Arkib Kategori: BERITA

Nissan Skyline GT-R NISMO Z-Tune ini terjual dengan harga RM8.9 juta!

SEORANG pengumpul kereta di Amerika Syarikat (AS) telah membeli sebuah Nissan Skyline R34 GT-R dengan harga hampir USD2 juta, lebih tepat lagi USD1,985,000! Ya, bukan Ringgit Malaysia tuan-tuan, tetapi Dollar AS.

Ini bersamaan RM8.9 juta. Tetapi ini bukan Nissan Skyline R34 biasa, sebaliknya versi NISMO Z-Tune. Tapi masih sangat mahal, bukan? Harga ini dikatakan empat kali ganda dari harga biasa.

GT-R Z-Tune ialah versi tertinggi dalam Skyline, paling diburu dan pastinya paling mahal. NISMO pada asalnya mahu membina sebanyak 20 unit, tetapi akhirnya hanya mengeluarkan 19 unit. Kesemua kereta juga dibina dan dipasang dengan tangan.

Kereta yang terjual ini difahamkan salah satu dari dua unit di Thailand, yang pertama pernah terjual juga di AS, dan yang kedua adalah unit ini.

Ianya dibeli oleh seorang pengumpul dengan nama samaran 458 Destroyer, yang memang peminat tegar Nissan GT-R dan pernah membeli hampir kesemua varian.

Difahamkan juga beberapa tahun lepas Z-Tune berharga sekitar USD500,000 (RM2.24 juta) tetapi disebabkan permintaan tinggi hari ini, dia membayar keseluruhan RM8.9 juta termasuk kos pengangkutan dan cukai.

Dari labih 50 kereta dalam koleksinya, 458 Destroyer meminati jentera Jepun (JDM) 90an serta eksotik moden, termasuklah dua Lexus LFA, sebuah LaFerrari, 599 GT0, sebuah Sheepy Lamborghini, Nissan R34 Paul Walker, RX-7 Veilside, dan banyak lagi.

Harga Nissan GT-R R34 telah melonjak naik beberapa tahun kebelakangan ini, dan harganya boleh sangat ‘keras’ untuk versi seperti Z Tune dan V-Spec II Nur.

Permintaan ini antaranya adalah disebabkan peminat di negara seperti AS dan Australia yang sanggup membayar dengan amaun berlipat ganda semata-mata minat mereka terhadap jentera JDM era ini.

Sedikit latar belakang mengenai Z-Tune, selain jumlah terhad, ia mencapai status tinggi kerana NISMO menala Skyline ini berdasarkan pengalaman mereka dalam perlumbaan seperti LeMans GT2 serta GT500.

Enjin pertama 2.8-liter 6-silinder turbo dikenali sebagai Z1 dan menghasilkan 500hp dan 540Nm, dengan pecutan 0-100 boleh dicapai dalam 3.8 saat, cukup pantas semasa tahun 2003. Kelajuan maksima tidak dihadkan, dan angka 300km/j tidak mustahil.

Bugatti W16 Mistral – jentera W16 terakhir, 99 unit habis terjual

SETELAH hampir 20 tahun, Bugatti akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan penjualan enjin W16 bagi membolehkannya melangkah ke era hibrid dan elektrifikasi bersama Rimac. Namun sebelum itu, syarikat itu akan menawarkan model terakhir yang dikuasakan oleh enjin quad turbo berkenaan. Memperkenalkan, Bugatti W16 Mistral.

Menurut Bugatti, W16 Mistral dinamakan sempena angin yang bertiup di lembah Rhone River. Unit berwarna hitam hangat dengan sedikit perincian coklat truffle dan aksen kuning diinspirasikan oleh Type 57 Roadster Grand Raid keluaran tahun 1934 yang kini dipamerkan di Muzium Louwman di Den Haag.

Namun seperti yang boleh dilihat, bentuk badan roadster ini membawakan elemen-elemen daripada beberapa model semasa Bugatti. Sebagai contoh, lampu belakang yang berbentuk X adalah daripada Bolide, manakala rekaan lampu depan pula adalah gabungan antara Divo dan La Vouitre Noire.

Ruang dalamannya tidak jauh berbeza dengan Chiron, namun untuk W16 Mistral, jurureka menggunakan tombol gear yang diperbuat daripada blok aluminium yang dihiasi dengan kemasan kayu dan amber. Panel pintu pula dihiasi dengan upholsteri kulit yang ditenun.

Sudah tentu, ‘nadi’ jentera ini adalah enjin 8.0-liter W16 dengan 1,600 PS. Ia merupakan versi enjin yang sama seperti pada Chiron Super Sport 300+ yang mencapai kelajuan 304.773 bsj (490.484 km/j) pada 2019. Bugatti berhasrat untuk menjadikan W16 Mistral kereta roadster terpantas di dunia bagi mengalahkan pemegang rekod semasa iaitu Hennessey Venom GT Spyder.

Pengeluaran W16 Mistral akan dihadkan kepada 99 unit sahaja dan setiap satu dijual pada harga 5 juta euro (kira-kira RM22.5 juta). Jangan terkejut kerana semuanya telah habis terjual!

HAL India akan buka pejabat di Kuala Lumpur

HINDUSTAN Aeronautics Limited (HAL) baru-baru ini menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk membuka pejabat di Kuala Lumpur.

HAL Tejas. Sumber: Eurasian Times

Firma aeroangkasa dan pertahanan India itu berbuat demikian bagi meneroka tawaran baharu di Asia Tenggara.

“Pejabat di Malaysia akan membantu HAL dalam memanfaatkan peluang perniagaan baharu untuk jurulatih utama pejuang (FLIT) LCA dan keperluan lain Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti naik taraf Su-30 MKM dan Hawk,” kata HAL dalam satu kenyataan pada Khamis.

MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar HAL (pesawat tempur ringan) Ravi K dan Mejar (Bersara) Mohd Husairi Mat Zain dari syarikat Malaysia Forte Drus, wakil rasmi HAL di Malaysia.

India membida untuk menjual 18 LCA Tejas kepada Malaysia dengan mengemukakan cadangan itu pada Oktober 2021.

“Keputusan akhir tender dijangka akan diumumkan tidak lama lagi oleh pihak berkuasa Malaysia. LCA Tejas mempunyai peluang yang adil untuk dipilih dalam bidaan itu kerana ia memenuhi semua syarat yang dicari oleh TUDM,” kata HAL dalam kenyataannya.

Honda CBR250R kini dengan fork terbalik Showa – harga dari RM23,999

SELEPAS tiga tahun ‘terbiar’, Honda CBR250R akhirnya menerima kemaskini yang menyaksikan model itu hadir dengan sistem suspensi dan kelengkapan baharu.

Bagi model tahun 2022, jentera yang diberi jolokan ‘Neo Sports Cafe’ ini dijual pada harga RM23,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda selaku pengedar rasmi menawarkan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Ia boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu Matte Gun Powder Black Metallic dan Candy Chromosphere Red.

CBR250R kini dilengkapi dengan fork depan terbalik Separate Function Big Piston (SFF-BP) keluaran Showa bersaiz 41 mm. Peredam pemisahan tekanan di dalam satu tabung fork dan mekanisme spring di dalam tabung satu lagi menawarkan prestasi redaman yang lebih tinggi.

Sementara itu, suspensi jenis monoshock pada bahagian belakang pula mempunyai lima tahap pelarasan untuk pra-muat spring.

Seperti sebelum ini, CBR250R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal DOHC bersesaran 250 cc dengan output 27.2 hp pada 9,500 rpm dan 23.4 Nm pada 7,750 rpm. Enjin sejukan cecair itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac Assist/Slipper untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan ABS dwi-saluran yang diuruskan secara dinamik oleh sistem Internatial Measurement Unit (IMU) bagi memastikan daya brek diagihkan sama rata antara roda depan dan belakang.

Ciri ini juga berupaya untuk meminimumkan lonjakan roda belakang, sekaligus menjadikan penunggang lebih yakin di jalan raya.

Satu lagi ciri baharu adalah paparan meter LCD yang menampilkan grafik lebih moden dengan penunjuk kedudukan gear yang lebih jelas dan mudah dilihat. Turut disertakan adalah lampu LED pada bahagian depan dan belakang.

Ford Ranger generasi baharu oleh anda, untuk anda

FORD Ranger generasi baharu yang mendarat di Malaysia bulan lepas direka dan dijuruterakan hasil dari pandangan serta maklum balas pelanggan. Melalui kaji selidik pelanggan yang menyeluruh, ia telah membantu menjadikan trak pikap ini lebih baik.

Jadi, Ford Ranger generasi baharu ini boleh dikatakan “oleh anda, untuk anda”!

Pereka bentuk Ford telah memanfaatkan pandangan yang diperoleh itu dan menggabungkannya dengan formula trak pikap global. Hasilnya, Ford Ranger yang telah ikonik, sarat kepelbagaian dan boleh dipercayai untuk melakukan hampir apa sahaja.

Ketua Pereka Ranger, Max Tran dan pasukannya meluangkan banyak masa bersama pelanggan di seluruh dunia untuk memahami cara mereka menggunakan trak pikap masing-masing setiap hari.

Menurut Ford, lebih 5,000 wawancara dan 1,800 halaman nota kaji selidik dijadikan rujukan bagi pereka membangunkan trak pikap dengan ciri dan kemampuan yang diperlukan pelanggan.

“Memerhati cara pemilik menggunakan trak mereka, sama ada untuk tujuan kerja, keluarga atau riadah, telah mengilhamkan beberapa idea penting yang membawa kepada keputusan terhadap rekaan dan pembangunan trak berkenaan,” kata Tran.

“Satu contoh terbaik adalah kotak pemijak bersepadu. Dalam sesi klinik, kami dapati ramai pelanggan menghadapi masalah untuk mencapai barangan di ruang barangan belakang, dari bahagian sisi trak; ramai juga yang memijak tayar belakang atau bampar untuk berbuat demikian.”

“Jadi kami tampil dengan idea sebuah kotak pemijak, diletakkan di belakang roda belakang,” jelasnya.

Slogan Built Ford Tough untuk rupa luaran

Rekaan luaran Ranger generasi baharu ini dihasilkan mengikut dua prinsip penting: untuk membawanya ke masa hadapan dan menzahirkan slogan Built Ford Tough.

“Pelanggan mempunyai pandangan yang jelas tentang apa yang mereka suka dan bagaimana mereka menggunakan Ranger untuk urusan seharian,” jelas Tran lagi.

Rekaan kotak pemijak baru di bampar belakang sebagai contoh merupakan hasil langsung daripada maklum balas pengguna untuk mendapatkan capaian yang lebih baik ke ruang kargo.

Menurut Tran lagi, tidak kira sama ada anda mahu beralih ke alam semulajadi, seni bina, atau mencari ilham, segalanya tiada batasan. Terpulang kepada anda pelanggan untuk meneroka semahunya.

“Kami merujuk Ranger sebagai saudara kepada F-150. Ranger telah mempunyai pengikut yang kuat sejak 10 tahun lalu, dan kami meneruskan ciri rekaan menarik yang ada padanya untuk menghasilkan sebuah trak yang diterima di seluruh dunia, yang turut menganjakkan lagi kemampuan rekaan kami,” tambah Tran.

Imej tegap trak ini memang disengajakan kerana ingin memerlihatkan rupa luaran yang gagah dan kukuh.

Dari rekaan gril baru yang menonjol dengan lampu utama bentuk C, lampu nyalaan siang dan palang atas gril yang ketara hinggalah kepada lengkuk roda yang lebih jelas, garis bahu yang ketara dan logo Ranger yang lebih besar di belakang, Ranger generasi baharu ini nampak gagah walaupun semasa tidak bergerak.

Kabin canggih, premium dan mesra pengguna

Di dalam, Ranger generasi baharu ini diberikan rekaan kokpit bergaya, teknologi mesra pengguna dan kabin luas yang sarat dengan ciri.

Bahan lembut yang digunakan memperhaluskan lagi suasana dalaman, serta panel instrumen baharu yang memanfaatkan rekaan lebih lebar dan sekaligus menciptakan rasa yang lebih luas.

Selain itu, beberapa sentuhan rekaan luarannya turut dibawa ke dalam: perincian pada corong pendingin menggunakan rekaan sama seperti rekaan di gril depan, serta beberapa unsur permukaan luaran turut dibawa ke ruang kabin.

Di tengah papan pemuka, terdapat skrin sesentuh 10.1-inci atau 12-inci dengan rekaan menegak, sebuah ciri yang juga dibangunkan sebegitu hasil dari maklum balas pelanggan.

Rekaan pemegang pintu juga dipertimbangkan dari kaji selidik dengan pelanggan, dimana ia direka agar menjadi lanjutan dari papan pemuka. Ini menjadikan pemegang pintu ini nampak lebih selari dan memberikan capaian mudah kepada suis tingkap dan perehat tangan.

Untuk tempat duduk, ia telah direka semula dengan penampan baharu serta bahagian lembut untuk lebih bergaya dan selesa. Sementara itu bagi tempat duduk belakang, ia kini boleh dilipat dan mempunyai ruang simpanan tersembunyi di bawahnya.

Corong pendingin juga tersedia di belakang konsol tengah untuk penumpang di belakang. Ada juga ruang simpanan tambahan misalya di bahagian poket pintu di depan dan juga belakang.

“Dengan bantuan maklum balas yang berguna daripada pelanggan, kami menghasilkan Ranger yang kami yakin akan mengilhami pemiliknya untuk melakukan apa saja yang mereka inginkan, serta ciri baru yang ada itu membolehkan mereka terus meneroka,” ulas Pengarah, Pengurusan Barisan Produk, Trak Global, Gary Boes.

Sertai siri jelajah Ranger generasi terbaharu

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, akan mempertontonkan Ranger generasi terbaharu ini di dua lokasi seperti berikut:

  • Vivacity Megamall, Kuching, Sarawak: 7-11 September
  • Suria Sabah Shopping Centre, Kota Kinabalu, Sabah: 5-9 Oktober

Acara pratonton ini adalah sebahagian daripada siri jelajah seluruh negara bagi Ranger generasi baharu ini di lima kawasan, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru melibatkan tempoh lima hujung minggu.

Jangan ketinggalan untuk berkunjung ke acara pratonton akan datang ini dan dekati Ranger generasi baharu dalam siri jelajah berkenaan.

Daftar di laman Register ini untuk mendapatkan jemputan eksklusif ke lokasi berdekatan anda.

Untuk maklumat lanjut tentang Ranger generasi baharu, SDAC dan Ford, ikuti Ford Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube channel atau layari www.sdacford.com.my.

Proton Exora 2023 dilancar: Logo baharu, DRL LED, penapis kabin N95, dari RM63k

PROTON Exora hari ini dilancarkan dengan kemaskini baharu, dan agak pelik ia diberi tahun model 2023 dan bukannya 2022. Apa pun, Exora masih sebuah MPV tujuh tempat duduk yang popular di negara ini walaupun sudah lebih 10 tahun berada di pasaran.

Jadi, apa yang baharu untuk Exora 2023 ini?

Pertamanya, ia mendapat logo baharu Proton di depan dan belakang, selain dilengkapi dengan lampu DRL LED, rim aloi 16-inci dengan warna dwi-tona, skirting sisi, dan spoiler belakang. Bumbung hitam dan kemasan belakang juga berwarna hitam menjadi pelengkap gaya Exora 2023.

Di bahagian dalam, kabinnya hadir dengan tempat duduk kulit, stereng pelbagai fungsi dengan balutan kulit, dan penapis kabin N95.

Terdapat juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 7-inci serta fungsi arahan suara “Hi Proton”, selain sistem navigasi, penstriman muzik, ramalan cuaca, 4G, WiFi, dan Android Auto.

Tiada perubahan pada aspek mekanikal, Exora 2023 kekal dikuasakan oleh enjin 1.6-liter turbo dengan output 140hp dan 205Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi CVT.

Dari segi keselamatan pula, Proton Exora 2023 telah dilengkapi dengan dua beg udara SRS hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Dua varian ditawarkan, iaitu:

Exora 1.6T Executive: RM62,800
Exora 1.6T Premium: RM69,800

Lima warna boleh dipilih – Snow White, Indiana Grey, Rosewood Maroon, Ruby Red dan Cocoa Grey.

Beli Nissan Almera Turbo anda dapat percuma Tomei Aero Package bernilai RM8,000, stok terhad

BERITA baik buat anda yang mahu membeli Nissan Almera Turbo, kerana setiap pembelian akan hadir dengan Tomei Aero Package secara percuma! Kit badan ini bernilai RM8,000 dan dibangunkan khas oleh Tomei Jepun, iaitu syarikat penala terkemuka yang bekerjasama dengan Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Tomei Aero Package ini boleh didapati untuk semua varian Almera – VLT, VLP, dan VL – dan pastinya memberikan imej lebih sporti kepada sedan ini.

Pakej ini merangkumi lima komponen iaitu spoiler bampar depan, spoiler bampar belakang (dua keeping), dan skirt sisi. Semua bahagian ini juga hadir dengan skema warna dwi-tona.

Khas untuk Almera varian VLT, Tomei Aero Package ditambah dengan pedal sport dengan perehat kaki, pelindung pemegang pintu, plat sisi pintu, visor sisi, dan filem tint ICE Cool.

Semua komponen adalah dipasang dari kilang bagi memastikan kualitinya sama dengan keseluruhan kereta. Setiap barangan juga datang dengan jaminan tiga tahun/100,000km (yang mana dahulu).

Untuk mereka yang mahukan gaya lebih sporti lagi, ETCM menawarkan Tomei GT Wing yang direka khas untuk Almera. Ianya berharga RM1,400 termasuk pemasangan dan boleh dimasukkan sekali dalam pembiayaan pinjaman anda.

Nissan Almera dikuasakan oleh enjin 1.0-liter turbo 3-silinder yang menjana 99hp dan 152Nm tork, dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic.

Ia dilengkapi ciri seperti Advanced Around View Monitor, Intelligent Moving Object Detection, tempat duduk Zero Gravity, Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), dan Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB).

Tomei Aero Package ini walaubagaimanapun hanya ditawarkan untuk masa terhad dan stok juga terhad. Jadi jika anda berminat, bolehlah lawati mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara atau layari www.nissan.com.my.

Proton akan melabur untuk bangunkan jaringan pengecasan awam dan domestik

SEPERTI yang dilaporkan semalam, Proton telah menandatangani Perjanjian Pengedaran Am bersama smart Automobile Company yang akan menyaksikan syarikat itu menjual kenderaan elektrik (EV) smart #1 di Malaysia dan Thailand bermula tahun depan.

Selaras dengan perjanjian itu, Proton merancang untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, di samping menyediakan unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat untuk mengecas kenderaan mereka di rumah.

Dalam satu sidang media yang diadakan selepas majlis tandatangan tersebut, Pengarah Kanan Strategi Proton, Yusri Yusuf berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan tujuh hingga lapan operator infrastruktur EV.

Tambah beliau, Proton melihat dari dua sisi iaitu pengecasan di rumah dan pengecasan awam. Bagi pengecasan awam, syarikat itu akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan status terkini perancangan tersebut.

Secara umumnya, rangkaian pengecasan awam itu akan meliputi laluan-laluan yang sering digunakan atau popular di kalangan pengguna jalan raya, serta kawasan-kawasan luar bandar.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata beliau telah menubuhkan pasukan untuk mengkaji kebolehlaksanaan stesen pengecasan mudah alih bagi mengurangkan masalah kebimbangan jarak (range anxiety) di kalangan pelanggannya.

Dibangunkan bersama oleh Mercedes-Benz dan Geely, smart #1 (disebut ‘hashtag one’) akan memasuki pasaran Malaysia pada awal suku keempat tahun 2023, diikuti dengan Thailand pada separuh kedua 2024.

Menariknya, Malaysia akan menjadi negara ASEAN pertama yang menerima model itu dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Jualan kenderaan meningkat 552% kepada 48,922 unit pada Julai 2022

JUALAN kenderaan baharu di Malaysia melonjak lebih enam kali ganda kepada 48,922 unit pada Julai 2022 berbanding 7,499 unit pada Julai 2021.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan 63,366 unit yang direkodkan pada Jun 2022, angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 22.8 peratus.

Jumlah jualan kenderaan penumpang adalah sebanyak 43,594 unit manakala kenderaan komersil pula sebanyak 5,328 unit bulan lalu.

Persatuan Automotif Malaysia dalam satu kenyataan bulanan berkata secara kumulatif bagi tujuh bulan pertama 2022, jualan kenderaan meningkat 48.3 peratus kepada 380,595 unit dari 256,677 unit yang dicatat setahun lalu.

Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) yang tinggi pada Jun 2022 disebabkan oleh pemenuhan tempahan oleh syarikat-syarikat kenderaan yang menerima banyak tempahan sebelum 30 Jun 2022, iaitu hari terakhir insentif pengecualian cukai jualan.

Bagi pengeluaran pula, sebanyak 52,061 kenderaan dikeluarkan pada Julai berbanding 2,775 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

Setakat ini, jumlah pengeluaran kenderaan naik kepada 369,994 unit berbanding 244,063 setahun lalu.

Mengenai unjuran untuk bulan Ogos, MAA berkata jualan dijangka kekal sama pada paras Julai 2022.

Honda Malaysia serah HR-V kepada pemilik pertama

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan penyerahan HR-V baharu kepada pemiliknya yang pertama, cik Nurul Hafida Binti Mhd Jais dalam satu majlis di MJN Motors Sdn Bhd di Cheras, Selangor.

Selain dari menjadi pemilik pertama Honda HR-V RS e-HEV, Nurul Hafida juga dihadiahkan dengan Honda Authorised Accessories, Ultra Glass Body Coating, dan Honda Official Merchandise bernilai RM5,700 sebagai penghargaan dari pihak Honda Malaysia.

Bercakap di majlis penyerahan itu, Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata: “Maklum balas yang kami terima untuk HR-V serba baharu sangat positif, dan kami yakin model ini berjaya seperti sebelumnya.”

“Hari ini, kami menyerahkan HR-V baharu kepada pemilik pertamanya, Nurul Hafida. Tambahan itu, Honda Malaysia juga telah menyerahkan lebih 1,300 unit HR-V dalam tempoh sebulan selepas pelancarannya.”

“Kami ingin menggunakan peluang ini untuk menzahirkan penghargaan kepada semua pelanggan kami di atas sokongan mereka terhadap Honda,” tambahnya.

Sementara itu, Nurul Hafida dan keluarganya yang turut hadir berkata, “Saya telah membuat kajian sebelum pelancaran rasmi Honda HR-V di Malaysia. Gaya luarannya menarik perhatian saya dan sebab itulah saya menempah kereta ini sebaik sahaja ia dibuka untuk tempahan.”

“Saya sangat terkejut apabila mengetahui yang saya menjadi pelanggan pertama yang menerima kereta ini. Apa yang lebih mengujakan ialah hadiah tambahan yang diterima dari Honda!”

Rekaan luaran HR-V diberikan pembaharuan menyeluruh yang menjadikannya lebih bergaya dan premium. Ini boleh dilihat menerusi bentuk keseluruhannya yang sedikit lebih bersegi berbanding model terdahulu, serta rekaan fastback dan lampu LED yang memanjang pada bahagian belakang.

Sebagai varian tertinggi, RS mendapat kit badan RS yang merangkumi kemasan hitam pada bampar depan dan belakang serta skirt sisi, logo RS pada gril dan juga efek ‘smoked’ pada lampu belakang.

Untuk model generasi baharu ini, HR-V didatangkan dalam empat varian dengan tiga pilihan enjin. Varian S dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC, manakala varian E dan V mendapat enjin 1.5-liter i-VTEC Turbo. Varian flagship e:HEV RS pula hadir dengan trenkuasa hibrid.

Dari segi kuasa, varian S mempunyai 121PS dan 145Nm, sementara E dan V pula mempunyai 181PS dan 240Nm. Dengan enjin 1.5-liter i-VTEC dan dua buah motor elektrik, varian e:HEV RS tampil dengan 131PS dan 253Nm. Varian ini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive.

Untuk maklumat lanjut mengenai crossover popular ini, anda boleh baca laporan penuh pelancarannya di sini.

Proton akan mula jual EV jenama smart pada suku keempat 2023

KERJASAMA antara Proton dan smart Automobile Company dimuktamadkan hari ini dalam satu majlis tandatangan Perjanjian Pengedaran Am yang diadakan di Proton Centre of Excellence.

Menerusi perjanjian ini, Proton akan bertindak selaku pengimport dan pengedar rasmi kenderaan elektrik (EV) premium keluaran smart di pasaran Malaysia dan Thailand. Model smart pertama yang akan dijual oleh Proton iaitu smart #1 akan dilancarkan di Malaysia pada awal suku keempat tahun 2023, diikuti dengan Thailand pada separuh kedua 2024.

“Fasa pertama perniagaan dengan smart bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi juga mengambil pengetahuan dan pengalaman yang berharga bukan sahaja dari cara pengendalian servis dan pengecasan EV tetapi juga mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Selain menjual dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan smart, Proton turut berhasrat untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan. Ia juga akan menyediakan unit domestik untuk pelanggan yang ingin mengecas EV mereka di kediaman.

Proton merancang untuk memodelkan operasi jualan untuk smart seperti yang dilakukan oleh syarikat tersebut di pasaran lain. Penekanan akan diberikan terhadap integrasi gaya hidup digital dan penyelesaian digital yang merangkumi perancangan perjalanan, ketersediaan pengecas dan pertimbangan pembelian.

Selain itu, Proton juga sedang menerokai peluang untuk menarik bakat muda. Pengeluar kereta nasional itu akan melaksanakan rancangan jangka masa panjang untuk pelestarian dan kecekapan tenaga serta meningkatkan skor ESG-nya bagi menarik minat pekerja industri automotif generasi akan datang.

“Peralihan ke dalam segmen pasaran ini juga akan membantu memacu Proton ke arah menjadi lebih mesra alam dalam semua aspek operasi di samping berusaha untuk membantu Malaysia mencapai sasaran neutraliti karbon menjelang 2050,” tambah Dr Li.

Porsche 911 GT3 RS baharu dibina semata-mata untuk prestasi

DALAM hierarki Porsche, mana-mana model yang memakai lencana ‘GT’ adalah yang paling hardcore dan berprestasi dalam barisannya. Contohnya 911 GT3 RS yang baru sahaja diperkenalkan ini.

Untuk model generasi 992, 911 GT3 RS tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang diinspirasikan dari sukan permotoran termasuk kit aerodinamik dari Formula 1, komponen suspensi baharu, casis yang dipertingkatkan serta enjin yang lebih berkuasa.

Mari kita mulakan dengan penampilannya dahulu. Jika dibandingkan dengan 911 GT3, versi RS ini kelihatan lebih serius dan mengancam terima kasih kepada kit badannya yang agresif. Ia merangkumi splitter depan, skirt sisi, sirip fender dan sudah tentu, spoiler belakang.

Menurut Porsche, spoiler berkenaan mempunyai Drag Reduction System (DRS) yang boleh diaktifkan menerusi butang pada stereng. Selain membolehkan kereta memecut lebih laju, ia juga didatangkan dengan fungsi airbrake sebagai sokongan kepada brek cakera ketika membrek pada kelajuan tinggi.

Apa yang lebih menarik, spoiler 911 GT3 RS ini lebih tinggi berbanding bumbungnya dan ini merupakan yang pertama bagi model produksi Porsche!

Model baharu ini mempunyai ukuran trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) yang lebih lebar sebanyak 29 mm berbanding GT3. Para jurutera Porsche turut memberikan profil berbentuk teardrop pada komponen double-wishbone depan bagi meningkatkan downforce sebanyak 40 kg pada kelajuan maksimum.

Selain itu, kadar spring pada sistem multi-link belakang telah diperbaharui, manakala sistem bantuan pemandu dan stereng gandar belakang mempunyai tetapan yang lebih dinamik.

911 GT3 RS dikuasakan oleh enjin naturally-aspirated 4.0-liter enam silinder yang sama seperti GT3, namun dengan camshaft dan cam profile baharu, kuasanya meningkatkan dari 510 PS kepada 525 PS. Transmisi PDK tujuh kelajuan yang memacu roda belakang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 296 km/j.

Menerusi penggunaan bahan-bahan ringan seperti CFRP pada pintu, sayap depan, bumbung, bonet serta tempat duduk bucket antara lainnya, berat jentera ini hanya 1,450 kg walaupun mempunyai komponen-komponen yang lebih besar.

Pelanggan boleh menaik taraf 911 GT3 RS menerusi pakej Clubsport secara percuma. Pakej ini didatangkan dengan rollover bar, tali pinggang keledar enam poin dan juga pemadam api.

Untuk mereka yang lebih serius dengan prestasi, Porsche turut menawarkan pakej Weissach yang merangkumi kemasan gentian karbon, lebih banyak komponen CFRP dan teknologi magnet pada paddle shifter. Pelanggan yang membeli pakej ini juga boleh memilih untuk mendapatkan rim magnesium yang 8 kg lebih ringan berbanding rim standard.

Zeekr 009 sebuah MPV elektrik untuk pasaran China, jarak pemanduan 700km

ZEEKR 009 dilancarkan baru-baru ini, sebuah MPV tiga baris tempat duduk bagi pasaran China. Ia menampilkan rekaan cukup daring dengan garisan-garisan bersegi dan gril perak besar di depan.

Zeekr merupakan sebuah jenama EV mewah di bawah Geely, dan MPV 009 ini dibina dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA), yang juga menjadi asas kepada Lotus Eletre dan Polestar 5 akan datang.

Dari segi ukuran, Zeekr 009 adalah 5,209mm panjang, 2,024mm lebar, dan 1,856mm tinggi dengan jarak roda 3,205mm. Lampu DRL LEDnya mempunyai rekaan menegak, manakala lampu utamanya terletak sedikit di bawah, dengan tiga unit setiap satu.

Terdapat kamera-kamera ADAS pada fender depan, di bawah cermin depan, dan di bawah kawasan nombor plat. Rimnya mempunyai tulisan ZEEKR di tengah-tengah.

Salah satu elemen rekaan paling menarik adalah pada tiang-C, dengan garisan sirip jerung pada bawah cermin sisi, dan tujuh garisan perak menegak pada pintu gelungsur. Ternyata MPV ini nampak cukup mewah, hampir seperti Alphard versi EV.

Walaupun mempunyai tiga baris tempat duduk, Zeekr 009 mempunyai tujuh tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2. Tetapi ia juga akan ditawarkan dengan versi VIP yang hanya mempunyai dua tempat duduk belakang.

Papan pemukanya dilengkapi skrin HUD serta skrin sesentuh melintang di tengah. Tiada gambar terperinci untuk bahagian dalam, tetapi beberapa gambar intipan melaporkan roda stereng yang agak kecil dan sporti, tempat duduk depan lebar, pengecaj tanpa-wayar di depan, dan balutan kulit berwarna putih.

Zeekr berkata 009 akan mempunyai jarak pemanduan 700km menurut kitaran NEDC.

Tiada perincian kuasa didedahkan, tetapi ura-ura mengatakan ia akan dipacu oleh motor 272hp di belakang, atau setup dwi-motor dengan jumlah kuasa 544hp. Ini digandingkan dengan bateri 86kWh atau 100kWh, dengan jarak pemanduan 536km atau 732km.

Zeekr 009 bakal dilancarkan di China menjelang hujung tahun ini, tetapi ia akan membuat kemunculan umum di Chengdu Motor Show 2022 minggu depan.

Apa pendapat anda dengan rekaan MPV elektrik mewah ini?

Land Rover Defender 90 Trophy Edition – 250 unit untuk pasaran Amerika Utara sahaja

SELEPAS memperkenalkan Defender 110 Trophy Edition setahun yang lalu, Land Rover kini kembali dengan penawaran edisi terhad yang sama namun untuk Defender 90 pula.

Seperti sebelum ini, para pembeli berpeluang untuk menyertai pertandingan North American Defender Trophy yang akan diadakan di Manchester, Vermont pada November. Pemenang akan dibawa bertanding dalam peringkat akhir di United Kingdom pada 2023.

Land Rover akan menawarkan sebanyak 250 unit Defender 90 Trophy Edition di Amerika Syarikat dan Kanada, 30 unit lebih banyak berbanding Defender 110 Trophy Edition. Harga jualannya bermula dari $95,000 (RM424,223).

Dibina berasaskan Defender 90 P400 X-Dynamic SE, model Trophy Edition hadir dengan balutan berwarna kuning yang diinspirasikan oleh jentera pertandingan Camel Trophy, Extended Black Exterior Pack, cangkuk tunda, sistem suspensi udara, Cold Climate Pack dan Off-Road Pack.

Selain itu, ia juga mendapat pelbagai kelengkapan tambahan untuk pengembaraan off-road termasuk rak bumbung ekspedisi, tangga, takal elektronik dan kit pemasangan, madgad, pemampat angin terbina dan juga alas getah.

Tiada perubahan trenkuasa bagi model ini, bermakna ia masih dikuasakan oleh enjin petrol turbo 3.0-liter enam silinder dengan sistem mild-hybrid (MHEV) yang menghasilkan 400 PS. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Atas kertas, SUV ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.0 saat namun seperti yang kita tahu, kekuatan sebenarnya terletak pada kemampuannya untuk meneroka permukaan yang ekstrem dan mencabar.

 

Singer Porsche 911 Turbo Study kali ini model cabriolet, enjin sejukan cecair dengan 510hp

MERAH, whale tail, rim hitam, semuanya cukup. Tidak banyak kereta yang begitu menarik perhatian pada 1980an dengan Porsche 911 Turbo generasi 964. Dan tidak banyak juga syarikat yang menghasilkan semula jentera klasik dengan prestasi moden seperti Singer.

911 Turbo Study terbaharu mereka ialah Porsche generasi 964 ini, dan ia juga merupakan model pertama Singer dengan badan cabriolet.

“Porsche pertama iaitu Sport 356/1 yang dikenali sebagai ‘Number 1’ merupakan cabriolet, dan glamor bumbung terbuka dengan prestasi tinggi ini telah menjadi sebahagian dari kisahnya sejak itu,” kata pengasas dan pengerusi eksekutif Singer, Rob Dickenson.

“Saya telah lama mahu meraikan aspek Porsche ini di Singer dan dengan Turbo Study kami menghasilkan semula keseronokan supercar pertama Porsche sambil mengekalkan prestasi serta penghalusannya.”

“Kami teruja kerana pemilik-pemilik kini dapat menikmati aspek-aspek ini dengan bumbung terbuka.”

Badan Singer 911 Turbo Study baharu ini ‘memakai’ warna Cadiz Red, dan ia dipacu oleh enjin flat-six yang masih menggunakan sejukan udara. Tetapi ia kini bersesaran 3.8-liter dan menjana 510hp, hasil sepasang pengecaj turbo.

Kuasa kekal disalurkan ke roda belakang, dan ia disalurkan melalui kotak gear manual 6-kelajuan. Brek pula adalah karbon-seramik untuk ‘menjinakkan’ kuasa tadi.

Setiap unit 911 oleh Singer mendapat kemasan dalam yang cukup menawan, tetapi ianya pasti lebih mudah dilihat bila bumbung dibuka.

Untuk 911 Turbo Study ini khasnya, ia menampilkan bumbung fabrik yang dilipat dan disimpan di belakang, mendedahkan kabin berwarna hitam dengan kemasan plaid merah pada panel pintu dan tempat duduk.

Warna ini digandingkan dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah. Ciri moden pada 911 Turbo ini termasuklah pengecaj telefon tanpa-wayar untuk pemandu dan penumpang.

Sayangnya, jika anda mahu menempah 964 Cabriolet ini atau sebarang Singer 911, ia akan mengambil masa sedikit lama. Singer berkata tempahan kini penuh sehingga beberapa tahun akan datang, mereka tidak mampu menerima sebarang tempahan baharu buat masa ini.

KLIA, LIA tercalon sebagai lapangan terbang terbaik oleh ASQ

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah tercalon sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) untuk suku kedua tahun ini.

Lapangan Terbang Langkawi (LIA) – Gambar oleh: Perspective of Langkawi

Kedua-dua lapangan terbang itu meraih skor sempurna 5.00 dalam tinjauan global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang mengukur kepuasan penumpang secara keseluruhan daripada segi keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Gambar oleh: klia.info

Pencapaian KLIA ini turut dikongsi dengan tujuh lapangan terbang lain dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) dan LIA adalah satu-satunya lapangan terbang yang mendapat mata penuh dalam kategori 2.0 – 5.0 mppa.

“Memang agak mencabar untuk mengekalkan pengalaman penumpang yang hebat apabila kami terus mengalu-alukan ketibaan lebih ramai penumpang di lapangan terbang kami, tetapi kami tidak akan goyah dalam komitmen kami untuk berbuat demikian,” kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam satu kenyataan.

“Keputusan ASQ terbaharu ini adalah manifestasi komitmen kami, yang bukan sahaja daripada Malaysia Airports tetapi seluruh komuniti lapangan terbang.”

Beliau berkata bagi KLIA, tiga pujian yang diterima melalui tinjauan ASQ adalah proses yang lancar di titik sentuh, bantuan di lapangan yang sopan dan daftar masuk pantas di kaunter.

Pada Julai 2022, Malaysia Airports Group mencatatkan sejumlah 7.8 juta pergerakan penumpang – 4.8 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatan dan 3.0 juta penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, Turki.

Kumpulan itu merekodkan 3.1 juta pergerakan domestik serta 1.6 juta pergerakan antarabangsa di Malaysia pada bulan lepas, peningkatan 26 peratus yang menggalakkan berbanding bulan sebelumnya.

Setakat ini, kedua-dua segmen telah menunjukkan trend pemulihan yang agak positif, dengan trafik domestik serta antarabangsa masing-masing mencapai 66 peratus dan 18 peratus daripada jumlah sebelum Covid-19.

Chery buka tempahan Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro di Indonesia

CHERY secara rasminya telah membuka tempahan untuk dua modelnya iaitu Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro di Indonesia. Model-model tersebut ditawarkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 km, serta waranti enjin selama 10 tahun atau 1 juta km.

Perkara ini diumumkan pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang sedang berlangsung dari 11 hingga 21 Ogos.

Tiggo 8 Pro merupakan SUV tujuh tempat duduk dengan ciri-ciri premium seperti gril ‘geometric matrix diamond’ dan lampu depan LED yang direka berdasarkan falsafah ‘Life in Motion 3.0’.

Di dalam, terdapat tiga skrin iaitu panel instrumen 12.3 inci, skrin sistem infohibur dan skrin kawalan sistem pendingin hawa berukuran lapan inci. Turut disertakan adalah sistem audio dengan lapan pembesar suara jenama Sony, pencahayaan ambien pelbagai warna, bumbung panoramik dan upholsteri dwi-tona.

Tersembunyi di bawah bonet adalah enjin siri ACTECO generasi ketiga 1.6-liter TGDI yang menghasilkan 192 PS dan 290 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang menggerakkan roda depan. Transmisi yang dibangunkan oleh Chery itu dikatakan mempunyai kecekapan sehingga 96 peratus.

Tiggo 8 Pro juga didatangkan dengan sistem ADAS yang merangkumi 12 fungsi termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Forward Collision Warning (FCW). Kamera 360 darjah turut disertakan.

Sementara itu, Tiggo 7 Pro pula merupakan ‘adik’ kepada Tiggo 8 Pro yang mempunyai lima tempat duduk. Ia didatangkan dengan gril yang lebih tajam, lampu matriks LED pintar, serta tiang C berwarna hitam yang menimbulkan efek bumbung terapung.

Di samping ciri-ciri yang ada pada 8 Pro, model ini mendapat beberapa ciri canggih seperti pintu belakang elektrik induktif, pengecasan peranti mudah alih tanpa wayar, gearshift elektronik dan fungsi arahan suara.

Ruang dalaman Tiggo 7 Pro

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan 10 fungsi ADAS termasuk Lane Keeping, Adaptive Cruise Control dan Emergency Braking. Enam beg udara dan Stability Control keluaran Bosch disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Seperti OMODA 5, Tiggo 8 Pro dan 7 Pro turut dirancang untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Chery sedang bekerjasama rapat dengan rakan-rakan niaga tempatan ke arah mewujudkan operasi pemasangan tempatan serta pembaharuan jenamanya.

Suzuki GSX-S1000 GT masuk pasaran Malaysia pada harga RM85,700

DALAM satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini, Suzuki Malaysia mengumumkan bahawa Suzuki GSX-S1000 GT telah pun dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Menurut Suzuki Malaysia, model sport tourer itu dijual pada harga RM85,700 tidak termasuk insurans, pendaftaran dan cukai jalan. Apa yang lebih menarik, ia didatangkan standard dengan kotak barangan sisi (side pannier).

Untuk pasaran Malaysia, GSX-S1000 GT ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu Metallic Triton Blue dan Metallic Reflective Blue. Model ini tersedia menerusi rangkaian pengedar Suzuki Big Bike World di seluruh Malaysia.

Jentera ini tampil dengan enjin empat silinder sebaris DOHC bersesaran 999 cc yang mampu menjana 152 PS pada 11,000 rpm, 2 PS lebih tinggi berbanding output pada model terdahulu iaitu GSX-S1000 F.

Seperti GSX-R1000, kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan dengan nisbah rapat. Ia dipadankan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang bertindak sebagai klac slipper untuk melancarkan tindak balas enjin.

GSX-S1000 GT dibina berasaskan kerangka aluminium twin-spar yang digandingkan dengan fork terbalik KYB berukuran 43 mm dan lengan ayun aluminium-aloi yang diambil terus dari GSX-R1000. Kadar spring dan daya redaman sistem suspensi ditala secara spesifik untuk model ini.

Kapasiti tangki bahan api adalah 19 liter, manakala berat keseluruhannya mencecah 226 kg. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar berukuran 310 mm serta angkup Brembo Monobloc.

Untuk sistem elektronik, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) menyediakan tiga mod dengan respon pendikit dan karakteristik tork yang berbeza iaitu Active, Basic dan Comfort. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah pendikit Ride-by-Wire, Traction Control, Quickshifter dan Cruise Control.

Semua sistem berkenaan boleh diakses menerusi paparan TFT-LCD berukuran 6.5 inci. Paparan ini juga boleh disambungkan dengan telefon pintar untuk memaparkan peta, panggilan telefon dan pemain muzik.

Renault Zoe 2022 kini di Malaysia – Sehingga 134hp, jarak pemanduan 395km, dari RM163k

TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Renault Zoe 2022 baharu akan memasuki pasaran dan pendafataran kini sudah dibuka bagi mereka yang berminat.

Renault Zoe generasi terbaharu menawarkan keseronokan pemanduan elektrik (EV) sepenuhnya dan membawakan penambahbaikan dari segi kuasa, jarak, dan teknologi.

Dua varian ditawarkan untuk Malaysia, iaitu:

Zoe R110
RM163,000
80kW (107hp), 225Nm tork

Zoe R135
RM175,000 (harga jangkaan)
100kW (134hp), 245Nm tork

Kedua-dua varian Zoe R110 dan R135 dikuasakan oleh pek bateri 52kWh Z.E 50 baharu daripada Renault dengan penawaran jarak sehingga 395km (standard WLTP).

Untuk pengecasan pula, Renault Zoe baharu ini memerlukan 30 minit sahaja untuk mencapai jarak pemanduan 145km dengan pengecasan DC.

Menggunakan pengecaj AC Type 2 pula, Zoe akan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk pengecasan dari kosong hingga penuh 100 peratus.

Renault Zoe baharu menerima rekaan dalaman baharu dengan kluster instrumen TFT bersaiz 10-inci TFT di samping sistem multimedia EASY LINK Renault bersama enam unit pembesar suara.

Sistem infotainmen yang telah dinaik taraf itu turut menampilkan skrin sentuh bersaiz tujuh inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.

Renault Zeo turut mendapat bahan lestari dan mesra alam di ruang kabin, seperti tekstil tempat sentuhan utama.

Mereka yang ingin melihat Renault Zoe dengan lebih dekat boleh mengunjungi bilik pameran utama Renault di Jalan Kemajuan Seksyen 13, Petaling Jaya di mana sebuah unit Zoe R110 ada dipamer di sana.

Pelanggan yang ingin mendaftarkan minat mereka tehadap Renault Zoe baharu boleh mendaftar di sini untuk mendapat kemas kini.

Dodge Durango SRT Hellcat kembali untuk 2023 – 710 hp, 0-96 km/j dalam 3.5 saat!

KETIKA Durango SRT Hellcat diperkenalkan buat pertama kali pada Julai 2020, Dodge hanya merancang untuk menghasilkannya selama enam bulan dan dalam bilangan yang terhad.

Kemudian pada April 2020, Dodge mengumumkan yang ia akan melanjutkan lagi pengeluaran model itu bagi memenuhi permintaan pelanggan. Kini, syarikat itu telah mengesahkan yang SUV berprestasi tinggi itu akan kembali bagi model tahun 2023.

Seperti sebelum ini, Durango SRT Hellcat dikuasakan oleh enjin supercharger HEMI 6.2-liter V8 yang telah ditala bagi menghasilkan 710 hp dan 875 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan TorqueFlite 8HP95, ia mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam hanya 3.5 saat.

Sebagai jentera yang dibangunkan khas untuk drag, ia juga boleh melengkapkan pecutan suku batu dalam 11.5 saat. Masa ini diiktiraf oleh National Hot Rod Association (NHRA). Kelajuan maksimum pula adalah 290 km/j.

Melihat kepada spesifikasinya, tiada sebarang pembaharuan yang akan dibawakan oleh model 2023 ini. Ia masih kekal dengan kit badan agresif, spoiler belakang yang boleh menjana downforce sebanyak 64.5 kg pada kelajuan maksimum, dan lencana SRT Hellcat pada bahagian fender.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan mod pemanduan Street (Auto), Sport, Track dan Custom, Launch Control, Launch Assist serta sistem brek Brembo yang merangkumi angkup enam dan empat piston, dan cakera berukuran 15.75 inci di depan dan 13.8 inci di belakang.

Durango SRT Hellcat akan dibuka untuk tempahan bermula bulan depan. Harga tidak diberitahu namun sebagai rujukan, model tahun 2021 dijual pada harga $82,000 (RM366,171) sebelum tambahan opsyen.