Arkib Tag: hybrid

3 benda tak best tentang Honda Civic e:HEV RS – Pandu uji

HONDA Civic generasi terkini (nama kod FE) menambah baik pakej yang ditawarkan pada model sebelumnya. Ia tampil dengan rupa lebih matang, lebih kemas, tetapi ramai juga rakyat Malaysia yang lebih sukakan rekaan Gundam pada Civic FC.

Ini bukanlah model yang begitu baharu dalam pasaran, namun penulis mahu kongsikan beberapa benda kurang best berkenaan Civic ini. Iyalah, bila sesebuah kereta itu dipuji melambung, anda komen kami fan, dibayar, atau taksub.

Sekarang, jom kita lihatkan tiga perkara yang penulis kurang berkenan pada Civic e:HEV RS.

1. Harga semakin mahal

Honda Civic FE ini semasa dilancarkan pada 2022, bermula pada harga RM126k sehingga RM144k. Ini lebih mahal dari julat harga Civic FC iaitu antara RM110k hingga RM131k.

Kemudian, varian e:HEV RS ini melonjakkan harga Civic sehingga RM166,500. Ini sudah hampir dengan harga Mazda3 yang merupakan model diimport sepenuhnya (CBU).

Ya betul, Civic e:HEV RS ini merupakan model yang lebih kompleks dengan janaan kuasa hibrid yang menawarkan prestasi tetapi pada masa yang sama jimat penggunaan bahan apinya.

Tetapi sesetengah rakyat Malaysia tidak peduli perkara-perkara terperinci itu. Kereta semakin canggih ke, semakin bagus ke, yang penting dia nampak harga dah jauh menghampiri RM170k. Maka berbakul-bakul dia kecam di media sosial.

2. Kekeliruan identiti

Yang kedua ialah kekeliruan identiti. Jika anda lihat Civic 1.5 TC atau TC-P, ia jelas menunjukkan varian turbo itu mahu menjadi sporti – lencana merah, rim hitam, ekzos berkembar.

Tetapi dengan e:HEV RS, anda dapat lebih kuasa tetapi rim dwi tona yang nampak sedikit eksekutif. Anda dapat spoiler dengan kepak di kiri dan kanan, tetapi muncung ekzos sebelah sahaja.

Ia seperti mahu menjadi sporti sedikit, dan premium sedikit. Sudahnya, mana-mana pun tidak. Seperti kekeliruan identiti.

3. Nak ‘bela’ lebih mahal

Perkara ketiga ialah kos ‘membela’ Civic e:HEV RS yang lebih tinggi berbanding varian petrol. Dari segi cukai jalan, anda bayar RM379 setiap tahun, iaitu RM289 lebih tinggi berbanding versi petrol yang cuma berharga RM90.

Ini adalah disebabkan perbezaan kapasiti enjin, dimana Civic e:HEV RS menggunakan enjin 2.0-liter (1,998cc) manakala Civic 1.5 TC dan 1.5 TC-P dipacu enjin 1.5-liter (1,498cc).

Kemudian bab penyelenggaraan juga jauh berbeza. Mengikut laman web rasmi Honda, kos penyelenggaraan selama 10 tahun atau 120 bulan bagi Civic e:HEV RS ialah RM9,274.28, jauh lebih tinggi berbanding RM5,511.81 untuk varian petrol.

Ia tidaklah terasa sangat kerana secara purata, perbezaan harga servis hanya sekitar RM188 setiap kali. Tetapi angka tetap angka, dan jumlah ini jelas menunjukkan perbezaannya.

Harus diingat, ini hanyalah kos penyelenggaraan yang diliputi oleh pusat servis, belum kira bab komponen wear and tear seperti tayar dan pad brek.

Sekian tiga perkara kurang best berkenaan Honda Civic e:HEV RS. Sebenarnya susah juga mencari perkara negatif untuk kereta ini.

Dan sudah tentu ada banyak benda yang kami suka dan kagum dengan Civic ini kerana ia membolehkan perkataan eco dan sporti duduk dalam satu ayat! Anda boleh baca sisi lain Civic e:HEV RS di sini.

Spesifikasi Honda Civic e:HEV RS

Harga: RM166,500
Enjin: 2.0-liter DOHC (kitaran Atkinson)
Kotak gear: e-CVT
Kuasa: 184hp @ 5,000-6,000rpm
Tork: 315Nm @ 0-2,000rpm

Permintaan EV makin perlahan di AS, pengeluar mula tambah penawaran hibrid

JUALAN kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) di Amerika Syarikat (AS) kian perlahan manakala permintaan hibrid meningkat, kini pengeluar dan pembekal akan meningkatkan pengeluaran kenderaan hibrid.

Jualan hibrid di AS meningkat lima kali lebih pantas berbanding EV pada Februari, kata Morgan Stanley. Versi plug-in hybrid (PHEV) untuk Jeep Wrangler SUV mewakili separuh jualan Wrangler di AS pada separuh kedua 2023, meningkat dari 37 peratus pada enam bulan sebelumnya.

Ford juga mencatatkan trend sama, dimana jualan hibrid meningkat hampir 37 peratus untuk dua bulan pertama tahun ini – dibantu oleh permintaan terhadap trak Maverick yang bermula pada USD25,315.

Maverick hibrid mewakili separuh dari keseluruhan jualan model itu, malah pengedar berkata mereka boleh menjual lebih jika Ford mampu mengeluarkan lebih banyak model itu.

Peralihan ke arah hibrid ini berlawanan dengan polisi pro-EV yang dibawa oleh pentadbiran Biden serta kumpulan-kumpulan alam sekitar yang mahu pengeluar menghentikan jualan kenderaan ICE (enjin pembakaran dalaman).

White House pula dijangkan mengeluarkan standard pelepasan CO2 baharu pada bulan ini bagi memaksa pengeluar menawarkan kenderaan EV sehingga 60 peratus menjelang 2030.

Menurut para penganalisis, kebanyakan pengeluar legasi (lama) mencatatkan kerugian dengan EV, menjadikan hibrid suatu penyelesaian lebih menguntungkan dalam misi mengurangkan pelepasan karbon.

Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate: Pengalaman PHEV lebih mudah dan bermakna – Pandu uji

CUBA anda perhatikan kotoran dan percikan tanah yang naik di skirt sisi serta bampar Volvo XC60 ini, nampak seperti SUV yang betul-betul dimanfaatkan kemampuannya, bukan? Barulah Sports Utility Vehicle, cewah.

Penulis rasa rugi bagi pemilik SUV jika tidak pernah langsung mereka pandu kenderaan mereka melalui jalan off-road sekali-sekala, walaupun model premium seperti XC60 ini.

Sama macam Land Rover Defender 90 yang kami pandu sebelum ini, kami juga uji memasuki off-road, berlagak seperti taukeh ladang sawit.

Apa pun, Volvo XC60 yang anda lihat ini ialah varian Recharge T8 Ultimate versi terkini. Untuk yang belum tahu, Recharge bermaksud model itu plug-in hybrid (PHEV), T8 merujuk kepada tahap kuasa yang mampu dihasilkan, dan Ultimate bermaksud trim atau kemasannya.

Volvo XC60 Recharge T8 merupakan antara beberapa SUV premium PHEV dalam pasaran, sudah beberapa tahun ditawarkan, tetapi kemas kini yang terkini menjadikan ia model lebih menarik dan mudah dipandu.

Antara komen mengenai model PHEV sebelum ini ialah jarak dibekalkan bateri terlalu kecil, tidak berbaloi pemanduan mod elektrik terlalu singkat.

Jadi dengan teknologi bateri dan motor elektrik yang semakin matang, Volvo XC60 Recharge T8 kini boleh dipandu sehingga 81km tanpa menggunakan setitis petrol langsung.

Elektrifikasi dipertingkat, lebih mudah

Jarak 81km tadi disumbangkan oleh bateri 18.8kWh kini yang menggantikan bateri 11.6kWh sebelumnya, dengan jarak pemanduan 45km. Walaupun anda takkan dapat 81km dalam pemanduan harian sebenar, tapi pengikut pengalaman penulis, 65 hingga 70km adalah realistik, boleh dicapai.

Ini menjadikan pemanduan XC60 sebagai sebuah PHEV lebih menarik. Jika kena caranya, anda boleh pandu ulang-alik ke tempat kerja berminggu-minggu tanpa mengisi minyak!

Bagaimana? Katakan jarak tempat kerja dari rumah anda kira-kira 30km. Anda keluar rumah pagi dengan bateri dicas penuh, bekalan jarak 70km. Anda sampai ke pejabat berbaki 35km atau separuh bateri, anda cas di parkir pejabat beberapa jam, dan anda pulang ke rumah dengan bateri penuh.

Sampai di rumah, anda cas lagi untuk pagi esok semula. Isnin hingga Jumaat langsung tidak perlu isi petrol. Kemudian hujung minggu mungkin memandu menggunakan enjin dan petrol seperti biasa untuk bercuti ke Pulau Pinang semalaman, itu pun 70km pertama guna mod elektrik. Amacam?

Ini yang penulis katakan fungsi PHEV pada XC60 Recharge T8 kini lebih signifikan dan lebih bermakna.

Masa diperlukan untuk mengecas SUV ini ialah sekitar tiga jam dengan AC 3.6kW, sementara menggunakan soket rumah 220 volt adalah lebih perlahan, antara empat hingga lapan jam. Tetapi kita tidak mengejar masa jika mengecas di rumah waktu malam, bukan?

Dengan bateri lebih besar, motor elektrik XC60 ini juga kini lebih berkuasa, menghasilkan 158hp. Digandingkan pula dengan enjin petrol 2.0-liter turbo yang juga lebih berkuasa (317hp dan 400Nm), Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate ini mempunyai output keseluruhan 462hp dan 709Nm tork!

Ya, sudah hampir menyamai supercar.

Enjin petrol tadi menyalurkan kuasanya ke roda depan melalui kotak gear 8-kelajuan, manakala motor elektrik menghantar kuasa ke roda belakang. Ini menjadikan XC60 ini sebuah SUV pacuan semua-roda sebenar.

Dengan kuasa maksima apabila bateri dicas penuh, Volvo XC60 Recharge T8 seberat 2.1 tan ini mampu mencapai 100km/j dalam masa 4.8 saat sahaja.

Kabin minimalis yang selesa, padat teknologi

Kabin XC60 seperti biasa seperti model-model lain dalam barisan Volvo hari ini, ringkas dan minimalis. Ia kemas, tidak menyemakkan mata, tetapi pada masa yang sama penuh fungsi praktikal.

Sekilas pandang, XC60 Recharge T8 ini tidak nampak berbeza kabinnya dengan versi-versi tahun sebelumnya. Tetapi perubahan terbesar ialah sistem infotainmen dengan pakej Google binaan dalam, lengkap dengan Google Maps yang boleh digunakan tanpa sambungan telefon pintar.

Lebih penting lagi, Google Maps di sini mempunyai menu tambahan untuk mencari lokasi pengecas awam. Sama seperti penulis katakan di atas tadi, ini menjadikan pengalaman PHEV bersama Volvo XC60 ini lebih menarik, praktikal, dan mudah digunakan.

@engear.tv Cara midah cari charging station dengan Volvo XC60! #volvo #volvoxc60 #xc60 #suv #hybrid #charging #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Dan sebenarnya fungsi Google Maps dalam unit infotainmen ini juga terdapat pada model-model Recharge lain sama ada PHEV atau EV (elektrik sepenuhnya).

Kabin Volvo XC60 kekal sebagai suatu tempat yang selesa untuk diduduki dalam tempoh lama, sebagai contoh bila terperangkap dalam kesesakan trafik atau semasa memandu untuk perjalanan jauh. Ada yang berkata, “Beli kereta mahal-mahal pun sangku dalam ‘jem’, kena bawa 110km/j juga.”

Ya, tetapi apa salahnya kita berada dalam kenderaan yang jauh lebih selesa. Sekurang-kurangnya bila sampai destinasi, tidak perlu suruh orang rumah urut bahu kita. Dengan XC60 ini, penulis langsung tidak rasa penat walaupun memandu lebih tiga jam dalam sehari dan pergi ke banyak tempat.

Keselesaan ini bukan sekadar tempat duduk yang suportif dan empuk, tetapi juga dari segi rekaan kabin dan rasa semua tombol dan suis. Semuanya mudah dan sedap digunakan, sebagai contoh tuil lampu isyarat dan bilah corong pendingin hawa, rasa ‘berat’ cukup seimbang antara premium dan fungsi.

Sebenarnya perkara-perkara kecil sebegini yang membuatkan kita sedar kemana wang kita pergi bila membeli kereta premium. Bukan semuanya dapat dilihat atas kertas risalah atau gambar Google.

Panel instrumen digital juga telah dikemas kini dengan grafik baharu, sementara fungsi lain dalam sistem infotainmen dikekalkan. Semua mod pemanduan, kawalan pendingin hawa, serta fungsi-fungsi lain untuk kereta ‘disimpan’ dalam skrin potret menegak.

Ia mudah untuk dipelajari, cuma sama seperti komen penulis dalam laporan pandu uji sebelum-sebelum ini, pelarasan fungsi asas melalui skrin sesentuh bukanlah sesuatu yang paling ideal. Diharapkan Volvo akan mengubah aspek ini untuk kenderaan generasi baharu nanti.

SUV premium saiz paling ideal

Ini bukan kata-kata berat sebelah, tetapi Volvo XC60 merupakan antara model idaman penulis untuk kategori kereta keluarga, malah SUV kegemaran penulis dari jenama Sweden ini. Sebab utama ialah XC60 mempunyai saiz yang sederhana, tidak terlalu besar.

Penulis tidak perlukan saiz penuh seperti XC90, manakala XC40 pula cukup untuk dua dewasa sahaja di belakang. XC60 boleh memuatkan tiga dewasa dengan selesa.

Saiz sederhana ini juga seimbang dari segi kawalan semasa pemanduan. Walaupun mempunyai kuasa maksima setanding kereta sports, kita tidak boleh melawan hukum fizik dimana Volvo XC60 ini mempunyai berat hampir dua kali ganda kereta sports.

Jadi kuasanya bukan untuk pecutan dan kelincahan, tetapi lebih kepada kesedapan pemanduan. Sedap macam mana tu? Sedap dimana anda ada keyakinan untuk memotong, dapat meluncur di lebuh raya dengan selesa, dan pada masa yang sama, tetap cekap dan menjimatkan bahan api.

XC60 ini terasa lembut dan berat dalam mod seperti Hybrid, Pure, dan AWD. Tetapi jika anda masuk ke mod Power, talaan respon pedal minyak dan pertukaran gear ‘mengubah’ SUV ini menjadi lincah. Sentuh sedikit sahaja pedal, anda sudah melonjak ke depan menyaingi Volkswagen Golf GTI di sebelah.

Mod Off-road lebih kepada ‘melembutkan’ respon enjin agar kuasa disalurkan dengan sesuai untuk permukaan tidak rata dan dengan cengkaman rendah, seperti dalam lumpur. Jika respon terlalu mengejut, tayar akan ‘menggali’ ke dalam dan bukannya memacu kenderaan ke depan.

Penulis sempat uji mod Off-road (ringan-ringan) semasa memasuki ladang sawit dan mendaki menuju Jelatok Retreat Farm di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Rupa segak dan ‘evergreen’

Akhir sekali, penulis suka rupa dan penampilan XC60 Recharge T8 ini yang segak tetapi evergreen. Walaupun hanya perubahan kecil diberikan setiap tahun, ia tetap nampak ‘segar’ kerana rupa asalnya yang sudah sedia kemas.

Semua garisan adalah sekadar perlu sahaja, tidak melebih-lebih dan keterlaluan. Trim Ultimate kali ini lebih sporti sebenarnya berbanding Inscription Plus sebelum ini. Tetapi perubahan adalah minima, mungkin jika diletakkan bersebelahan model lama dan baharu, baru nampak bezanya.

Cuma penulis suka bampar depan Ultimate ini yang lebih agresif dan sporti, dengan panel hitam serta ruang bukaan udara lebih besar.

Sebagai kesimpulan, Volvo XC60 Recharge T8 bukan sekadar menjadikan kenderaan PHEV lebih masuk akal untuk dipilih bagi mereka yang belum sedia untuk beralih ke EV sepenuhnya, tetapi pengalaman PHEV itu sendiri telah ditambah baik.

Adakah PHEV berkesan untuk XC60 ini? Penulis berjaya mendapat bacaan 7.5 liter sahaja untuk 100km secara purata, atau bersamaan 13.33km/liter. Ini penggunaan minyak tahap Myvi, tetapi harus diingat XC60 ini mempunyai lebih 460hp dan berat melebihi dua tan. Sila hadam…

Spesifikasi Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate

Harga: RM355,888
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 317hp @ 6,000rpm
Tork: 400Nm @ 3,000 hingga 4,500rpm
Motor elektrik: 145hp/309Nm
Output keseluruhan: 462hp/709Nm

Toyota elektrik hibrid (HEV) cekap dan sporti, sesuai untuk anda?

SEDAR atau tidak, Toyota sebenarnya telah mempelopori teknologi hibrid hampir suku abad lamanya. Teknologi ini terus diberikan inovasi dan penambahbaikan, dan ia kini semakin cekap seperti yang anda boleh dapati dalam model-model seperti Corolla Cross Hybrid Electric dan Innova Zenix Hybrid Electric.

Teknologi hibrid Toyota direka untuk memberikan pengalaman memandu unik, menggunakan dua sumber kuasa lalu menghantar kuasa yang lancar dan cekap.

Kebanyakan pemanduan anda dalam bandar boleh dibuat menggunakan motor elektrik sahaja, bermakna tiada langsung pelepasan asap dari ekzos. Dengan kurangnya pelepasan ekzos, maka kurang juga penggunaan petrol.

Ini menjadikan elektrik hibrid antara kenderaan paling cekap tenaga atas jalan raya, terutamanya di Malaysia.

Bagaimana elektrik hibrid berfungsi

Kenderaan elektrik hibrid menggunakan dua sumber kuasa berbeza – sebuah enjin petrol dan satu motor elektrik, maka lahirlah nama hibrid.

Kenderaan sebegini lebih menjimatkan berbanding kereta biasa, tetapi ia tidak memerlukan anda mengecas kerana enjin akan mengecas bateri secara automatik.

Ini membuatkan kenderaan hibrid praktikal kerana anda hanya perlu isi minyak untuk menikmati dua jenis sumber kuasa. Enjin dan motor dalam kenderaan hibrid Toyota mampu beroperasi berasingan – atau bersama – bergantung kepada keadaan.

Anda juga tidak akan ada masalah kerisauan jarak perjalanan (range anxiety) seperti kenderaan elektrik sepenuhnya kerana enjin petrol masih ada jika motor elektrik kehabisan bateri.

Mengapa pilih elektrik hibrid Toyota?

1. Bateri tahan lama

Bateri hibrid Toyota direka supaya selamat dan tahan lama, dan ia dibina dengan teknik serta kualiti yang anda boleh jangkakan dari jenama seperti Toyota.

Bateri-bateri hibrid ini hadir dengan jaminan 8 + 2 untuk ketenangan minda anda. Maklumat lanjut berkenaan jaminan bateri boleh didapati di sini.

2. Kos penyelenggaraan rendah

Secara keseluruhan, kos pemilikan elektrik hibrid adalah rendah, dari segi pengisian petrol dan penyelenggaraan.

Mengapa? Kos penyelenggaraan hibrid ini lebih rendah kerana tidak terdapat banyak komponen serta ketahanan komponen bateri dan elektrik. Sebagai contoh, penggunaan regenerative braking bermakna kurangnya kelusuhan pada pad brek.

3. Kecekapan bahan api lebih baik

Dengan dua sumber kuasa, hibrid boleh dipandu sepenuhnya dengan kuasa elektrik pada kelajuan rendah dan bila enjin melahu atau mula bergerak. Enjin hanya berfungsi pada kelajuan tinggi, bermakna kecekapan bahan api keseluruhan juga lebih baik.

Ini semua menyumbang kepada kecekapan bahan api dan penjimatan minyak tanpa mengorbankan prestasi.

4. Seronok dipandu

Hibrid hari ini tidak seperti dulu, ia kini sangat responsif dan sporti disebabkan tork segera yang boleh dibekalkan oleh motor elektrik dan kelajuan lebih tinggi yang boleh diberikan oleh enjin.

Dua sumber kuasa ini bekerjasama dengan harmoni untuk memberikan anda kuasa dan prestasi pada bila-bila masa.

Perubahan bermula dengan anda

Anda boleh mulakan perubahan demi masa depan lebih cerah dengan barisan model elektrik hibrid Toyota.

Apa kata anda cuba pandu uji Corolla Cross Hybrid atau Innova Zenix Hybrid hari ini.

iX3 sebuah EV BMW ‘tradisional’ kerana ia RWD – Pandu uji

BMW merupakan antara pengeluar di Malaysia yang banyak menawarkan model elektrik (EV), antaranya i4, i7, iX1, iX3, dan iX. Kali ini, Engear diberi peluang oleh BMW Malaysia untuk meluangkan hujung minggu bersama iX3.

Ada satu rahsia, walaupun iX3 ialah model EV yang boleh dikatakan sebagai baharu, futuristik dan terkini, ia mempunyai sifat sebuah BMW tradisional. Kenapa? Kerana ianya sebuah jentera RWD sejati.

Ya, BMW M3 pun kini sudah pacuan semua-roda dengan sistem xDrive, tetapi iX3 sebuah SUV EV pula RWD. Memang dunia yang pelik kita hidup sekarang.

Konfigurasi RWD

BMW iX3 mempunyai konfigurasi RWD kerana ia dipacu motor elektrik tunggal yang dipasang di gandar belakang, dengan output 282hp dan 400Nm tork. Motor ini mendapat kuasanya dari bateri 73.8kWh yang mampu memberikan iX3 jarak pemanduan sehingga 453km.

 

Kami beriya-iya cakap mengenai RWD, apa yang penting sangat? Mungkin kebanyakan pemandu tidak kisah pun. Ia satu fakta menarik kerana apabila tayar depan tidak perlu menghantar kuasa dan hanya menggalas tugas membelok, ia akan menyebabkan stereng rasa begitu telus dan tepat.

Jadi adakah ia bermakna kereta ini laju? Tidak semestinya. Ini cuma bermakna iX3 mempunyai ‘feel’ atau rasa seperti kereta sports sejati; kuasa 100 peratus di tayar belakang, stereng 100 peratus oleh tayar depan. Bila kali terakhir anda pandu kereta sebegini?

Tetapi nak kata BMW iX3 ini perlahan, tidak juga. Prestasi masih mantap. Walaupun mempunyai berat 2,200kg, ia masih mampu memecut ke 100km/j dalam masa 6.8 saat, lebih pantas dari kebanyakan kereta. Cuma kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j ‘sahaja’, biasalah EV.

Tetapi memang benar, sepanjang penulis pandu BMW iX3 ini, pengendalian di selekoh cukup seimbang dan memuaskan. Beratnya tertumpu di tengah, stereng yang banyak maklum balas, dan tork 400Nm boleh diakses kebanyakan masa.

Pemanduan waktu malam ditemani dengan lampu BMW Laser Light yang bukan sahaja nampak canggih, tetapi memberikan penglihatan mantap untuk pemandu. Secara tidak langsung, ini juga menambahkan aspek keselamatan.

Mewah dan praktikal untuk kegunaan seharian

 

BMW iX3 yang kami pandu merupakan varian M Sport Impressive, jadi ia mendapat kemasan badan yang sporti walaupun terdapat klu EV dari elemen-elemen biru.

Elemen biru dapat dilihat pada gril bertutup, kemasukan udara di bampar depan, dan diffuser belakang. Tetapi elemen sporti mendominasi rekaan luar iX3 M Sport ini, seperti rim 20-inci, bampar sisi yang agresif, dan rekaan diffuser belakang yang menyerlah, selain spoiler bumbung.

Profil sisi BMW iX3 ini masih klasik SUV, dan mirip X3. Menunjukkan aspek kekeluargaannya dengan model-model lain. Harus diketahui juga lantai bawah iX3 ini hampir rata seperti kereta sports, dan ia berfungsi bersama diffuser belakang.

Cuma bahagian kabin secara keseluruhan terasa biasa dan tidak terlalu istimewa. Papan pemukanya menampilkan rekaan yang sudah kita kenali, tidaklah buruk, cuma mungkin agak berusia.

Walaubagaimanapun, jika anda rajin ‘mengorek’ ke dalam skrin tengahnya, terdapat banyak kandungan yang khas pada model elektrik. Antarnya adalah menu-menu agihan kuasa, mod regenerative, dan perancangan untuk mengecas.

Penulis cukup suka dengan sistem audio Harman Kardon 464 watt pada iX3 ini yang mampu membuatkan anda rajin memandu kereta ini kerana dapat memainkan lagu kegemaran dengan alunan cukup enak. Isteri suruh beli gula sepaket pun anda akan rajin memandu BMW iX3 ini walaupun jarak dekat.

Keluasan tiada masalah untuk iX3, cukup lapang dengan kelegaan kaki dan kepala yang lebih dari mencukupi untuk lima orang dewasa.

Data perjalanan

Baik, sekarang kita jangan lupa hakikat bahawa BMW iX3 ini sebuah EV, jadi macam mana prestasi dan praktikaliti penggunaan hariannya? Cukup 453km? Sebenarnya, jujur cakap, semasa kami dapat kereta ini, baterinya pada tahap 95 peratus dengan hanya 313km jarak pemanduan. Aduh! Macam mana tu?

Harus diketahui bacaan jarak kereta EV dikira berdasarkan cara pemanduan sebelumnya. Mungkin pemandu sebelum itu melenjan iX3 ini tidak ingat dunia, seronok dengan tork 400Nm yang dibekalkan.

Dari pengalaman penulis pula, walaupun jarak dipaparkan 313km, penulis dapat pandu lebih dari 350km dengan baki 25km semasa memulangkan iX3 ini. Bagaimana?

Penulis banyak memandu dalam bandar dengan kelajuan kurang 120km/j, banyak melakukan stop and go. Jadi berat kereta 2.2 tan itu memberikan momentum untuk sistem regenerative mengembalikan semula tenaga ke dalam bateri setiap kali penulis memperlahankan kereta.

Boleh dikatakan 90 peratus situasi pemanduan penulis tidak menekan pedal brek, cukup sekadar mengangkat kaki dari pedal ‘minyak’, dan iX3 menggunakan regen untuk berhenti, bukannya brek cakera.

Sistem regen padanya juga boleh dilaras pada beberapa tahap, mengikut keadaan dan kesesuaian. Dari pengalaman penulis, anda boleh gunakan regen maksima dalam bandar dan pemanduan perlahan, manakala regen minima untuk pemanduan lebih laju seperti di lebuh raya.

Jadi, penulis tidak sempat menghabiskan bateri sepanjang beberapa hari memandu iX3 di sekitar Kuala Lumpur, satu perkara yang bagus juga lah kan?

Tetapi untuk pengetahuan anda, iX3 akan memerlukan tujuh jam setengah untuk cas penuh jika menggunakan AC. Jika menggunakan pengecasan pantas DC, ia menyokong sehingga 150kW, bermakna 80 peratus bateri dapat dicapai dalam hanya 32 minit.

Boleh beli?

Pasaran EV di Malaysia sememangnya ‘dikacau’ oleh kehadiran Tesla yang menawarkan model dengan jarak pemanduan lebih 500km pada harga bawah RM200,000.

Jadi, bagaimana dengan BMW iX3? Varian M Sport Inspiring bermula pada RM307,160 manakala varian M Sport Impressive yang kami uji ini berharga RM328,160.

Pada pendapat penulis, peminat kereta sejati tidak kisah akan semua itu, terutamanya peminat BMW. iX3 sesuai untuk pemilik BMW yang mahu teknologi EV setelah mereka ada sebuah 5-Series atau X3 di rumah.

iX3 akan menjadi EV yang praktikal untuk kegunaan bandar, di samping mengekalkan imej sporti dan ‘petrolhead’. Malah, ia juga tidak terus nampak seperti sebuah EV sekali lihat, jika itu yang anda gemarkan.

@engear.tv 3 Rahsia Pasal SUV BMW iX3 #engeartv #rahsia #bmw #ix3 #bmwix3 #suv #tiktokmalaysia #malaysia #review #fyp #reels ♬ original sound – Engear TV

Spesifikasi BMW iX3 M Sport Impressive

Harga: RM328,160
Bateri: 73.8kWh
Kuasa: 282hp
Tork: 400Nm

BMW iX5 Hydrogen selesai jalan ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu

UNTUK emisi sifar, BMW percaya ada beberapa cara lain lagi selain elektrik (EV), salah satunya adalah dengan tenaga hidrogen.

BMW iX5 Hydrogen merupakan sebuah platform untuk cara ini, dan baru-baru ini beberapa unit SUV itu telah selesai ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (EAB).

Walaupun berdepan dengan suhu sehingga 45-darjah Celsius serta mengharungi pasir, debu, dan pelbagai permukaan jalan, SUV hidrogen ini tetap cemerlang dan lulus.

Dari sistem bahan api sel, motor elektrik, hingga tangki hidrogen, segala perkakasan berfungsi dengan cara sepatutnya di samping pasukan pembangun terbang dari Munich untuk menjalankan analisis.

Timur Tengah bukan satu-satunya lokasi ujian BMW iX5, kerana terdapat sekumpulan prorotaip sedang diuji di Jepun, China, Korea Selatan, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, belum ada perancangan untuk menjual SUV ini, tetapi pihak atasan BMW ada menyebut untuk menawarkan model hidrogen sebelum penghujung dekad ini (2030).

Untuk spesifikasi, BMW iX5 Hydrogen mempunyai output keseluruhan sebanyak 401hp (295kW) dan menampilkan dua tangki CFRP yang mampu menampung kira-kira 6kg.

Ini memberikan iX5 Hydrogen jarak pemanduan sehingga 504km (menurut kitaran WLTP), iaitu serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman. Hanya tiga hingga lima minit masa diperlukan untuk mengisi tangki hidrogen, juga sama dengan mengisi petrol pada kereta biasa.

Walaupun menekankan bab kecekapan, BMW menyebut bahawa iX5 tidaklah perlahan juga. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang enam saat. Ia juga dilengkapi mod Sport yang akan mengeraskan suspensi dan memberikan kuasa penuh.

Peluang tipis untuk anda menjumpai iX5 ini di jalan raya kerana kurang dari 100 unit sahaja dihasilkan. Kesemuanya dikeluarkan di kilang Spartanburg iaitu di fasiliti pemasangan BMW X5 biasa tetapi perubahan teknikal lain dibuat di Munich.

Hyundai Kona Electric Max: Yang tahu je tahu! – Pandu uji

DALAM memilih barang berjenama contohnya baju, ada terbahagi kepada dua jenis golongan. Yang pertama; mahu logo jenama besar-besar ditulis pada baju, biar semua orang tahu.

Yang kedua; mahu sorok sedikit jenama, biar ditulis kecil-kecil sahaja. Ibaratnya, hanya yang tahu je tahu!

Hyundai Kona Electric ini boleh dikatakan ibarat golongan kedua. Ini kerana rupa dan rekabentuknya yang sangat serupa dengan versi petrol menampakkannya begitu ‘normal’. Hanya sedikit perbezaan tidak begitu ketara yang membolehkan anda mengenal pasti ianya versi Electric.

Kami telah pandu uji Hyundai Kona 2.0 petrol dan 1.6 turbo sebelum ini, dan untuk versi terkini, kami cuba pula Kona Electric Max. Ia ditawarkan pada harga bermula RM149,888 untuk Kona Electric Lite, RM169,888 untuk Plus, dan RM199,888 untuk Max.

Dah macam nama telefon pintar, bukan?

Hyundai Kona Electric Max mendapat pakej bateri terbesar dan jarak pemanduan paling jauh. Ia dibekalkan dengan bateri 64kWh dengan output 204hp dan 395Nm tork, serta jarak maksima 484km.

Sebagai konteks, kuasanya boleh dikatakan lebih kurang kereta berenjin 2.0-liter NA, manakala torknya boleh dibandingkan dengan kereta 2.5-liter petrol turbo. Tetapi memandangkan ini sebuah EV, ia lebih dari sekadar angka.

Rupa ‘fly under the radar’

Jika dilihat pada rupa luaran, perbezaan pada Kona EV ini tidak banyak. Antaranya tempat mengecas di kawasan bampar depan (ke kiri sedikit) dan bampar yang kelihatan kosong kerana tiada gril.

Logo Hyundai di depan ini juga seperti ‘mendongak’ di bahagian atas bampar, tidak seperti versi petrol dimana logonya di dalam gril. Akhir sekali adalah lencana “electric” di pintu but belakang. Dari jauh, nampak seperti Hyundai Kona biasa.

Bab ini, pilihan masing-masing. Ada orang mahu kereta EV mereka nampak futuristik dan menyerlah, biar semua tahu dia pandu EV. Tetapi yang memilih Hyundai Kona, mereka mahu ‘fly under the radar’.

Perkara sama dapat dilihat di bahagian kabin, dimana binaannya 97 peratus serupa dengan versi petrol. Stereng, rekaan papan pemuka, susunan butang, skrin, semuanya sama. Dan tiada salah pun, kerana Hyundai secara umumnya mempunyai kabin yang kemas dan terasa berkualiti.

Satu perbezaan untuk Kona Electric ialah ketiadaan tombol gear, tetapi diganti dengan butang-butang P, R, N, D. Sebenarnya ada Hyundai lain yang bukan EV juga menggunakan gear butang sebegini, contohnya Sonata dan Staria.

Oh ya, sebelum penulis terlupa, dimensi luar Hyundai Kona Electric ini memang sama dengan versi petrol, tetapi lantainya lebih rendah kerana terdapat penutup bateri yang terletak di bawah kabin.

Pemanduan EV harian

Baik, seperti yang dinyatakan di atas, Kona Electric ini mampu pergi sejauh lebih 480km setiap cas, dan jarak ini pastinya bergantung kepada cara pemanduan kita. Sebagai contoh dalam satu situasi, penulis telah memandu 120km tetapi baki pada skrin instrumen bertulis 320km.

Jadi dengan cara pemanduan itu, penulis hanya akan dapat 440km. Alah, sama juga dengan kereta petrol.

Sebagai contoh Perodua Bezza diiklankan mampu mencatat lebih 20km/liter, dan kapasiti tangki petrolnya kira-kira 36 liter. Berapa ramai antara kita yang dapat lebih 700km setangki? Rata-rata mungkin mendapat 14km hingga 15km seliter, bersamaan antara 490km hingga 520km setangki.

Menariknya, segala sistem dalam kereta ini reaktif terus dengan jarak pemanduan. Sebagai contoh bila anda menurunkan suhu pendingin hawa untuk lebih sejuk, anda akan nampak baki jarak pemanduan sedikit berkurang. Begitu juga bila melaras mod pemanduan, jarak boleh bertambah bila anda tukar dari Sport kepada Normal atau Eco.

Ini secara tidak langsung memberikan rasa canggih dan sofistikated terdahap Kona Electric ini. Anda dapat rasa yang semua sistemnya bersepadu dengan baik, dan bukanlah sekadar cabut enjin petrol dan sumbat motor elektrik.

Bercakap mengenai motor elektrik, memandu Hyundai Kona EV ini tidaklah terlalu luar biasa. Jika anda ada kereta petrol lain di rumah, bila selalu bertukar-tukar kenderaan, anda akan mudah menyesuaikan diri dengan Kona Electric.

Ini kerana segala butang kawalan, panel-panel, dan suis mirip dengan Kona petrol. Jadi kereta ini sesuai untuk anda yang mahu sebuah kenderaan yang tidak terlalu ‘alien’ di jalan raya.

Hyundai Kona Electric ini juga mempunyai paddle-shifter di belakang stereng, tetapi memandangkan ini sebuah EV yang tiada kotak gear, ianya tidak digunakan untuk menukar gear. Sebaliknya paddle-shifter ini digunakan untuk melaras tahap regenerative braking.

Semakin kuat regenerative braking yang digunakan, semakin mudah untuk anda amalkan one-pedal driving. Sebaliknya jika tiada regenerative braking, ia akan rasa seperti kereta petrol yang meluncur.

Pengendalian mantap

Satu perkara umum mengenai EV ialah pengendalian mereka hampir sama kerana konfigurasi serupa digunakan iaitu bateri yang berat dan leper di bawah kabin. Berat tertumpu di tengah, dan pengendalian menjadi neutral.

Yang bagusnya, neutral ini bermakna kereta EV lincah dan stabil. Tetapi yang kurang bagusnya, ia membuatkan EV agak bosan dan terlalu mudah dijangka. Yang paling memberikan beza mungkin hanya dari segi pacuan sama ada FWD, RWD atau AWD.

Hyundai Kona mendapat output dari motor yang dihantar ke roda depan, dan jumlah kuasa adalah lebih dari mencukupi untuk pemanduan harian. Tetapi dengan tork hampir 400Nm, anda dapat baki kuasa lebih untuk kegunaan ketika memotong, keluar simpang, atau susur masuk ke lebuh raya.

Aspek stereng dan brek rata-ratanya adalah natural dan ditala dengan baik agar menyerupai kereta biasa.

Ok ke pakai Hyundai Kona Electric?

Inilah soalan yang kami dapat bila kami muat naik gambar kereta EV di media sosial Engear dan penulis sendiri. “Ok ke pakai EV?”, atau “Macam mana cas?”.

Secara umumnya, ok sangat kerana produk EV itu sendiri sudah dikira cukup matang. Satu isu ialah kemudahan mengecas. Jika anda tinggal di rumah banglo atau teres (landed), mudah untuk anda mengecas menggunakan AC setiap hari.

Tetapi jika anda tinggal di apartmen atau kondominium, mungkin menjadi halangan. Begitu juga bab pengecasan semasa jarak jauh, fasiliti DC masih terhad buat masa ini. Tetapi sama-sama kita lihat berapa banyak pertambahannya dalam masa beberapa tahun akan datang.

Hyundai Kona Electric menjadi satu calon yang sesuai jika anda mencari EV pada harga bawah RM200,000 yang penulis rasa akan menjadi satu segmen hangat tidak lama lagi.

Spesifikasi Hyundai Kona Electric Max

Harga: RM199,888
Bateri: 64kWh
Kuasa: 204hp
Tork: 395Nm

Aehra Sedan sebuah konsep EV untuk saingi Porsche Taycan – 800hp, 800km

AEHRA iaitu sebuah syarikat baharu dari Itali yang memfokuskan EV ultra premium, telah mendedahkan perincian rekaan model kedua mereka, bernama Sedan.

Aehra Sedan akan menggunakan platform yang sama dengan SUV yang dipertontonkan tahun lepas. Kedua-dua model banyak berkongsi komponen dan elemen rekaan, tetapi sudah tentu Sedan menampilkan badan yang lebih rendah.

Rekabentuknya sangat licin dan beralun dengan pembuka pintu tersorok, rupa depan agresif, lampu nipis, dan mendapat aerodinamik aktif serta ciri penyejukan. Ia juga menampilkan pintu double-falcon yang dibuka ke atas. Terdapat juga cermin sisi jenis digital.

Aehra tidak cenderung berkongsi perincian powertrain buat masa ini, tetapi apa yang diketahui ialah ia bakal menggunakan bateri yang dibangunkan bersama Miba Battery Systems. Ini akan memberikan Aehra Sedan jarak pemanduan hampir 800km sekali cas.

Menurut laporan Autocar, sedan ini bakal dilengkapi konfigurasi tiga-motor, AWD, dengan output 800hp dari pek bateri 120kWh.

Aehra sebelum ini pernah mendedahkan Sedan itu menggunakan “bahan komposit sangat mapan, ringan dan maju”. Kami tidak pasti apa yang dimaksudkan, tetapi kami syak ianya bahan seperti gentian karbon dan plastik canggih.

Semua ini kedengaran hebat, kereta ini juga nampak cantik, tetapi adakah ianya benar-benar akan menjadi realiti?

Aehra berkata mereka mempunyai “dana swasta yang besar”, yang akan membolehkan mereka mula menjual Sedan dan SUV di Amerika Utara serta Eropah menjelang 2026. Harus diketahui ini adalah penangguhan setahun dari 2025 yang dicadangkan sebelum ini.

Harganya di beberapa pasaran utama akan berada hampir sama dengan harga Porsche Taycan, menjadikannya pesaing rapat sedan EV dari Jerman itu.

Bos Aehra, Filippo Perini yang pernah bekerja di Lamborghini berkata versi produksi Sedan akan sangat sama dengan gambar-gambar galeri yang anda lihat ini. Mari kita harapkan visi mereka menjadi realiti. Pasti menarik.

Ora Good Cat: EV bandar paling ‘ngam’? – Pandu uji

KAMI tahu kenderaan bateri elektrik (BEV) atau lebih dikenali sebagai EV kian mendapat perhatian dalam kalangan anda rakyat Malaysia dan peminat automotif khususnya.

Tetapi menurut komen dari tulisan-tulisan kami di Facebook, ada beberapa faktor yang menjadi penghalang rakyat Malaysia membeli EV buat masa ini; rangkaian pengecas dan harga. Izinkan penulis tolak ke tepi dahulu bab pengecas.

Soal harga, kebanyakan EV ‘sedap’ seperti Porsche Taycan dan Mercedes EQE berharga lebih dari setengah juta Ringgit, lebih mahal dari rumah-rumah kita. Harus difahamkan, semua teknologi pun begitu.

Mula-mula mahal, makin lama makin murah. Dan kita perlu berterima kasih kepada pembeli-pembeli awal kerana merekalah yang membantu menurunkan harga teknologi baharu ini. Anda masih ingat awal tahun 2000 dulu telefon bimbit dengan kamera berharga lebih RM1,000? Hari ini telefon RM500 pun sudah mempunyai kamera dan skrin dengan warna yang jelas.

Untuk EV, walaupun kebanyakannya masih berharga premium, tetap ada penawaran yang lebih mesra poket, bawah RM200,000. Amacam?

Kita lihatkan GWM Ora Good Cat. Varian yang kami uji ini merupakan Ora Good Cat 500 Ultra yang berharga RM169,800. Satu lagi varian ialah Good Cat 400 Pro, dengan harga RM139,800. Nama pada varian menunjukkan jarak maksima, iaitu 500km bagi Ultra.

Tak rasa macam RM170k!

Menarik mengenai Ora Good Cat ini ialah, walaupun boleh dikatakan sebagai EV permulaan atau mampu-milik, ia langsung tidak nampak murah.

Malahan jika anda telitikan perincian pada bampar depan, lampu utama, jahitan tempat duduk, kemasan papan pemukan, dan sentuhan tombol serta butang-butang di dalamnya, terasa seperti kereta yang berharga lebih RM200k. Jika Good Cat ini dari Mercedes atau BMW, senang-senang saja harganya RM250,000.

Paparan pada skrin melintang panjang bagi instrumen dan infotainmen juga cukup jelas dan beresolusi tinggi. Kereta-kereta jenama China hari ini sangat mementingkan aspek ini, mereka juga sukakan kamera. Jadi Ora Good Cat mendapat kamera 360-darjah yang sungguh jelas dan besar, walaupun kereta ini tidak begitu memerlukannya.

Pilihan warna luar dan dalam kereta ini juga menjadikannya antara model paling comel yang memasuki pasaran kita hari ini. Tidak cukup dengan rupa funky tetapi retro, warnanya jika tersilap pilih, nampak begitu feminin. Mujurlah penulis dapat warna Verdant Green ini, masih nampak maskulin.

Oh ya, memandu Ora Good Cat ini juga membuatkan anda mudah menjadi perhatian. Pandu di kawasan-kawasan kedai yang padat dengan orang, pasti ada yang menoleh lama pada kereta ini, kebanyakannya memandang pada logo di depan untuk mengenal pasti makhluk apa yang mereka sedang lihat.

Kanak-kanak pun suka dengan Good Cat ini. Semasa penulis memandu, kanak-kanak yang berjalan dengan ibunya di kaki lima menuding jarinya ke arah kereta ini sambil tersenyum, seperti mahu menunjukkan pada ibunya.

Go-kart elektrik

Jika ditanya bagaimana rasa pemanduan Ora Good Cat ini, dalam kata mudah ialah ibarat go-kart elektrik. Ini mungkin kedengaran cliché, MINI Cooper atau hot hatch biasanya dikatakan seperti go-kart.

Tetapi Ora Good Cat ini dengan motor yang responsif, terasa ringan, senyap, dan berat bateri di bawah casis menjadikannya seimbang, memang benar-benar seperti go-kart. Bezanya cuma Good Cat ini pacuan roda-depan.

Unit ini mempunyai bateri 63kWh dengan output 143hp dan 210Nm tork, lebih kurang seperti kereta 1.6-liter NA atau 1.5-liter turbo. Tetapi dengan sifat elektrik, anda tidak perlu tunggu rpm tertentu atau kotak gear pergi ke gear tertentu, tekan sahaja, sekelip mata anda ‘dilastik’ ke depan.

Ini menjadikan pemanduan Ora Good Cat cukup menyeronokkan walaupun ia tidak mempunyai bunyi dramatik seperti sebuah Golf GTi atau Civic Type-R. Ora Good Cat cukup bersahaja untuk memecut keluar simpang, malah sebaik lampu isyarat bertukar hijau, dia akan ‘makan’ kebanyakan kereta yang anda jumpa secara kebiasaan.

Kereta-kereta petrol semua makan asap sahaja. Eh sekejap, Ora Good Cat ni mana ada keluarkan asap…

Motor dan sistem eletriknya juga agak cekap menggunakan tenaga pada kelajuan dalam bandar walaupun anda memecut dan menekan minyak membabi buta. Bila memandu Good Cat ini, anda akan mengekalkan kelancaran trafik kerana kereta di jalan utama tidak perlu brek bila anda susur masuk.

Di selekoh, ia kekal menyeronokkan kerana seperti dikatakan tadi, baterinya di bawah lantai, tengah-tengah antara tayar depan dan belakang. Ini bermakna ia mampu mengambil selekoh seperti hot hatch, malah pertukaran arah di selekoh S juga cukup meyakinkan pemandu.

Cuma penumpang di belakang mungkin kurang selesa dari aspek suspensi. Mungkin kerana belakang Good Cat ini ringan, jadi mudah terasa melantun di jalan tidak rata. Tetapi ini mungkin bukan salah kereta, kerana jalan raya kita yang ‘terlalu cantik’. Jika di negara lain yang permukaan jalannya sempurna, tiada masalah. Tetapi harus diberitahu, Ora Good Cat ini begitu luas kabinnya.

Bagaimana dengan lebuh raya? Seperti anda mungkin ketahui, lebuh raya ialah salah satu musuh utama EV. Disebabkan kebanyakan EV tidak mempunyai kotak gear, kelajuan motor adalah berkadar terus dengan kelajuan kereta.

Semakin laju kereta, semakin laju juga motor bekerja, bermakna tidak begitu cekap di kelajuan tinggi. Range atau jarak pemanduan pada Ora Good Cat ini menurun dengan normal dalam pemanduan bandar, tetapi apabila anda meluncur di lebuh raya lebih 100km/j, angkanya menurun drastik.

Bagaimana dengan pengecasan?

Dari segi pengecasan, varian 500 Ultra dengan bateri 63kWh memerlukan kira-kira 10 jam untuk dicas penuh menggunakan pengecas AC. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, hanya 40 minit diperlukan untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus.

Menurut pengalaman penulis, sempat penulis cas Good Cat ini menggunakan DC 60kW, dan masa diambil adalah kira-kira sejam untuk ‘mengisi’ jus bateri dari kurang 10 peratus hingga 85 peratus. Baki mulanya 88km dan penulis isi sehingga 410km dengan 85 peratus.

Masa yang diambil lebih lama sedikit, bergantung kepada pelbagai faktor seperti suhu persekitaran dan suhu jentera pengecas.

Bayaran yang dikenakan pula adalah kira-kira RM79 untuk pertambahan kira-kira 330km. Jika dibandingkan dengan petrol, tidak berbaloi. Tetapi pemilikan kereta EV adalah lebih dari sekadar penjimatan petrol. Jauh lebih besar dari itu.

Anda harus ingat, pemilik EV tidak akan mengecas menggunakan DC di tempat awam setiap hari, sebaliknya menggunakan pengecas AC di rumah. Ia lebih perlahan, boleh dicas sepanjang malam, dan cara ini lebih ‘menyihatkan’ untuk bateri.

Kadar bayaran juga bergantung kepada pengeluar, kerana ia masih pasaran terbuka, tidak dikawal seperti petrol. Mentaliti memandu EV adalah berbeza. Dan kebanyakan pemilik juga memiliki EV untuk kereta kedua atau ketiga.

Untuk itu, Ora Good Cat sebuah model yang sangat-sangat sesuai dan ideal. Kereta kedua untuk pemanduan dalam bandar setiap hari. Dan anda tidak semestinya perlu cas setiap hari. Jarak dibekalkan adalah lebih 400km, dan jika berulang-alik ke tempat kerja, jarang antara kita yang memandu lebih 100km setiap hari, bukan?

Jadi, anda mungkin cas seminggu sekali sahaja, atau dua kali maksimum. Sama seperti isi petrol, bezanya bahan yang diisi.

Secara kesimpulan, Ora Good Cat menawarkan pakej menarik dengan gaya unik, sistem dan spesifikasi lengkap, selain pengalaman pemanduan EV yang bagus, setaraf dengan jenama-jenama lain pada julat harga ini.

Spesifikasi GWM Ora Good Cat

Harga: RM169,800
Bateri: 63kWh
Kuasa: 143hp
Tork: 210Nm

Honda e:Ny1 ialah EV dengan rupa seperti HR-V, jarak pemanduan 412km

HONDA baru melancarkan kenderaan elektrik (EV) kedua mereka di Eropah dengan satu nama yang agak sukar disebut, e:Ny1.

Lebih baik Honda panggil sahaja HR-V EV kerana memang nampak seperti crossover itu, tetapi mereka berkata ianya kereta yang berlainan sama sekali. Jika anda peka dengan pasaran EV China, anda perasan bahawa e:Ny1 mirip dengan e:NS1 dan e:NP1 yang dijual di sana.

Selain bab nama, e:Ny1 menjadi alternatif kepada Honda e yang merupakan kereta EV bandar. e:Ny1 juga bakal mempunyai sasaran pelanggan lebih besar memandangkan ia berada dalam segmen yang kompetitif.

EV ini dibina pada pelantar e:N Architecture F dengan pacuan motor di depan. Ia dibekalkan dengan pek bateri lithium-ion 68.8kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 412km (menurut kitaran WLTP).

Honda berkata dengan menggunakan pengecas pantas DC, e:Ny1 mampu dicas dari 10 ke 80 peratus dalam hanya 45 minit.

Bateri ini dihubungkan kepada unit pacuan berintegrasi, motor elektrik, dan kotak gear yang memberikan 201hp dan 310Nm tork.

Honda juga berkata e:Ny1 dibangunkan dari casis baharu khas untuk kenderaan EV yang mempunyai tahap ketegaran yang tinggi. Digabungkan dengan pelantar dan janaan kuasa baharu ini, casis ini dikatakan mampu memberi pemanduan dinamik yang menjadi identiti Honda; responsif dan selesa.

Tidak banyak yang dapat dikatakan untuk aspek penggayaan. e:Ny1 nampak sangat mirip dengan HR-V yang berkuasa petrol. Sedikit perbezaan termasuklah lencana H putih di beberapa bahagian kenderaan, dan tulisan “HONDA” di pintu but belakang.

Perkara utama di bahagian dalam adalah konsol tengah baharu dengan butang fizikal, beberapa pilihan ruang simpanan, pengecas tanpa-wayar, dan skrin sesentuh besar bersaiz 15.1-inci.

Honda e:Ny1 akan tiba di Eropah dalam masa terdekat, harga dikatakan bermula sekitar GBP30,000 (RM166,685) di UK. Ini meletakkan Honda e:Ny1 dalam persaingan bersama Peugeot e-2008, Jeep Avenger, Hyundai Kona Electric, dan Kia Niro EV.

Proton X90 rasmi dilancar, NEV pertama, harga dari RM124k

PROTON X90 akhirnya dilancarkan, serentak dengan sambutan ulang tahun ke-40 pengeluar kereta nasional itu. X90 merupakan SUV tujuh atau enam tempat duduk dan ianya merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton.

Seperti dilaporkan sebelum ini, X90 ditawarkan dengan empat varian, dan harga masing-masing seperti berikut:

X90 1.5 TGDI BSG Standard: RM123,800
X90 1.5 TGDI BSG Executive: RM130,800
X90 1.5 TGDI BSG Premium: RM144,800
X90 1.5 TGDI BSG Flagship: RM152,800

Seperti pada namanya, Proton X90 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi seperti terdapat pada X70 dan X50, tetapi enjin ini mendapat padanan Electric Motor Synergy (EMS) 48volt, iaitu suatu sistem mild hybrid. Ini yang menyebabkan X90 mendapat penarafan NEV.

Sistem mild hybrid itu merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

X90 akan guna sistem operasi Atlas seperti X50 dan X70

Secara sendirinya, enjin 1.5 TGDi menjana 177PS dan 255Nm namun apabila digabungkan dengan 13PS dan 45Nm yang dibekalkan oleh EMS, ia menghasilkan output keseluruhan setinggi 190PS dan 300Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi dwi-klac 7-kelajuan.

Reka bentuk luaran X90 tidak jauh berbeza dengan model asal iaitu Geely Haoyue cuma ia menampilkan elemen-elemen Proton yang tersendiri seperti pin krom pada bahagian gril dan tulisan ‘PROTON’ pada tailgate. Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk ruang dalaman model ini.

Dari segi kelengkapan, SUV ini didatangkan dengan lampu DRL LED, lampu isyarat berjujukan dan rim 19-inci. Di dalam, anda akan menemui balutan kulit Nappa serta skrin sentuh infohibur berukuran 12.3-inci dan kluster insutrmen digital 10-inci.

Selain itu, terdapat juga tujuh pengecas USB, satu pengecas wayarles, pendingin hawa dua zon dengan corong untuk setiap barisan tempat duduk, ciri pelarasan dan ventilasi tempat duduk, serta penapis udara N95 G-Clean.

Bagi sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, X90 akan didatangkan dengan 14 ciri termasuk tiga ciri baharu iaitu Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Traffic Sign Information. Auto Park Assist, kamera 360 darjah dengan paparan 3D dan Tyre Pressure Monitoring System turut disertakan.

Seperti disenaraikan di atas tadi, Proton X90 ditawarkan pada harga antara RM123,800 hingga RM152,800, atas jalan tanpa insurans.

Kesemua X90 turut hadir dengan pakej seperti berikut:

Jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan
Pakej data 5-tahun
Kos upah servis percuma 6 kali
Kadar faedah serendah 2.1 peratus
Program Insurans Proton

Balik beraya dengan EV? Kami cuba sendiri dengan Volvo C40 Recharge

DUA benda yang diketahui umum mengenai kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV); pecutan luar biasa oleh respon motor elektrik, dan jarak pemanduan terhad kerana lokasi mengecas yang belum menyeluruh.

Kali ini kami akan fokuskan perkara kedua iaitu jarak pemanduan terhad, atau benarkah begitu? Dan untuk itu, kami uji sendiri dengan memandu Volvo C40 Recharge Pure Electric pulang ke kampung menyambut Hari Raya.

Mahu tahu juga bab pecutan? Baiklah, Volvo C40 EV dibekalkan dengan struktur bateri 400-volt berkapasiti 78kWh. Pakej ini menghasilkan 402hp dan 660Nm tork, dihantar ke semua roda melalui dua motor elektrik.

Disebabkan C40 EV ini telah menjadi sebuah SUV pacuan semua-roda (AWD), tork setinggi 660Nm itu mampu ‘melontarnya’ ke depan mencapai 100km/j dalam hanya 4.9 saat walaupun ia mempunyai berat hampir 2.2 tan termasuk pemandu.

Bagaimana rasanya? Ada sedikit rasa seperti kapal terbang hendak berlepas, malah pecutan maksima ini mampu membuatkan penumpang anda rasa sedikit pening. Itu yang dikomen oleh rakan penulis semasa beliau ‘dibelanja’ dengan tork jentera EV.

Baik, cukup setakat itu. Seterusnya, mari penulis kongsikan ‘pengembaraan’ memandu EV di musim perayaan. Kita akan lihat segalanya dari kerisauan jarak (range anxiety), pemanduan lebuh raya, kesesakan trafik, hinggalah pengecasan.

Pengembaraan (atau cabaran?) EV di musim perayaan

Sebenarnya semasa mula ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia untuk memandu uji C40 EV ini semasa cuti Hari Raya, penulis agak keberatan memandangkan isu-isu yang bakal dihadapi. Penulis hampir memilih model PHEV sahaja, kemudian penulis terfikir, apa kata ambil saja C40 ini. Anggap ia sebagai cabaran.

Dengan bateri penuh 100%, penulis bergerak dari ibu pejabat Volvo Malaysia menuju ke rumah. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, petang itu penulis memulakan perjalanan balik kampung dengan bateri 89%. Penulis turut membawa isteri, dua anak kecil, dan barangan penuh.

Anda semua tahu kan macam mana orang rumah angkut barang semasa balik kampung beraya.

Ini bukan kali pertama penulis memandu jarak jauh dengan EV, tetapi ini kali pertama bersendirian. Sebelum ini dengan sesi media, jadi perancangan mengecas diatur oleh penganjur.

Kali ini, semuanya terserah kepada penulis. Volvo C40 dilengkapi dengan Google Maps binaan dalam yang diintegrasikan dengan fungsi kereta. Menurut Google Maps, penulis akan sampai ke Kuantan dengan bateri berbaki kurang 10%. Ok, gementar juga.

Di lebuh raya, penulis cuba tetapkan Adaptive Cruise Control pada 110km/j kerana lebih dari itu, ia tidak begitu cekap. Kebanyakan EV kurang efisyen di kelajuan tinggi memandangkan tiada kotak gear, maka motor elektrik beroperasi dalam keadaan ‘direct drive’.

Sangat ideal di kelajuan rendah, sangat tidak ideal di kelajuan tinggi. Walaupun anda keluarkan semua 402hp dan 660Nm sebaik lampu isyarat bertukar hijau, ia masih jimat, asalkan kelajuan tidak terlalu tinggi dalam bandar. Jadi, drag race di lampu isyarat memang makanan EV seperti Volvo C40 ini.

Berbalik kepada perjalanan penulis tadi, hanya beberapa ketika penulis pergi ke kelajuan sehingga 125km/j untuk memotong, kemudian kembali ke 110km/j.

Akhirnya penulis sampai ke bandar Kuantan dengan bateri berbaki 11%. Bila difikirkan semula, tidaklah teruk mana. Hanya 78% bateri digunakan untuk jarak kira-kira 280km tanpa perlu berhenti mengecas dalam perjalanan.

Perjalanan pulang dari Kuantan ke Shah Alam juga tidak seteruk yang disangkakan. Mulanya Google Maps menunjukkan bateri akan berbaki 8% semasa sampai, tetapi disebabkan penulis hanya tetapkan Cruise Control pada 105km/j, anggaran baki bateri perlahan-lahan meningkat kepada 15%.

Akhirnya sampai ke Shah Alam dengan bateri berbaki 16%.

Secara kasar, pemanduan EV adalah terbalik dengan kereta petrol. EV tidak risau jika tersekat dalam kesesakan berjam-jam kerana motor elektrik tidak bergerak jika kereta tidak bergerak, berbanding kereta petrol yang tetap membakar bahan api semasa kereta tidak bergerak.

Bila meluncur di lebuhraya, kereta petrol akan lebih jimat jika memandu di kelajuan tinggi kerana adanya kotak gear yang membolehkan rpm enjin beroperasi pada kelajuan optimum, berbanding motor elektrik EV yang terpaksa berpusing di kelajuan tinggi selaras dengan kelajuan kenderaan.

Di dalam bandar, tiada langsung isu kerisauan jarak. Penulis sempat menyelesaikan urusan persiapan akhir menjelang raya, menyambut raya, dan bersiar-siar tanpa gelisah. Berhenti lama di lampu isyarat atau pecut laju untuk tukar lorong dan memotong, bacaan baki bateri tidak turun mendadak.

Bila bateri dicas sehingga 90% mengikut saranan komputer Volvo untuk menjaga ‘tahap kesihatan’ bateri, ia masih berbaki kira-kira 40% selepas dipandu beberapa hari untuk perjalanan jarak dekat.

Kebanyakan masa penulis mengecas C40 di pengecas pantas DC berkapasiti 60kW di tengah bandar Kuantan, kerana lokasi pengecasan yang lain hanya menawarkan kapasiti sekitar 20kW atau 30kW sahaja.

Kadar bayaran pengecas bergantung kepada operator penyedia mesin pengecas itu sendiri. Ada yang sekitar RM0.80 setiap minit, RM1.20 hingga RM1.60 seminit. Seingat penulis, ada juga pengecas yang menawarkan kadar mengikut kW. Apa pun, pengecas EV masih mengamalkan pasaran terbuka.

Berikut disenaraikan nota setiap sesi pengecasan sepanjang lebih seminggu dan lebih 1,600km penulis memandu Volvo C40 Recharge EV ini:

1.
Baki bateri dan jarak: 9%, 45km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: 64 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 87%, 340km

2.
Baki bateri dan jarak: 33%, 120km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: –
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 350km

3.
Baki bateri dan jarak: 69%, 260km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 18 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 330km

4.
Baki bateri dan jarak: 13%, 60km
Kapasiti mengecas: 89kW
Tempoh: 27 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 65%, 250km

5.
Baki bateri dan jarak: 12%, 55km
Kapasiti mengecas: 57kW
Tempoh: 65 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 380km

6.
Baki bateri dan jarak: 28%, 110km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 40 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 93%, 410km

7.
Baki bateri dan jarak: 10%, 44km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 16 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 32%, 120km

Sepanjang tujuh kali penulis sampai ke tempat mengecas, mujurlah kebanyakannya kosong dan tiada kereta yang sedang dicas sebelum itu. Cuma sekali sahaja terdapat sebuah BMW iX, itupun ia sudah melebihi 97%, dan telah penuh beberapa minit selepas itu.

Hanya sekali sahaja penulis berdepan dengan mentaliti tipikal rakyat Malaysia, semasa di R&R Gambang Arah Timur. Masa itu Hari Raya kedua, penulis dalam perjalanan balik ke Kuantan selepas beraya di Temerloh dan Jengka di hari sebelumnya.

Hari Raya kedua biasalah kereta sudah banyak di jalan raya kerana orang mula keluar berziarah, stesen minyak pun penuh. Sesampainya penulis di pengecas Gentari di Petronas itu, terdapat sebuah kereta petrol biasa parkir di depan tempat mengecas. Bukan di dalam petak, tetapi ia tetap menghalang penulis dari memasuki tempat mengecas.

Terpaksalah penulis membunyikan satu hon pendek mesra di situ. Dia malu atau marah, penulis tak mahu ambil tahu.

EV lebih jimat berbanding petrol?

Ini satu topik yang luas, sebenarnya perlukan satu artikel lain untuk dikupas. Tetapi untuk pendekkan cerita, boleh jadi jimat dan tidak jimat berbanding petrol.

Paling penting ialah, untuk hari ini, April 2023, mentaliti pemilikan EV di Malaysia ialah, “Aku beli untuk cuba teknologi baharu, untuk memahami dan mempelajarai mobiliti elektrik, dan untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.”

Bukan untuk jimat belanja petrol ya. Dan penulis ingin tekankan, mentaliti ini akan berubah bergantung kepada rangkaian pengecasan di negara ini, harga purata model-model EV, dan jarak pemanduan yang ditawarkan.

Pemanduan premium, rupa unik

Secara keseluruhan, C40 Recharge EV masih sebuah kenderaan yang selesa dan nyaman dipandu, seperti model-model Volvo lain. Ianya diasaskan dari XC40 iaitu SUV kompak mereka yang cukup popular, tetapi C40 hanya hadir sebagai model EV, dan tidak ditawarkan dengan pilihan petrol atau PHEV.

C40 menampilkan rekaan lebih sporti dengan rupa SUV coupe. Walaupun harganya RM288,888 iaitu sedikit lebih mahal berbanding XC40 EV (RM278,888), C40 sebenarnya mempunyai saiz kabin lebih kecil sedikit, tetapi itulah pengorbanan yang perlu kita bayar untuk rupa yang lebih unik, bukan?

Volvo XC40 masih sebuah SUV yang sangat segak di mata penulis, tetapi C40 jauh lebih ‘segar’. Dengan lampu depan yang lebih sepet, panel gril flat yang menunjukkan ia sebuah EV, bumbung yang menurun ke belakang lebih sporti, spoiler bumbung dan spoiler di hujung but, serta rekaan lampu belakang berbeza yang cukup cantik, membuatkan ia mudah menjadi perhatian orang.

Semasa mengecas, orang merenung C40 ini kerana melihat kenderaan EV sedang dicas bukanlah suatu pandangan yang begitu biasa lebih-lebih lagi di Pantai Timur buat masa ini. Semasa dipandu perlahan di kawasan perumahan dan kampung juga orang cenderung memandang ke gril depan untuk mengenalpasti kereta apa yang mereka sedang lihat.

Mujurlah penulis pandu C40 dengan warna Crystal White yang dikira agak biasa. Jika penulis dapat unit dengan warna Thunder Grey atau Sage Green, mungkin lebih menyerlah.

Khas untuk Volvo C40 Recharge EV ialah kemasan topografi di papan pemuka yang begitu cantik, lebih-lebih lagi bila menyala di waktu malam. Ia hanya panel plastik keras, tetapi rupa dan rasa padanya cukup unik, tak pernah penulis lihat di kereta lain.

Ini sedikit sebanyak menunjukkan pereka Volvo kreatif dan membezakan kemasan kabin kenderaan mereka yang kelihatan hampir sama. Ia tidak membosankan, tetapi tidak seperti terlalu menunjuk.

Kualiti pemanduan Volvo C40 Recharge EV ini juga berada di tahap yang tinggi. Ia disumbangkan oleh gabungan seperti tempat duduk selesa, pendingin hawa nyaman CleanZone dengan sistem penapis udara PM2.5, dan sistem audio Harman Kardon 600W.

Ditambah pula dengan segala butang kawalan yang sedap dipegang dan digunakan, stereng dengan berat yang secukup rasa, semuanya membuatkan pemanduan jauh langsung tidak memenatkan.

Cuma anda jangan harapkan pemanduan sporti dari C40 ini, kerana rata-rata kenderaan Volvo bukan direka untuk mengejar catatan masa di litar atau mengacah Volkswagen Golf GTi. Ia cuma menawarkan pemanduan selesa, laju jika anda mahu, dan tetap terkawal.

Saya akan beli satu?

Soalan bonus, adakah penulis akan beli sebuah Volvo C40? Jika mampu, tetapi hanya ada dua kereta di rumah, mungkin penulis tak akan jadikan ia kereta kedua. Tetapi jika garaj lebih besar dan mampu memuatkan empat kereta, mungkin penulis akan ‘sumbat’ C40 ini.

Akhir sekali, sebagai menjawab semula tajuk artikel ini, ya, boleh pandu kenderaan EV untuk balik kampung, asalkan anda rajin merancang. Tiada perjalanan tiba-tiba di saat akhir.

Adakah penulis akan lakukannya lagi? Mungkin tidak untuk Raya Haji tahun ini. Tetapi untuk Raya tahun depan, mungkin ya. Kerana dapat dilihat semakin banyak lokasi pusat pengecasan sedang dalam pembinaan dan akan ditambah.

Spesifikasi Volvo C40 Recharge Pure Electric

Harga: RM288,888
Bateri: 400 volt, 78kWh
Sokongan pengecasan: Sehingga 150kW
Kuasa: 402hp
Tork: 660Nm

Honda Civic e:HEV RS bukti eco dan sporti boleh duduk sebumbung! – Pandu uji

SEJAK azali lagi, karakter eco atau jimat minyak tidak akan boleh duduk sekali dengan sporti. Dua benda yang berlainan sama sekali.

Sama seperti kek yang takkan pedas, nasi lemak takkan manis. Kereta Perodua Axia takkan boleh ada pengendalian macam Formula Satu, dan Formula Satu takkan jimat minyak seperti Axia.

Tetapi dengan teknologi, Honda berjaya membuatkan eco dan sporti berbaik dan duduk sebumbung. Perkenalkan Civic e:HEV RS.

Ya, Honda Civic e:HEV RS merupakan varian hibrid yang lebih menjimatkan bahan api dari varian petrol lain, tetapi ia memberikan lebih prestasi.

Honda Civic varian e:HEV RS ini mempunyai penjimatan sehingga 25km/liter berbanding RS biasa sehingga 15.8km/liter, tetapi e:HEV RS mampu memecut ke 100km/j dalam masa 7.9 saat berbanding RS petrol sepantas 8.3 saat.

Apa beza Civic e:HEV RS dengan Civic biasa?

Honda Civic FE generasi terkini yang dilancarkan tahun lepas ditawarkan hanya dengan enjin 1.5-liter VTEC Turbo untuk varian petrol, tiada lagi naturally-aspirated 1.8-liter i-VTEC. Enjin ini menjana kira-kira 180hp dan 240Nm, lebih dari mencukupi untuk kegunaan seharian.

Tetapi buat pertama kali, Honda Civic ditambah dengan varian e:HEV RS, iaitu hibrid bersama enjin 2.0-liter naturally-aspirated yang menggunakan kitaran Atkinson. Enjin ini sahaja menghasilkan 143hp dan 189Nm, tetapi ditambah dengan motor elektrik, ia memberikan output total 184hp dan 315Nm tork.

RS di sini bermakna ia mendapat penggayaan hampir serupa dengan varian petrol 1.5 RS, tetapi e:HEV RS mendapat sedikit perbezaan.

Varian e:HEV RS mendapat rim 18-inci dwi-tona (RS petrol serba hitam), ekzos tunggal (RS petrol ekzos berkembar), dan beberapa kemasan biru pada logo Honda, menunjukkan elektrifikasi padanya.

Eco akhirnya duduk sebumbung dengan sporti

Kita bercakap tentang eco tadi, berapa jimat Civic e:HEV RS ini? Semasa sesi pandu uji media, kami diberikan cabaran Fuel Challenge semasa bertolak dari Kuala Lumpur sebelum singgah ke Melaka. Jadi, ada melalui lebuh raya, kesesakan, dan jalan bandar.

Kereta kami masih mampu dapat 25km/liter dengan tidak terlalu mencuba, dah jimat macam Bezza! Kami bertiga termasuk barangan di but, dan pandu di lebuh raya pada kelajuan sekitar 90 hingga 100km/j, tidak terlalu perlahan ya.

Ada kumpulan media lain yang lebih daring, mereka memperoleh sehingga 30km/liter. Cukup jimat tak? Harus diingat, ini kereta sedan segmen-C, bukan hatchback segmen-A.

Itu bab penjimatan. Bab sporti pula, Honda Civic e:HEV RS (dan varian-varian petrol lain) sememangnya menawarkan pemanduan lebih mantap berbanding FC. Stereng terasa lebih tepat dan lebih banyak maklum balas, hasil talaan terkini Honda selain penggunaan tayar Michelin Pilot Sport 4.

Suspensi pula terasa sepadan dengan feel pada stereng, dimana suspensinya menyerap dengan baik segala ‘kecantikan’ permukaan jalan raya kita, tetapi pada masa yang sama ‘memegang’ badan kereta di saat memerlukan, sebagai contoh di selekoh.

Digandingkan lagi dengan ergonomik tempat duduk yang rendah dengan kaki hampir melunjur, nampaknya rasa pemanduan Civic masih mengujakan, sesuai dengan namanya walaupun rupa luaran dikatakan semakin ‘biasa’ atau terlalu matang.

Tetapi secara jujur, penulis tiada masalah dengan rupa Civic sekarang. Ia sesuai dengan statusnya sebagai sedan ikonik dalam generasi ke-11, yang keluar pada zaman masa kini. Takkan nak buat Civic dengan gaya dan aksesori tema Need For Speed Underground pula kan?

Berbaloi?

Dengan penawaran yang ada pada Civic e:HEV RS ini, kami rasa anda pasti sudah dapat jangkakan yang ianya varian paling mahal. Ya, anda tidak salah. Civic e:HEV RS dijual pada harga RM166,500, iaitu hampir RM16,000 lebih tinggi dari Civic 1.5 petrol RS.

Berbaloi tambahan RM16,000? Jika anda mampu dan mahukan sebuah Civic yang padat dengan teknologi terkini Honda, apa salahnya. Anda dapat prestasi maksima dan penjimatan jangka masa panjang.

Cuma kalau penulis beli Civic e:HEV RS, mungkin penulis akan tukar rimnya dengan varian petrol RS, itu sahaja.

Spesifikasi Honda Civic e:HEV RS

Harga: RM166,500
Enjin: 2.0-liter DOHC (kitaran Atkinson)
Kotak gear: e-CVT
Kuasa: 184hp @ 5,000-6,000rpm
Tork: 315Nm @ 0-2,000rpm

Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid SUV terpaling alim! – Pandu uji

DALAM sesuatu segmen kenderaan, pasti ada model yang menyerlah. Mungkin disebabkan rupa yang sporti dan agresif, atau kerana harga sangat berbaloi, atau boleh jadi kerana sebab apa pun.

Untuk Toyota Corolla Cross ini, ia sedikit ‘play safe’, malah mungkin terlebih sampaikan brek parkir pun masih perlu tekan di kaki macam Perodua Alza 2009!

Corolla Cross berada dalam segmen SUV B atau B+, bersama model-model seperti Proton X50, Honda HR-V, Hyundai Kona, dan Peugeot 2008. Jadi dengan melihatkan model-model ini, sudah nampak betapa konservatifnya Corolla Cross.

SUV yang alim?

Konservatif tidak semestinya ia membosankan atau tidak menarik. Toyota Corolla Cross Hybrid ini masih seronok dipandu dan jika betul-betul ‘disesah’ di selekoh, akan menurut peritah anda dan menakluki selekoh itu dengan bersahaja.

Ini kerana Corolla Cross dibina pada pelantar Toyota New Global Architecture (TNGA), lebih tepat lagi TNGA-C. Ya, pasti anda yang mengikuti perkembangan automotif sudah lali dengar istilah TNGA ini. Penulis tak mahu cerita mendalam bab ini, anda Google sendiri.

Secara asasnya, pelantar TNGA membolehkan kereta-kereta Toyota sekarang mempunyai kabin luas, rasa pemanduan mantap dan ‘solid’, serta pada masa yang sama, selamat.

Cuma bab alim di sini adalah dari segi rekaan luar dan dalam. Segala garisan dan bentuk pada Corolla Cross ini nampak biasa dan seperti boleh dijangka, tiada kejutan.

Bentuk gril depan, lampu depan, garisan tingkap sisi, bumbung, segalanya sangat tradisional. Ibaratnya jika anda lihat bentuk bayang Corolla Cross ini, mirip dengan kebanyakan SUV sedekad yang lepas.

Pada penulis, sedikit elemen unik pada Corolla Cross ini adalah bentuk seakan ‘otot’ pada fender depan dan belakang. Nampak bergaya dan memberikan ilusi pemanduannya yang stabil dan sporti.

Corolla Cross, ambil hibrid atau tidak?

Ini antara soalan popular bila melihat pada Toyota Corolla Cross. Penulis pernah memandu kedua-dua varian iaitu 1.8V biasa (RM129,000) dan 1.8 Hybrid (RM136,500), dan penulis boleh katakan versi Hybrid lebih seronok dipandu.

Ini kerana anda dapat sistem hibrid yang membantu memberi kuasa tambahan pada masa enjin tidak berada pada output optima. Enjin 1.8-liter pada Corolla Cross Hybrid menjana 97hp dan 142Nm sahaja, tetapi motor elektrik memberi tenaga sokongan sebanyak 163Nm.

Pada saat anda mula bergerak, ia akan dipacu oleh motor elektrik jadi pecutan terasa bertenaga, responsif tetapi senyap. Ya, kerana enjin tidak hidup. Dan bila anda memerlukan kuasa maksima sebagai contoh hendak memotong, enjin dan motor elektrik akan bergabung memberikan output penuh.

Sistem hibrid padanya juga tidak memeningkan kepala kerana ‘bekerja’ di sebalik tabir sahaja. Komputer akan menentukan sendiri bila hendak menggunakan motor elektrik, bila hendak menggunakan enjin, atau bila perlu dicaj. Tugas anda hanya tekan pedal minyak.

Anda juga akan dapat penjimatan dengan hibrid, sepanjang beberapa hari penulis memandu, dengan mudah boleh dapat lebih 15km per liter. Dan ini untuk pemanduan biasa, ada kelajuan tinggi, bawa penumpang, dan melalui kawasan sesak.

Untuk perbandingan, jujur kata tak dapat dibuat kerana semasa penulis memandu uji versi 1.8V biasa, ia hanya dalam sesi media dan kami tidak berkesempatan membuat bacaan penggunaan bahan api.

Harus ditekankan juga walaupun Corolla Cross Hybrid mendapat banyak maanfaat hibrid seperti kabin yang lebih senyap, lebih penjimatan, dan pemanduan lebih menyeronokkan, ia tidak dikenakan ‘hukuman’ berat yang lebih tinggi.

Sebaliknya, versi Hybrid hanya 30kg lebih berat dari 1.8V biasa, bukannya tambahan beberapa ratus kilogram seperti kereta hibrid lain. Jadi ini sebenarnya satu pencapaian dari sudut kejuruteraan, bagi mereka yang faham.

Penulis faham bahawa ramai yang risau akan bateri, bila bercakap mengenai hibrid. Mudah sahaja, bateri sekarang teknologinya bukan seperti 10 atau 15 tahun dahulu. Bateri hari ini lebih ringan, lebih berkuasa, dan lebih tahan. Toyota juga memberikan jaminan 8 tahun untuk bateri Corolla Cross ini.

Jika anda sering terfikir untuk mencuba kenderaan hibrid, inilah masa paling sesuai.

Praktikal untuk kegunaan seharian

Toyota Corolla Cross mampu melaksanakan tugas seharian sebagai sebuah SUV yang sangat praktikal dan mudah dipandu.

Saiznya tidak terlalu besar, mudah untuk dikendalikan di kawasan bandar. Ia juga cukup senyap, menjadikan Corolla Cross Hybrid satu kenderaan ideal untuk perjalanan jauh bersama keluarga.

Bab keselamatan? Oh semua ada, jangan risau, Corolla Cross Hybrid dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense. Kegemaran penulis adalah Dynamic Radar Cruise Control yang membuatkan perjalanan jauh kurang memenatkan, dan Lane Tracing Assist (LTA) yang boleh diakses dengan mudah di stereng.

Kesimpulan

Toyota Corolla Cross sebuah SUV yang ‘alim’, cukup sempurna untuk kenderaan harian dan hujung minggu. Ia menjimatkan bahan api, praktikal, dan seronok dipandu (dalam konteks SUV).

Cuma brek parkir kaki sahaja yang masih pelik bagi penulis.

Spesifikasi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid

Harga: RM136,550
Enjin: 1.8-liter 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: e-CVT
Kuasa: 97hp @ 5,200rpm
Tork: 142Nm @ 3,600rpm
Output motor elektrik: 163Nm
Kapasiti bateri: 1.3kWh

Proton X90 bakal dapat enjin mild-hybrid 190hp/300Nm, 4 varian, lancar sebelum Raya?

ANDA pasti telah banyak melihat gambar-gambar intipan Proton X90 di media sosial, dan nampaknya SUV segmen-D itu bakal dilancarkan tidak lama lagi. Menurut beberapa sumber yang dilaporkan oleh Wapcar, Proton X90 mungkin memasuki pasaran dalam suku pertama ini.

Gambar oleh: Sam Ho

X90 juga dikatakan bakal menjadi model hibrid pertama Proton. Tetapi ia bukanlah hibrid sepenuhnya seperti Toyota Corolla Cross dan Honda HR-V, sebaliknya X90 akan menampilkan sistem mild hybrid (MHEV) 48 volt.

Gambar oleh: Adi Irfan

Unit yang akan digunakan ialah BSG (belt starter generator) Geely, dipadankan pada enjij 1.5-liter turbo. Secara umumnya, BSG akan memberi bantuan kuasa sementara semasa pecutan untuk merendahkan penggunaan bahan api, selain mengembalikan kuasa semasa coasting (meluncur).

Menurut Funtasticko, output gabungan BSG dan enjin adalah sekitar 190hp dan 300Nm tork. Kuasa ini dijangkan disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan, iaitu transmisi sama pada X50 dan X70 MC2.

Gambar oleh: Adi Irfan

Funtasticko juga menambah bahawa Proton X90 akan ditawarkan dengan empat varian (Standard, Executive, Premium, dan Flagship), dengan enam warna badan termasuk satu warna baharu Deep Marine Blue.

Tiada harga anggaran didedahkan, tetapi apa pendapat anda mengenai Proton X90 setakat ini? Kami jangkakan ia dijual pada harga anggaran sekitar RM120k hingga RM145k.

Maserati Grecale GT pesaing Porsche Macan kini dengan sistem hibrid, dari RM598k

MASERATI Grecale GT Hybrid hari ini tiba secara rasmi di Malaysia, dibawa masuk oleh Naza Italia. Ianya merupakan varian hibrid untuk SUV premium kompak itu yang mula dilancarkan di peringkat global tahun lepas.

Untuk pengetahuan, nama Grecale mengambil inspirasi dari nama angin kuat Timur Laut di Mediterranean, dan model ini berada di bawah Levante. Grecale juga disasarkan kepada SUV premium seperti Porsche Macan.

Satu aspek utama sebuah Maserati ialah enjinnya, Grecale mempunyai tiga pilihan enjin seluruh dunia. Untuk pasaran Malaysia, Grecale GT dikuasakan oleh unit 2.0-liter 4-silinder turbo petrol yang mampu menghasilkan 296hp dan 450Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan sistem hibrid 48volt dengan Belt Starter Generator (BSG), eBooster dan juga pengubah DC/DC. BSG berfungsi sebagai alternator bagi mengecaj bateri yang akan membekalkan kuasa kepada eBooster, membantu enjin sebelum turbo spool.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan, membolehkan Grecale GT Hybrid memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 5.6 saat, serta mencapai kelajuan maksima 240km/j.

SUV ini dibekalkan dengan empat mod pemanduan – Comfort, GT, Sport dan Off-Road. Terdapat juga Vehicle Dynamic Control Mode (VDCM) yang merupakan evolusi dari Chassis Domain Control Module (CDCM) dari supercar MC20.

Dari segi rupa, Grecale GT Hybrid mendapat penggayaan dari MC20 dengan hidung dan gril agresif, dengan kemasan krom untuk GT, manakala kemasa hitam utnuk Modena dan Trofeo. Ciri utama lain adalah bumbung yang menurun perlahan, pembuka pintu tersorok, dan tiga corong di fender serta logo Trident di tiang-C.

Di dalam pula, Maserati Grecale GT dilengkapi jam digital dengan fungsi Kompas, meter G-force, paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainmen tengah 12.3-inci, dan satu lagi skrin di bawah bersaiz 8.8-inci.

Kelengkapan lain adalah sambungan Android Auto dan Apple Carplay, sistem telematik Maserati Connect, dan pilihan sistem audio dengan 14 atau 21 pembesar suara.

Maserati Grecale GT Hybrid berharga dari RM598,000 termasuk duti dan cukai, dengan jaminan tiga -tahun tanpa had perbatuan. Ia boleh didapati dalam warna Bronzo Opaco, Blu Intenso, Bianco Astro, dan Bianco.

Inilah rupa jelas Honda CR-V Hybrid Racer berkuasa 800hp, masih ada rel bumbung!

ANDA masih ingat Honda CR-V hardcore berkuasa 800hp yang kami siarkan beberapa minggu lepas? Inilah dia rupa penuh SUV gila yang penuh dengan gentian karbon dan spoiler besar.

Ianya diberi nama Honda CR-V Hybrid Racer, satu unit sahaja dibina, dan merupakan projek hasil kerjasama beberapa jabatan dalam syarikat itu yang diketuai oleh jurutera-jurutera Honda Performance Development (HPD).

Disebabkan rupanya yang cukup hardcore dan sedia untuk menyerang litar lumba, anda takkan jumpa CR-V ini di bilik pameran biasa. Ianya akan melawat beberapa acara IndyCar di Amerika Syarikat tahun ini.

Jentera ini boleh dikatakan seperti ‘kulit’ SUV dengan sebuah supercar di bawahnya. Ya, casis bawah CR-V ini sebenarnya adalah kereta berprestasi tinggi.

Di sebalik panel badan, pintu rama-rama dan fender besar, terdapat casis tiub kustom yang menjadi asas kepada jentera ini. Pintu belakang CR-V ini – seperti dapat dilihat – tidak boleh dibuka, sebaliknya disekalikan dengan clamshell belakang.

Di dalam sinilah terletaknya transmisi 6-kelajuan Xtrac, disambungkan kepada enjin V6 hibrid twin-turbo. Enjin ini merupakan unit 2.2-liter yang menggunakan bahan api mapan Shell sepenuhnya.

Presiden HPD, David Salters mengesahkan pakej ini menjana 800hp, tetapi tidak mendedahkan pecahan kuasa dari enjin dan sistem hibrid.

Tetapi sistem elektrik hibrid padanya tidak menggunakan bateri, sebaliknya sistem simpanan superkapasitor yang mampu memberikan boost kuasa tambahan dalam masa yang singkat. Ia juga membantu menjimatkan penggunaan petrol.

“Sebab utama ia menggunakan kuasa superkapasitor ialah ianya bagus untuk kuasa tinggi, dan juga selamat. Kami juga dapat belajar banyak darinya,” kata Salters.

Honda juga ada menggelarkan projek CR-V ini sebagai makmal bergerak, kerana banyak yang sedang mereka pelajari darinya. Mungkin ada teknologi padanya yang boleh digunakan pada perlumbaan masa akan datang, siapa tahu.

Kelengkapan lain pada CR-V Hybrid Racer ini termasuklah brek Brembo 15-inci dari NSX GT3, suspensi Dallara IR-18, dengan tayar bersaiz 285/35 di depan dan 305/35 di belakang. Dengan splitter depan dan spoiler belakang yang agresif, kita tahu ia pasti laju di selekoh.

“Buat masa sekarang, kami fokus kepada elektrifikasi, pengurusan kuasa, semua ini untuk penggunaan lumba dan juga kereta jalanan,” terang Salters.

Porsche kata one-pedal driving dalam EV tidak begitu bagus

KEBANYAKAN kereta elektrik (EV) hari ini menawarkan fungsi yang dikenali sebagai one-pedal driving. Ia bermakna motor elektrik bertindak sebagai generator sebaik sahaja anda melepaskan pedal ‘minyak’, mmeperlahankan kereta dan menambah semula tenaga kepada bateri, lantas memberikan jarak tambahan tanpa perlu memasang kabel pengecaj.

Tetapi Porsche – yang mengeluarkan EV Taycan dan banyak model emisi sifar lain – mendakwa ianya tidak begitu cekap untuk jangka masa panjang. Mereka berkata ada cara lain untuk pergi lebih jauh dengan EV, iaitu dengan coasting sebanyak mungkin.

Semasa coasting, motor elektrik dipisahkan untuk mengurangkan seretan, membolehkan kereta terus bergerak dengan menggunakan tenaga minima. Porsche berkata ini “proses lebih semula jadi untuk membolehkan kereta terus bergerak tanpa sebarang kuasa”.

“Ini ialah cara lebih cekap untuk memandu, kerana ia mengekalkan tenaga kinetik dalam kenderaan,” kata Martin Reichenecker, Senior Manager Chassis Testing di Porsche Engineering, dalam satu kenyataan media.

Pengeluar Jerman itu menekankan one-pedal driving mengambil tenaga dahulu dan kemudian mengubahnya kepada tenaga gerak, menjurus kepada “dua kali kerugian”, kata Reichenecker.

Pendekatan ini agak jelas dalam barisan model Porsche, dimana Taycan atau Macan EV yang akan datang kedua-duanya tidak menampilkan ciri one-pedal driving. Mereka juga berpendapat cara pemanduan ini (coasting) memberikan karakter lebih mirip dengan kereta pembakaran dalaman (ICE).

Tetapi, brek regenerative masih menjadi sebahagian besar untuk Taycan. Malah, Porsche berkata sehingga 90 peratus dari brek harian boleh dibuat oleh motor elektrik sahaja, tanpa perlu mengaktifkan sistem brek hidraulik.

Brek geseran digunakan kebanyakannya pada kelajuan bawah 5km/j dimana motor elektrik tidak mempunyai kuasa nyahpecutan yang cukup.

Pada kelajuan tinggi, Porsche Taycan Turbo S menjana sehingga 290kW kuasa elektrik semasa membrek, cukup untuk mengisi semula bateri untuk tambahan 0.7km dalam hanya nyahpecutan selama dua saat.

Satu lagi kebaikan brek elektrik ialah kurangnya haus pada sistem brek hidraulik, jadi servis berkala cakera dan pelapik brek boleh dianjakkan, tidak sekerap kereta ICE.

Apa pendapat anda mengenai dakwaan Porsche ini?

Maserati Levante GT Hybrid kini di Malaysia, dengan 330hp dan supercharger elektrik eBooster

MASERATI Levante kini hadir dengan varian baharu, iaitu GT Hybrid, dilancarkan oleh Naza Italia. Varian ini menjadi tambahan selepas Ghibli Hybrid yang diperkenalkan sebelum ini.

Seperti pada namanya, ciri utama sudah tentulah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dengan mild hybrid 48V. Menurut Maserati, enjin 2.0 4-silinder ini memberikan kelancaran enjin 6-silinder dengan rev rendah seperti diesel.

Enjin ini juga 20kg lebih ringan dari 6-silinder, sementara bateri diletakkan di belakang untuk agihan berat lebih baik, menjanjikan pemanduan menyeronokkan.

Dari segi angka, Lavente GT Hybrid mempunyai output 330hp dan 450Nm tork, membolehkannya memecut ke 100km/j dalam 6.0 saat, dengan kelajuan maksima 245km/j.

Sistem mild hybrid 48V pula menggunakan Belt Starter Generator (BSG) dan supercharger elektrik eBooster untuk menghantar kuasa sebelum turbonya ‘masuk’. Kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear 8-kelajuan, sistem AWD Q4 dan LSD belakang.

Ciri utama pada Maserati Levante GT Hybrid termasuklah lampu LED matriks, rim aloi 20-inci, suspensi udara boleh-laras, dan sistem keselamatan ADAS.

SUV sport mewah ini juga mendapat logo Trident terkini, yang terdapat pada gril dan tiang-C. Tulisan Maserati di pintu but juga baharu, selain lencana GT di ruang kemasukan udara sisi.

Maserati Levante GT Hybrid 2023 ditawarkan pada harga bermula RM738,000 termasuk cukai dan eksais, sebelum pilihan kustom dan insurans. Harga termasuk jaminan standard tiga tahun tanpa had perbatuan.

Honda Civic kini dengan varian e:HEV RS, 181hp dan 315Nm, RM166,500

HONDA Malaysia mengumumkan kehadiran varian baharu untuk Civic, iaitu e:HEV RS. Tidak seperti Civic RS sebelum ini yang dikuasakan enjin 1.5-liter VTEC Turbo, varian RS e:HEV mendapat enjin 2.0-liter hibrid.

Dari segi teknikal, enjin 2.0-liter itu merupakan unit naturally-aspirated (NA) dengan kitaran Atkinson. Ia menghasilkan 139hp dan 189Nm tork, dan enjin ini sebahagian dari sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD).

Elektrik motor padanya pula menjana 181hp dan 315Nm tork, dan ia menjadi penggerak utama untuk kereta ini.

Ejin petrol tadi menghantar kuasa secara terus kepada tayar depan pada kelajuan lebih tinggi, akan mengunci klac untuk lebih kecekapan.

Sistem ini juga terdiri dari bateri 72 sel baharu, Intelligent Power Unit, dan transmisi E-CVT (electric continuously variable transmission).

Dari segi penampilan luaran, Civic RS hibrid ini mirip dengan versi petrol, tetapi terdapat perbezaan iaitu rim 18-inci dwi-tona, kemasan biru pada lencana Honda, dan emblem e:HEV di belakang. Terdapat juga beberapa krom di gril depan, dalam lampu depan, dan di garisan tingkap.

Civic e:HEV RS juga menjadi model pertama Honda di negara ini yang mendapat Smart Key Card yang berfungsi sebagai pengganti kepada kunci kereta biasa.

Ciri lain termasuklah paparan instrumen digital 10.2-inci, paparan infotainmen 9.0-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar, Remote Engine Start, dan ciri keselamatan Honda Sensing.

Honda Civic e:HEV RS baharu ini ditawarkan pada harga RM166,500 (atas jalan, tanpa insurans) dan boleh didapati dengan empat pilihan warna – Meteoroid Grey Metallic, Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl.

Untuk lebih eksklusiviti, anda juga boleh memilih pakej-pakej seperti Modulo, Modulo Premium, dan Urban.