fbpx

Toyota Corolla Cross akhirnya dilancar di Jepun, ada pilihan 4WD dan hibrid, dari RM75k

toyota corolla cross jepun 2021 01

SETELAH dilancarkan di pasaran-pasaran seperti Thailand, Malaysia dan juga Amerika Utara, Toyota Corolla Cross akhirnya ‘mendarat’ di negara kelahirannya iaitu Jepun. Bagaimanapun, model JDM ini mempunyai reka bentuk bahagian hadapan yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan model pasaran lain.

Rekaan lampunya masih sama namun seperti yang boleh dilihat, grilnya lebih kecil dan diletakkan pada kedudukan yang lebih rendah. Bukan itu sahaja, logo konvensional Toyota telah digantikan dengan logo khusus Corolla seperti yang digunakan oleh Corolla Touring dan Corolla Sport di Jepun.

Lampu belakang turut diberikan penampilan lebih segar menerusi grafik baharu, manakala bampar belakang kini dihiasi dengan kemasan krom. Akhir sekali, tulisan ‘Corolla Cross’ yang sebelum ini berada di tengah-tengah tailgate telah dialih ke bawah lampu sebelah kiri.

Masuk ke dalam, susun atur papan pemuka dan konsol tengah dilihat tidak mempunyai sebarang perbezaan jika dibandingkan dengan model-model untuk pasaran lain. Bergantung kepada varian, SUV ini didatangkan dengan bumbung panoramik dan tailgate bebas tangan yang boleh dibuka secara automatik dengan menghayunkan kaki di bawah bampar belakang.

Bercakap tentang varian, Corolla Cross ditawarkan dalam versi petrol 1.8-liter (2ZR-FAE) dan hibrid 1.8-liter (2ZR-FXE). Versi petrol boleh didapati dalam varian X, G, S dan Z, kesemuanya dengan pacuan roda hadapan, manakala versi hibrid pula dalam varian G, S dan Z, dengan pilihan pacuan roda hadapan atau empat roda (E-Four).

Dari segi kuasa, versi petrol mempunyai 140PS pada 6,200 rpm dan 170Nm pada 3,900 rpm. Versi hibrid pula mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 122PS. Enjin tersebut membekalkan 98PS dan 142Nm, manakala sebuah motor elektrik yang diintegrasikan ke dalam unit transmisi memberikan tujahan tambahan sebanyak 72PS dan 163Nm.

Menurut Toyota, varian hibrid yang dilengkapi dengan pacuan E-Four mampu memberikan bacaan kecekapan bahan api tertinggi dalam kelasnya iaitu 26.2 km/l.

Selain penjimatan bahan bakar, Corolla Cross hibrid juga mempunyai satu lagi kelebihan iaitu ia boleh dijadikan sebagai sumber bekalan kuasa elektrik dalam situasi kecemasan. Pemilik boleh menggunakan pelbagai perkakasan elektrik menerusi outlet AC 100 V/1,500 W yang disediakan.

Untuk aspek keselamatan pula, setiap varian dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Blind Spot Monitor, Back Guide Monitor dan banyak lagi.

Di Jepun, harga Corolla Cross bermula dari 1,999,000 yen (kira-kira RM75,900) bagi versi petrol dan 2,590,000 yen bagi versi hibrid. Apa yang menarik, pelanggan di negara itu boleh mendapatkan SUV ini menerusi perkhidmatan langganan Kinto One dengan bayaran bulanan bermula dari 27,390 yen (RM1,040).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved