fbpx

Porsche Taycan Turbo S kereta keselamatan terbaharu Formula E 2022

porsche taycan turbo s formula e 02

KEJUARAAN Formula E akan membuka tirai musim kelapan pada 28 dan 29 Januari depan di Diriyah, Arab Saudi. Untuk musim kali ini, siri perlumbaan elektrik itu akan menampilkan kereta keselamatan baharu yang tidak lain tidak bukan iaitu Porsche Taycan Turbo S.

Pemilihan supercar elektrik dari Stuttgart itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana ia dilihat mempunyai segala kriteria yang diperlukan untuk menggalas tugas sebagai kereta keselamatan Formula E dengan sempurna.

Merupakan varian tertinggi dalam barisannya, Taycan Turbo S dikuasakan oleh sepasang motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 761PS.

Dengan adanya sistem pacuan semua roda dan Launch Control, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 2.8saat dan mencapai kelajuan maksimum 260km/j.

Penukaran Taycan Turbo S kepada sebuah kereta keselamatan yang diiktiraf FIA memerlukan beberapa modifikasi termasuk pemasangan roll cage dan tempat duduk bucket dengan tali pinggang keledar enam poin.

Tidak dilupakan juga adalah abah-abah pendawaian untuk sistem lampu, sistem pengelog Marelli, sistem komunikasi dan alat pemadam api.

Bukan itu sahaja, penampilan kereta elektrik ini juga diberi sentuhan segar menerusi livery unik yang menampilkan gabungan warna kesemua 11 pasukan yang bertanding dalam kejohanan itu, serta warna rasmi FIA dan Formula E.

Menurut Porsche, livery ini ialah simbol komitmen semua pihak yang terlibat dalam Formula E dan juga hala tuju masa depan perlumbaan motor elektrik sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, ia turut melahirkan ekspresi visual nilai-nilai sosial seperti kepelbagaian dan komuniti. Nombor 22 yang digunakan pula merujuk kepada bilangan pelumba yang bertanding pada musim ini.

Selepas Diriyah, Formula E akan menuju ke Mexico City diikuti dengan Cape Town, yang bakal menjadi hos kepada Kejohanan Dunia FIA untuk kali pertama sejak Grand Prix Afrika Selatan 1993. China juga akan kembali ke kalendar Formula E pada Mac 2022, sebelum Rom dan Monaco.

Pada Mei, Formula E akan beraksi di Berlin, diikuti dengan Vancouver sebagai lokasi baharu yang kedua untuk musim ini. Seterusnya, New York akan menyaksikan saingan double header, begitu juga dengan London dan penutup tirai iaitu Seoul.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved