fbpx

Pagani, Racing Unleashed hasilkan simulator Huayra R yang ultra realistik

Pagani Huayra R simulator 01

BAGI mereka yang terlepas peluang membeli Pagani Huayra R yang dilancarkan tiga tahun lalu, ini ada berita baik untuk anda.

Pengeluar hypercar itu menawarkan peluang untuk merasai pengalaman memandu jentera litar itu menerusi simulator Huayra R yang dihasilkan dengan kerjasama Racing Unleashed.

Menurut Pagani, simulator itu pada asalnya ditawarkan kepada pemilik Huayra R sahaja, namun kini ia boleh dibeli oleh sesiapa sahaja (yang berduit) menerusi rangkaian pengedarnya.

Harga mesin ini tidak dinyatakan namun kami boleh bayangkan yang ia jauh lebih murah berbanding sebuah Huayra R yang sebenar, yang dijual pada harga kira-kira 2.6 juta euro (RM13.2 juta) ketika dilancarkan pada 2021.

Seperti Huayra R yang sebenar, simulator ini dibina di kilang Pagani menggunakan mesin autoclave yang sama. Ia mempunyai badan gentian karbon yang dicat hijau, dengan trim merah dan nombor 10 pada bahagian sisi.

Malah menurut syarikat itu, keseluruhan setup termasuk stereng, pedal, kerusi dan tali pinggang adalah sama dengan kereta itu. Jadi secara asasnya pembeli mendapat sebuah Huayra R versi mini tanpa tayar dan enjin.

Simulator ini didatangkan dengan komputer gaming berprestasi tinggi dengan Assetto Corsa Pro, skrin melengkung, sistem audio 5.1 dan set kepala VR.

Untuk menjadikan pengalaman lebih realistik, ia juga mempunyai kicker yang berfungsi untuk memberikan efek gegaran pada tempat duduk. Malah bunyi enjin V12 di dalam permainan itu dirakam terus daripada Huayra R.

Simulator ini mempunyai ukuran panjang 3.11 meter dan lebar 1.7 meter. Sekiranya pemilik ingin membawanya ke mana sahaja di seluruh dunia dengan kapal terbang, mereka boleh menggunakan kotak kayu khas yang disertakan dengan setiap pembelian.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved