fbpx

Perodua Axia E dilancarkan – nah versi Rahmah manual, RM22k sahaja

Perodua Axia E 01

SEPERTI yang dijanjikan, Perodua akhirnya melancarkan Axia versi manual yang dikenali secara rasmi sebagai Axia E. Seperti yang boleh dilihat, varian ini tidak menggunakan badan Axia generasi baharu yang dilancarkan pada Februari lalu, sebaliknya ia adalah berasaskan model tahun 2017.

Disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan juga sekolah-sekolah memandu, Axia E dijual pada harga RM22,000 tidak termasuk insurans.

Ia boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver dan warna baharu yang dikenali sebagai Granite Grey.

“Perodua Axia E adalah sebahagian daripada objektif asal kami untuk menyediakan mobiliti yang mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Tambah beliau lagi, berdasarkan perbincangan dengan institusi-institusi kewangan tempatan, kos ansuran bulanan untuk memiliki Axia E hanya sekitar RM300, sama yang perlu dibayar oleh seseorang untuk membeli motosikal baharu.

Dari segi spesifikasi, Axia E dikuasakan oleh enjin 1KR-VE 1.0-liter tiga silinder, iaitu enjin sama yang boleh ditemui pada Axia generasi baharu. Enjin ini menghasilkan 67 hp dan 91 Nm, yang disalurkan ke roda depan oleh transmisi manual lima kelajuan.

Selain itu, ia didatangkan dengan dua beg udara, sistem peringatan tali pinggang keledar untuk pemandu dan jaminan selama lima tahun. Ia juga mendapat penarafan 4-bintang ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Walaupun kami tidak menentukan siapa pelanggan kami, kami percaya bahawa model ini menjadi pilihan yang dialu-alukan oleh majoriti rakyat Malaysia.

“Perodua Axia E telah diuji dan terbukti dalam pasaran selama bertahun-tahun dan kami percaya varian ini akan memenuhi peranan semasanya untuk member peluang kepada pemilik motosikal bagi memiliki kereta baharu,” tambah Dato’ Zainal.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved