ranger ini turut didatangkan dengan Active Park Assist 2.0, selain ciri keselamatan seperti Adaptive Cruise Control, Lane Centering, Lane Change Warning, Blind Spot Detection System, dan Autonomous Emergency Braking.
Seperti disebut tadi, harga adalah RM183,888 lengkap dengan jaminan 5-tahun atau 160,000km, dan boleh ditambah menjadi enam atau tujuh tahun dan tambahan RM40,000 dengan harga RM2,300 hingga RM6,900.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.