Porsche 911 hybrid telah tiba untuk Carrera GTS – enjin 3.6-liter baharu, 532hp, 0-100 2.9 saat
INI satu berita penting. Walaupun ‘hanya’ facelift, Porsche 911 kini memasuki era baharu. Ini kerana kereta sports ini telah menerima hybrid buat kali pertama dalam sejarah.
Seperti kami laporkan sebelum ini, Porsche 911 akan menjadi hybrid, dan ia tiba untuk kemas kini generasi 992 (dipanggil 992.2) pada varian Carrera GTS.
Untuk 2025, Porsche 911 Carrera GTS mengekalkan identiti enjin flat-six di belakang, tetapi dengan sebuah motor elektrik dengan turbo elektrik. Ini melonjakkan kuasa kepada 532hp dan 608Nm tork.
Enjin yang digunakan ialah unit 3.6-liter baharu menggantikan 3.0-liter sebelum ini. Enjin ini sahaja menghasilkan 478hp dan 569Nm tork. Sistem hybrid menggantikan pakej twin turbo sebelum ini kepada pengecas turbo elektrik tunggal.
Ianya seperti pengecas turbo ekzos-gas tradisional tetapi dengan motor 11kW (14.7hp) pada syaf antara turbin dan compressor. Motor ini mampu memutarkan turbo dengan sangat pantas untuk respon cepat, mengurangkan turbo lag dengan drastik. Ia juga mampu menghantar semula kuasa ke bateri 400 volt.
Terdapat juga motor penjana 32.6hp diapit antara enjin flat-six dengan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan. Kedua-dua ini dipacu oleh bateri 1.9kWh yang sangat kecil, terletak di bawah hud depan.
Powertrain dengan nama T-Hybrid ini direka untuk meningkatkan prestasi di semua julat rpm sambil bekerja pada nisbah udara-petrol yang ideal iaitu 14.7:1 pada hampir setiap masa. Hybrid ini juga bermakna tiada lagi transmisi manual untuk 911 Carrera GTS.
Porsche 911 Carrera GTS baharu ini lebih berat dari model sebelumnya, antaranya disebabkan ciri standard seperti stereng roda-belakang, tetapi kuasa tambahan mengatasi pertambahan berat ini. Ia juga 911 Carrera pertama yang mampu memecut ke 100km/j kurang 3 saat, lebih tepat lagi 2.9 saat.
Selain T-Hybrid, Carrera GTS 2025 mendapat flap aerodinamik aktif baharu di depan untuk penyejukan lebih baik tanpa kompromi pada seretan (drag). Terdapat juga perubahan kosmetik pada muka depan dan belakang selain pilihan rim baharu.
Tayar belakang juga lebih lebar, kini 315/30/21, tetapi depan dikekalkan pada 245/35/20. Di bahagian dalam, perubahan terbesar ialah kluster instrumen digital sepenuhnya. Ya, tiada lagi jarum tachometer analog.
Varian asas 911 (992) Carrera 2025 diberikan turbo dan intercooler dari model GTS dan Turbo sebelum ini. Ini memberikan tambahan 9hp, manakala tork kekal 448Nm.
Untuk 2025, hanya Carrera dan Carrera GTS yang menerima facelift, varian-varian lain seperti Turbo, GT3, GT3 RS dan GT2 akan menyusul kemudian. Porsche 911 992.2 2025 dijangka tiba menjelang hujung tahun ini.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.