Arkib Tag: hybrid

Honda Civic kini dengan varian e:HEV RS, 181hp dan 315Nm, RM166,500

HONDA Malaysia mengumumkan kehadiran varian baharu untuk Civic, iaitu e:HEV RS. Tidak seperti Civic RS sebelum ini yang dikuasakan enjin 1.5-liter VTEC Turbo, varian RS e:HEV mendapat enjin 2.0-liter hibrid.

Dari segi teknikal, enjin 2.0-liter itu merupakan unit naturally-aspirated (NA) dengan kitaran Atkinson. Ia menghasilkan 139hp dan 189Nm tork, dan enjin ini sebahagian dari sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD).

Elektrik motor padanya pula menjana 181hp dan 315Nm tork, dan ia menjadi penggerak utama untuk kereta ini.

Ejin petrol tadi menghantar kuasa secara terus kepada tayar depan pada kelajuan lebih tinggi, akan mengunci klac untuk lebih kecekapan.

Sistem ini juga terdiri dari bateri 72 sel baharu, Intelligent Power Unit, dan transmisi E-CVT (electric continuously variable transmission).

Dari segi penampilan luaran, Civic RS hibrid ini mirip dengan versi petrol, tetapi terdapat perbezaan iaitu rim 18-inci dwi-tona, kemasan biru pada lencana Honda, dan emblem e:HEV di belakang. Terdapat juga beberapa krom di gril depan, dalam lampu depan, dan di garisan tingkap.

Civic e:HEV RS juga menjadi model pertama Honda di negara ini yang mendapat Smart Key Card yang berfungsi sebagai pengganti kepada kunci kereta biasa.

Ciri lain termasuklah paparan instrumen digital 10.2-inci, paparan infotainmen 9.0-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar, Remote Engine Start, dan ciri keselamatan Honda Sensing.

Honda Civic e:HEV RS baharu ini ditawarkan pada harga RM166,500 (atas jalan, tanpa insurans) dan boleh didapati dengan empat pilihan warna – Meteoroid Grey Metallic, Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl.

Untuk lebih eksklusiviti, anda juga boleh memilih pakej-pakej seperti Modulo, Modulo Premium, dan Urban.

Produksi Geely RADAR RD6 kini bermula, trak pikap EV untuk gaya hidup outdoor

GEELY telah memulakan pemasangan dan pengeluaran trak pikap elektrik RADAR RD6 yang mula diperkenalkan kira-kira empat bulan lalu. Ia merupakan trak pikap China pertama yang menggunakan platform EV sepenuhnya.

Trak pikap ini menggunakan binaan unibody Sustainable Experience Architecture (SEA) milik Geely. Jadi dari aspek ini, RD6 lebih dekat dengan Proton Arena atau Honda Ridgeline berbanding Toyota Hilux yang menggunakan casis ladder-frame.

Radar RD6 dilengkapi dengan pakej kuasa “tiga-dalam-satu berkuasa-tinggi” 200kW, yang mampu memberikannya pecutan 0-100km/j dalam 6 saat.

Ia menggunakan bateri Ni55 dengan ketumpatan kuasa yang tinggi, membolehkannya mencapai jarak pemanduan sejauh 610km dan mempunyai daya caj maksima sehingga 120kW. Ini bermakna baterinya mampu memberikan jarak 120km selepas mengecaj selama hanya 15 minit.

RADAR RD6 menggunakan suspensi independent di kesemua empat roda, dengan ukuran panjang hampir 5.3 meter, diameter belokan 12.2 meter, dan mendapat sunroof panoramik sebesar 55-inci.

Untuk versatiliti, trak pikap EV ini juga menampilkan tiga ruang kargo utama, termasuk kotak simpanan tersorok di depan bersaiz 70 liter, ruang simpanan di tempat duduk belakang 48 liter, dan ruang kargo utama belakang 1,200 liter.

Terdapat soket nyah-caj berkuasa tinggi 6kW di ruang kargo belakang untuk kegunaan perkakasan dan aksesori elektrik.

Dari segi teknologi, RADAR RD6 dilengkapi dua skrin besar 12.3-inci di kabin dan sebuah skrin 9-inci untuk fungsi head-up dispay (HUD) yang juga menyokong fungsi arahan suara.

Aktiviti luar kini menjadi trend di China, maka pengenalan RADAR ini dikatakan sangat bertepatan dengan permintaan semasa.

Di masa depan juga, jenama ini akan memfokus kepada kenderaan seperti trak pikap EV pelbagai saiz, SUV untuk off-road, ATV, dan sebagainya.

Perodua mulakan kajian pengguna dengan Ativa Hybrid Subscription

PERODUA akan memulakan kajian kenderaan elektrik (EV) pertamanya serta mobility jangka panjang melalui kajian pasaran perkhidmatan melibatkan 300 pelanggan bagi Ativa Hybrid.

Kajian ini terbahagi kepada dua bahagian, yang pertama untuk memahami tingkah laku pemanduan berkumpulan kenderaan hibrid di lokasi seperti Lembah Klang, Johor Bahru, dan Pulau Pinang.

Tujuan lain adalah untuk memahami penerimaan para pengguna terhadap perkhidmatan “langganan” 5-tahun, yang ditawarkan kepada pelanggan di bawah EZ MOBi.

“Perodua Ativa Hybrid adalah kenderaan terbaik untuk kami mendapatkan pandangan unik tingkah laku rakyat Malaysia sebagai kumpulan terawal, kerana data ini akan digunakan untuk mengenalpasti keperluan para pelanggan kami apabila menggunakan EV,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’Sri Zainal Abidin Ahmad.

Perodua Ativa Hybrid menggunakan sistem hibrid bersiri dimana set motor elektrik menggerakkan roda kenderaan manakala enjin bertindak sebagai penjana kuasa untuk mengecaj bateri.

Model ini menggunakan enjin 1.2-liter (WA-VEX), bateri 4.3Ah, dan transmisi HEV Transaxle baharu. Pakej ini membolehkan Ativa Hybrid mendapat kecekapan sehingga 31.3km per liter (berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia).

Beliau berkata, program perintis oleh Perodua ini juga akan membolehkan syarikat itu melihat tahap penerimaan para pelanggan terhadap program langganan jangka panjang sebagai alternatif kepada pembelian dan pemilikan tradisional kereta.

“Walaupun kami percaya bahawa pemilikan kenderaan masih lagi menjadi perniagaan utama kami, namun ada kemungkinan perniagaan langganan kenderaan ini diterima oleh lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.

“Inilah yang kami maksudkan dengan ‘langganan’ – satu perkhidmatan yang mana semua kewajipan lain untuk memiliki kenderaan seperti jadual servis, insurans dan pembaharuan cukai jalan akan diuruskan sepenuhnya oleh kami.

“Apa yang pelanggan perlu lakukan ialah membayar yuran langganan untuk menikmati pakej tersebut,” tambah Dato’ Sri Zainal.

Langganan Perodua Ativa Hybrid

Berminat? Anda tidak boleh beli Perodua Ativa Hybrid ini, sebaliknya hanya ditawarkan dalam program langganan.

Mereka yang layak perlu membuat bayaran RM2,150, dan diikuti RM500 dalam bulan-bulan berikutnya. Ya, itu sahaja.

Bayaran dibuat selama 5 tahun atau 100,000km, yang mana dahulu.

Seperti program-program langganan kenderaan lain, anda tidak perlu risaukan perkara-perkara seperti insurans, cukai jalan, penyelenggaraan dan servis. Sebaliknya, kesemua ini akan diuruskan oleh Perodua.

Selepas 100,000km atau 5 tahun itu tadi, anda harus memulangkan Ativa Hybrid kepada pihak Perodua. Oh ya, model ini merupakan unit CBU dari Jepun dan hanya ditawarkan dalam warna Pearl White.

Dari segi kosmetik, terdapat beberapa perbezaan luaran dan dalaman antara Ativa Hybrid dengan model biasa yang dijual di bilik pameran.

Antaranya adalah rekaan bampar depan dan belakang, rim baharu dan menggunakan lima skru (rim Ativa biasa menggunakan empat skru), dan tiada sebarang identifikasi varian di belakang, hanya tulisan “ATIVA”.

Di bahagian dalam, Ativa Hybrid dilengkapi brek parkir elektronik, sistem pendingin hawa automatik digital, dan beberapa corong udara dalam kabin untuk menyejukkan bateri hibrid di bawah tempat duduk belakang.

Ativa Hybrid juga tidak mempunyai tayar ganti, sebaliknya ruang di bawah tempat kargo menempatkan bateri (yang biasa diletakkan di ruangan enjin), dan kit membaiki tayar di dalam dinding kanan ruang kargo.

Volvo akan perkenal sistem PHEV baharu untuk siri model 60 dan 90 – kapasiti lebih besar, jarak EV lebih jauh

VOLVO Car Malaysia memperkenalkan rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) yang baru dipertingkatkan untuk semua model Recharge T8 mereka bagi jarak pemanduan EV lebih jauh serta prestasi lebih baik.

Ciri utama untuk sistem PHEV baharu nanti termasuklah:

– Bateri 18.8kWh menggantikan 11.6kWh sebelumnya;

– Motor elektrik belakang baharu 145hp berbanding 88hp sebelumnya;

– Jarak EV meningkat sehingga 90km berbanding 40 hingga 49km sebelumnya;

– Pelepasan CO2 lebih baik;

– Jumlah kuasa meningkat sebanyak 462hp berbanding 407hp sebelumnya;

‘One-pedal driving’ pada model XC60 dan S90 PHEV

Dalam bateri jarak jauh baharu, lapisan ketiga sel dibina untuk meningkatkan tenaga nominal daripada 11.6kWh kepada 18.8kWh, memberikan motor elektrik belakang yang lebih berkuasa sebanyak 145hp.

Kuasa elektrik tambahan memberikan jumlah kuasa yang meningkat sebanyak 462hp, menawarkan jarak pemanduan EV lebih besar antara 70 hingga 90km.

“Barisan PHEV baharu kami akan mengubah cara pelanggan kami menikmati pemanduan elektrik,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

“Rangkaian kuasa yang dipertingkatkan membolehkan pelanggan kami memandu secara mampan pada jarak yang lebih jauh, pada masa yang sama memberikan mereka keyakinan jarak yang sesuai dengan keperluan kehidupan seharian mereka.”

Di samping ciri baharu dan dipertingkatkan, Volvo Car Malaysia telah melaraskan harga semua kenderaan mereka mulai 1 Mei 2022 lepas.

Pelarasan harga akan bermula dengan model semasa Volvo iaitu XC40 T5, XC40 Recharge T5, XC60 B5 dan XC90 B5 manakala barisan baharu siri 90 dan 60 akan dijual pada harga baharu selepas ia dilancarkan.

Harga untuk model Recharge T8 semasa kekal sama dan akan dijual sementara stok masih ada.

Filem pendek ‘Kota Raya’ tampil Toyota Corolla Cross Hybrid

UMW Toyota Motor baru-baru ini telah melancarkan kempen Ramadan Raya mereka dengan tema ‘Bersama Lebih Bermakna’.

Bagi meneruskan sambutan di seluruh negara, Toyota juga baru melancarkan filem Pendek Aidilfitri (atau iklan raya) bertajuk ‘Kota Raya’, menampilkan Toyota Corolla Cross Hybrid.

Diilhamkan daripada hubungan kekeluargaan, ‘Kota Raya’ memaparkan suka duka yang dihadapi golongan milenial di kota. Selepas dua tahun tidak dapat meraikan lebaran bersama keluarga pastinya menimbulkan rasa kerinduan.

Kali ini ramai yang tidak sabar-sabar meluangkan masa untuk beraya bersama-sama . Filem pendek ini dibintangi oleh Aedy Ashraf sebagai Aidil, manakala Amerul Affendi pula memainkan watak Fitri.

Turut menampilkan cameo Duta Toyota Gazoo Racing dan Toyota Yaris, Janna Nick sebagai Aqilah.

‘Kota Raya’ boleh ditonton sekarang di saluran YouTube dan platform media sosial lain.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini pasti lebih ceria kerana semua orang berpeluang untuk pulang berhari raya di kampung,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran. K.

“Kami di Toyota mengalu-alukan kedatangan pelanggan kami ke semua pusat servis kami untuk menyenggarakan kereta mereka sebelum pulang ke kampung halaman.

“Perayaan kali ini semestinya disambut bersama keluarga, setelah pulang beraya di kampung tidak dibenarkan dalam tempoh dua tahun lepas. Sudah tentu seronok untuk melihat semua orang kembali beraya bersama keluarga,” katanya.

Promosi Raya

Sempena sambutan ‘Bersama Lebih Bermakna’, semua peminat Toyota dijemput menyertai peraduan ‘Pandu Uji dan Menang Duit Raya’ yang boleh disertai dari sekarang hingga 1 Mei 2022.

Setiap pandu uji yang dilakukan membolehkan pemandu mengambil bahagian dalam peraduan dan memenangi ‘duit raya’ bernilai RM100, manakala pandu uji yang disusuli oleh tempahan yang berjaya akan melayakkan pemilik Toyota peluang menerima duit raya RM200.

Sejumlah 30 pemenang akan dipilih setiap minggu. Demi membawakan sambutan ‘Bersama Lebih Bermakna’ lebih dekat dengan pelanggan, UMW Toyota Motor telah menganjurkan acara Hujung Minggu Ramadan di semua pusat pameran dan jualan baru-baru ini.

Lebih daripada 4,000 pelanggan Toyota menikmati tawaran hebat di samping pelbagai ganjaran nilai tambah lain di bilik-bilik pameran Toyota di seluruh negara.

Harga Honda City Hatchback RS e:HEV diumum – RM107,783 sahaja!

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi City Hatchback varian RS e:HEV, iaitu pada RM107,783.09.

Honda pada Disember 2021 telah melancarkan City Hatchback tetapi harga yang diumum hanyalah untuk varian S (RM75,670), E (RM83,080) dan V (RM87,860). Kini anda yang mahu meminang City Hatchback RS e:HEV bolehlah mula membuat kira-kira atau pecah tabung.

Harga City Hatchback RS ini juga kira-kira hampir RM2,000 lebih tinggi dari City RS sedan yang berharga RM105,950.45.

Berbeza dengan City Hatchback lain, varian RS e:HEV ini merupakan versi hibrid yang dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Sports i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) yang mendapat bantuan kuasa dari dua motor elektrik.

Pakej powertrain ini membekalkan 106hp dan 253Nm, menjadikannya model dengan tork tertinggi dalam kelasnya. Output disalurkan ke roda depan melalui transmisi Electric Continuous Variable Transmission (e-CVT).

Enjin dan dua motor elektrik pada City Hatchback RS e:HEV ini mampu memilih antara tiga mod pemanduan iaitu EV, Hybrid dan Engine yang akan ditukar bergantung kepada situasi.

Gaya dan rekaan City Hatchback mensasarkan pembeli dan gaya hidup golongan muda, maka ia mendapat elemen seperti kemasan hitam pada gril depan, dan cermin sisi. Bampar belakang pula mempunyai diffusor untuk penampilan lebih sporti.

Varian RS e:HEV dan V akan dilengkapi lampu LED untuk kesemua lampu utama, DRL, lampu kabus dan lampu belakang. Pelengkap kepada ciri luaran adalah rim aloi 16-inci.

Satu ciri utama pada bahagian dalaman ialah tempat duduk ULTRA Seats dengan 4 mod yang sinonim dengan Honda Jazz. Dengan mod Utility, Long, Tall atau Refresh, ia akan membolehkan tempat duduk disusun mengikut keperluan dan aktiviti anda.

Ciri lain termasuklah Remote Engine Start, corong pendingin hawa belakang, brek parkir elektronik, dan Honda SENSING yang merangkumi sistem keselamatan termaju seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dan Lane Keep Assist System (LKAS).

Honda City Hatchback juga akan didatangkan dengan LaneWatch (untuk RS e:HEV dan V sahaja) iaitu sistem kamera yang akan memantau titik buta di bahagian kiri kenderaan.

Dalam satu siaran media hari ini, Honda Malaysia juga mendedahkan bahawa mereka telah mengutip lebih 5,200 unit tempahan City Hatchback sejak ia dilancarkan.

Honda City Hatchback RS e:HEV hadir dengan tiga warna iaitu Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic dan Platinum White Pearl.

Toyota Corolla Cross Hybrid dilancar: RM137k, kecekapan 23.3km/L, jaminan bateri 8-tahun

UMW Toyota Motor akhirnya melancarkan Corolla Cross Hybrid hari ini. SUV hibrid ini dipasang secara CKD di kilang Toyota di Shah Alam dan telah mula dibuka tempahannya pada November lepas.

Toyota Corolla Cross ditawarkan pada harga RM136,550 seperti yang dijangka sebelum ini. Harga ini adalah termasuk jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan serta jaminan 8-tahun untuk bateri, inverter dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa. Anda juga boleh melanjutkan jaminan bateri ini ke 10-tahun dengan kos tambahan.

Toyota Corolla Cross Hybrid akan dipacu oleh padanan enjin 2ZR-FXE 1.8-liter 4-silinder kitaran Atkinson bersama sebuah motor elektrik.

Enjin tradisional itu sahaja menjana 98hp dan 142Nm tork, manakala motor elektrik menyumbang tambahan 72hp dan 163Nm tork. Ini memberikan output total SUV ini sebanyak 122hp.

Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi e-CVT, dan kuasa dari motor elektrik dibekalkan oleh bateri nikel-metal hydride berkapasiti 6.5Ah. Menurut Toyota, SUV ini mampu mencapai kecekapan penggunaan bahan api sehingga 23.3km per liter.

Toyota Corolla Cross Hybrid ini dapat dikenalpasti dengan beberapa elemen berwarna biru di sekitar badannya selain emblem ‘HYBRID’ di pintu but belakang.

Kelengkapan lain adalah lampu depan Bi-LED dengan kemasan biru, gril berwarna Gun Metallic, cermin sisi berkuasa, dan antena sirip jerung.

Di dalam, Corolla Cross Hybrid dilengkapi suis mod pemanduan (Eco, Sport dan EV), paparan MID 7-inci, sistem pendingin hawa automatik dwi-zon, tempat duduk balutan kulit, paparan infotainmen 9-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, perakam video digital, serta Vehicle Telematics System.

SUV ini juga didatangkan dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dengan bantuan stereng, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist (LTA) dan Automatic High Beam (AHB).

Harga rasmi Volvo V60 2022 diumum – RM287k, varian tunggal Recharge T8 Inscription

SELEPAS menyiarkan beberapa gambar Volvo V60 baharu di laman sosial, Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan harga rasmi untuk wagon itu, iaitu RM287,434.

Ia hadir dalam varian tunggal Recharge T8 Inscription iaitu trim paling mewah dalam Volvo, tidak seperti S60 sedan yang mendapat kit badan R-Design.

Recharge T8 juga bermakna ini varian dengan janaan kuasan plug-in hibrid (PHEV). Ini merangkumi enjin Drive-E 2.0-liter yang menghasilkan 320hp dan 400Nm tork, kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan.

Ini dibantu dengan motor elektrik di roda belakang berkuasa 87hp dan 240Nm, menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda (AWD). Output total pula ialah setinggi 407hp dan 640Nm.

Pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.6 saat dengan kelajuan maksima dihadkan pada 180km/j – sejajar dengan inisiatif Volvo.

Perbezaan utama dengan sedan pastinya kapasiti kargo wagon ini yang lebih besar iaitu 529 liter berbanding 442 liter pada S60. Tempat duduk belakang juga boelh dilipat 60:40 untuk memberikan but seluas 1,441 liter.

Ciri lain termasuklah rim lima-bilah 19-inci, kemasan kulit Charcoal dan Linear Lime, skrin infotainmen menegak 9.7-inci dengan perisian Sensus, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, lampu LED adaptif, rel bumbung berwarna perak, tombol gear Orrefors, paparan instrumen 12.3-inci, dan sistem audio Harman Kardon.

Dan sudah tentu, Volvo V60 dilengkapi ciri keselamatan Pilot Assist yang memberikannya kebolehan pemanduan kendiri Level 2.

Volvo V60 Recharge T8 baharu ini dilindungi dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan jaminan bateri lapan-tahun atau 160,000km.

Toyota Vios dan Hilux masih king dalam segmen masing-masing!

UMW Toyota menutup tirai 2021 dengan jualan memberangsangkan untuk setiap segmen bagi kategori jenama bukan nasional.

Toyota masih menjadi jenama paling laris untuk keseluruhan bukan-nasional, dan juga bagi segmen-B, trak pikap dan hatchback.

Toyota Vios terus menjadi model Toyota paling laris dengan 31 peratus jumlah jualan adalah dari model ini. Hilux pula masih raja trak pikap dalam segmennya di Malaysia.

Untuk sepanjang 2021, Toyota merekodkan jualan sebanyak 72,394 iaitu peningkatan 22 peratus berbanding 2020.

Jualan bulan Disember juga mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 9,289 unit berbanding 9,246 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Toyota kini sedang giat mempersiapkan untuk 2022 dengan mobiliti lestari, bermakna kenderaan hibrid dan elektrik (EV).

Menurut Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, tempahan untuk Corolla Cross Hybrid terus meningkat sejak tempahannya dibuka beberapa bulan lepas.

SUV hibrid CKD (pemasangan tempatan) pertama syarikat itu dijangka dilancarkan dalam masa terdekat ini.

Corolla Cross Hybrid dilancar pertengahan Januari, harga RM137,000?

MODEL Toyota Corolla Cross Hybrid bakal dilancarkan di Malaysia pada 14 Januari ini.

Tarikh itu diumum Toyota Malaysia menerusi satu hantaran teaser di laman Facebook rasminya.

Sejak tempahan dibuka pada Oktober tahun lalu, model ini dijangka ditawarkan pada harga RM137,000 (tidak termasuk insuran).

Toyota Corolla Cross Hybrid menggunakan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson empat-silinder petrol.

Berdasarkan penggunaan enjin tersebut, ia mampu menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm tork pada 3,600 rpm. 

Menerusi bantuan motor elektrik 53 kW (72 PS) dan 163 Nm juga, keseluruhan sistem kereta ini menghasilkan 122 PS yang mana kuasa dihantar ke roda depan melalui e-CVT.

Sementara itu, bateri nickel-metal hydride 6.5 Ah mempunyai jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan.

Para pelanggan berminat melanjutkan jaminan bagi bateri hibrid selama dua tahun lagi boleh berbuat demikian dengan membayar sekitar RM2,950.

Berikut merupakan ciri lain terdapat pada Toyota Corolla Cross Hybrid:-

  • Paparan multi-maklumat tujuh-inci di kluster instrument 
  • Peninjau pandangan panoramik 3D (PVM)
  • Peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang
  • Sistem Telematik Kenderaan (VTS)
  • Sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense

Terdapat lima pilihan warna untuk versi hybrid iaiatu Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic, Platinum White Pearl dan Silver Metallic.

Warna Celestite Grey Metallic pula ditawarkan untuk varian hibrid.

Recall bagi Nissan X-Trail 2.0L Hybrid untuk isu kabel elektrik

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhn (TCEAS) mengumumkan kempen recall (panggil semula) bagi model Nissan X-Trail 2.0L Hybrid. Recall ini bertujuan penukaran Engine Room Harness – Hybrid Power Line.

Unit yang terlibat adalah yang dikilangkan dari Jun 2018 hingga Mei 2021 dan pelanggan berkenaan akan dimaklumkan melalui surat, SMS atau Whatsapp. Mereka akan disarankan untuk ke wakil servis terdekat untuk temujanji.

Kenderaan yang dikeluarkan bermula Jun 2021 tidak terlibat dengan kempen ini. Semua kos dan caj melibatkan komponen dan upah di bawah kempen ini akan ditanggung sepenuhnya oleh TCEAS.

Beberapa cawangan pusat servis TCEAS juga akan melanjutkan oeprasi mereka dan dibuka 365 hari setahun bagi memudahkan pelanggan membuat temujanji hari minggu atau semasa cuti umum.

Untuk maklumat lanjut, hubungi hotline di 1-800-88-3838.

Perodua buat kajian pasaran, bakal perkenal Ativa hybrid?

SYARIKAT Perodua mengesahkan sedang menguji kenderaan jenis Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid sebagai sebahagian daripada rancangan kajian pasaran di negara ini.

Presiden merangkap CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, unit ujian Daihatsu Rocky Hybrid itu akan dinilai dan sebarang perincian lanjut bakal diumumkan kelak.

Katanya, ujian itu penting bagi mendapatkan maklum balas daripada para pelanggan termasuk pihak berkepentingan lain.

“Perodua menjalankan kajian pasaran serta meninjau sejauh mana penerimaan (hybrid) di Malaysia.

“Ia termasuk takat harga yang boleh diterima serta melihat sama ada model hybrid kami mampu menepati peraturan dan keperluan badan kawal selia yang ada,” katanya.

Zainal berkata demikian pada ketika majlis memperkenalkan model Perodua Myvi 2022, semalam.

Sebelum ini, sebuah model Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid kelihatan di jalan raya sekitar Kuala Lumpur lalu tular di media sosial.

Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh hybrid mempunyai persamaan dengan sistem terdapat pada e-Power Nissan.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini mempunyai kuasa 106 PS pada 170 Nm dengan enjin WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder.

Bagi enjin petrolnya pula, ia menghasilkan 82 PS pada 5,600 rpm dan 105 Nm tork dari 3,200 hingga 5,200 rpm.

Daihatsu memaklumkan antara kelebihan lain terdapat pada sistem ini adalah bateri lithium-ion yang bersaiz kecil selain menjimatkan kos.

Toyota Corolla Cross Hybrid dibuka tempahan untuk Malaysia, harga dari RM137k

SELEPAS beberapa teaser sebelum ini, berita mengenai elektrifikasi Toyota di Malaysia semakin jelas. Mereka mendedahkan bahawa Toyota Corolla Cross Hybrid kini telah dibuka untuk tempahan!

Perkembangan ini sejajar dengan hasrat dan usaha UMW Toyota Motor untuk membawakan teknologi Hybrid Electric Vehicle (HEV) yang lebih cekap dan maju untuk Malaysia.

Menariknya, selain mengumumkan tempahan Corolla Cross Hybrid itu, poster di laman web Toyota juga menunjukkan mereka menawarkan jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan untuk sistem hibridnya!

Ini merangkumi bateri hibrid, inverter, dan ECU untuk kawalan pengurusan sistem. Jaminan ini juga boleh dilanjutkan kepada dua tahun lagi.

Toyota Corolla Cross Hybrid akan dipacu oleh padanan enjin 2ZR-FXE 1.8-liter 4-silinder kitaran Atkinson bersama sebuah motor elektrik.

Enjin tradisional itu sahaja menjana 98hp dan 142Nm tork, manakala motor elektrik menyumbang tambahan 72hp dan 163Nm tork. Ini memberikan output total SUV ini sebanyak 122hp.

Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi e-CVT, dan kuasa dari motor elektrik dibekalkan oleh bateri nikel-metal hydride berkapasiti 6.5Ah.

Antara ciri kelengkapan yang dapat dijangkakan pada Corolla Cross Hybrid ini adalah suis mod pemanduan (Eco, Sport dan EV), paparan MID 7-inci, pakej keselematan Toyota Safety Sense (TSS), Blind Spot Monitor dengan Rear Cross Traffic Alert, paparan panoramik 3D, dan Vehicle Telematics System.

Toyota Corolla Cross mula dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu dengan pilihan enjin petrol 1.8-liter berkuasa 139hp dan 172Nm.

Versi hibrid pula telah membuat kemunculan di beberapa pasaran sekitar ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Toyota Corolla Cross Hybrid akan dijual pada harga bermula RM137,000. Jika anda berminat, anda boleh lawati laman web dan membuat tempahan di https://toyota.com.my/vehicles/suv/corolla-cross-hybrid.

UMW Toyota dedah lagi perincian elektrifikasi mereka di Malaysia – Corolla Cross hibrid bakal dilancar?

UMW Toyota meneruskan lagi siri teaser atau acah mereka dengan memberi lebih perincian mengenai hala tuju elektrifikasi mereka di Malaysia – secara praktikal, mampu milik, realistik dan  cepat.

Menerusi beberapa keping imej yang dibekalkan, dapat dilihat bentuk badan sebuah SUV yang kami yakin merupakan model Corolla Cross. Jadi, hampir jelas di sini bahawa SUV itu akan ditawarkan dalam versi hibrid tidak lama lagi dan dipasang di Malaysia (CKD).

Semakan di laman web UMW Toyota juga mengesahkan perkara ini, malah mereka menayangkan kiraan masa countdown untuk pelancaran model itu, iaitu kira-kira 16 hari dari sekarang (14 Oktober 2021).

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata: “Untuk masa terdekat ini, kamisangat positif yang HEV menjadi pilihan realistik dan paling mudah dicapai untuk pelanggan di Malaysia dari segi praktikaliti dan prasarana, dengan potensinya yang juga sangat besar di Malaysia.

“Ia menjadi jambatan yang sangat realistik ke arah elektrifikasi kenderaan sementara usaha masih dijalankan untuk membolehkan BEV menjadi kenyataan, misalnya aspek pengurangan kos, penambahbaikan campuran tenaga dan pembangunan prasarana,” ujarnya.

Toyota Corolla Cross Hybrid. Sumber: Toyota Thailand

Beberapa pasaran lain di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand telah menerima Toyota Corolla Cross Hybrid yang dikuasakan enjin 1.8-liter kitaran Atkinson yang menjana 98PS dan 142Nm tork, serta digabungkan dengan motor elektrik.

UMW Toyota berkongsi beberapa ciri utama sistem hibrid mereka:

Dwi-kuasa: Menggabungkan enjin petrol yang cekap dengan dua motor elektrik. Pakej ini akan berfungsi dengan harmoni untuk memberikan kombinasi prestasi dan kecekapan optima.

Senyap: Definisi baharu terhadap tahap keselesaan dan prestasi, dimana prestasi tinggi tidak semestinya bermakna enjin bising dan tidak selesa.

Ketahanan: Dibangun berdasarkan reputasi Toyota yang menawarkan kenderaan supaya boleh diharap dan tahan lasak, generasi baru HEV ini mampu bertahan ketika diuji di hadapan masa, permukaan jalan dan jarak.

Lebih bersih dan mesra alam: Strateginya adalah untuk membangunkan kenderaan yang tidak hanya menghasilkan kurang pembebasan gas, tetapi untuk menerapkan proses dan teknologi baru untuk mengurangkan jumlah sumber dan tenaga yang diperlukan dalam pengeluaran kenderaan tersebut.

Teknologi juara: Toyota telah menguji teknologi elektrifikasi mereka malah memenangi perlumbaan berprestij LeMans dengan jentera RS050 Hybrid mereka. Teknologi ini akan diadaptasi kepada kenderaan yang anda boleh beli dari bilik pameran.

Nantikan laporan berikutnya apabila Toyota Corolla Cross Hybrid ini dilancarkan nanti.