fbpx

Xiaomi SU7 rasmi di China, dari RM141k, lebih murah banding Tesla Model 3

SU3-1

Gergasi elektronik China, Xiaomi baharu sahaja melancarkan sedan elektrik pertamanya, Xiaomi SU7 untuk pasaran China.

Sedan elektrik yang mampu memberikan saingan kepada BYD Seal, Xpeng P7i atau Nio ET5 itu dijual pada harga bermula dari 215,900 yuan (RM141,431) – 299,900 yuan (RM196,460).

Dibina menggunakan platform Modena, Xiaomi SU7 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm, tinggi 1,455 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Ciri lain termasuklah sistem suspensi udara, radius putaran sekecil 5.7 meter, serta rekaan badan yang aerodinamik, di mana Xiaomi mendakwa SU7 mampu mencapai angka pekali seretan serendah 0.195 Cd – paling rendah untuk mana-mana kereta produksi dalam dunia.

 

 

Secara standard, ia menawarkan ruang kargo sebesar 517 liter, ruang frunk sebesar 105 liter, serta terdapat peti sejuk sebesar 4.6 liter yang mampu memuatkan sehingga enam tin minuman.

Tiga varian ditawarkan buat masa ini, iaitu versi Standard, Pro dan Max.

Versi asas SU7 Standard dilengkapi dengan motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang berkuasa 295 hp/400 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.28 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

 

 

Dipadankan dengan senibina elektrik 400 voltan dan pek bateri LPF 73.6 kWh daripada BYD, SU7 ini mampu bergerak sejauh 700 km untuk sekali cas penuh.

Pengecasan selama 15 minit pula membolehkan SU7 ini menambah jarak sejauh 350 km.

Sementara SU7 Pro pula dibekalkan dengan pek bateri CATL berkapasiti 94.3 kWh, di mana jarak gerak meningkat kepada 830 km (data CLTC).

 

 

Versi paling berkuasa SU7 Max Performance pula membawakan tetapan dua motor elektrik berkuasa 663 hp/838 Nm, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j sepantas 2.78 saat sebelum mencecah kelajuan tertinggi 265 km/j.

Pek bateri Qilin CATL berkapasiti 101 kWh pula membolehkan sedan pantas ini bergerak sejauh 800 km untuk sekali cas.

Senibina elektrik 800-voltan yang lebih moden menyokong pengecasan pantas selama 15 minit yang dapat menambah jarak sehingga 510 km.

Menurut Xiaomi, SU7 ini bakal ditawarkan dengan dua opsyen sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), terdiri daripada Xiaomi Pilot Pro dengan cip pemprosesan Nvidia Drive Orin, serta Xiaomi Pilot Max dengan dua cip pemprosesan Nvidia Drive Orin yang disokong dengan keupayaan LIDAR.

 

 

Susun atur ruang kabin Xiaomi SU7 merupakan antara rekaan yang terkemas pernah wujud untuk sebuah kereta buatan China.

Terdapat roda stereng dengan butang kawalan rotari berkembar seakan Porsche, skrin tengah bersaiz 16.1 inci, skrin paparan head-up, serta penggunaan skema warna dua tona.

Selain itu, Xiaomi turut menawarkan sehingga empat pilihan warna menarik untuk upholsteri kulit Nappa.

Menurut laman CarNewsChina, dalam tempoh empat minit selepas pelancaran Xiaomi dilapor telah menerima kira-kira 10,000 unit tempahan, dan dalam masa 27 minit sahaja tempahan sudah pun mencecah 50,000 unit!

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved