Arkib Tag: China

China cipta pesawat hipersonik, kelajuan cecah 12,000 batu sejam!

BOLEHKAH anda bayangkan bergerak ke mana-mana lokasi di dunia ini hanya dalam masa sejam?

Ya, ini bukan dongeng tapi mungkin bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Memetik laporan Sinar Harian, China kini sedang membangunkan sebuah pesawat hipersonik dengan kelajuan 12,000 batu sejam.

Difahamkan, pesawat sepanjang 148 kaki ini adalah satu pertiga lebih besar daripada model Boeing 737.

Berdasarkan lakaran foto, ia juga memiliki sayap delta seakan menyerupai model pesawat Concorde.

Adakah China mampu mencipta pesawat ini untuk kegunaan komersial? – Foto ihsan Facebook

Sebelum ini, model prototaip pesawat ini telah pun didedahkan menerusi satu kajian ke angkasa lepas dalam misi ke planet Marikh.

Sementara itu, timbul juga dakwaan penciptaan pesawat hipersonik ini bermula daripada pelan yang pernah ditinggalkan The National Aeronautics and Space Administration atau NASA.

Bekas jurutera program hipersonik NASA Ming Han Tang dipetik berkata, pesawat ini bakal menggunakan dua enjin berasingan tanpa bahagian bergerak pada setiap sisi pesawat.

Setakat ini, China menyasarkan pesawat berkenaan dapat disiapkan menjelang 2035.

Pada masa sama, ia akan dikembangkan sebagai pesawat yang mampu membawa lebih 100 penumpang pada tahun 2045.

Setakat ini, pesawat jenis Lockheed SR-71 Blackbird adalah yang terpantas di dunia. – Foto ihsan Wikipedia

Untuk rekod, hanya pesawat Lockheed SR-71 Blackbird adalah yang terpantas di dunia setakat ini.

Lockheed SR-71 Blackbird mampu mencapai kelajuan Mach 3.3 iaitu lebih daripada 3,500 kph dan hampir empat kali lebih pantas daripada kelajuan pesawat komersial.

NIO, Shell meterai kerjasama strategik bina fasiliti penukaran bateri EV

SHELL dilaporkan memeterai kerjasama baharu bersama syarikat kenderaan elektrik (EV) dari China, NIO.

Kerjasama membabitkan usaha menambah lebih 100 stesen pengendalian dan penukaran bateri di China menjelang tahun 2025.

Memetik Auto Express UK, NIO setakat ini mempunyai sekurang-kurangnya 300 stesen penukaran bateri di China khusus buat kegunaan pemilik kenderaan jenama itu.

Sementara itu, Shell dilaporkan telah bersetuju membenarkan NIO membina fasiliti penukaran bateri di stesen minyaknya di Eropah.

Sistem pengecasan pantas Shell Recharge juga boleh didapati di beberapa lokasi terpilih di negara ini. – Foto ihsan Shell

Pada masa sama, NIO juga akan memasang sistem pengecasan pantas Shell Recharge di fasiliti terpilih miliknya.

Untuk rekod, NIO mendakwa mampu menukarkan sebuah pek bateri kepada yang dicaj penuh dalam masa tiga minit.

Kenderaan keluaran NIO juga mula mendapat tempat di Eropah setelah berjaya memasarkan beberapa model di Norway.

Antara model mendapat permintaan tinggi adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) ES8 dan sedan ET7.

NIO juga tidak menafikan berkemungkinan akan menembusi pasaran United Kingdom sekiranya mendapat permintaan tinggi penduduk negara itu di masa depan.

Saloon Mecha Dragon sebuah EV dengan inspirasi Mega Man 2

DALAM sedar tak sedar, China telah muncul sebagai kuasa terbesar dalam industri kenderaan elektrik (EV), mengalahkan Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.

Manakan tidaknya, saban tahun, ada sahaja jenama EV baharu dari negara itu yang dilancarkan. Terbaru, Great Wall Motors telah mengumumkan kemasukannya ke segmen EV dengan jenamanya yang tersendiri iaitu Saloon.

Produk pertamanya adalah sebuah coupe empat pintu yang dikenali sebagai Mecha Dragon. Ia diperkenalkan di Guangzhou Auto Show 2021 baru-baru ini.

Peminat permainan video mungkin pernah mendengar nama ini kerana ia sebenarnya ‘dipinjam’ daripada bos peringkat akhir dalam permainan Mega Man 2.

Sepadan dengan namanya itu, Mecha Dragon tampil dengan reka bentuk badan unik yang didominasi oleh garisan-garisan tajam dan bersegi. Saloon mendakwa bahagian luaran model ini direka sedemikian bagi menyerupai ‘perisai mekanikal’.

Walaupun ia sebuah EV, anda akan menemui beberapa elemen yang tidak sepatutnya dimiliki oleh sebuah kenderaan yang tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman seperti skup bonet dan muncung ekzos.

Bagaimanapun, untuk ruang kabin, Saloon seolah-olah mengambil pendekatan yang berbeza kerana rekaannya tidaklah berserabut dan kucar-kacir seperti bahagian luarannya.

Malah, ia kelihatan moden dengan adanya kluster instrumen digital, skrin sistem infotainmen yang lebar dan konsol tengah yang kemas.

Berdasarkan gambar-gambar ini, Mecha Dragon mampu memuatkan sehingga lima orang penumpang namun tempat duduk tengah di belakang kelihatan lebih sesuai untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa. Terdapat dua pilihan upholsteri yang ditawarkan iaitu suede dan kulit dua tona.

Menurut laporan, Mecha Dragon dikuasakan oleh dua buah motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 543hp (405kW) dan 750Nm, sekaligus membolehkannya melakukan pecutan 0-100km/j dalam hanya 3.7 saat. Kelajuan maksimum tidak dinyatakan.

Dengan pek bateri berkapasiti 115kWh, trenkuasa elektrik ini dikatakan mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 802km berdasarkan kitaran ujian kenderaan tugas ringan China (CLTC).

Apa yang lebih mengagumkan adalah sistem pengecasan pantas 480kW yang boleh menambah jarak pemanduan sebanyak 401km dengan pengecasan selama hanya 10 minit.

Teknologi lain yang terdapat pada Mecha Dragon adalah empat modul LIDAR serta beberapa kamera dan sensor yang merupakan sebahagian daripada sistem pemanduan autonominya.

Tidak diketahui bilakah model ini akan memasuki pasaran namun apa yang pasti, pengeluarannya akan dihadkan kepada 101 unit sahaja dan setiap satu akan dijual pada harga kira-kira $80,000 (RM338,280).

Honda akan perkenal e:N Series di China khas untuk kenderaan elektrik

HONDA Motor melaporkan mereka akan melancarkan sebuah jenama elektrik (EV) di China tahun depan. Jenama itu akan dikenali sebagai “e:N Series” dan hanya akan menawarkan elektrik bateri (BEV), sel bahan api hidrogen dan hibrid di negara itu bermula 2030.

Honda telah menghasilkan kenderaan pembakaran dalaman (ICE) yang cekap dan mencatat jualan 1.6 juta kenderaan di China tahun lepas.

e:N Series akan mula mengeluarkan 10 model dengan kerjasama GAC dan Dongfend Motor dalam lima tahun akan datang, kata Honda.

Dengan kerjasama GAC-Honda dan Dongfeng-Honda itu, mereka akan turut membina kilang pemasangan khas EV yang dijangka mula beroperasi pada 2024.

Model-model baharu yang dirancang akan menggunakan sistem operasi baharu dan kini sedang dibangunkan berdasarkan platform produk automotif yang direka khas untuk EV. Honda juga akan mewujudkan seksyen e:N Series khas di setiap bilik pameran mereka.

Jualan kenderaan EV, PHEV dan sel bahan api hidrogen di China dijangka mencapai tiga juta unit tahun ini, menurut China Association of Automobile Manufacturers.

Honda akan terus menjual kenderaan pembakaran dalaman (ICE) biasa walaupun selepas 2030, kata mereka.

Geely sasar buka 5,000 stesen penukaran bateri EV di China

SYARIKAT subsidiary Geely iaitu Geely Technology Group bercadang membina lebih 5,000 stesen penukaran bateri electric vehicle (EV) di China.

Sasaran dibuat selepas syarikat itu berjaya menghasilkan proses perkhidmatan penukaran bateri E-Energee sebelum ini.

Pada acara Wuzhen Internet Conference 2021, Geely Technology Group menunjukkan bahawa mereka berjaya menghasilkan proses penukaran bateri dalam tempoh kurang seminit.

Foto ihsan Geely

Apa yang menarik, Geely Technology Group mendakwa proses penukaran bateri hanya mengambil masa 59 saat berbanding 90 saat.

Pelanggan boleh melakukan pembayaran secara dalam talian dan lebih mudah, pemandu tidak perlu keluar dari kenderaan ketika proses penukaran bateri dibuat.

Setakat ini, Geely Technology Group telah membina lebih 10 stesen E-Energee dengan hub pertama dibina di Chongqing pada September 2020.

Foto ihsan Geely

Untuk rekod, terdapat sebuah lagi syarikat automotif China dikenali sebagai NIO turut mempunyai sistem penukaran bateri EV.

Bagaimanapun, proses penukaran lengkap memakan masa lebih tiga minit.

Teaser Toyota ‘tak menjadi’, Corolla Cross dinamakan Frontlander di China

SYARIKAT pengeluar kenderaan Jepun iaitu Toyota telah mendedahkan beberapa teaser model terbaharunya di pasaran China dikenali sebagai Toyota Frontlander.

Bagaimanapun, teaser itu nampaknya menjadi “spoiler” terbesar apabila ramai peminat automotif dengan mudah dapat meneka rupa bentuk model berkenaan.

Apa tidaknya, menerusi teaser dikeluarkan, ternyata model Frontlander yang diuar-uarkan itu adalah sebuah Toyota Corolla Cross!

Toyota Corolla Cross dikenali sebagai Toyota Frontlander di China. – Foto ihsan Toyota

Toyota Frontlander

Toyota Frontlander mempunyai enjin petrol 1.8 liter dengan 138hp.

Namun, versi hibrid didatangkan dengan 121hp termasuk sistem pacuan E-Four (optional).

Menurut laporan media, Toyota Frontlander mungkin akan diproduksikan oleh GAC yang merupakan salah sebuah syarikat tempatan.

Model Toyota C-HR Hybrid antara kenderaan dihasilkan oleh syarikat GAC di China. – Foto ihsan Wikipedia

Nak tahu lebih lanjut? Sama-sama kita nantikan kemunculan Toyota Frontlander tidak lama lagi.

Bukan gurauan! Honda Integra dilancar di China, rupanya Civic yang lebih sporti

BERITA ini mulanya buatkan penulis terkejut dan cemas. Mana mungkin kami tertinggal berita jika benar Honda Integra yang baharu dilancarkan.

Rupanya Integra yang dilancarkan di China ini merupakan Honda Civic tetapi versi yang lebih sporti. Ya, Honda beberapa bulan lepas ada mengesahkan mereka akan ‘menghidupkan’ semula Integra, dan gambaran hatchback legenda itu dilakar dengan terperinci oleh seorang peminat pada Ogos.

Namun kereta yang kita bincangkan hari ini agak memeningkan sedikit. Ia berasal dari Civic generasi ke-11 baharu, tetapi direka semula agar lebih sporti untuk pasaran China dan kemudian diberikan nama Integra.

Dibangunkan oleh Guangqi Honda di China, Integra ini akan dipasang di Guangzhou, manakala model asasnya Civic akan dipasang di kilang Wuhan (ya, Wuhan yang itu) di bawah operasi Dongfeng Honda.

Kedua-dua model hampir sama dari segi rupa, tetapi Integra ini mendapat lampu LED matriks lebih nipis berserta gril lebih besar. Di belakang pula, lampu LED nampak lebih tajam dan lebih kecil.

Ia juga mendapat dua muncung ekzos, diffuser dan spoiler nipis di belakang, memberikannya sedikit imej sporti sebuah Integra. Model ini juga mendapat dua warna khas iaitu Emerald Blue dan Fiery Yellow yang tiada pada Civic biasa, manakala pilihan rim sehingga 18-inci.

Tiada sebarang gambar bahagian dalaman pada masa artikel ini ditulis, tetapi kami jangkakan rupa binaannya tidak banyak berbeza dari Civic.

Enjin juga masih misteri, tetapi bahagian belakang ada tertulis “240 Turbo” yang menunjukkan 240Nm, output yang sama dihasilkan oleh enjin 1.5-liter turbo 4-silinder pada Civic. Enjin ini juga menjana 180hp, dan kuasa dihantar ke roda depan menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan (sama seperti Civic).

Honda Integra ini akan dijual sebelum hujung tahun. Sementara itu, Honda atau Acura Integra sebenar juga dijangkakan akan didedah pada 2022.

China ‘tunjuk taring’ selepas TUDM buat latihan bersama Tentera Udara AS

TIDAK sampai 24 jam selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan latihan bersama-sama United States Pacific Air Force (US PACAF), China mula bertindak balas memberi ‘amaran’.

Beberapa portal pertahanan antarabangsa melaporkan sejumlah kapal Pengawal Pantai negara itu menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pagi tadi.

Antaranya adalah dua kapal dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

Kapal pengawal pantai China yang dikatakan mencerobohi perairan Malaysia. Sumber: Facebook

Mereka dilihat mengiringi kapal peninjau penyelidikan China dikenali Da Yang Hao yang sebelum itu angkuh menceroboh perairan Vietnam sebelum diusir.

Setakat pukul 10.20 pagi waktu Malaysia semalam, kapal itu hanya sejauh 50 batu nautika atau 93km dari kapal carigali West Capella disewakan syarikat petroleum nasional, Petronas.

Langkah mengejut itu dipercayai sebagai isyarat amaran kepada Malaysia yang melancarkan Op Curiga bagi mengekang kehadiran banyak pesawat tentera udara China akhir-akhir ini.

Latihan melibatkan B-52 Amerika Syarikat dan beberapa jenis pesawat pejuang TUDM. Sumber: Facebook

Kebetulan, TUDM pada hari berkenaan mempamerkan ‘kekuatan’ menerusi latihan bersama pesawat pengebom B-52 dari pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Guam, sebuah pulau di Lautan Pasifik.

Sumber: Facebook

Ia menyaksikan buat julung kali aset pesawat pejuang TUDM iaitu Sukhoi Su-30 MKM, F/A-18D Hornet serta Hawk 208 dan 108 ‘menawan’ ruang angkasa ZEE negara kita.

Tindakan Malaysia itu sebagai respon kepada China yang sebelum itu melakukan latihan dengan beberapa kapal perang Tentera Laut Singapura di zon dipertikaikan sekitar Laut China Selatan.

Kehadiran banyak kapal tentera dan pesawat rejim komunis itu dipercayai bagi memberi mesej kepada negara-negara anggota ASEAN agar tidak cuba menuntut perairan berkenaan.

Sumber: Facebook

Latihan bersama antara TUDM dan US PACAF adalah sebahagian dari Eksesais PASSEX B-52 Siri 2/21.

Ianya berlangsung pada 24 September di kawasan latihan yang digazetkan di Selat Melaka melibatkan pesawat pengebom B-52 dari US PACAF serta Su-30 MKM, F/A-18D Hornet, Hawk dan A400M dari TUDM.

Eksesais gabungan dua hala ini dilaksanakan bertujuan mengeratkan hubungan diplomatik dua hala dan diplomasi ketenteraan.

Chery kembali ke Indonesia, tekad tempa lebih kejayaan di Asia Tenggara

PASARAN automotif Indonesia kembali menjadi taruhan buat syarikat automobil dari China, Chery.

Laporan Detik Oto menyatakan perkara itu disahkan Pengarah Pemasaran Chery Motors, Qin Gang.

Jelasnya, Chery amat komited untuk kembali melabur di pasaran Indonesia dengan pelbagai perancangan telah dirangka dengan teliti.

Antara operasi bakal dijalankan termasuk pemasangan tempatan dan pembangunan rangkaian pengedaran 3S iaitu jualan, servis serta alat ganti.

Salah sebuah kereta konsep dihasilkan syarikat pengeluar kenderaan dari China, Chery. – Foto ihsan Wikipedia / Golgo

Minat mendalam Chery ‘gegar’ pasaran Indonesia

Chery dilaporkan akan kembali menyertai persatuan automotif di Indonesia dikenali sebagai Gaikindo.

Ia membuktikan tahap keseriusan Chery mengendalikan pemasangan tempatan bagi kenderaan syarikat itu.

Selain itu, Chery juga bakal menubuhkan pasukan pembangunan dan penyelidikan di Indonesia bagi pasaran Asia.

Chery telah meninggalkan Gaikindo pada 2016 dengan rekod jualan 1,026 unit kenderaan bagi tahun pertama dan kedua sejak hadir di pasaran Indonesia.

Di tahun ketiga, pemasaran Chery terus meningkat dengan angka jualan 859 unit namun, merudum kepada angka 407 kenderaan pada 2009.

Rekod tahun keempat bagaimanapun mencatatkan peningkatan dengan lebih 528 unit kenderaan telah terjual.

Penjualan Chery terus tidak menentu dalam tempoh tiga tahun seterusnya iaitu pada 2011, 2012 dan 2013.

Kemuncaknya, tiada langsung kenderaan Chery terjual di Indonesia bermula tahun 2013 sehingga 2015.

Chery Tiggo8 Pro. – Foto ihsan Chery

Pada 2016, pendaftaran Chery sebagai anggota Gaikindo telah terbatal sekaligus menyaksikan kedudukan syarikat itu di Indonesia sekadar tinggal sejarah.

Perlumbaan penghasilan kereta elektrik, Xiaomi pula masuk ‘gelanggang’

PERSAINGAN penghasilan kenderaan di peringkat global semakin sengit dengan banyak syarikat teknologi mula menunjukkan minat ke arah usaha itu.

Terbaharu, Xiaomi dilaporkan berusaha membeli syarikat Borgward Motors sekaligus mengambil alih kilang produksi terletak di Beijing, China.

Memetik laporan agensi Persatuan Kewangan China, usaha Xiaomi membolehkan syarikat itu menjalankan produksi kenderaan lebih pantas.

Kilang Borgward Motors di Miyun Park, Zhongguancun dikatakan mampu menghasilkan 180,000 unit kenderaan bagi fasa pertama pembangunan.

Ia juga mampu mencapai 360,000 unit produksi menerusi pembangunan fasa kedua.

Antara operasi dijalankan di fasiliti ini termasuk proses stamping, logistik, hasil kerja badan, cat serta pemasangan dan pemeriksaan akhir.

Salah sebuah model kenderaan dihasilkan Borgward Motors. – Foto ihsan Borgward Motors

Borgward merupakan jenama automotif Jerman dimiliki 100 peratus oleh Foton Motor iaitu sebuah subsidiari Beijing Automotive Industry Corporation (BAIC).

Ia telah dibangunkan semula pada tahun 2014.

Bagaimanapun, kilang operasi Borgward di Beijing gagal menghasilkan produksi secara besar-besaran selepas hanya mampu mengeluarkan 500 unit kenderaan sahaja.

Borgward Motors dikatakan ‘bergelut’ bagi memasarkan kenderaan keluaran mereka. – Foto ihsan Wikipedia

Selain itu, operasi kilang Borgward juga telah dihentikan lebih daripada tempoh setahun.

Terdahulu, Xiaomi dilaporkan merancang melancarkan kenderaan electric vehicle (EV) pertama pada tahun 2024.

Sasaran ini dilihat realistik dengan usaha syarikat itu mengambil alih kilang Borgward Motors di Zhongguancun.

Harga Geely Geometry A Pro tak masuk akal, bakal dieksport waktu terdekat

SYARIKAT pengeluar kenderaan gergasi China Geely nampaknya semakin serius dalam menghasilkan kenderaan pintar.

Memperkenalkan model Geometry A Pro, ia bukan sahaja mesra alam tetapi turut didatangkan dengan teknologi canggih demi kepuasan pemanduan.

Sebenarnya, Geometry A Pro merupakan kesinambungan daripada model Geometry A yang dilancarkan pada tahun lalu.

Geometry A Pro sudah pasti memiliki beberapa penambahbaikan dengan peningkatan teknologi terkini serba canggih.

Memetik maklumat didedahkan Geely UnCut, Geometry A Pro yang didatangkan dengan bateri 70 kWh dapat menjimatkan 20 peratus ruang meskipun mempunyai kapasiti lebih tinggi.

Mengikut kitaran NEDC, Geometry A Pro mampu mencapai jarak pemanduan mencecah 600 kilometer.

Sementara itu, Geometry A Pro juga didakwa mampu memecut 0-100 km/j hanya dalam masa 6.9 saat.

Apa lagi menarik mengenai Geometry A Pro?

Geometry A Pro juga memiliki teknologi iBooster terbaharu keluaran Bosch.

Teknologi ini mampu memberi daya tahan lebih lama kepada kenderaan terutama ketika dipandu dalam bandar.

Setakat ini, Bosch mendakwa iBooster mampu menghasilkan tekanan secara pantas untuk jarak henti lebih pendek selain memberi “rasa pedal terbaik” yang boleh dilaras.

Geometry A Pro dijual pada harga sekitar 148,000 yuan atau bersamaan RM95,116.

Lima jenayah, kemalangan sempat dirakam lensa CCTV

PEMASANGAN kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi awam tidak dinafikan banyak membantu pihak berkuasa menangani kes jenayah atau kemalangan.

Ini kerana di mana-mana lokasi, kegiatan jenayah dan kemalangan tidak pernah mengenal mangsa.

Artikel ini kami kongsikan beberapa kejadian jenayah serta kemalangan jalan raya yang pernah berlaku seantero dunia.

Sepuluh individu dilanggar kereta kerana dendam (Dalian – 2021)

Seorang pemandu ditahan polis selepas bertindak melanggar beberapa orang awam di Dalian, China.

Insiden menyebabkan lima mangsa maut di timur laut China, sementara lima lagi cedera parah.

Menurut siasatan polis, kejadian berpunca daripada dendam selepas suspek dipercayai gagal dalam pelaburan.

*Video mengandungi aksi kurang sesuai ditonton oleh sebilangan individu. Tontonan atas budi bicara masing-masing.

Serangan bom kereta (Kashmir – 2019)

Krisis politik antara dua negara, India dan Pakistan menyaksikan beberapa siri serangan berlaku melibatkan puak pelampau.

Satu serangan bom kereta oleh puak pemisah menggunakan bom diletakkan dalam sebuah kereta mengorbankan 44 nyawa.

Kumpulan pelampau Jaish-e-Mohammad (JeM) mengakui bertanggungjawab atas serangan dilancarkan.

Wanita langgar bapa mertua (Leicester – 2018)

Seorang wanita dipenjara setahun enam bulan selepas melanggar bapa mertuanya secara tidak sengaja.

Lesen memandu Begun Abedin juga digantung selama dua tahun sembilan bulan.

Menurut fakta kes, Abedin pada mulanya melarikan diri selepas melanggar seorang lelaki.

Tanpa mengetahui lelaki yang dilanggar merupakan bapa mertuanya, Abedin bertindak melarikan diri.

Mujur rakaman CCTV berjaya merakam kejadian dan akhirnya Abedin ditahan.

Setakat ini, EnGear belum pasti adakah masih wujud kemesraan Abedin dengan keluarga mertuanya.

‘Tarik’ mesin ATM guna kereta (Kuala Krai – 2016)

Umpama filem ala Hollywood, dua penyangak cuba merompak mesin pengeluaran wang (ATM) sebuah bank di Kuala Krai , Kelantan.

Menerusi rakaman CCTV, kedua-dua suspek kelihatan cuba menarik mesin ATM menggunakan sebuah kereta jenis Honda.

Lengkap bertopeng dan bersarung tangan, mereka bagaimanapun gagal melarikan mesin ATM berkenaan.

Malah, aksi ‘pandir’ kedua-duanya jadi bahan ketawa di media sosial.

Anak taukeh Red Bull langgar penunggang motosikal (Bangkok – 2012)

Kelajuan mengujakan dan kadang kala menyesalkan.

Ya, benar! Mungkin itu dirasakan anak kepada taukeh Red Bull, Thailand selepas melanggar seorang penunggang motosikal sehingga maut.

Vorayuth Yoovidhya didakwa melanggar mangsa yang merupakan seorang anggota polis ketika memandu sebuah kereta Ferrari.

Kes ini agak ‘panas’ di Thailand pada suatu ketika selepas si ‘kayangan’ ini bebas daripada tuduhan menyebabkan kemalangan maut.

Vorayuth Yoovidhya atau dikenali sebagai "boss" dikritik kerana terlepas daripada dakwaan menyebabkan kemalangan maut.

Tidak dinafikan ada banyak lagi kes jenayah atau kemalangan sempat dirakam CCTV yang tidak dapat kami senaraikan kesemuanya.

Penyenaraian kes di atas juga tidak mempunyai sebarang niat peribadi dan hanya sekadar untuk bacaan umum.

Jika anda punya sebarang ‘kisah’ di sebalik lensa CCTV, sila kongsi di platform media sosial kami.

Akhir kata, moga kita semua dijauhi daripada jenayah!

Foto BMW X3, iX3 2021 tular di internet

TULAR di internet foto model facelift BMW X3 G01 selepas ia dimuatnaik di laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China baru-baru ini.

Diperkenalkan pada 2017, terdapat beberapa perubahan ketara terhadap model facelift X3 dan iX3 (varian elektrik).

Rekaan pada bahagian hadapan dilengkapi dengan gril ‘kidney’ berkembar lebih besar yang disambung dengan lampu utara trapezoidal.

Terdapat kelainan bagi iX3 yang mana tiada lagi corong Air Breather dipasangkan bagi model ini.

Sementara itu, bahagian lampu belakang dilengkapi dengan rekaan tiga dimensi baharu.

Setakat ini, rata-rata peminat BMW menjangkakan X3 dan iX3 akan dilengkapi paparan skrin sesentuh lebih besar.

Bagaimanapun, sejauh mana andaian itu tidak dapat dipastikan kerana ‘pemandangan’ bahagian dalam kenderaan ini masih menjadi tanda tanya.

Selain ruangan dalaman, antara yang ditunggu peminat BMW adalah informasi mengenai enjin X3 dan iX3 baharu ini.

BMW setakat ini masih belum mengumumkan tarikh pelancaran model terbaharu mereka ini.

Bila model ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia juga masih menjadi tanda tanya.