fbpx

Volvo EM90, MPV elektrik mewah dengan jarak pandu 738 km

Volvo EM90 PR Images

SELEPAS memperkenalkan EX90 dan EX30, Volvo kini memperkenalkan satu lagi model daripada portfolio kenderaan elektrik (EV) mereka iaitu EM90.

Seperti yang boleh dilihat, EM90 merupakan sebuah MPV elektrik yang dibina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dengan Zeekr 009.

Jika dibandingkan dengan 009, EM90 mempunyai reka bentuk yang lebih santai dan sahaja, dengan elemen-elemen unik daripada jenama Scandinavia itu termasuk logo ‘Iron Mark’ yang bercahaya pada gril dan lampu nyalaan siang tukul Thor.

Di belakang, terdapat lampu berbentuk T yang diintegrasikan pada tiang kiri dan kanan, serta tulisan ‘VOLVO’ pada bahagian tengah tailgate. EM90 boleh didapati dalam empat warna, dengan pilihan rim aero berukuran 19 atau 20 inci.

Ruang dalaman EM90 menampilkan rekaan yang ringkas dan minimalis, dengan panel instrumen digital, skrin sentuh 15.4 inci dan sistem audio Bowers & Wilkins dengan 21 pembesar suara.

Bukan itu sahaja, terdapat juga sebuah skrin berukuran 15.6 inci pada bahagian siling yang menyokong sambungan dengan telefon pintar dan pelbagai aplikasi parti ketiga.

Turut disertakan adalah teknologi pengasingan bunyi dan pembatalan bunyi jalan. Semuanya dikuasakan oleh Snapdragon Cockpit Platforms dari Qualcomm Technologies yang turut menyediakan sambungan 5G dan sistem arahan suara.

Dari segi spesifikasi, EM90 akan didatangkan dengan bateri berkapasiti 116 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 738 km dengan satu cas penuh, berdasarkan kitaran CLTC.

Menurut Volvo, bateri tersebut boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 30 minit, dan menyokong pengecasan dua arah. Ini bermakna pengguna boleh menggunakan kuasa bateri kereta untuk mengecas EV lain dan perkakasan elektrik.

Dari segi prestasi pula, Volvo berkata EM90 dipacu oleh sebuah motor elektrik dengan kuasa sebanyak 200 kW (272 PS) yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat.

Volvo EM90 akan dilancarkan di China terlebih dahulu, di mana ia dijual pada harga bermula dari 818,000 yuan (RM529,603).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved