fbpx

Rupa sebenar Volvo EM90 terdedah, macam Zeekr 009 tapi bergaya Scandinavia

Volvo EM90 terdedah 01

BAGI yang belum tahu, Volvo akan memperkenalkan MPV elektrik pertama mereka iaitu EM90 pada akhir tahun ini. Bagaimanapun, anda tidak perlu menunggu lama untuk melihat reka bentuk model itu kerana gambarnya telah pun didedahkan di laman web Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China.

Untuk makluman, setiap kereta yang dijual di China perlu mendapat kelulusan daripada kementerian tersebut dan sebagai sebahagian daripada proses homologasi, gambar-gambar kereta akan dimuat naik sebelum ia dilancarkan ke pasaran.

Seperti yang dijangka, penampilan EM90 tidak jauh berbeza dengan Zeekr 009 kerana menurut laporan, kedua-dua model ini menggunakan platform SEA keluaran Geely yang sama.

Sudah tentu, EM90 sebagai sebuah Volvo mendapat beberapa elemen yang sinonim dengan jenama dari Sweden itu. Ini termasuk lampu tukul Thor, gril yang tertutup berserta logo Iron Mark Volvo serta lampu berbentuk T pada bahagian belakang.

Menurut laman web MIIT, EM90 mempunyai ukuran panjang 5,206 mm, lebar 2,204 mm dan tinggi 1,859 mm. Ukuran tapak roda pula sama dengan 009 iaitu 3,205 mm.

Selain itu, MPV enam tempat duduk bertaraf premium itu mempunyai berat keseluruhan sekitar 2,763 kg dan akan ditawarkan dengan pilihan rim 19 atau 20 inci.

EM90 dikatakan mempunyai motor elektrik pada gandar belakang yang mampu menghasilkan sehingga 268 hp (200 kW). Tidak pasti jika ia akan ditawarkan dalam versi motor berkembar dengan 536 hp seperti 009.

Zeekr 009

Maklumat mengenai bateri tidak didedahkan namun ia mungkin tidak jauh berbeza dengan apa yang digunakan oleh 009 iaitu bateri 140 kWj dengan jarak pandu sehingga 822 km berdasarkan kitaran China Light-Duty Vehicle Test Cycle (CLTC).

Harus diingat bahawa MPV jenama Zeekr itu juga boleh didapati dengan pek bateri 116 kWh yang menawarkan jarak pandu sehingga 702 km.

Volvo sebelum ini mengumumkan bahawa EM90 akan didedahkan secara rasmi pada 12 November dan akan dibuka untuk pratempahan pada hari yang sama.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved