fbpx

Polis cari ketua kelab ‘bangsa H’ yang terlibat letak kenderaan di tepi jalan Temiang-Pantai

honda lebuhraya temiang

SEKUMPULAN individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat selepas gambar mereka berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di Lebuh Raya Temiang-Pantai tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, tindakan itu diambil setelah pihaknya mengesan gambar yang tular itu.

Gambar berkenaan memaparkan sekumpulan individu dipercayai dari sebuah kelab kereta yang berkumpul di sepanjang lorong kecemasan untuk merakam gambar di Lebuh Raya Temiang-Pantai pada Sabtu lalu kira-kira jam 6:30 petang.

“Polis sudah mengenal pasti 48 buah kenderaan yang berhenti di situ dan sebagai permulaan ketua kelab bersama admin Facebook kelab berkenaan akan dipanggil memberi keterangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain yang menggunakan laluan ini dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mana-mana individu di bawah Kaedah 53(1) LN 166/59 Peraturan-peraturan Lalulintas.

“Kaedah itu menjelaskan tiada kenderaan daripada apa-apa kelas atau perihal yang ditentukan boleh dipandu, ditunda, ditolak, diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” ujar Mohd Fazley.

Selain itu, di bawah Kaedah 53(4) LN 166/59 Peraturan-peraturan Lalulintas, bagi maksud Kaedah-Kaedah ini, ‘lorong kecemasan’ ertinya lorong tambahan atau bahu jalan di sebelah kiri jalan raya selorong, dua lorong, tiga lorong atau empat lorong di Jalan Persekutuan yang ditentukan sebagai lorong kecemasan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved